KEBENARAN mengenai apa? Mengenai beberapa soalan penting yang pernah ditanyakan dalam sejarah manusia. Anda mungkin pernah memikirkan soalan-soalan di bawah:

  • Adakah Tuhan benar-benar mengambil berat tentang kita?

  • Adakah peperangan dan penderitaan akan berakhir?

  • Apakah yang berlaku kepada kita apabila kita mati?

  • Adakah orang yang telah mati mempunyai harapan?

  • Apakah caranya untuk berdoa supaya didengari Tuhan?

  • Bagaimanakah saya boleh mendapat kebahagiaan hidup?

Dari manakah anda boleh mendapat jawapan kepada soalan-soalan ini? Jika anda pergi ke perpustakaan atau kedai-kedai buku, anda akan menjumpai ribuan buku. Penulis buku-buku ini mungkin mendakwa bahawa mereka dapat memberikan jawapan kepada soalan-soalan ini. Walau bagaimanapun, buku-buku ini sering mengemukakan pendapat-pendapat yang bercanggahan. Buku-buku yang lain pula hanya sesuai digunakan untuk suatu tempoh yang singkat sahaja dan kemudiannya perlu dikemaskinikan.

Namun begitu, terdapat sebuah buku yang mengandungi jawapan-jawapan yang boleh dipercayai. Buku ini mengandungi kebenaran sahaja. Semasa Yesus Kristus berdoa kepada Tuhan, dia berkata, “Firman-Mu selalu benar.” (Yohanes 17:17) Hari ini, Firman yang dimaksudkan oleh Yesus itu ialah Kitab Suci yang dipanggil Bible. Pada muka-muka surat yang berikutnya, anda akan berpeluang melihat jawapan yang jujur dan jelas daripada Bible kepada soalan-soalan di atas.

 Adakah Tuhan Benar-benar Mengambil Berat tentang Kita?

SEBAB SOALAN INI DITANYA: Kita hidup dalam dunia yang sarat dengan kekejaman dan ketidakadilan. Banyak agama mengajar bahawa penderitaan yang dialami oleh umat manusia telah ditakdirkan oleh Tuhan.

AJARAN BIBLE: Tidak mungkin Tuhan menyebabkan hal-hal yang kejam atau yang tidak adil untuk berlaku. Ayub 34:10 menyatakan, “Adakah [Tuhan] Yang Maha Kuasa melakukan hal yang salah?” Sudah tentu tidak! Tuhan mempunyai tujuan yang mulia untuk manusia. Itulah sebabnya Yesus mengajar kita untuk berdoa, “Ya Bapa kami yang di syurga, . . . semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati.” (Matius 6:9, 10) Tuhan sangat mengambil berat akan kita. Dia memastikan bahawa tujuan-Nya bagi kita akan tercapai.Yohanes 3:16.

Lihat Kejadian 1:26-28; Yakobus 1:13; dan 1 Petrus 5:6, 7.

Adakah Peperangan dan Penderitaan akan Berakhir?

SEBAB SOALAN INI DITANYA: Hari ini, peperangan terus meragut bilangan nyawa yang tidak terhitung banyaknya. Kita semua pernah mengalami keperitan hidup dan penderitaan.

AJARAN BIBLE: Tuhan telah menubuatkan bahawa Dia akan membawa keamanan ke seluruh dunia. Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan dari syurga, manusia ‘tidak akan berperang lagi.’ Sebaliknya, “mereka akan menempa pedang menjadi bajak.” (Yesaya 2:4) Tuhan akan membasmi segala ketidakadilan dan penderitaan. Janji dalam Bible menyatakan, “[Tuhan] akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama [yang dialami hari ini, termasuklah ketidakadilan dan penderitaan] sudah lenyap.”Penyingkapan 21:3, 4.

Lihat Mazmur 37:10, 11; 46:10; dan Mikha 4:1-4.

Apakah yang Berlaku kepada Kita apabila Kita Mati?

SEBAB SOALAN INI DITANYA: Kebanyakan agama di dunia ini mengajarkan bahawa selepas kematian, sesuatu dalam badan manusia akan terus hidup. Sesetengah orang mendakwa bahawa orang yang telah mati boleh mencederakan orang yang masih hidup. Ada pula yang percaya bahawa orang yang fasiq akan diseksa untuk selama-lamanya di dalam neraka berapi sebagai hukuman daripada Tuhan.

AJARAN BIBLE: Seseorang yang telah mati tidak wujud lagi. Pengkhutbah 9:5 menyatakan, “Orang yang telah mati tidak tahu apa-apa pun.” Oleh sebab orang mati tidak tahu dan tidak boleh merasai, atau mengalami apa-apa, mereka tidak dapat mencederakan—atau membantu—orang yang hidup.Mazmur 146:3, 4.

Lihat Kejadian 3:19 dan Pengkhutbah 9:6, 10.

 Adakah Orang yang telah Mati Mempunyai Harapan?

SEBAB SOALAN INI DITANYA: Kita semua ingin hidup. Kita ingin menikmati kehidupan bersama-sama orang yang kita kasihi. Kita juga ingin berjumpa semula dengan saudara-mara atau kawan-kawan yang telah meninggal.

