Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 2

Bible​—Sebuah Buku daripada Tuhan

Bible​—Sebuah Buku daripada Tuhan

1, 2. Mengapakah Bible ialah hadiah yang istimewa daripada Tuhan?

APAKAH perasaan anda semasa menerima hadiah daripada kawan anda? Anda pasti sangat gembira dan tidak sabar-sabar untuk membuka hadiah itu. Anda juga berterima kasih kepada kawan yang murah hati itu.

2 Bible ialah hadiah daripada Tuhan. Buku ini mengandungi maklumat yang tidak dapat dijumpai di tempat lain. Contohnya, Bible memberitahu kita bahawa Tuhan menciptakan langit, bumi, dan pasangan manusia yang pertama. Prinsip atau nasihat dalam Bible dapat membantu kita mengatasi masalah. Bible juga menjelaskan bagaimana Tuhan akan menjadikan bumi ini tempat yang lebih baik. Bible memang hadiah yang istimewa!

3. Apakah yang akan anda pelajari semasa mengkaji Bible?

3 Semasa mengkaji Bible, anda akan belajar bahawa Tuhan mahu anda menjadi sahabat-Nya. Apabila anda semakin mengenali Tuhan, anda akan semakin rapat dengan-Nya.

4. Apakah yang membuat anda kagum dengan Bible?

4 Bible diterjemahkan kepada lebih daripada 3,000 bahasa, dan berbilion-bilion naskhah Bible telah dicetak. Lebih daripada 90 peratus penduduk bumi dapat membaca Bible dalam bahasa sendiri. Setiap minggu,  lebih daripada sejuta orang mendapat sebuah Bible! Ya, Bible ialah buku yang paling istimewa.

5. Mengapakah kita berkata bahawa Bible “diilhami oleh Tuhan”?

5 Bible “diilhami oleh Tuhan.” (Baca 2 Timotius 3:16.) Namun ada yang berfikir, “Bible ditulis oleh manusia, jadi bagaimana mungkin Bible datang daripada Tuhan?” Bible menjelaskan, “Manusia mengatakan apa yang berasal daripada Tuhan seraya mereka didorong [atau dibimbing] oleh kuasa suci-Nya.” (2 Petrus 1:21) Bayangkan seorang bos yang menyuruh keraninya menulis sepucuk surat. Walaupun surat itu ditulis oleh kerani, isinya adalah daripada bos. Begitu juga, walaupun Bible ditulis oleh manusia, Tuhan  ialah Pengarang Bible kerana isinya datang daripada Tuhan dan merupakan “perkhabaran Tuhan.”​—1 Tesalonika 2:13; lihat Penjelasan 2.

Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu tersedia dalam banyak bahasa

MAKLUMAT YANG TEPAT

6, 7. Apakah bukti bahawa maklumat Bible tidak bercanggah?

6 Lebih daripada 1,600 tahun telah digunakan untuk menulis Bible. Orang yang menulis Bible hidup pada zaman yang berbeza. Ada antara mereka yang berpendidikan tinggi manakala yang lain tidak. Salah seorang penulis Bible ialah doktor. Yang lain pula ialah pekebun, nelayan, gembala, nabi, hakim, atau raja. Walaupun latar belakang mereka berbeza-beza, jalan cerita dalam seluruh Bible tidak bercanggah. *

7 Bahagian depan Bible menjelaskan bagaimana masalah manusia bermula, dan bahagian akhir Bible memberitahu kita bagaimana Tuhan akan melenyapkan semua masalah itu dan menjadikan bumi ini firdaus. Bible menceritakan sejarah manusia selama ribuan tahun dan menunjukkan bahawa tujuan Tuhan pasti berjaya.

8. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa Bible tepat dari segi sains.

