FOKUS BAB INI

Seperti yang dinubuatkan oleh Yesus, kerja penyebaran menghadapi tentangan dari segi undang-undang

1, 2. (a) Bagaimanakah para pemimpin agama pada abad pertama menentang kerja penyebaran, dan apakah reaksi rasul-rasul? (b) Mengapakah para rasul enggan mematuhi perintah yang melarang mereka menginjil?

PENTAKOSTA tahun 33 M baru sahaja berlalu. Sidang Kristian di Yerusalem baru ditubuhkan beberapa minggu yang lalu. Itulah kesempatan yang dinanti-nantikan oleh Syaitan. Sebelum sidang itu yang bagaikan tunas kecil menjadi pokok yang besar, Syaitan ingin memusnahkannya. Dia menggerakkan para pemimpin agama untuk melarang kerja penyebaran Kerajaan Tuhan. Namun, para rasul terus menginjil dengan berani, dan “ramai lelaki dan wanita percaya kepada Tuan Yesus.”​—Kis. 4:18, 33; 5:14.

Para rasul bersukacita kerana “Tuhan menganggap mereka layak dihina demi nama Yesus”

2 Hal itu membuat para penentang sangat marah. Kali ini mereka memenjarakan semua rasul. Namun, malaikat Yehuwa datang pada waktu malam dan membuka pintu penjara. Sebaik sahaja siang menjelma, rasul-rasul menyambung kerja penyebaran. Sekali lagi mereka ditahan dan dihadapkan kepada para penguasa. Semasa dituduh melanggar perintah yang melarang mereka menginjil, para rasul berkata dengan berani, “Kami mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.” Para penguasa begitu marah sehingga ingin “membunuh para rasul.” Tetapi pada saat genting itu, Gamaliel, seorang guru Hukum yang disegani, telah bersuara. Dia mengingatkan para penguasa itu, “Berwaspadalah . . . Janganlah mencampuri urusan semua orang itu, dan biarkanlah mereka.” Tanpa disangka, para penguasa mendengar nasihatnya dan membebaskan para rasul. Apakah yang dilakukan oleh para rasul yang setia? Mereka “tidak henti-henti mengajarkan dan mengumumkan berita baik tentang Yesus, iaitu Kristus.”​—Kis. 5:17-21, 27-42; Ams. 21:1, 30.

3, 4. (a) Apakah muslihat yang digunakan oleh Syaitan untuk menyerang umat Tuhan? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab ini dan dua bab yang seterusnya?

3 Kes mahkamah pada tahun 33 M merupakan kes pertama yang melibatkan sidang Kristian dan para penentang. Namun, itu hanyalah permulaan. (Kis. 4:5-8; 16:20; 17:6, 7) Pada zaman sekarang, Syaitan masih menggerakkan  para penentang ibadat sejati supaya mendesak pihak berkuasa untuk melarang kerja penyebaran. Terdapat pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap umat Tuhan. Ada yang menuduh kita mengganggu ketenteraman awam. Ada pula yang menuduh kita sebagai penghasut, dan ada juga yang menuduh kita sebagai jurujual. Pada masa yang sesuai, saudara saudari kita telah pergi ke mahkamah untuk membuktikan bahawa tuduhan sedemikian adalah palsu. Apakah hasil yang diperoleh daripada kes-kes sedemikian? Bagaimanakah keputusan mahkamah yang dibuat berpuluh-puluh tahun yang lalu mempengaruhi anda hari ini? Mari kita kaji beberapa kes mahkamah untuk mengetahui bagaimana kes-kes ini telah membantu kita “mempertahankan berita baik” dan “memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik.”​—Flp. 1:7.

4 Dalam bab ini, kita akan membincangkan apa yang telah dilakukan untuk mempertahankan hak dan kebebasan kita untuk menginjil. Dua bab yang berikut akan membincangkan sesetengah kes yang telah kita perjuangkan agar kita tidak menjadi sebahagian daripada dunia dan tetap hidup mengikut piawaian Kerajaan Tuhan.

Mengganggu Ketenteraman Awam atau Mengisytiharkan Kerajaan Tuhan?

5. Mengapakah para penginjil Kerajaan Tuhan ditahan pada lewat tahun 1930-an, dan apakah keputusan yang dibuat oleh saudara-saudara yang mengambil pimpinan?