AJARAN BIBLE: Kebanyakan orang yang telah mati akan dibangkitkan. Yesus telah berjanji bahawa “orang mati akan . . . keluar dari kubur.” (Yohanes 5:28, 29) Selaras dengan tujuan asal Tuhan, mereka yang telah dibangkitkan akan berpeluang untuk hidup di firdaus di bumi. (Yesaya 65:21-25) Bagi umat yang patuh kepada Tuhan, harapan masa depan ini merangkumi kesihatan yang sempurna dan kehidupan yang kekal. Bible menyatakan, ‘Orang yang salih akan memiliki bumi ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.’Mazmur 37:29.

Lihat Ayub 14:14, 15; Lukas 7:11-17; dan Kisah 24:15.

Apakah Caranya untuk Berdoa supaya Didengari Tuhan?

SEBAB SOALAN INI DITANYA: Hampir semua orang yang beragama berdoa. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang berasa bahawa doa-doa mereka tidak dikabulkan.

AJARAN BIBLE: Yesus menggalakkan kita untuk menghindari amalan mengulang ungkapan yang sama semasa berdoa. Yesus berkata, “Apabila kamu berdoa, jangan gunakan banyak kata yang tidak bererti seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal [Tuhan].” (Matius 6:7) Jika kita inginkan doa kita didengari Tuhan, kita mesti berdoa dalam cara yang mendapat perkenan Tuhan. Untuk berbuat demikian, kita harus mempelajari kehendak Tuhan supaya kita dapat berdoa selaras dengan kehendak-Nya. Satu Yohanes 5:14 menjelaskan, “[Tuhan] mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya.”

Lihat Mazmur 65:3; Yohanes 14:6; dan 1 Yohanes 3:22.

Bagaimanakah Saya boleh Mendapat Kebahagiaan Hidup?

SEBAB SOALAN INI DITANYA: Banyak orang memburu wang, kemasyhuran, atau kecantikan kerana mereka percaya semua ini akan membawa kebahagiaan. Malangnya, usaha mereka sia-sia sahaja.

AJARAN BIBLE: Yesus memberitahu kita kunci kebahagiaan apabila dia berkata, “Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan [Tuhan].” (Matius 5:3) Kebahagiaan yang sejati hanya boleh diperoleh jika kita mengambil langkah-langkah untuk memenuhi keperluan kita yang terpenting, yakni kedahagaan untuk kebenaran rohani tentang Tuhan dan tentang tujuan-Nya untuk kita. Kebenaran ini boleh didapati dalam Bible. Jika kita mengetahui kebenaran ini, kita dapat membezakan apa yang benar-benar penting daripada apa yang tidak penting. Jika kita menggunakan kebenaran dalam Bible sebagai pedoman untuk membuat keputusan dan untuk menentukan perlakuan kita, hidup kita menjadi lebih bermakna.Lukas 11:28.

Lihat Amsal 3:5, 6, 13-18 dan 1 Timotius 6:9, 10.

 Jawapan kepada keenam-enam soalan yang telah diajukan hanyalah sebahagian kecil daripada kebenaran yang terdapat dalam Bible. Inginkah anda mendapatkan maklumat lanjut? Sudah tentu anda akan menjawab “ya” jika anda ‘sedar bahawa anda memerlukan Tuhan.’ Anda mungkin tertanya-tanya akan soalan yang lain. Contohnya, ‘Jika Tuhan mengambil berat tentang kita, mengapakah Dia mengizinkan begitu banyak kejahatan dan penderitaan untuk berlaku sepanjang sejarah manusia? Bagaimanakah saya dapat memperbaik kualiti hidup keluarga saya?’ Bible memberikan jawapan yang lengkap dan yang memuaskan kepada soalan-soalan ini dan juga kepada banyak soalan yang lain.

Walau bagaimanapun, hari ini ramai orang keberatan untuk mencari jawapan daripada Bible. Bagi mereka, Bible sebuah buku yang sangat tebal dan ada kalanya sukar untuk difahami. Inginkah anda mendapat bantuan untuk mencari jawapan daripada Bible kepada soalan-soalan anda? Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan dua cara untuk membantu anda.

Pertama, buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? disediakan untuk membantu orang yang sibuk untuk meneliti jawapan yang jelas daripada Bible bagi soalan-soalan yang penting. Cara kedua ialah program mempelajari Bible dengan percuma. Tanpa mengenakan bayaran, salah seorang daripada Saksi-Saksi Yehuwa yang tinggal berhampiran dengan rumah anda dan yang layak mengajarkan Bible boleh datang ke rumah anda atau ke lokasi lain yang sesuai, dan meluangkan sedikit masa setiap minggu untuk membincangkan Bible dengan anda. Jutaan orang di serata dunia telah mendapat manfaat daripada program ini. Dengan gembiranya, banyak orang telah membuat kesimpulan, “Saya telah menjumpai kebenaran!”

Tiada apa-apa pun yang dapat menandingi nilai harta karun ini. Kebenaran Bible membebaskan kita daripada kepercayaan karut, kekeliruan, dan rasa takut yang tidak sihat. Kebenaran daripada Bible juga memberi kita harapan, tujuan hidup, dan kegembiraan. Seperti yang diajarkan oleh Yesus, jika kamu mengetahui kebenaran, kamu akan dibebaskan.Yohanes 8:32.