Melalui mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, dia menunjukkan bagaimana dia akan menggunakan kuasanya apabila dia memerintah sebagai Raja

TUHAN memberikan kuasa kepada Yesus untuk melakukan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh manusia. Yesus melakukan banyak mukjizat dan kebanyakan mukjizat yang dilakukannya disaksikan oleh orang ramai. Mukjizat-mukjizat yang dilakukannya menunjukkan bahawa Yesus mempunyai kuasa ke atas musuh-musuh dan rintangan-rintangan yang tidak dapat dilenyapkan oleh manusia yang tidak sempurna. Mari kita lihat beberapa contoh.

Kelaparan. Bagi mukjizat pertama yang dilakukan oleh Yesus, dia menukarkan air menjadi wain yang berkualiti tinggi. Pada dua kesempatan yang lain, dia memberikan makanan kepada ribuan orang yang lapar dengan hanya berbekalkan beberapa buku roti dan beberapa ekor ikan. Semua orang mendapat makanan yang berlimpah-limpah.

Penyakit. Yesus menyembuhkan “orang sakit yang menderita berbagai-bagai penyakit.” (Matius 4:23) Dia menyembuhkan orang yang buta, pekak, berpenyakit kusta, dan berpenyakit sawan. Dia juga menyembuhkan mereka yang tempang, lumpuh, dan cacat. Tidak ada sebarang penyakit yang mustahil disembuhkannya.

Cuaca yang berbahaya. Semasa Yesus dan pengikut-pengikutnya berlayar melintasi Tasik Galilea, sebuah ribut yang kencang melanda. Murid-murid Yesus berasa sangat takut. Tetapi, Yesus hanya memandang ke arah ribut itu dan berkata, “Diam! Tenanglah!” Dengan itu, keadaan cuaca menjadi sangat tenang. (Markus 4:37-39) Pada suatu peristiwa yang lain, dia berjalan di atas air semasa sebuah ribut yang mengerikan melanda.Matius 14:24-33.

Roh-roh jahat. Roh-roh jahat jauh lebih berkuasa daripada manusia. Kebanyakan manusia terbukti tidak terdaya untuk membebaskan diri daripada belenggu musuh-musuh yang ganas ini. Namun, berkali-kali apabila Yesus mengarahkan roh-roh sebegini untuk meninggalkan mangsa mereka, roh-roh ini tidak dapat menguasai mereka lagi. Yesus tidak takut akan roh-roh jahat itu. Sebaliknya, mereka tahu akan kewibawaannya dan hal itu menggerunkan mereka.

Kematian. Dengan tepatnya, kematian dipanggil “musuh yang terakhir” kerana kematian merupakan musuh yang tidak dapat ditewaskan oleh manusia. (1 Korintus 15:26) Namun, Yesus telah membangkitkan orang yang telah mati. Contohnya, dia mengembalikan seorang pemuda kepada ibunya yang merupakan seorang balu, dan seorang gadis kepada ibu bapanya yang bersedih atas kematian anak mereka. Dalam suatu peristiwa yang sangat menakjubkan, Yesus telah membangkitkan kawan baiknya, iaitu Lazarus, walaupun Lazarus sudah meninggal selama hampir empat hari! Dia melakukan mukjizat ini di hadapan sekumpulan orang yang sedang bersedih. Musuh-musuh Yesus yang paling ketat pun terpaksa mengaku bahawa Yesus telah melakukan mukjizat ini.Yohanes 11:38-48; 12:9-11.

Mengapakah Yesus melakukan mukjizat-mukjizat ini? Bukankah mereka yang dibantu oleh Yesus akhirnya mati juga? Ya. Tetapi mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus membawa kebaikan yang berkekalan. Mukjizat-mukjizat ini menyediakan bukti yang tidak tergoyah tentang kebenaran semua nubuat berkenaan pemerintahan Raja Mesias. Kita tidak perlu sangsi jika Raja yang dilantik oleh Tuhan dapat membanteras kelaparan, penyakit, cuaca yang berbahaya, roh-roh jahat, mahupun kematian. Dia memperlihatkan bahawa Tuhan telah mengurniainya dengan kuasa-kuasa tersebut.

Berdasarkan buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes.