Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 14

Membina Keluarga yang Bahagia

Membina Keluarga yang Bahagia

1, 2. Apakah yang diingini Yehuwa daripada keluarga?

TUHAN YEHUWA ialah pengasas perkahwinan. Bible memberitahu kita bahawa Dia menciptakan wanita yang pertama dan “membawanya kepada lelaki itu.” Adam begitu gembira sehingga berkata, “Inilah dia, tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku.” (Kejadian 2:22, 23) Yehuwa ingin suami isteri hidup bahagia.

2 Sedihnya, banyak keluarga tidak bahagia. Tetapi Bible ada banyak prinsip yang dapat membantu semua ahli keluarga, agar mereka berjaya membina keluarga yang bahagia.​—Lukas 11:28.

APA YANG DIINGINI TUHAN DARIPADA SUAMI

3, 4. (a) Bagaimanakah suami harus melayan isteri? (b) Mengapakah suami isteri harus saling mengampuni?

3 Bible berkata bahawa suami yang baik harus menghormati dan mengasihi isteri. Sila baca Efesus 5:25-29. Seorang suami patut selalu menyayangi isterinya. Dia akan melindungi dan menjaga isterinya, dan tidak menyakitinya dalam apa cara pun.

4 Tetapi bagaimana pula jika isteri berbuat silap? Bible menasihati suami, “Teruslah mengasihi isteri kamu dan janganlah berlaku kasar terhadap mereka.” (Kolose 3:19) Suami, ingatlah bahawa anda juga berbuat silap. Jika anda mahu Tuhan mengampuni anda, anda mesti  memaafkan isteri anda. (Matius 6:12, 14, 15) Suami isteri yang rela memaafkan satu sama lain akan lebih bahagia.

5. Mengapakah suami harus menghormati isteri?

5 Yehuwa mahu suami menghormati dan mengambil kira keperluan isteri. Hal itu sangat serius, kerana jika seorang suami tidak melayan isterinya dengan baik, Yehuwa tidak akan mendengar doanya. (1 Petrus 3:7) Bagi Yehuwa, jantina tidak penting. Lelaki dan perempuan yang mengasihi-Nya akan dihargai-Nya.

6. Apakah maksud suami isteri “bukan lagi dua tetapi satu”?

6 Yesus menjelaskan bahawa suami isteri “bukan lagi dua tetapi satu.” (Matius 19:6) Maksudnya, mereka harus setia kepada pasangan dan tidak berlaku curang. (Amsal 5:15-21; Ibrani 13:4) Suami dan isteri harus menjaga keperluan seks satu sama lain. (1 Korintus 7:3-5) Suami perlu ingat bahawa “tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menyayanginya.” Jadi dia harus mencintai dan menyayangi isterinya. Isteri sangat ingin dikasihi dan dilayan dengan baik oleh suami. (Efesus 5:29) Suami isteri harus mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah di sisi undang-undang. Hal itu akan membolehkan anak-anak mereka membesar dalam persekitaran yang baik.​—Lukas 2:1, 4, 5.

APA YANG DIINGINI TUHAN DARIPADA ISTERI

7. Mengapakah setiap keluarga memerlukan ketua?

7 Setiap keluarga perlu ada satu kepala, atau ketua, untuk membimbing seluruh keluarga agar mereka dapat bekerjasama. Di 1 Korintus 11:3, Bible berkata, “Kristus ialah kepala setiap lelaki; lelaki ialah kepala wanita; dan Tuhan ialah kepala Kristus.”

8. Bagaimanakah isteri dapat menunjukkan hormat yang mendalam kepada suami?

 8 Setiap suami pasti akan berbuat silap. Tetapi apabila isteri rela menyokong dan bekerjasama dengan keputusan suami, hal itu baik untuk seluruh keluarga. (1 Petrus 3:1-6) Bible berkata, ‘Isteri harus menghormati suami dengan mendalam.’ (Efesus 5:33) Bagaimana pula jika kepercayaan suami berbeza daripada kepercayaan isteri? Isteri masih perlu menghormati suami dengan mendalam. Bible berkata, “Hai para isteri, taatilah suami kamu, supaya jika suami kamu tidak patuh kepada firman Tuhan, kelakuan kamu dapat menyebabkan mereka patuh. Kamu tidak perlu berkata apa-apa, kerana mereka sudah menyaksikan kelakuan kamu yang murni dan sikap hormat kamu yang mendalam.” (1 Petrus 3:1, 2) Contoh baik seorang isteri dapat membantu suaminya menghormati dan memahami kepercayaannya.

9. (a) Apakah yang dapat dilakukan jika isteri tidak bersetuju dengan pandangan suami? (b) Apakah nasihat di Titus 2:4, 5 untuk para isteri?

9 Apakah yang dapat dilakukan jika isteri tidak  bersetuju dengan pandangan suami? Dia harus meluahkan pandangannya dengan hormat. Contohnya, Sara pernah mengatakan sesuatu yang tidak disukai Abraham, tetapi Yehuwa memberitahu Abraham, “Dengarlah cakap Sara.” (Kejadian 21:9-12) Isteri patut menyokong suami selagi keputusan suami tidak melanggar perintah Bible. (Kisah 5:29; Efesus 5:24) Seorang isteri yang baik akan menjaga keluarganya. (Baca Titus 2:4, 5.) Apabila suami dan anak melihat kerja kerasnya, mereka akan lebih menyayangi dan menghormatinya.​—Amsal 31:10, 28.

Mengapakah Sara ialah contoh yang baik untuk isteri?