5 Pada lewat tahun 1930-an, Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh Amerika Syarikat diwajibkan mendapatkan permit atau lesen untuk menjalankan kerja penyebaran. Namun, saudara saudari kita tidak memohon lesen sedemikian. Lesen boleh ditarik balik, dan mereka percaya bahawa tiada kerajaan yang berhak melarang orang Kristian daripada menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan, kerana kerja itu diperintahkan oleh Yesus. (Mrk. 13:10) Akibatnya, beratus-ratus penyiar Kerajaan Tuhan ditangkap. Oleh itu, saudara-saudara yang mengambil pimpinan merancang untuk membawa kes itu ke mahkamah. Mereka ingin membuktikan bahawa sekatan yang dikenakan ke atas Saksi-Saksi adalah tidak sah di sisi undang-undang dan mencabuli kebebasan mereka untuk beragama. Satu peristiwa yang berlaku pada tahun 1938 telah menjurus kepada satu kes mahkamah yang bersejarah. Apakah yang telah berlaku?

6, 7. Apakah yang berlaku kepada keluarga Cantwell?

6 Pada pagi Selasa, 26 April 1938, lima perintis khas​—Newton Cantwell yang berumur 60 tahun, isterinya Esther, dan anak-anak lelaki mereka, Henry, Russell, dan Jesse​—membuat persiapan untuk menginjil sepanjang hari di  kota New Haven, Connecticut. Sebenarnya mereka sudah menjangkakan bahawa mereka tidak dapat pulang ke rumah pada hari itu. Mengapa? Sudah beberapa kali mereka ditahan semasa menginjil, maka mereka tahu bahawa mereka mungkin akan ditangkap lagi. Namun, hal itu tidak melemahkan semangat keluarga Cantwell. Mereka bertolak ke New Haven dengan menggunakan dua buah kereta. Newton memandu kereta sendiri yang penuh dengan bahan bacaan dan peti nyanyi, manakala Henry yang berusia 22 tahun memandu kereta bunyi. Seperti yang dijangkakan, dalam masa beberapa jam, mereka ditahan oleh polis.

7 Mula-mulanya, Russell yang berusia 18 tahun ditahan, diikuti Newton dan Esther. Jesse yang berusia 16 tahun melihat dari jauh semasa ibu bapa dan abangnya ditangkap polis. Oleh sebab Henry sedang menginjil di kawasan lain, Jesse ditinggalkan seorang diri, tetapi dia masih menginjil dengan menggunakan peti nyanyi. Dua lelaki Katolik mengizinkan Jesse memainkan rakaman ceramah Saudara Rutherford yang bertajuk “Musuh.” Tetapi semasa mendengar ceramah itu, mereka begitu marah sehingga ingin memukul Jesse. Jesse beredar dari situ dengan tenang, tetapi tidak lama kemudian, dia juga ditahan dan dibawa ke balai  polis. Saudari Esther tidak didakwa, tetapi Saudara Newton dan anak-anak lelakinya didakwa. Namun, mereka diikat jamin dan dibebaskan pada hari itu juga.

8. Mengapakah Jesse Cantwell disabitkan bersalah atas tuduhan mengganggu ketenteraman awam?

8 Beberapa bulan kemudian, pada September 1938, keluarga Cantwell tampil di hadapan mahkamah di New Haven. Newton, Russell, dan Jesse disabitkan bersalah atas tuduhan meminta derma tanpa lesen. Meskipun mereka kemudiannya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung Connecticut, Jesse disabitkan bersalah atas tuduhan mengganggu ketenteraman awam. Apakah sebabnya? Dua lelaki Katolik yang mendengar rakaman itu telah memberikan keterangan di mahkamah dan menyatakan bahawa ceramah tersebut menyindir agama mereka dan menyinggung perasaan mereka. Untuk mencabar tuduhan itu, saudara-saudara yang mengambil pimpinan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung A.S., iaitu mahkamah tertinggi di negara itu.

9, 10. (a) Apakah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Agung A.S. dalam kes keluarga Cantwell? (b) Apakah manfaat yang diraih daripada keputusan itu?