8 Bible tidak ditulis sebagai buku teks sekolah atau rujukan sains, tetapi maklumatnya selalu tepat. Buku daripada Tuhan harus sentiasa tepat, bukan? Contohnya, buku Imamat mengandungi arahan Tuhan kepada orang Israel tentang cara mencegah penyakit daripada merebak. Arahan itu ditulis lama sebelum orang  mengetahui kaitan antara penyakit dengan kuman dan virus. Bible juga menyatakan bahawa bumi tidak digantung pada apa-apa. (Ayub 26:7) Orang zaman dulu percaya bahawa bumi itu rata, tetapi awal-awal lagi, Bible sudah berkata bahawa bumi berbentuk bulat.​—Yesaya 40:22.

9. Kejujuran penulis Bible membuktikan apa?

9 Catatan sejarah dalam Bible juga selalu tepat. Banyak buku sejarah kurang tepat kerana penulisnya tidak jujur. Kadang-kadang, mereka tidak menulis tentang kekalahan bangsa mereka. Namun, penulis Bible sangat jujur. Mereka menceritakan kekalahan orang Israel dan kesilapan sendiri. Contohnya, Musa, penulis buku Bilangan, mencatatkan kesilapan besar yang dilakukannya dan bagaimana Tuhan menghukumnya. (Bilangan 20:2-12) Kejujuran penulis Bible ialah bukti bahawa buku ini memang daripada Tuhan dan dapat dipercayai.

BANYAK NASIHAT YANG BERGUNA

10. Mengapakah nasihat Bible berguna bagi kita hari ini?

10 Bible “diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan segala sesuatu.” (2 Timotius 3:16) Ya, nasihat Bible masih berguna hari ini. Yehuwa mengetahui cara kita diciptakan, jadi Dia memahami perasaan dan fikiran kita. Dia lebih mengenali kita daripada kita mengenali diri sendiri, dan Dia ingin kita bahagia. Dia tahu apa yang baik dan yang tidak baik bagi kita.

11, 12. (a) Apakah nasihat Yesus dalam Matius bab 5 hingga 7? (b) Apakah nasihat lain dalam Bible?

11 Dalam Matius bab 5 hingga 7, Yesus memberi  kita nasihat yang sangat bagus tentang cara untuk hidup bahagia, cara menjalin hubungan baik dengan orang lain, cara berdoa, dan sikap yang betul tentang wang. Nasihat itu diberikan 2,000 tahun lalu, tetapi masih amat berguna hari ini.

12 Melalui Bible, Yehuwa memberi kita prinsip atau nasihat yang dapat membantu kita membina keluarga yang lebih bahagia, menjadi pekerja yang lebih baik, dan hidup damai dengan orang lain. Nasihat Bible sesuai untuk semua lapisan masyarakat, semua bangsa, dan berguna untuk menyelesaikan pelbagai masalah.​—Baca Yesaya 48:17; lihat Penjelasan 3.

BIBLE MERAMALKAN MASA DEPAN DENGAN TEPAT

Penulis Bible, Yesaya, menubuatkan bahawa kota Babilon akan musnah

13. Apakah yang dikatakan Yesaya tentang kota Babilon?

13 Banyak nubuat Bible telah menjadi kenyataan. Contohnya, Yesaya menubuatkan bahawa kota Babilon akan musnah. (Yesaya 13:19) Bukan itu sahaja, dia menjelaskan bagaimana hal itu akan berlaku. Kota Babilon ada sungai dan pintu yang besar sebagai pertahanan, tetapi Yesaya menubuatkan bahawa sungai itu akan menjadi kering dan pintu kota akan dibiarkan terbuka. Dia menulis bahawa musuh akan menawan kota itu tanpa berperang, dan bahkan menyatakan bahawa seorang yang bernama Kores akan menawan Babilon.​—Baca Yesaya 44:27–45:2; lihat Penjelasan 4.

14, 15. Bagaimanakah nubuat Yesaya menjadi kenyataan?

