Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 8

Apakah Itu Kerajaan Tuhan?

Apakah Itu Kerajaan Tuhan?

1. Doa apakah yang akan kita bincang?

JUTAAN orang tahu Doa Bapa Kami. Itulah doa yang diajarkan oleh Yesus. Yesus berdoa tentang apa? Mengapakah doa itu penting bagi kita hari ini?

2. Yesus mengajar kita untuk berdoa tentang apa?

2 Yesus berkata, “Oleh itu, beginilah caranya kamu harus berdoa: ‘Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan. Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.’” (Baca Matius 6:9-13.) Mengapakah Yesus mengajar kita untuk berdoa tentang tiga perkara itu?​—Lihat Penjelasan 20.

3. Apakah yang akan kita pelajari tentang Kerajaan Tuhan?

3 Kita sudah belajar bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa, dan kita sudah membincangkan kehendak-Nya bagi manusia dan bumi. Tetapi apakah maksud “Datanglah Kerajaan-Mu”? Mari kita belajar apa itu Kerajaan Tuhan, apa yang akan dilakukan Kerajaan itu, dan bagaimana Kerajaan itu akan menyucikan nama Tuhan.

APAKAH ITU KERAJAAN TUHAN?

4. Apakah itu Kerajaan Tuhan, dan siapakah Rajanya?

4 Yehuwa telah menubuhkan sebuah kerajaan di syurga dan melantik Yesus sebagai Rajanya. Itulah Kerajaan Tuhan yang disebut dalam Bible. Yesus ialah “Raja atas mereka yang memerintah sebagai raja dan Tuan atas mereka yang memerintah sebagai tuan.”  (1 Timotius 6:15) Yesus dapat melakukan lebih banyak perkara yang baik berbanding mana-mana pemerintah manusia, dan dia lebih berkuasa daripada semua pemerintah manusia.

5. Kerajaan Tuhan terletak di mana dan akan memerintah apa?

5 Empat puluh hari selepas Yesus dibangkitkan, dia kembali ke syurga. Kemudian, Yehuwa melantiknya sebagai Raja Kerajaan Tuhan. (Kisah 2:33) Kerajaan Tuhan terletak di syurga, tetapi akan memerintah bumi. (Wahyu 11:15) Itulah sebabnya Bible memanggil Kerajaan Tuhan sebagai ‘Kerajaan di syurga.’​—2 Timotius 4:18.

6, 7. Mengapakah Yesus lebih baik daripada mana-mana raja manusia?

6 Bible berkata bahawa Yesus lebih baik daripada semua raja manusia sebab “dia sahajalah yang tidak dapat mati.” (1 Timotius 6:16) Semua raja manusia akan mati, tetapi Yesus tidak akan mati. Semua hal baik yang dilakukan Yesus akan kekal selama-lamanya.

7 Bible juga berkata bahawa Yesus akan menjadi Raja yang adil dan berbelas kasihan. “Kuasa suci Yehuwa akan menyertainya dan memberinya kekuatan. Kuasa suci Tuhan akan memberinya kebijaksanaan, pengertian, dan pengetahuan. Kuasa suci Tuhan akan membolehkannya memberikan nasihat yang baik dan mendorongnya untuk menghormati Yehuwa. Dia suka mentaati Yehuwa. Dia tidak menghakimi orang berdasarkan apa yang dilihatnya, dan dia tidak menegur orang berdasarkan apa yang didengarnya. Dia akan menghakimi orang yang berkedudukan rendah dengan  adil.” (Yesaya 11:2-4) Adakah anda suka raja begitu?

8. Bagaimanakah kita tahu bahawa ada orang lain yang akan menjadi raja bersama Yesus?

8 Tuhan telah memilih sekumpulan manusia untuk memerintah bersama Yesus di syurga. Contohnya, Rasul Paulus memberitahu Timotius, “Jika kita terus bertabah, kita juga akan memerintah sebagai raja bersamanya.” (2 Timotius 2:12) Berapakah jumlah orang yang akan menjadi raja bersama Yesus?