9 Pada 29 Mac 1940, perbicaraan kes itu telah bermula. Hakim Besar Charles E. Hughes dan lapan orang hakim yang lain mendengar hujah yang dikemukakan oleh Saudara Hayden Covington, seorang peguam yang mewakili Saksi-Saksi Yehuwa. * Semasa peguam yang mewakili negeri Connecticut mengemukakan hujahnya untuk membuktikan bahawa Saksi-Saksi mengganggu ketenteraman, seorang hakim bertanya, “Tidakkah kamu setuju bahawa mesej yang dikhabarkan oleh Kristus Yesus tidak disambut baik pada zamannya juga?” Peguam negeri menjawab, “Ya, dan saya juga tahu apa yang berlaku kepada Yesus kerana mengkhabarkan mesej itu.” Tanpa disedarinya, dia telah menyamakan Saksi-Saksi dengan Yesus, dan menyamakan kerajaan negeri Connecticut dengan orang yang menghukum Yesus. Pada 20 Mei 1940, Mahkamah Agung A.S. dengan sebulat suara memberikan keputusan yang berpihak kepada Saksi-Saksi.

Hayden Covington (depan, tengah), Glen How (kiri), dan orang lain sedang meninggalkan mahkamah selepas meraih kemenangan

10 Apakah kesan keputusan Mahkamah itu? Keputusan itu telah melindungi hak dan kebebasan beragama. Dengan demikian, pihak kerajaan di peringkat tempatan, negeri, ataupun persekutuan, tidak diizinkan mengekang kebebasan beragama seseorang. Tambahan lagi, pihak Mahkamah mendapati bahawa kelakuan Jesse “tidak . . . menggugat keamanan dan ketenteraman awam.” Keputusan mahkamah telah mengesahkan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa tidak mengganggu ketertiban awam. Bagaimanakah kita memperoleh manfaat daripada kemenangan tersebut? Seorang peguam yang merupakan Saksi berkata, “Hari ini, dengan  adanya hak untuk mengamalkan agama dengan bebas, kita sebagai Saksi-Saksi boleh berkongsi harapan kita dengan orang lain tanpa dikenakan sekatan yang tidak munasabah.”

Menghasut atau Mengumumkan Kebenaran?

Risalah “Kebencian Quebec terhadap Tuhan dan Kristus dan Kebebasan ialah Sesuatu yang Memalukan Seluruh Kanada”

11. Apakah kempen yang dijalankan oleh saudara saudari kita di Kanada, dan mengapa?

11 Pada tahun 1940-an, Saksi-Saksi Yehuwa di Kanada menghadapi tentangan yang sengit. Maka, pada tahun 1946, saudara saudari kita telah mengadakan satu kempen selama 16 hari untuk mengedarkan risalah yang bertajuk “Kebencian Quebec terhadap Tuhan dan Kristus dan Kebebasan ialah Sesuatu yang Memalukan Seluruh Kanada” (Quebec’s Burning Hate for God and Christ and Freedom Is the Shame of All Canada). Tujuan kempen ini adalah untuk memaklumkan orang ramai tentang sekatan negara itu terhadap kebebasan beribadat. Risalah itu mengandungi empat muka surat dan menceritakan secara terperinci tentang perbuatan kejam pihak polis, rusuhan yang diapi-apikan oleh pemimpin gereja, dan serangan perusuh terhadap saudara saudari kita di Quebec. Risalah itu menyatakan, “Saksi-Saksi Yehuwa terus ditangkap tanpa sebab yang sah di sisi undang-undang. Saksi-Saksi Yehuwa di Greater Montreal menghadapi kira-kira 800 tuduhan mahkamah.”

12. (a) Apakah reaksi penentang terhadap kempen risalah kita? (b) Saudara saudari kita didakwa atas tuduhan apa? (Lihat juga nota kaki.)

12 Maurice Duplessis, Perdana Menteri Quebec, yang bersubahat dengan Villeneuve, Kardinal Katolik Roma, telah mengisytiharkan “perang tanpa belas kasihan” terhadap Saksi-Saksi kerana risalah itu. Jumlah dakwaan yang dikemukakan telah berlipat ganda daripada 800 kepada 1,600 dakwaan. Seorang saudari yang berkhidmat sebagai perintis berkata, “Kami sudah tidak ingat berapa kali kami ditahan oleh polis.” Saksi-Saksi yang didapati mengedarkan risalah tersebut didakwa atas tuduhan menerbitkan “bahan fitnah yang mengandungi unsur hasutan.” *