14 Kira-kira 200 tahun kemudian, satu pasukan tentera datang untuk menyerang kota Babilon. Siapakah ketua angkatan tentera itu? Seorang raja Persia yang  bernama Kores. Namun, adakah Babilon akan jatuh seperti yang dinubuatkan Yesaya?

15 Pada malam Babilon ditawan, penduduknya sedang berpesta. Mereka berasa selamat kerana ada perlindungan tembok dan sungai. Di luar kota pula, Kores dan tenteranya menyalurkan air sungai ke tempat  lain, dan paras air pun menurun sehingga askar Persia dapat berjalan ke seberang dengan mudah. Tetapi bagaimana pula dengan tembok kota Babilon? Seperti yang dinubuatkan, pintu kota dibiarkan terbuka, jadi para askar telah menakluki kota itu tanpa berperang.

16. (a) Apakah yang dikatakan Yesaya tentang masa depan Babilon? (b) Adakah kata-katanya terjadi?

16 Yesaya juga menulis, “Babilon tidak akan didiami untuk selama-lamanya; tiada sesiapa pun yang akan tinggal di negeri itu lagi.” (Yesaya 13:20) Adakah hal itu terjadi? Hari ini, lokasi asal kota Babilon terletak kira-kira 80 km ke selatan Baghdad, Iraq. Sampai sekarang, tempat itu hanya tinggal runtuhan dan tiada orang yang tinggal di situ. Ya, Yehuwa telah “membinasakannya sama sekali.”​—Yesaya 14:22, 23.

Runtuhan kota Babilon

17. Mengapakah kita dapat mempercayai semua janji Tuhan?

17 Banyak nubuat Bible sudah terjadi. Maksudnya, apa yang dikatakan Bible tentang masa depan dapat dipercayai. Yehuwa pasti akan menunaikan janji-Nya  dan menjadikan bumi ini firdaus. (Baca Bilangan 23:19.) Ya, kita mempunyai harapan “kehidupan kekal yang dijanjikan sejak dahulu lagi oleh Tuhan yang tidak dapat berdusta.”​—Titus 1:2. *

BIBLE DAPAT MENGUBAH HIDUP ANDA

18. Apakah yang dikatakan Paulus mengenai “Firman Tuhan”?

18 Setakat ini, kita sudah melihat bahawa Bible sangat istimewa. Catatannya tidak bercanggah dan selalu tepat dari segi sains dan sejarah. Bible juga mempunyai nasihat yang baik dan banyak nubuat yang sudah berlaku. Tetapi Bible ada satu lagi keistimewaan. Rasul Paulus menulis, ‘Firman Tuhan itu hidup dan berkuasa.’ Apakah maksudnya?​—Baca Ibrani 4:12.

19, 20. (a) Bagaimanakah Bible dapat membantu anda untuk mengenali diri? (b) Jika anda menghargai Bible, apakah yang akan anda lakukan?

19 Bible dapat mengubah hidup anda. Melalui Bible, anda dapat mengenali diri anda yang sebenar, dan mengetahui fikiran dan perasaan anda yang terpendam. Contohnya, kita mungkin rasa kita mengasihi Tuhan. Tetapi untuk membuktikannya, kita mesti hidup mengikut ajaran Bible.

20 Bible memang kurniaan daripada Tuhan. Dia mahu anda membacanya, mengkajinya, dan mencintainya. Hargailah Bible dan teruslah mengkajinya. Dengan itu, anda akan mengetahui tujuan Tuhan bagi manusia. Bab seterusnya akan membincangkan hal itu.

^ per. 6 Ada orang berkata bahawa maklumat Bible bercanggah, tetapi hal itu tidak benar. Lihat halaman 3 dan 31 dalam brosur Bible​—Apakah Mesejnya? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 17 Kemusnahan Babilon hanyalah salah satu nubuat Bible yang menjadi kenyataan. Anda dapat membaca nubuat tentang Yesus Kristus di Penjelasan 5.