10. Apakah ajaran Bible tentang perpisahan dan perceraian?

10 Sesetengah pasangan berpisah atau bercerai dengan tergesa-gesa. Tetapi Bible berkata bahawa “seorang isteri tidak patut berpisah dengan suaminya” dan “seorang suami juga tidak patut meninggalkan isterinya.” (1 Korintus 7:10, 11) Dalam keadaan tertentu, suami isteri boleh berpisah, tetapi keputusan itu sangat serius. Bagaimana pula dengan bercerai? Bible berkata bahawa suami isteri boleh bercerai hanya jika salah seorang daripada mereka melakukan hubungan seks dengan orang lain. *​—Matius 19:9.

APA YANG DIINGINI TUHAN DARIPADA IBU BAPA

Yesus ialah contoh yang baik untuk setiap ahli keluarga

11. Apakah keperluan anak-anak yang terpenting?

11 Ibu bapa, luangkanlah seberapa banyak masa yang mungkin bersama anak-anak anda. Mereka memerlukan anda, dan yang penting sekali, mereka perlu belajar tentang Yehuwa daripada anda.​—Ulangan 6:4-9.

12. Bagaimanakah ibu bapa dapat melindungi anak sendiri?

 12 Dunia Syaitan semakin jahat. Sesetengah orang ingin menyakiti anak kita dan bahkan ingin melakukan hal yang tidak senonoh terhadap mereka. Ibu bapa mungkin berasa susah untuk bercakap kepada anak tentang seks, tetapi anak kita perlu diberi amaran tentang penjenayah seks dan diajar cara untuk mengelakkan mereka. Ibu bapa, lindungilah anak-anak anda. *​—1 Petrus 5:8.

13. Apakah cara yang baik untuk mengajar anak?

13 Ibu bapa juga bertanggungjawab mengajar anak untuk berkelakuan baik. Bagaimana? Berilah mereka latihan  dan teguran, tetapi janganlah melayan mereka dengan kejam atau kasar. (Yeremia 30:11) Jadi, janganlah memberi mereka disiplin semasa anda sedang marah, supaya kata-kata anda tidak menusuk hati mereka seperti “tikaman pedang.” (Amsal 12:18) Bantulah mereka memahami sebabnya mereka perlu mendengar cakap anda.​—Efesus 6:4; Ibrani 12:9-11; lihat Penjelasan 30.

APA YANG DIINGINI TUHAN DARIPADA ANAK-ANAK

14, 15. Mengapakah anak-anak harus patuh kepada ibu bapa?

14 Yesus selalu patuh kepada Bapanya bahkan semasa hal itu tidak mudah. (Lukas 22:42; Yohanes 8:28, 29) Yehuwa mahu anak-anak patuh kepada ibu bapa.​—Efesus 6:1-3.

15 Anak-anak, jika anda berasa susah untuk mendengar cakap ibu bapa, ingatlah bahawa kepatuhan anda akan membuat Yehuwa dan ibu bapa anda gembira. *​—Amsal 1:8; 6:20; 23:22-25.

Bagaimanakah orang muda dapat setia kepada Tuhan semasa digoda untuk buat jahat?

16. (a) Bagaimanakah Si Iblis mungkin menggoda orang muda? (b) Mengapakah kita harus memilih kawan yang mengasihi Yehuwa?

16 Si Iblis mungkin menggunakan kawan anda dan orang muda lain untuk menggoda anda. Dia tahu tekanan sebegini sangat susah dilawan. Contohnya, Dina, anak perempuan Yakub, bersahabat dengan orang yang tidak mengasihi Yehuwa. Akibatnya, dia dan keluarganya ditimpa banyak masalah. (Kejadian 34:1, 2) Jika kawan-kawan anda tidak mengasihi Yehuwa, mereka mungkin menggoda anda untuk melakukan sesuatu  yang dibenci Yehuwa. Hal itu akan membuat anda, keluarga anda, dan Tuhan sangat sedih. (Amsal 17:21, 25) Maka, amatlah penting untuk mencari kawan yang mengasihi Yehuwa.​—1 Korintus 15:33.

BINALAH KELUARGA YANG BAHAGIA

17. Apakah tanggungjawab setiap ahli keluarga?

17 Ahli keluarga yang mengikut nasihat Tuhan dapat mengelakkan banyak masalah. Maka, jika anda seorang suami, kasihilah dan sayangilah isteri anda. Jika anda seorang isteri, hormatilah dan taatilah suami anda, dan ikutlah contoh isteri yang digambarkan di Amsal 31:10-31. Jika anda seorang ibu atau bapa, ajarlah anak anda untuk mengasihi Tuhan. (Amsal 22:6) Jika anda seorang bapa, bimbinglah keluarga anda dengan baik. (1 Timotius 3:4, 5; 5:8) Anak-anak, patuhilah ibu bapa anda. (Kolose 3:20) Ingatlah, setiap ahli keluarga akan buat silap. Jadi, tunjukkanlah sikap rendah hati dan minta maaf daripada satu sama lain. Ya, nasihat Yehuwa dalam Bible memang berguna untuk setiap ahli keluarga.

^ per. 10 Untuk maklumat lanjut, lihat muka surat 251-253 dalam buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 12 Untuk maklumat lanjut, lihat Pelajaran 17 dalam siri video Jadilah Sahabat Yehuwa yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 15 Seorang anak tidak perlu mematuhi ibu bapanya jika mereka menyuruhnya buat sesuatu yang melanggar hukum Tuhan.​—Kisah 5:29.