9. Berapakah jumlah orang yang akan menjadi raja bersama Yesus? Bilakah Tuhan mula memilih mereka?

9 Dalam Bab 7, kita belajar bahawa dalam suatu penglihatan, Rasul Yohanes nampak Yesus bersama 144,000 raja yang lain di syurga. Siapakah mereka? Yohanes menjelaskan bahawa “pada dahi mereka tertulis nama [Yesus] dan nama Bapanya.” Dia juga berkata, “Merekalah orang yang terus mengikuti Anak Bebiri [iaitu, Yesus] tidak kira ke mana sahaja dia pergi. Merekalah yang dibeli daripada kalangan umat manusia.” (Baca Wahyu 14:1, 4.) Ya, 144,000 raja itu ialah orang Kristian yang setia, yang dipilih oleh Tuhan untuk “memerintah sebagai raja atas bumi” bersama Yesus. Apabila mereka mati, mereka akan dibangkitkan ke syurga. (Wahyu 5:10) Sejak zaman para rasul, Yehuwa mula memilih orang Kristian yang setia untuk membentuk 144,000 raja itu.

10. Mengapakah Yehuwa memilih Yesus dan 144,000 raja untuk memerintah manusia? Jelaskan.

10 Yehuwa sangat mengambil berat tentang kita. Itulah sebabnya Dia memilih manusia untuk menjadi raja bersama Yesus. Yesus ialah raja yang baik kerana dia  memahami masalah kita. Dia pernah menjadi manusia dan hidup susah. Paulus berkata bahawa Yesus “dapat bersimpati terhadap kelemahan kita” dan dia “telah diuji dalam segala hal seperti kita.” (Ibrani 4:15; 5:8) Mereka yang menjadi raja bersama Yesus juga tahu betapa susahnya hidup sebagai manusia yang tidak sempurna, dan mereka tahu rasanya jatuh sakit. Maka, kita yakin bahawa Yesus dan 144,000 raja itu bukan sahaja memahami perasaan kita, malah pernah mengalami masalah yang kita hadapi.

APAKAH YANG AKAN DILAKUKAN KERAJAAN TUHAN?

11. Mengapakah Yesus mengajar murid-muridnya berdoa agar kehendak Tuhan terlaksana di syurga?

11 Yesus mengajar murid-muridnya berdoa agar kehendak Tuhan terlaksana di syurga. Mengapa? Dalam Bab 3, kita belajar bahawa Syaitan Si Iblis memberontak melawan Yehuwa. Selepas Syaitan memberontak, dia dan malaikat jahat lain masih dibenarkan tinggal di syurga untuk seketika. Jadi, bukan semua makhluk di syurga melakukan kehendak Tuhan. Dalam Bab 10, kita akan belajar lebih banyak tentang Syaitan dan roh-roh jahat.

12. Apakah dua peristiwa penting yang disebut di Wahyu 12:10?

12 Bible menjelaskan bahawa tidak lama selepas Yesus menjadi Raja, dia akan berperang melawan Syaitan. (Baca Wahyu 12:7-10.) Ayat 10 menyebut dua peristiwa penting: Kerajaan Tuhan mula memerintah apabila Yesus Kristus menjadi Raja, dan Syaitan dibuang dari syurga ke bumi. Kita akan melihat bukti bahawa dua peristiwa itu sudah berlaku.

13. Apakah keadaan di syurga selepas Syaitan dihalau?

 13 Malaikat yang baik sangat gembira selepas Syaitan dan roh-roh jahat dihalau dari syurga. Bible berkata, “Bersukacitalah hai syurga dan kamu yang tinggal di syurga!” (Wahyu 12:12) Sekarang syurga sudah aman, kerana semua makhluk di situ melakukan kehendak Tuhan dengan bersatu padu.

Sejak Syaitan dan roh-roh jahat dihalau dari syurga, bumi ada lebih banyak masalah, tetapi masalah itu akan berakhir tidak lama lagi

14. Selepas Syaitan dihalau dari syurga, apakah yang berlaku di bumi?

14 Tetapi keadaan bumi menjadi sangat teruk. “Iblis sudah turun,” dan dia sangat marah “kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.” (Wahyu 12:12) Ya, Syaitan sudah dihalau dari syurga dan akan dimusnahkan tidak lama lagi. Jadi dia mengamuk dan menimbulkan bermacam-macam masalah, kesusahan, dan penderitaan di seluruh bumi.

15. Apakah kehendak Tuhan bagi bumi?

15 Namun, kehendak Tuhan bagi bumi tidak berubah. Dia masih mahu manusia yang sempurna hidup selama-lamanya di bumi firdaus. (Mazmur 37:29) Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak itu?

16, 17. Apakah yang diajarkan Daniel 2:44 tentang Kerajaan Tuhan?

16 Daniel 2:44 berkata, “Pada zaman raja-raja itu, Tuhan di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang tidak dapat dimusnahkan. Kerajaan ini tidak akan diserahkan kepada bangsa lain. Kerajaan ini akan meremukkan dan mengakhiri semua kerajaan itu. Hanya kerajaan ini yang akan kekal buat selama-lamanya.” Apakah yang kita pelajari tentang Kerajaan Tuhan daripada ayat ini?

