FOKUS BAB INI

Umat Tuhan setia kepada Kerajaan-Nya, maka mereka tidak menjadi sebahagian daripada dunia

1, 2. (a) Apakah prinsip yang telah membimbing pengikut Yesus sehingga hari ini? (b) Bagaimanakah musuh-musuh kita mencuba mengalahkan kita, dan adakah mereka berjaya?

SEMASA Yesus berdiri di hadapan Pilatus, iaitu hakim tertinggi bangsa Yahudi, dia menyatakan satu prinsip yang telah membimbing pengikut sejatinya sehingga hari ini: “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.” Yesus juga berkata, “Jika Kerajaanku sebahagian daripada dunia ini, pengikut-pengikutku tentu berjuang supaya aku tidak diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi, Kerajaanku bukanlah dari dunia ini.” (Yoh. 18:36) Pilatus menjatuhkan hukuman mati ke atas Yesus, tetapi kemenangannya hanya sementara kerana Yesus kemudiannya dibangkitkan. Beberapa maharaja Roma mencuba melenyapkan para pengikut Kristus, tetapi usaha mereka gagal sama sekali. Orang Kristian telah menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan “kepada semua ciptaan di bawah langit.”​—Kol. 1:23.

2 Selepas Kerajaan Tuhan diasaskan pada tahun 1914, beberapa negara yang paling kuat dalam sejarah manusia telah mencuba melenyapkan umat Tuhan. Namun, tiada yang berjaya mengalahkan kita. Banyak kerajaan dan kuasa politik mencuba memaksa kita menyokong mereka, tetapi kita tetap bersatu. Hari ini, rakyat Kerajaan Tuhan terdapat di hampir semua negara, tetapi kita memiliki persaudaraan sedunia yang bersatu padu, yang tetap neutral dalam soal politik dunia. Perpaduan kita merupakan bukti yang kukuh bahawa Kerajaan Tuhan sedang memerintah, dan bahawa Raja Yesus Kristus terus membimbing, memurnikan, dan melindungi rakyatnya. Mari kita perhatikan bagaimana dia telah berbuat demikian. Kita juga akan membincangkan beberapa kemenangan mahkamah yang diberikannya kepada kita dalam usaha kita untuk tidak menjadi sebahagian daripada dunia.—Yoh. 17:14.

Satu Isu yang Penting

3, 4. (a) Apakah peristiwa yang berlaku pada masa kelahiran Kerajaan Tuhan? (b) Adakah umat Tuhan memahami isu keneutralan dengan sepenuhnya pada masa itu? Jelaskan.

3 Selepas kelahiran Kerajaan Tuhan, perang tercetus di syurga, lalu Syaitan dilemparkan ke bumi. (Baca Wahyu  12:7-10, 12.) Perang juga tercetus di bumi dan hal itu telah menguji tekad umat Tuhan. Mereka bertekad untuk mengikut teladan Yesus dan tidak menjadi sebahagian daripada dunia. Namun, pada masa itu mereka tidak memahami isu keneutralan dengan sepenuhnya.

4 Sebagai contoh, siri buku Millennial Dawn, Jilid keenam, * yang diterbitkan pada tahun 1904 menggalakkan orang Kristian agar tidak menyertai perang. Namun, buku itu juga menyatakan bahawa jika seseorang Kristian diwajibkan menyertai khidmat tentera, seboleh-bolehnya dia patut bekerja di bahagian yang tidak melibatkan pertempuran. Jika dia terpaksa mengikut barisan pertempuran, dia patut memastikan bahawa dia tidak membunuh orang. Herbert Senior, yang tinggal di Britain dan dibaptis pada tahun 1905, menggambarkan keadaan pada masa itu. Dia berkata, “Saudara saudari sangat keliru kerana tidak diberi arahan yang jelas. Mereka tidak tahu sama ada mereka patut menjadi askar yang hanya melakukan tugas yang tidak melibatkan pertempuran atau tidak.”