13. Siapakah Saksi-Saksi pertama yang dibicarakan atas tuduhan menghasut, dan apakah keputusan mahkamah?

13 Pada tahun 1947, Saudara Aimé Boucher, dan dua orang anak perempuannya, Gisèle yang berusia 18 tahun dan Lucille yang berusia 11 tahun, merupakan Saksi-Saksi pertama yang dibicarakan di mahkamah atas dakwaan menghasut. Mereka didakwa kerana mengedarkan risalah Quebec’s Burning Hate berhampiran kebun mereka yang terletak di kawasan pergunungan di selatan Bandar Quebec. Keluarga Boucher bukannya orang yang mengganggu ketenteraman atau melanggar undang-undang. Saudara Boucher seorang pekebun yang akan menaiki kereta kudanya ke pekan sekali sekala. Lagipun, dia seorang yang rendah hati dan lemah lembut. Meskipun mereka hanya orang  biasa, mereka telah menerima layanan buruk yang diceritakan dalam risalah itu. Hakim yang membicarakan kes mereka membenci Saksi-Saksi, maka dia enggan menerima bukti-bukti yang menunjukkan bahawa keluarga Boucher tidak bersalah. Dia menerima pendirian pendakwa bahawa risalah itu membangkitkan kemarahan orang dan bahawa keluarga Boucher harus disabitkan bersalah. Dalam erti kata lain, hakim berpendapat bahawa bercakap benar itu satu jenayah! Aimé dan Gisèle didapati bersalah kerana mengedarkan bahan fitnah yang mengandungi unsur hasutan. Bahkan Lucille yang begitu muda juga dipenjarakan selama dua hari. Saudara-saudara kita telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung Kanada, dan mahkamah tertinggi itu bersetuju untuk membicarakan kes tersebut.

14. Apakah yang terus dilakukan oleh saudara saudari kita di Quebec walaupun mereka dianiaya?

14 Sementara itu, saudara saudari kita di Quebec terus menginjil dengan berani, meskipun mereka diserang dengan ganas tanpa henti-henti. Ketabahan mereka sering membawa hasil yang memberangsangkan. Dalam masa empat tahun sejak kempen mengedarkan risalah bermula pada tahun 1946, bilangan Saksi-Saksi di Quebec telah bertambah daripada 300 orang kepada 1,000 orang! *

15, 16. (a) Apakah keputusan Mahkamah Agung Kanada dalam kes keluarga Boucher? (b) Apakah kesan kemenangan kes ini ke atas saudara saudari kita dan orang lain?

15 Pada bulan Jun 1950, kesemua sembilan orang hakim dalam Mahkamah Agung Kanada telah mengadili kes Aimé Boucher. Enam bulan kemudian, pada 18 Disember 1950, Mahkamah telah membuat keputusan yang berpihak kepada kita. Apakah sebabnya? Saudara Glen How, seorang peguam yang mewakili Saksi-Saksi, menjelaskan bahawa Mahkamah bersetuju dengan hujah peguam pembela yang menyatakan bahawa “menghasut” merujuk kepada perbuatan yang mendorong orang untuk bertindak dengan ganas atau untuk melawan kerajaan. Namun, risalah itu “tidak mengandungi unsur-unsur sedemikian. Oleh itu, apa yang dinyatakan dalam risalah tersebut tidak melanggar batas undang-undang yang ditetapkan ke atas hak kebebasan bersuara.” Saudara How menambah, “Saya menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana Yehuwa telah memberi kita kemenangan.” *

16 Keputusan Mahkamah Agung merupakan kemenangan yang besar bagi Kerajaan Tuhan. Terdapat 122 kes dakwaan mahkamah yang serupa terhadap Saksi-Saksi di Quebec yang belum dibicarakan, tetapi dengan adanya keputusan Mahkamah Agung, semua dakwaan itu tidak lagi berasas. Selain itu, keputusan Mahkamah itu telah memberikan kebebasan kepada penduduk Kanada dan Komanwel  untuk menyuarakan pandangan mereka tentang isu yang berkaitan dengan kerajaan. Tambahan lagi, kemenangan ini telah mematahkan serangan daripada gabungan Gereja dan Negeri Quebec untuk mengekang kebebasan Saksi-Saksi Yehuwa. *

Jurujual atau Penginjil Kerajaan Tuhan?

17. Bagaimanakah sesetengah kerajaan mencuba untuk menyekat aktiviti penyebaran kita?

17 Seperti orang Kristian masa awal, hamba-hamba Yehuwa hari ini “tidak memperdagangkan firman Tuhan.” (Baca 2 Korintus 2:17.) Namun, sesetengah kerajaan mencuba menyekat kerja penyebaran menerusi undang-undang perniagaan. Mari kita perhatikan dua kes mahkamah yang menyentuh persoalan sama ada Saksi-Saksi Yehuwa ialah jurujual atau penginjil.

18, 19. Bagaimanakah pihak berkuasa di Denmark mencuba untuk mengekang kerja penyebaran kita?