17 Pertama, Kerajaan Tuhan akan mula memerintah  “pada zaman raja-raja itu,” iaitu semasa kerajaan lain di bumi masih wujud. Kedua, Kerajaan Tuhan akan kekal selama-lamanya dan tidak digantikan oleh kerajaan lain. Ketiga, Kerajaan Tuhan akan berperang melawan kerajaan di bumi. Kerajaan Tuhan akan menang dan menjadi satu-satunya kerajaan yang memerintah bumi. Ketika itu, manusia akan hidup di bawah pemerintahan yang terbaik.

18. Apakah nama perang antara Kerajaan Tuhan dengan kerajaan di bumi?

18 Apakah yang akan berlaku sebelum Kerajaan Tuhan memerintah seluruh bumi? Roh-roh jahat akan menyesatkan “raja-raja di seluruh bumi lalu mengumpulkan mereka untuk perang yang akan tercetus pada hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa,” yang dipanggil perang Armagedon. Ya, kerajaan manusia akan melawan Kerajaan Tuhan.​—Wahyu 16:14, 16; lihat Penjelasan 10.

19, 20. Mengapakah kita memerlukan Kerajaan Tuhan?

19 Mengapakah kita memerlukan Kerajaan Tuhan? Ada tiga sebab. Pertama, kita berdosa, jadi kita akan jatuh sakit dan mati. Tetapi Bible menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan akan membantu kita hidup selama-lamanya. Yohanes 3:16 berkata, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.”

20 Kedua, dunia ini penuh dengan penipu dan orang jahat. Kita tidak dapat menghalang mereka, tetapi Tuhan dapat melakukannya. Orang jahat yang tidak mahu bertaubat akan dihapuskan semasa Armagedon. (Baca Mazmur 37:10.) Ketiga, kerajaan manusia  lemah, kejam, atau tamak. Mereka tidak membantu orang untuk mentaati Tuhan. Bible berkata bahawa “manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.”​—Pengkhutbah 8:9.

21. Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak Tuhan di bumi?

21 Selepas Armagedon, Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak Tuhan di bumi. Syaitan dan roh-roh jahat akan dikurung. (Wahyu 20:1-3) Tiada orang yang akan jatuh sakit atau mati. Dengan adanya tebusan, semua orang yang setia dapat hidup selama-lamanya di Firdaus. (Wahyu 22:1-3) Kerajaan Tuhan juga akan menyucikan nama Tuhan. Maksudnya, semasa Kerajaan itu memerintah bumi, semua manusia akan menghormati nama Yehuwa.​—Lihat Penjelasan 21.

BILAKAH YESUS MENJADI RAJA?

22. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus tidak menjadi Raja semasa di bumi atau sebaik sahaja dia dibangkitkan?

22 Yesus mengajar murid-muridnya untuk berdoa, “Datanglah Kerajaan-Mu.” Jelaslah, pada masa itu, Kerajaan Tuhan belum datang dan Yesus belum menjadi Raja. Hal itu akan berlaku pada masa depan. Namun,  adakah Yesus segera menjadi Raja selepas dia pulang ke syurga? Tidak. Dia perlu menunggu. Selepas Yesus dibangkitkan, Petrus dan Paulus berkata bahawa nubuat di Mazmur 110:1 adalah tentang Yesus. Dalam nubuat itu, Yehuwa berkata, “Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.” (Kisah 2:32-35; Ibrani 10:12, 13) Jadi, Yesus perlu menunggu berapa lama untuk menjadi Raja?

Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak Tuhan di bumi

23. (a) Bilakah Yesus menjadi Raja? (b) Apakah yang akan kita pelajari dalam bab seterusnya?

23 Lama sebelum tahun 1914, sekumpulan orang Kristian memahami bahawa tahun 1914 sangat penting dalam nubuat Bible. Hal yang berlaku di bumi sejak tahun itu membuktikan bahawa pemahaman mereka betul. Pada tahun itulah Yesus menjadi Raja. (Mazmur 110:2) Tidak lama selepas itu, Syaitan dibuang ke bumi, dan kini “masanya tinggal sedikit.” (Wahyu 12:12) Dalam bab seterusnya, kita akan melihat lebih banyak bukti bahawa sekaranglah masa yang dipanggil “hari-hari terakhir.” Kita juga akan belajar bahawa tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak Tuhan di bumi.​—Lihat Penjelasan 22.