5. Bagaimanakah majalah The Watch Tower 1 September 1915 membantu kita mempunyai pemahaman yang lebih jelas?

5 Majalah The Watch Tower terbitan 1 September 1915 membantu kita memahami isu tersebut dengan lebih jelas. Mengenai cadangan yang dinyatakan dalam buku Studies in the Scriptures, majalah itu menyatakan, “Kami tertanya-tanya sama ada menyertai khidmat tentera itu bererti kita melanggar prinsip-prinsip Kristian atau tidak.” Tetapi bagaimana pula jika seorang Kristian ditembak mati kerana enggan memakai baju seragam dan menyertai khidmat tentera? Majalah itu menjelaskan, “Jika kita ditembak mati kerana kita setia kepada Putera Kedamaian dan tidak mahu mengingkarinya, adakah itu lebih buruk daripada ditembak mati semasa berkhidmat untuk raja duniawi, dan memberi orang tanggapan bahawa kita sudah meninggalkan ajaran Raja kita yang di syurga dan berpaling kepada raja duniawi? Jika kita harus memilih, kita memilih untuk mati kerana setia kepada Raja kita yang di syurga.” Meskipun pernyataan itu cukup tegas, majalah itu membuat kesimpulan berikut: “Kami tidak mewajibkan anda untuk mengikut haluan ini. Kami hanya menggalakkan anda untuk berbuat demikian.”

6. Apakah yang telah anda pelajari daripada contoh Saudara Herbert Senior?

6 Sesetengah saudara memahami isu itu dengan jelas dan bersedia menghadapinya. Herbert Senior berkata, “Bagi saya, memunggah peluru dari kapal [khidmat yang tidak melibatkan pertempuran] tiada bezanya dengan memasukkan peluru ke dalam senapang.” (Luk. 16:10) Oleh sebab dia enggan menyertai khidmat tentera kerana hati  nuraninya tidak mengizinkannya berbuat demikian, Saudara Senior dipenjarakan. Dia dan 4 orang saudara lain, serta beberapa orang dari agama lain, tergolong antara 16 orang yang enggan menyertai khidmat tentera atas dasar hati nurani. Mereka dikurung di penjara Richmond, Britain untuk suatu ketika, dan kumpulan ini kemudiannya dikenali sebagai Richmond 16. Pernah sekali, Herbert dan beberapa orang yang enggan menyertai khidmat tentera dihantar ke barisan depan Perancis secara rahsia. Mereka dijatuhkan hukuman tembak mati dan harus menghadap skuad menembak, tetapi mereka tidak dibunuh. Sebaliknya, hukuman mereka diringankan. Mereka dipenjarakan selama 10 tahun.

“Saya telah memahami bahawa umat Tuhan harus berdamai dengan semua orang, meskipun perang sedang berlangsung.”​—Simon Kraker (Lihat perenggan 7)

7. Sebelum Perang Dunia Kedua bermula, apakah yang sudah difahami oleh umat Tuhan?

7 Sebelum Perang Dunia Kedua tercetus, secara keseluruhannya umat Yehuwa telah memahami dengan jelas isu keneutralan dan mengetahui tindakan yang harus diambil jika mereka ingin mengikut teladan Yesus. (Mat. 26:51-53; Yoh. 17:14-16; 1 Ptr. 2:21) Misalnya, The Watchtower terbitan 1 November 1939 mengandungi rencana penting yang bertajuk “Keneutralan.” Rencana itu menyatakan, “Umat Yehuwa mesti berpegang pada perintah ini: Tetap neutral  dan tidak berpihak kepada mana-mana negara yang berperang.” Mengenai rencana itu, Simon Kraker yang kemudiannya berkhidmat di ibu pejabat di Brooklyn, New York, berkata, “Saya telah memahami bahawa umat Tuhan harus berdamai dengan semua orang, meskipun perang sedang berlangsung.” Makanan rohani itu disediakan tepat pada masanya dan telah membantu umat Tuhan bersedia menghadapi serangan besar yang bakal menguji kesetiaan mereka kepada Kerajaan Tuhan.

Penganiayaan yang Berderu seperti “Air Sungai”

8, 9. Bagaimanakah nubuat rasul Yohanes menjadi kenyataan?

