Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAHAGIAN 22

Para Rasul Menyebarkan Berita Baik Tanpa Rasa Gentar

Para Rasul Menyebarkan Berita Baik Tanpa Rasa Gentar

Sidang Kristian mengalami pertambahan yang pesat meskipun menghadapi penganiayaan

SEPULUH hari selepas Yesus naik ke syurga, kira-kira 120 orang pengikutnya telah berkumpul dalam sebuah rumah di Yerusalem. Pada masa itu, orang Yahudi sedang menyambut Perayaan Pentakosta, 33 M. Tiba-tiba, rumah itu dipenuhi dengan bunyi seperti tiupan angin yang kencang. Secara mukjizat, pengikut-pengikut Yesus mula bertutur dalam bahasa-bahasa yang tidak diketahui oleh mereka. Mengapakah kejadian-kejadian yang aneh ini berlaku? Tuhan telah memberikan daya aktif-Nya kepada murid-murid Yesus.

Terdapat ramai orang di luar rumah itu kerana mereka merupakan pelawat yang datang dari negeri-negeri lain untuk menyambut Perayaan Pentakosta. Mereka kagum mendengar bahasa-bahasa mereka dituturkan dengan fasih oleh pengikut Yesus. Petrus menjelaskan apa yang sedang berlaku. Dia merujuk kepada nubuat Yoel yang telah menyatakan bahawa Tuhan “akan mencurahkan” daya aktif-Nya. Penerima daya aktif ini akan diberikan kurnia-kurnia mukjizat. (Yoel 2:28, 29) Pencurahan daya ini jelas menunjukkan bahawa perubahan yang penting telah berlaku: Perkenan Tuhan telah dipindahkan daripada umat Israel kepada sidang Kristian yang baru ditubuhkan. Sekarang, mereka yang ingin menjadi penyembah sejati Tuhan harus menjadi pengikut Kristus.

Sementara itu, penentangan daripada musuh-musuh bertambah hebat, dan murid-murid Yesus dipenjarakan. Tetapi, pada waktu malam, malaikat Tuhan telah membuka pintu penjara dan mengarahkan murid-murid Yesus untuk terus menjalankan kerja penyebaran. Apabila fajar menyingsing, mereka telah berbuat seperti yang disuruh. Mereka memasuki Rumah Tuhan dan mula mengajar orang mengenai berita baik tentang Yesus. Penentang-penentang mereka menjadi sangat marah dan mengarahkan mereka untuk menghentikan kerja penyebaran mereka. Tanpa rasa gentar, rasul-rasul Yesus menjawab, “Kami harus taat kepada [Tuhan] dan bukan kepada manusia.”Kisah 5:28, 29.

Penganiayaan terhadap sidang Kristian bertambah teruk. Beberapa orang Yahudi membuat tuduhan bahawa Stefanus telah menghina Tuhan. Oleh itu, dia direjam dengan batu sehingga mati. Seorang pemuda yang bernama Saulus dari kota Tarsus telah menyaksikan pembunuhan Stefanus dengan rasa puas hati. Selepas itu, Saulus telah pergi ke Damsyik untuk menangkap sesiapa sahaja yang mengikut Kristus. Dalam perjalanannya, cahaya dari syurga telah memancar di sekelilingnya dan suatu suara berkata, “Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya aku?” Disebabkan cahaya yang terang itu, Saulus tidak dapat melihat. Maka, Saulus bertanya, “Siapakah tuan?” Suara itu menjawab, “Aku Yesus.”Kisah 9:3-5.

Tiga hari kemudian, Yesus menghantar seorang murid yang bernama Ananias untuk memulihkan penglihatan Saulus. Saulus dibaptiskan dan mula menyebarkan berita baik tentang Yesus dengan berani. Saulus mula dikenali sebagai Rasul Paulus dan dia menjadi seorang anggota sidang Kristian yang mempunyai semangat yang membara.

Setakat ini, murid-murid Yesus menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan kepada orang Yahudi dan orang Samaria sahaja. Sekarang, satu malaikat menampakkan diri kepada Kornelius, seorang pegawai tentera Roma yang takut akan Tuhan, dan mengarahkannya untuk menjemput Rasul Petrus ke rumahnya. Petrus bersama beberapa orang kawannya menyebarkan berita baik kepada Kornelius dan seisi rumah tangganya. Semasa Petrus sedang bercakap, daya aktif Tuhan telah dicurahkan ke atas mereka walaupun mereka bukan orang Yahudi. Rasul Petrus mengarahkan supaya mereka dibaptiskan demi nama Yesus. Kini, jalan kepada kehidupan abadi terbuka kepada semua bangsa. Inilah titik permulaan bagi penyebaran berita baik tentang Kerajaan Tuhan ke merata-rata oleh sidang Kristian.

—Berdasarkan Kisah 1:1–11:21.