Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAHAGIAN 23

Berita Baik Tersebar

Berita Baik Tersebar

Paulus mengembara mengharungi darat dan laut untuk menjalankan kerja penyebaran

SELEPAS memeluk agama Kristian, Paulus menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dengan bersungguh-sungguh. Walaupun dahulu dia merupakan seorang penentang kebenaran, sekarang, dia sendiri terpaksa menghadapi tentangan yang hebat. Tanpa mengenal penat lelah, Paulus mengadakan beberapa pengembaraan ke merata-rata untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan kerana Kerajaan Tuhanlah yang akan melaksanakan tujuan asal Tuhan untuk umat manusia.

Di Listra, iaitu semasa pengembaraannya yang pertama, Paulus menyembuhkan seorang lelaki yang lumpuh sejak lahir. Orang ramai mula menjerit dalam suara yang lantang bahawa Paulus dan teman seperjalanannya, Barnabas merupakan tuhan. Paulus dan Barnabas hampir gagal untuk menghalang orang ramai daripada mempersembahkan korban kepada mereka. Tetapi kemudiannya, kumpulan orang ramai ini dipengaruhi oleh musuh-musuh Paulus dan mula merejam Paulus dengan batu sehingga mereka sangka Paulus telah mati. Paulus terselamat daripada serangan tersebut dan kemudiannya dia telah kembali semula ke kota ini untuk menyemarakkan semangat murid-murid Yesus dan menggalakkan mereka.

Sesetengah orang Kristian Yahudi mendakwa bahawa orang Kristian bukan Yahudi mesti taat kepada Hukum Musa. Paulus membawa masalah ini kepada rasul-rasul dan orang tua-tua yang berada di Yerusalem. Selepas mereka mengamati apa yang terkandung dalam Bible, dan dengan bimbingan daya aktif Tuhan, mereka menulis kepada sidang-sidang Kristian dan menasihati mereka untuk menjauhkan diri daripada penyembahan berhala, daripada memakan darah dan daging yang darahnya tidak dicurahkan, dan daripada perbuatan seks yang haram. Perintah-perintah ini “mustahak,” atau wajib diikuti, tetapi hal ini tidak bermaksud mereka mesti mengikut Hukum Musa.Kisah 15:28, 29.

Semasa pengembaraan Paulus yang kedua, Paulus melawat kota Berea, yang sekarang terletak di negara Greece. Orang Yahudi yang tinggal di sana menyambut baik apa yang dikhabarkan olehnya. Mereka malah menyelidiki Bible setiap hari untuk memastikan apa yang diajarkan oleh Paulus adalah benar. Sekali lagi, tentangan daripada orang memaksa dia untuk meneruskan perjalanannya, dan kali ini dia pergi ke Atena. Di hadapan sekumpulan orang Atena yang berpelajaran tinggi, Paulus memberi sebuah ceramah yang sangat berkesan. Ceramahnya itu menjadi teladan yang baik dalam penggunaan bahasa secara mahir dan bijaksana serta penggunaan bahasa yang tidak menyinggung perasaan orang.

Selepas pengembaraan Paulus yang ketiga, dia pergi ke Yerusalem. Apabila Paulus melawat Rumah Tuhan, sesetengah orang Yahudi memulakan rusuhan kerana mereka ingin membunuhnya. Askar Roma telah campur tangan dan membawanya untuk disoal siasat. Oleh sebab dia merupakan warganegara Roma, dia kemudiannya mempertahankan dirinya di hadapan gabenor Roma yang bernama Feliks. Orang Yahudi tidak mempunyai bukti-bukti bagi tuduhan yang telah dilemparkan terhadap Paulus. Untuk menghalang Festus, seorang lagi gabenor Roma, daripada menyerahkannya kepada orang Yahudi, Paulus berkata, “Saya minta diadili oleh Kaisar Roma!” Festus menjawab, “Kerana kamu minta diadili oleh Kaisar Roma, kamu harus pergi menghadap Kaisar.”Kisah 25:11, 12.

Paulus kemudian dihantar ke Italia dengan kapal untuk dibicarakan. Oleh sebab kapal yang dinaikinya terkandas, dia terpaksa tinggal di Pulau Malta sepanjang musim sejuk. Akhirnya, apabila dia tiba di Roma, dia tinggal di sebuah rumah sewa selama dua tahun. Walaupun dia dikawal oleh askar, Rasul Paulus terus menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan kepada semua orang yang datang untuk melawatnya dengan semangat membara.

—Berdasarkan Kisah 11:22–28:31.