8 Rasul Yohanes bernubuat bahawa selepas kelahiran Kerajaan Tuhan pada tahun 1914, Syaitan Si Iblis, naga itu, akan memuntahkan “air sungai” dari mulutnya untuk melenyapkan para penyokong Kerajaan Tuhan. * (Baca Wahyu 12:9, 15.) Bagaimanakah nubuat Yohanes menjadi kenyataan? Mulai tahun 1920-an, penganiayaan yang melanda umat Tuhan telah meningkat secara mendadak. Saudara Kraker telah dipenjarakan kerana dia setia kepada Kerajaan Tuhan. Hal yang sama telah berlaku kepada ramai saudara di Amerika Utara semasa Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, terdapat sebilangan orang yang dikurung di penjara persekutuan di Amerika Syarikat kerana enggan menyertai peperangan, dan lebih daripada dua per tiga antara kumpulan orang itu ialah Saksi-Saksi Yehuwa.

9 Si Iblis dan konco-konconya bertekad untuk mematahkan integriti rakyat Kerajaan Tuhan di merata tempat. Di Afrika, Amerika Syarikat, dan Eropah, umat Tuhan dihadapkan ke mahkamah dan lembaga parol. Oleh sebab mereka berpegang teguh pada pendirian neutral, mereka dipenjarakan, dipukul, dan didera sehingga menjadi cacat. Di Jerman, umat Tuhan menghadapi tekanan yang besar kerana mereka enggan mengucapkan salam Nazi atau terlibat dalam perang. Menurut anggaran, 6,000 orang Saksi telah ditahan di kem penjara semasa zaman pemerintahan Nazi, dan lebih daripada 1,600 orang Saksi berbangsa Jerman dan yang bukan berbangsa Jerman telah diseksa sehingga mati. Biarpun begitu, kesusahan yang didatangkan oleh Si Iblis ke atas umat Tuhan tidak meninggalkan kesan yang berkekalan.​—Mrk. 8:34, 35.

“Bumi” Menelan “Air Sungai”

10. Apakah yang dilambangkan oleh “bumi,” dan bagaimanakah “bumi” telah membantu umat Tuhan?

10 Nubuat yang dicatatkan oleh rasul Yohanes menyatakan bahawa “bumi,” iaitu para penguasa yang bersikap munasabah, akan menelan “air sungai,” iaitu penganiayaan  yang melanda umat Tuhan. Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? Selepas Perang Dunia Kedua, “bumi” sering kali bertindak untuk membantu para penyokong Kerajaan Mesias. (Baca Wahyu 12:16.) Sebagai contoh, beberapa mahkamah yang ternama telah melindungi hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk menolak khidmat tentera dan tidak menyertai upacara kebangsaan. Mari kita perhatikan beberapa kemenangan besar yang diberikan oleh Yehuwa kepada umat-Nya yang berdepan dengan isu khidmat tentera.​—Mzm. 68:21.

11, 12. Apakah isu yang dihadapi oleh Saudara Sicurella dan Saudara Thlimmenos, dan apakah hasilnya?

11 Amerika Syarikat. Anthony Sicurella dan lima orang adik-beradiknya dibesarkan oleh ibu bapa yang merupakan Saksi. Pada usia 15 tahun, dia dibaptis. Semasa dia berusia 21 tahun, dia telah mendaftar diri kepada pihak tentera sebagai penginjil. Dua tahun kemudian pada tahun 1950, dia memohon agar statusnya sebagai “penginjil” ditukar kepada “orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.” Meskipun laporan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak mendapati apa-apa masalah, Jabatan Kehakiman tidak mengiktiraf permohonannya. Selepas beberapa prosiding mahkamah, kes Saudara Sicurella telah dibicarakan di Mahkamah Agung Amerika Syarikat. Mahkamah Agung telah membatalkan keputusan mahkamah rendah dan memberikan keputusan yang berpihak kepada Saudara Sicurella. Dengan adanya keputusan itu, rakyat Amerika Syarikat yang lain dapat menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.

12 Greece. Pada tahun 1983, Iakovos Thlimmenos dijatuhkan hukuman penjara kerana dia enggan mengenakan pakaian seragam tentera. Selepas dia dibebaskan, dia memohon untuk menjadi akauntan, tetapi permohonannya ditolak kerana dia ada rekod jenayah. Dia membawa kes itu ke mahkamah-mahkamah di Greece, tetapi selepas dia kalah dalam kesnya, dia telah memohon kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR). Pada tahun 2000, Grand Chamber atau mahkamah tertinggi ECHR, yang terdiri daripada 17 orang hakim, telah membuat keputusan yang berpihak kepadanya. Keputusan yang menentang diskriminasi (prasangka) itu telah menjadi rujukan bagi kes-kes lain yang akan dibicarakan. Sebelum keputusan itu dibuat, lebih daripada 3,500 orang saudara di Greece mempunyai rekod jenayah kerana mereka pernah dipenjarakan atas pendirian neutral. Selepas ECHR membuat keputusan itu, Greece telah meluluskan sebuah undang-undang yang menghapuskan semua rekod jenayah saudara-saudara tersebut.  Selain itu, beberapa tahun yang lalu, sebuah undang-undang telah diluluskan di Greece yang membolehkan semua rakyatnya melakukan khidmat awam sebagai alternatif kepada khidmat tentera. Undang-undang itu disahkan sekali lagi apabila Perlembagaan Greece dipinda.