18 Denmark. Pada 1 Oktober 1932, pihak berkuasa meluluskan satu undang-undang yang melarang seseorang daripada menjual bahan cetakan tanpa lesen jurujual. Saudara saudari kita tidak memohon lesen itu. Pada hari berikutnya, lima orang penyiar telah menginjil di Roskilde, sebuah pekan yang terletak lebih daripada 30 km dari Copenhagen, iaitu ibu kota Denmark. Pada penghujung hari, seorang penyiar yang bernama August Lehmann telah ditangkap. Dia dituduh menjual barangan tanpa lesen.

19 Pada 19 Disember 1932, August Lehmann telah tampil di mahkamah. Dalam keterangannya, dia mengakui bahawa dia telah mengunjungi orang dan menawarkan bahan bacaan Bible kepada mereka, tetapi dia menyatakan bahawa dia tidak menjual barang. Mahkamah perbicaraan bersetuju dengannya dan menyatakan, “Defendan . . . mampu menyara kehidupan sendiri, dan [dia] tidak mendapat keuntungan ataupun berniat untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya, kegiatan Saudara Lehmann menyebabkannya menanggung kerugian dari segi kewangan.” Mahkamah berpihak kepada Saksi-Saksi dengan membuat keputusan bahawa kegiatan Saudara Lehmann tidak melanggar undang-undang. Namun, musuh umat Tuhan terus berusaha untuk menyekat kerja penyebaran di seluruh Denmark. (Mzm. 94:20) Pendakwa raya bahkan mengemukakan rayuan sehingga ke peringkat Mahkamah Agung Denmark. Apakah reaksi saudara saudari kita?

20. Apakah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Agung Denmark, dan apakah reaksi saudara saudari kita?

20 Satu minggu sebelum perbicaraan Mahkamah Agung, Saksi-Saksi di Denmark telah menjalankan kerja penyebaran dengan lebih bersungguh-sungguh. Pada hari Selasa, 3 Oktober 1933, Mahkamah Agung telah menyokong keputusan mahkamah rendah bahawa August  Lehmann tidak melanggar undang-undang. Keputusan itu bermaksud bahawa Saksi-Saksi dapat meneruskan kerja penyebaran. Saudara saudari kita sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi mereka kemenangan itu, maka mereka meningkatkan usaha mereka lagi dalam kerja penyebaran. Sejak itu, saudara saudari kita di Denmark dapat menginjil tanpa gangguan pihak kerajaan.

Saksi-Saksi yang berani di Denmark pada tahun 1930-an

21, 22. Apakah keputusan Mahkamah Agung A.S. dalam kes Saudara Murdock?

21 Amerika Syarikat. Pada hari Ahad, 25 Februari 1940, seorang perintis yang bernama Robert Murdock, Jr., dan tujuh orang Saksi lain ditangkap semasa menginjil di Jeannette, sebuah bandar dekat Pittsburgh, di Pennsylvania. Mereka disabitkan bersalah kerana tidak membeli lesen untuk menawarkan bahan bacaan. Selepas rayuan dibuat, Mahkamah Agung A.S. bersetuju untuk mendengar kes mereka.

22 Pada 3 Mei 1943, Mahkamah Agung mengumumkan keputusan yang berpihak kepada Saksi-Saksi. Mahkamah Agung tidak bersetuju dengan undang-undang kerajaan Pennsylvania yang mewajibkan Saksi-Saksi membeli lesen untuk menawarkan bahan bacaan, kerana hal itu melanggar Perlembagaan Persekutuan Amerika Syarikat. Mahkamah Agung membatalkan undang-undang itu yang dianggap “mengekang kebebasan akhbar dan kebebasan beragama.” Semasa menyampaikan pendapat mahkamah, Hakim William O. Douglas menyatakan bahawa kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa “tidak terhad kepada menginjil sahaja. Kegiatan agama mereka terdiri daripada kerja menginjil dan kerja mengedarkan bahan bacaan agama.” Dia juga berkata, “Kegiatan tersebut adalah sama penting . . . dengan penyembahan yang dijalankan di gereja dan berdakwah dari mimbar [pentas] di gereja.”

