Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAHAGIAN 9

Orang Israel Menuntut Seorang Raja

Orang Israel Menuntut Seorang Raja

Saul, raja Israel yang pertama, tidak mentaati Yehuwa. Dia digantikan oleh Daud, dan Tuhan membuat sebuah perjanjian dengan Daud untuk memberinya sebuah kerajaan yang akan kekal untuk selama-lamanya

SELEPAS zaman Simson, Samuel berkhidmat sebagai seorang nabi dan hakim di Israel. Orang Israel berulang kali memberitahu Samuel bahawa mereka mahu menjadi seperti bangsa-bangsa lain yang mempunyai seorang pemerintah manusia. Walaupun permintaan ini menghina Yehuwa, Dia tetap menyuruh Samuel untuk menurut kemahuan mereka. Tuhan melantik Saul, seorang lelaki yang rendah hati, untuk menjadi raja. Tetapi, lama-kelamaan, Saul menjadi angkuh dan tidak taat kepada Yehuwa. Yehuwa menolaknya sebagai raja, dan menyuruh Samuel melantik seorang pemuda yang bernama Daud untuk menggantikan Saul. Walau bagaimanapun, bertahun-tahun akan berlalu sebelum Daud memerintah sebagai raja.

Mungkin semasa Daud masih seorang remaja, dia telah melawat abang-abangnya yang berkhidmat dalam tentera Saul. Seorang askar gergasi yang bernama Goliat menggerunkan seluruh angkatan tentera Saul. Tanpa henti-henti, Goliat bukan sahaja mencemuh mereka malah mencemuh Tuhan mereka. Hal ini menimbulkan kemarahan Daud. Maka, dia menyahut cabaran gergasi itu untuk bertarung. Dengan hanya bersenjatakan seutas ali-ali dan beberapa biji batu, pemuda ini menghadap lawannya, Goliat, yang tingginya hampir tiga meter. Apabila Goliat mentertawakannya, Daud menjawab bahawa dia dilengkapi dengan “senjata” yang lebih baik kerana dia datang demi nama Tuhannya, Yehuwa! Daud membunuh Goliat dengan hanya menggunakan sebiji batu. Kemudian, dia memenggal kepala gergasi itu dengan menggunakan pedang Goliat. Askar-askar Filistin lari bertempiaran kerana takut.

Pada mulanya, Saul mengagumi keberanian Daud lalu melantik pemuda tersebut untuk memimpin angkatan tenteranya. Tetapi, kejayaan-kejayaan yang diraih oleh Daud menyebabkan Saul berdengki terhadapnya. Daud terpaksa melarikan diri dan hidup sebagai seorang pelarian selama bertahun-tahun. Biarpun Raja Saul mencuba membunuh Daud, Daud tetap setia kepada Saul kerana dia sedar bahawa Raja Saul telah dilantik oleh Tuhan Yehuwa. Akhirnya, Saul mati dalam pertempuran. Tidak lama kemudian, seperti yang telah dijanjikan oleh Yehuwa, Daud menjadi raja.

“Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang keturunannya akan memerintah sebagai raja.”2 Samuel 7:13

Sebagai raja, Daud berhasrat untuk membina Rumah Yehuwa. Tetapi, Yehuwa memberitahu Daud bahawa salah seorang keturunannya akan berbuat demikian. Orang yang dimaksudkan itu merupakan anak Daud, iaitu Salomo. Namun, Tuhan telah memberkati Daud dengan membuat sebuah perjanjian dengannya: Jurai keturunannya akan menghasilkan dinasti diraja yang unik yang akhirnya akan menghasilkan seorang Penyelamat, atau Benih, seperti yang telah dijanjikan di Taman Eden. Individu ini akan menjadi Mesias yang dilantik Tuhan. Mesias membawa maksud “Dia Yang Terurap.” Yehuwa berjanji bahawa Mesias akan menjadi Pemerintah Kerajaan yang akan kekal untuk selama-lamanya.

Kesyukuran Daud kepada Tuhan mendorongnya untuk mengumpulkan bahan binaan dan logam yang mahal dalam kuantiti yang besar untuk projek pembinaan Rumah Tuhan. Dia juga mendapat ilham untuk menggubah banyak mazmur. Pada penghujung hayatnya, Daud mengaku, “Roh [Yehuwa] berfirman melalui aku; firman-Nya ada pada bibirku.”2 Samuel 23:2.

Berdasarkan 1 Samuel; 2 Samuel; 1 Tawarikh; Yesaya 9:6; Matius 21:9; Lukas 1:32; Yohanes 7:42.