“Sebelum memasuki bilik mahkamah, saya berdoa kepada Yehuwa dengan bersungguh-sungguh, kemudian saya merasai ketenangan yang datang dari Tuhan.”​—Ivailo Stefanov (Lihat perenggan 13)

13, 14. Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada kes-kes yang melibatkan Ivailo Stefanov dan Vahan Bayatyan?

13 Bulgaria. Pada tahun 1994, Ivailo Stefanov yang berumur 19 tahun dikerah menyertai khidmat tentera. Dia enggan menyertai khidmat tentera atau menuruti arahan tentera untuk melakukan kerja-kerja yang tidak melibatkan pertempuran. Maka, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan, tetapi dia membuat rayuan kepada mahkamah berdasarkan haknya sebagai seorang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Kesnya akhirnya dibawa ke ECHR. Pada tahun 2001, sebelum kesnya dapat dibicarakan, kerajaan Bulgaria telah membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan Saudara Stefanov. Kerajaan Bulgaria bukan sahaja memberikan amnesti (pengampunan) kepada Saudara Stefanov, tetapi juga kepada semua rakyat Bulgaria yang sudi melakukan khidmat awam. *

14 Armenia. Vahan Bayatyan wajib menyertai khidmat tentera pada tahun 2001. * Dia enggan menyertai khidmat tentera atas dasar hati nurani, tetapi dia kalah dalam semua kes mahkamah di Armenia yang membicarakan rayuannya. Dia dijatuhkan hukuman penjara dua tahun setengah dan dia dipenjarakan pada September 2002, tetapi dia dibebaskan selepas 10 bulan setengah. Pada masa itu, dia mengemukakan rayuan kepada ECHR, tetapi pada 27 Oktober 2009, ECHR juga membuat keputusan yang tidak berpihak kepadanya. Keputusan itu nampaknya menandakan kekalahan yang teruk bagi saudara-saudara di Armenia yang menghadapi isu tersebut. Namun, Grand Chamber ECHR telah menilai semula keputusan itu. Pada 7 Julai 2011, Mahkamah telah membuat keputusan yang berpihak kepada Vahan Bayatyan. Itulah kali pertama ECHR mengakui bahawa keengganan untuk menyertai khidmat tentera atas dasar kepercayaan adalah sesuatu yang dilindungi di bawah hak kebebasan berfikir, hati nurani, dan agama. Keputusan itu bukan sahaja melindungi hak Saksi-Saksi Yehuwa, malah melindungi hak beratus-ratus juta penduduk negara yang menganggotai Majlis Eropah. *

Saudara-saudara di Armenia dibebaskan dari penjara setelah ECHR membuat keputusan yang berpihak kepada mereka

Isu Upacara Kebangsaan

15. Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyertai upacara kebangsaan?

15 Kesetiaan umat Yehuwa kepada Kerajaan Mesias bukan sahaja dinyatakan melalui keengganan mereka untuk menyertai khidmat tentera. Mereka juga tidak menyertai  upacara kebangsaan. Terutamanya sejak Perang Dunia Kedua, semangat kebangsaan di serata dunia semakin membara. Banyak negara mewajibkan rakyat melafazkan ikrar taat setia kepada tanah air mereka, menyanyikan lagu kebangsaan, atau menabik bendera. Namun, kita hanya akan taat setia sepenuhnya kepada Yehuwa. (Kel. 20:4, 5) Pendirian itu telah menyebabkan kita dibanjiri penganiayaan. Namun, Yehuwa menggunakan “bumi” sekali lagi untuk menelan sebahagian daripada “air sungai” itu. Perhatikan beberapa kemenangan besar dalam hal ini yang dikurniakan oleh Yehuwa melalui Kristus.​—Mzm. 3:9.