23. Mengapakah kemenangan mahkamah pada tahun 1943 penting bagi kita hari ini?

23 Keputusan Mahkamah Agung pada tahun 1943 merupakan kemenangan yang bersejarah bagi umat Tuhan. Keputusan itu membuktikan bahawa kita ialah penginjil Kristian dan bukannya jurujual. Pada hari itu juga, Saksi-Saksi Yehuwa telah memenangi 12 daripada 13 kes (termasuk kes Murdock) yang dibentangkan di Mahkamah Agung. Keputusan-keputusan itu menyediakan dasar yang kukuh bagi kes-kes masa kini yang diungkit oleh para penentang yang ingin mencabar hak kita untuk menyebarkan berita Kerajaan Tuhan.

‘Patuh kepada Tuhan dan Bukannya kepada Manusia’

24. Apakah reaksi kita jika kerajaan mengharamkan kerja penyebaran?

24 Sebagai hamba-hamba Yehuwa, kita sangat berterima kasih semasa pihak berkuasa memberi kita kebebasan untuk  menyebarkan berita baik. Tetapi jika kerja kita dilarang, kita akan mengubah kaedah menginjil dan terus menginjil dalam apa jua cara yang boleh. Seperti para rasul, kita “mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.” (Kis. 5:29; Mat. 28:19, 20) Tetapi kita juga akan membuat rayuan kepada mahkamah untuk menarik balik larangan ke atas kegiatan kita. Mari kita lihat dua contoh yang berikut.

25, 26. Apakah turutan peristiwa yang berlaku di Nicaragua sebelum Saksi-Saksi mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung di situ, dan apakah hasilnya?

25 Nicaragua. Pada 19 November 1952, Donovan Munsterman, yang berkhidmat sebagai mubaligh Kristian dan pembantu cawangan di Nicaragua, telah pergi ke Pejabat Imigresen di Managua, iaitu ibu kota Nicaragua. Dia diarahkan untuk berjumpa dengan Kapten Arnoldo García, iaitu ketua Pejabat Imigresen. Kapten itu memberitahu Donovan bahawa semua Saksi-Saksi Yehuwa di Nicaragua “dilarang menginjil dan dilarang menjemput orang lain untuk menyertai kegiatan agama mereka.” Apabila ditanya mengapa Saksi-Saksi dilarang, Kapten García menjelaskan bahawa Saksi-Saksi tidak mendapat keizinan daripada pihak berkuasa untuk menginjil, dan bahawa mereka dituduh sebagai komunis. Siapakah yang  melontarkan tuduhan itu? Para pemimpin gereja Katolik.

Saudara saudari di Nicaragua semasa kerja kita diharamkan

26 Saudara Munsterman segera membuat rayuan kepada pihak berkuasa dan kepada Presiden Anastasio Somoza García, tetapi usahanya gagal. Maka saudara saudari kita mengubah kaedah mereka. Mereka menutup Dewan Perjumpaan, berhimpun dalam kumpulan yang lebih kecil, dan tidak lagi menjalankan kesaksian awam. Tetapi mereka tetap menyebarkan berita Kerajaan Tuhan. Pada masa yang sama, mereka memohon kepada Mahkamah Agung Nicaragua untuk mengeluarkan perintah bagi membatalkan larangan yang dikenakan ke atas Saksi-Saksi. Surat khabar juga melaporkan tentang larangan dan kandungan petisyen kita, dan Mahkamah Agung bersetuju untuk mendengar kes kita. Apakah hasilnya? Pada 19 Jun 1953, Mahkamah Agung dengan sebulat suara membuat keputusan yang menyokong Saksi-Saksi. Mahkamah mendapati bahawa larangan yang dikenakan itu mencabuli perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara, kebebasan mengikut hati nurani, dan kebebasan untuk menyatakan dan menjalankan kewajipan agama. Mahkamah juga mengarahkan agar hubungan antara kerajaan Nicaragua dan Saksi-Saksi dipulihkan.

27. Mengapakah rakyat Nicaragua hairan dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah? Apakah pandangan saudara saudari kita terhadap kemenangan ini?

27 Rakyat Nicaragua sangat hairan bahawa Mahkamah Agung berpihak kepada Saksi-Saksi. Sebelum itu, pengaruh pemimpin agama begitu kuat sehingga Mahkamah mengelakkan konflik dengan mereka. Selain itu, kuasa pegawai kerajaan begitu besar sehingga Mahkamah pun jarang-jarang menentang keputusan mereka. Oleh itu, saudara  saudari kita berasa yakin bahawa mereka menang kerana mereka dilindungi Raja Yesus dan kerana mereka tidak berhenti menginjil.​—Kis. 1:8.

28, 29. Pada pertengahan tahun 1980-an, apakah tentangan yang dihadapi oleh saudara saudari kita di Zaire?