16, 17. Apakah isu yang dihadapi oleh Lillian dan William Gobitas, dan apakah yang telah anda pelajari daripada kes mereka?

16 Amerika Syarikat. Pada tahun 1940, Mahkamah Agung A.S. membuat keputusan majoriti (8 kepada 1) yang tidak memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa dalam kes Pihak Sekolah Minersville lwn. Gobitis. Lillian Gobitas, * berusia 12 tahun, dan adik lelakinya William, berusia 10 tahun, mahu setia kepada Yehuwa, maka mereka enggan menabik bendera atau melafazkan ikrar. Akibatnya, mereka dibuang sekolah. Kes mereka dibawa ke Mahkamah Agung, dan Mahkamah menyimpulkan bahawa tindakan sekolah selaras dengan perlembagaan negara kerana dilakukan demi “perpaduan kebangsaan.” Keputusan itu mencetuskan bahang penganiayaan yang kuat. Lebih ramai anak Saksi yang dibuang sekolah, lebih ramai Saksi dewasa yang dibuang kerja, dan sebilangan Saksi diserang perusuh. Buku The Lustre of Our Country menyatakan bahawa “penganiayaan yang dihadapi oleh Saksi-Saksi dari tahun 1941 hingga 1943 mencerminkan sikap tidak bertoleransi terhadap agama yang paling teruk di Amerika pada abad ke-20.”

17 Kemenangan musuh Tuhan tidak bertahan lama. Pada tahun 1943, Mahkamah Agung telah mengadili satu kes yang mirip dengan kes Gobitis, yang dikenali sebagai kes Lembaga Pendidikan Virginia Barat lwn. Barnette. Kali ini, Mahkamah Agung memberikan kemenangan kepada Saksi-Saksi Yehuwa. Buat kali pertama dalam sejarah A.S., Mahkamah Agung telah membatalkan keputusan yang baru sahaja dibuat beberapa tahun yang lalu. Selepas itu, penganiayaan yang dilakukan secara terang-terangan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika Syarikat telah berkurang dengan mendadak. Keputusan ini telah melindungi hak semua penduduk di Amerika Syarikat.

18, 19. Menurut Pablo Barros, apakah yang telah membantu dia untuk mempertahankan integritinya, dan bagaimanakah hamba Yehuwa yang lain dapat meniru teladannya?

18 Argentina. Pablo dan Hugo Barros, yang masing-masing berumur lapan dan tujuh tahun, telah dibuang sekolah pada tahun 1976 kerana mereka tidak menyertai upacara menaikkan bendera. Pernah sekali, guru besar sekolah  mereka menolak Pablo dan memukul kepalanya. Selepas waktu sekolah, guru besar itu mencuba memaksa mereka selama sejam untuk menyertai upacara kebangsaan. Mengenang masa itu, Pablo berkata, “Tanpa bantuan Yehuwa, saya tidak akan dapat mempertahankan integriti saya di bawah tekanan itu.”

19 Semasa kes itu dibicarakan di mahkamah, hakim menyokong keputusan untuk membuang Pablo dan Hugo dari sekolah. Namun, kes mereka dikemukakan kepada Mahkamah Agung Argentina. Pada tahun 1979, Mahkamah membatalkan keputusan mahkamah rendah dan menyatakan, “Hukuman [buang sekolah] tersebut bercanggahan dengan hak untuk belajar (Perkara 14), yang dinyatakan dalam perlembagaan, dan bercanggahan dengan tugas kerajaan untuk menjamin pendidikan asas (Perkara 5).” Kemenangan itu telah membawa manfaat kepada kira-kira 1,000 kanak-kanak Saksi. Ada antara mereka yang  sebelumnya hampir dibuang sekolah, tetapi hukuman itu dibatalkan. Ada kanak-kanak lain seperti Pablo dan Hugo yang dibuang sekolah, tetapi kemudiannya diterima semula ke dalam sekolah.

Banyak Saksi-Saksi muda kekal setia meskipun diuji

20, 21. Bagaimanakah kes yang melibatkan Roel dan Emily Embralinag menguatkan iman anda?