28 Zaire. Pada pertengahan tahun 1980-an, ada lebih kurang 35,000 Saksi di Zaire (sekarang dikenali sebagai Republik Demokratik Congo). Pejabat cawangan telah membina bangunan-bangunan baru, kerana kerja penyebaran di negara itu berkembang dengan pesat. Pada bulan Disember 1985, sebuah konvensyen antarabangsa telah diadakan di ibu negara Zaire, Kinshasa, dan sebanyak 32,000 orang dari serata dunia telah memenuhi stadium di bandar itu. Namun, keadaan mula berubah. Mari kita lihat apa yang telah berlaku.

29 Seorang mubaligh dari Quebec, Kanada, yang bernama Marcel Filteau berkhidmat di Zaire pada waktu itu. Sebelum itu, dia pernah mengalami penganiayaan di bawah rejim Duplessis. Dia menceritakan apa yang telah berlaku, “Pada 12 Mac 1986, saudara-saudara yang mengambil pimpinan menerima surat yang menyatakan bahawa pertubuhan Saksi-Saksi Yehuwa di Zaire telah diharamkan.” Surat itu telah ditandatangani oleh presiden negara itu, iaitu Mobutu Sese Seko.

30. Apakah keputusan penting yang perlu dibuat oleh Jawatankuasa Cawangan, dan apakah yang dilakukan oleh mereka?

30 Pada hari yang berikutnya, radio kebangsaan telah membuat pengumuman berikut: “Kita tidak akan melihat Saksi-Saksi Yehuwa di [Zaire] lagi.” Selepas itu, penganiayaan pun bermula. Dewan-dewan Perjumpaan dibinasakan, dan saudara saudari kita dirompak, ditangkap, dipenjarakan, dan dipukul. Bahkan anak-anak Saksi juga dipenjarakan. Pada 12 Oktober 1988, pihak kerajaan telah merampas harta milik organisasi kita, dan sepasukan askar telah menduduki bangunan pejabat cawangan. Saudara-saudara yang bertanggungjawab pun menulis surat rayuan kepada Presiden Mobutu, tetapi surat mereka tidak dibalas. Pada waktu itu, Jawatankuasa Cawangan harus membuat keputusan mengenai hal berikut: “Patutkah kita membuat rayuan kepada Mahkamah Agung, atau patutkah kita tunggu?” Timothy Holmes, seorang mubaligh yang berkhidmat sebagai koordinator Jawatankuasa Cawangan pada waktu itu, berkata, “Kami memohon bimbingan dan kebijaksanaan daripada Yehuwa.” Selepas berdoa dan membuat pertimbangan yang teliti, mereka berasa bahawa waktu itu bukanlah masa yang sesuai untuk membawa kes tersebut ke mahkamah. Sebaliknya, mereka menumpukan usaha untuk menjaga keperluan saudara saudari dan mencari jalan untuk meneruskan kerja penyebaran.

“Semasa kes itu dibicarakan, kita telah melihat bagaimana Yehuwa dapat mengubah keadaan”

31, 32. Apakah keputusan menakjubkan yang dibuat oleh Mahkamah Agung Zaire, dan apakah kesannya ke atas saudara saudari kita?

 31 Beberapa tahun kemudian, tekanan yang dihadapi oleh Saksi-Saksi di Zaire semakin berkurang dan hak asasi manusia semakin dihormati. Jawatankuasa Cawangan memutuskan bahawa sudah tiba masanya untuk membawa kes itu ke Mahkamah Agung Zaire. Tanpa disangka-sangka, Mahkamah Agung bersetuju untuk menerima kes tersebut. Kemudian pada 8 Januari 1993, iaitu hampir tujuh tahun sejak pertubuhan Saksi-Saksi diharamkan, pihak mahkamah menyatakan bahawa tindakan kerajaan ke atas Saksi-Saksi telah melanggar undang-undang. Akhirnya, larangan itu telah ditarik balik. Bayangkan: Para hakim telah membatalkan keputusan presiden negara, meskipun perbuatan ini mungkin mengancam nyawa mereka! Saudara Holmes berkata, “Semasa kes itu dibicarakan, kita telah melihat bagaimana Yehuwa dapat mengubah keadaan.” (Dan. 2:21) Kemenangan ini pastinya menguatkan iman saudara saudari kita. Mereka mengetahui bahawa Raja mereka, Yesus, sedang memimpin rakyatnya untuk mengetahui masa dan cara untuk bertindak.

Saksi-Saksi di Republik Demokratik Congo bersukacita kerana dapat menyembah Yehuwa dengan bebas

32 Selepas larangan ditarik balik, pejabat cawangan telah diizinkan untuk membawa masuk para mubaligh, membina bangunan-bangunan baru untuk pejabat cawangan, dan mengimport bahan bacaan Bible. * Hamba-hamba Tuhan di serata dunia sangat bersukacita kerana dapat melihat bagaimana Yehuwa menjaga kebajikan rohani umat-Nya!​—Yes. 52:10.

 “Yehuwalah Penolongku”

33. Apakah yang dapat kita pelajari setelah membincangkan beberapa kes mahkamah secara ringkas?

33 Setelah membincangkan kes-kes mahkamah itu, kita berasa yakin bahawa Yesus telah menepati janjinya: ‘Aku akan memberi kamu kata-kata dan kebijaksanaan. Meskipun semua penentang kamu berganding bahu, mereka tidak akan dapat melawan atau membantah kata-kata kamu.’ (Baca Lukas 21:12-15.) Kadangkala, Yehuwa telah menggunakan “Gamaliel” zaman moden untuk melindungi umat-Nya atau menggerakkan hati hakim dan peguam yang berani untuk menegakkan keadilan. Ya, Yehuwa telah menumpulkan senjata-senjata penentang kita! (Baca Yesaya 54:17.) Sesungguhnya, para penentang tidak dapat menghentikan kerja Tuhan.

34. Mengapakah kemenangan kita begitu menakjubkan? Apakah yang dibuktikan oleh kemenangan kita? (Lihat juga kotak “ Kemenangan Bersejarah Mahkamah Tinggi yang Memacu Kerja Menginjil.”)

34 Mengapakah kemenangan mahkamah kita sungguh luar biasa? Fikirkan hal ini: Saksi-Saksi Yehuwa bukanlah orang yang berkedudukan tinggi atau berpengaruh. Kita tidak mengundi, menyokong kempen politik, atau mencuba mempengaruhi ahli politik. Malah, ramai daripada saudara saudari kita yang terlibat dalam kes mahkamah hanyalah “orang biasa yang tidak berpendidikan.” (Kis. 4:13) Maka, pihak mahkamah tidak akan mendapat apa-apa faedah jika mereka membantu kita dan menggagalkan usaha para penentang kita yang terdiri daripada ahli politik atau pemimpin agama yang berpengaruh. Namun, mahkamah berkali-kali membuat keputusan yang berpihak kepada kita! Kemenangan kita membuktikan bahawa kita berjalan ‘di hadapan Tuhan sebagai pengikut Kristus.’ (2 Kor. 2:17) Seperti rasul Paulus, kita berkata, “Yehuwalah penolongku; aku tidak akan berasa takut.”​—Ibr. 13:6.

^ per. 9 Kes Cantwell lwn. Kerajaan Negeri Connecticut merupakan kes pertama antara 43 kes yang dikendalikan oleh Saudara Hayden Covington untuk membela saudara saudari kita di Mahkamah Agung A.S. Saudara Covington telah meninggal pada tahun 1978. Isterinya Dorothy berkhidmat dengan setia sehingga kematiannya pada tahun 2015. Ketika itu dia berusia 92 tahun.

^ per. 12 Dakwaan ini dibuat berdasarkan undang-undang yang digubal pada tahun 1606. Undang-undang ini menyatakan bahawa seseorang dapat disabitkan bersalah sekiranya para juri berasa bahawa apa yang disampaikan oleh orang itu mencetuskan semangat permusuhan, meskipun apa yang disampaikannya itu benar.

^ per. 14 Pada tahun 1950, terdapat 164 penyebar sepenuh masa di Quebec, termasuk 63 lulusan Gilead yang sudi ditugaskan ke Quebec meskipun bakal menghadapi tentangan yang kuat.

^ per. 15 Saudara W. Glen How ialah seorang peguam yang berani. Dari tahun 1943 hingga 2003, dia telah memperjuangkan ratusan kes mahkamah Saksi-Saksi Yehuwa di Kanada dan di negara lain.

^ per. 16 Untuk maklumat lanjut tentang kes ini, lihat rencana “Ini Bukan Pertempuran Kamu, tetapi Pertempuran Tuhan” dalam majalah Awake! 22 April 2000, muka surat 18-24.

^ per. 32 Askar-askar akhirnya meninggalkan bangunan pejabat cawangan, namun begitu pejabat cawangan yang baru telah dibina di lokasi lain.