20 Filipina. Pada tahun 1990, Roel Embralinag * yang berusia 9 tahun, kakaknya Emily yang berusia 10 tahun, dan kira-kira 66 murid Saksi yang lain dibuang sekolah kerana tidak menabik bendera. Leonardo, iaitu bapa kepada Roel dan Emily, mencuba berbincang dengan pihak sekolah, tetapi hasilnya tetap sama. Apabila masalah itu menjadi semakin besar, Leonardo telah membuat rayuan kepada Mahkamah Agung. Leonardo tidak ada wang dan tidak ada peguam untuk mewakilinya. Keluarganya berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk meminta bimbingan Yehuwa. Sepanjang masa itu, anak-anak Saksi diejek dan dicemuh. Leonardo berasa bahawa dia tidak akan menang dalam kes itu, kerana dia tidak arif dalam soal perundangan.

 21 Keadaan berubah apabila Felino Ganal, seorang peguam yang pernah bekerja di salah sebuah firma guaman yang paling terkenal di Filipina, mewakili keluarga Leonardo. Semasa kes itu berlangsung, Saudara Ganal telah meninggalkan firma guaman itu dan menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Ketika kes itu dibawa ke Mahkamah Agung, dengan sebulat suara Mahkamah membuat keputusan yang berpihak kepada Saksi-Saksi dan membatalkan arahan untuk membuang anak-anak Saksi dari sekolah. Sekali lagi, usaha untuk mematahkan integriti umat Tuhan telah gagal.

Keneutralan Membawa Perpaduan

22, 23. (a) Mengapakah kita meraih begitu banyak kemenangan dalam kes-kes yang penting? (b) Persaudaraan sedunia kita yang mencintai keamanan membuktikan apa?

22 Mengapakah umat Yehuwa dapat meraih begitu banyak kemenangan dalam kes-kes mahkamah yang penting? Kita tidak berpengaruh dari segi politik. Namun, di banyak negara dan di banyak mahkamah, hakim-hakim yang adil dan saksama telah melindungi kita daripada serangan penentang. Keputusan mereka bahkan mempengaruhi penggubalan undang-undang perlembagaan. Sudah pasti Kristus telah menyokong usaha kita untuk meraih semua kemenangan itu. (Baca Wahyu 6:2.) Mengapakah kita memperjuangkan kes-kes sedemikian? Tujuan kita bukannya untuk mengubah sistem perundangan, tetapi untuk memastikan bahawa kita dapat terus berkhidmat kepada Raja Yesus Kristus tanpa halangan.​—Kis. 4:29.

23 Persengketaan politik dan kebencian telah memecahbelahkan dunia ini. Namun, Raja Yesus telah memberkati para pengikutnya di serata dunia yang berusaha untuk tetap berpendirian neutral. Syaitan tidak berjaya mencerai-beraikan dan menakluki kita. Kerajaan Tuhan telah mengumpulkan jutaan orang yang enggan belajar berperang. Persaudaraan sedunia kita yang mencintai keamanan sungguh menakjubkan, dan merupakan bukti yang kukuh bahawa Kerajaan Tuhan sedang memerintah!​—Yes. 2:4.

^ per. 4 Nama lain bagi jilid ini bertajuk The New Creation. Selepas itu, jilid-jilid buku Millennial Dawn dipanggil Studies in the Scriptures.

^ per. 8 Untuk maklumat lanjut tentang nubuat ini, sila lihat buku Revelation—Its Grand Climax At Hand!, bab 27, muka surat 184-186.

^ per. 13 Penyelesaian yang dicapai juga menuntut kerajaan Bulgaria untuk menawarkan khidmat awam (diselia oleh Jabatan Pentadbiran Awam) sebagai alternatif kepada semua yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.

^ per. 14 Untuk kisah yang lengkap, sila lihat rencana, “European Court Upholds the Right to Conscientious Objection,” majalah The Watchtower, 1 November 2012.

^ per. 14 Dalam jangka masa 20 tahun, kerajaan Armenia telah memenjarakan lebih daripada 450 Saksi-Saksi yang muda. Saksi terakhir dibebaskan dari penjara pada bulan November 2013.

^ per. 16 Nama keluarga disalah eja dalam rekod mahkamah.

^ per. 20 Nama keluarga disalah eja sebagai Ebralinag dalam rekod mahkamah.