FOKUS BAB INI

Kerja pembinaan sedunia menyokong Kerajaan Tuhan

1, 2. (a) Apakah kerja yang sudah lama dilakukan oleh umat Yehuwa? (b) Apakah yang dihargai oleh Yehuwa?

DARI dahulu lagi, hamba Yehuwa yang setia sangat menikmati kerja pembinaan yang membawa pujian kepada nama Yehuwa. Sebagai contoh, orang Israel menjalankan kerja pembinaan khemah suci dengan bersemangat, dan mereka menyumbangkan bahan-bahan yang diperlukan dengan murah hati.​—Kel. 35:30-35; 36:1, 4-7.

2 Apa yang dipandang tinggi oleh Yehuwa bukanlah bahan-bahan binaan yang digunakan. (Mat. 23:16, 17) Bagi Yehuwa, penyembahan hamba-Nya, termasuk semangat kerelaan dan kesungguhan mereka, ialah perkara yang paling berharga, dan hal itu dapat membawa kemuliaan kepada-Nya. (Kel. 35:21; Mrk. 12:41-44; 1 Tim. 6:17-19) Mengapa? Kerana sesebuah bangunan tidak dapat kekal buat selama-lamanya. Sebagai contoh, fikirkanlah khemah suci dan Rumah Tuhan. Adakah bangunan-bangunan itu masih wujud? Tidak, tetapi Yehuwa tetap ingat akan kemurahan hati dan kerja keras yang dicurahkan oleh hamba-hamba-Nya yang setia pada masa itu.​—Baca 1 Korintus 15:58; Ibrani 6:10.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

3 Hari ini, hamba-hamba Yehuwa juga bekerja keras untuk membina tempat ibadat. Di bawah bimbingan Raja Yesus Kristus, kita telah meraih pencapaian yang sangat menakjubkan! Sememangnya, hal ini membuktikan bahawa Yehuwa telah memberkati usaha kita. (Mzm. 127:1) Dalam bab ini, kita akan membincangkan kerja pembinaan yang telah dijalankan oleh organisasi kita dan bagaimana kerja-kerja itu telah memuliakan Yehuwa. Kita juga akan membaca pengalaman beberapa saudara saudari yang terlibat dalam kerja pembinaan sebegini.

Membina Dewan Perjumpaan

4. (a) Mengapakah kita memerlukan lebih banyak tempat ibadat? (b) Mengapakah sesetengah pejabat cawangan ditutup dan digabungkan dengan pejabat cawangan lain? (Lihat kotak “ Pembinaan Pejabat Cawangan​—Disesuaikan Mengikut Keperluan Semasa.”)

4 Seperti yang telah dibincangkan di Bab 16, Yehuwa mahu kita berkumpul untuk menyembah-Nya. (Ibr.  10:25) Perjumpaan kita bukan sahaja menguatkan iman tetapi juga menguatkan semangat kita untuk menginjil. Memandangkan akhir sistem dunia ini semakin mendekat, Yehuwa sedang mempercepat kerja penyebaran. Oleh itu, ratusan ribu orang berduyun-duyun ke organisasi Tuhan setiap tahun. (Yes. 60:22) Memandangkan rakyat Kerajaan Tuhan semakin bertambah, lebih banyak tempat beribadat diperlukan. Kita juga memerlukan lebih banyak kemudahan untuk mencetakkan bahan bacaan Bible.

5. Mengapakah Saudara Rutherford mencadangkan agar tempat ibadat kita dipanggil “Dewan Kerajaan Tuhan”? (Lihat juga kotak “ Gereja Cahaya Baru.”)

5 Dari awal lagi, Pelajar Bible sedar bahawa mereka memerlukan tempat ibadat sendiri. Nampaknya tempat ibadat pertama yang dibina terletak di Virginia Barat, A.S., pada tahun 1890. Pada tahun 1930-an, umat Yehuwa telah membina atau mengubah suai sebilangan dewan, tetapi pada masa itu, tempat ibadat mereka masih tidak diberikan nama yang khas. Namun pada tahun 1935, Saudara Rutherford telah melawat pejabat cawangan baru di  Hawaii, dan pada masa itu, sebuah dewan sedang dibina bersebelahan pejabat itu. Semasa ditanya tentang nama yang sesuai bagi dewan itu, Saudara Rutherford menjawab, “Memandangkan kita semua menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan, tidakkah kamu setuju bahawa dewan itu patut dipanggil ‘Dewan Kerajaan Tuhan’?” (Mat. 24:14) Sejak masa itu, sidang-sidang umat Yehuwa di seluas dunia mula menggunakan nama “Dewan Kerajaan Tuhan” atau “Dewan Perjumpaan.”

6, 7. Bagaimanakah Dewan Perjumpaan yang dibina dengan cepat membawa kesan yang positif?

6 Pada tahun 1970-an, keperluan untuk Dewan Perjumpaan meningkat secara mendadak. Oleh itu, saudara-saudara di Amerika Syarikat memperkenalkan kaedah pembinaan yang membolehkan sebuah dewan yang cantik dan baik dibina dalam masa beberapa hari sahaja. Pada tahun 1983, kira-kira 200 Dewan Perjumpaan sedemikian dibina di Amerika Syarikat dan Kanada. Untuk melancarkan kerja pembinaan, beberapa jawatankuasa pembinaan serantau telah ditubuhkan. Memandangkan kaedah ini begitu berkesan, pada tahun 1986, Badan Pimpinan telah meluluskan aturan itu, dan pada tahun 1987, terdapat 60 Jawatankuasa Pembinaan Serantau (RBC) di Amerika Syarikat. * Pada tahun 1992, RBC juga ditubuhkan di Afrika Selatan, Argentina, Australia, Jepun, Jerman, Mexico, Perancis, dan Sepanyol. Sudah tentu kita mahu menyokong  saudara saudari yang bekerja keras untuk membina Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan, kerana kerja mereka juga merupakan khidmat suci.

7 Dewan Perjumpaan yang dibina dengan cepat selalunya memberikan kesaksian yang baik kepada penduduk tempatan. Sebagai contoh, sebuah surat khabar di Sepanyol memaparkan berita utama yang bertajuk “Iman yang Dapat Mengalihkan Gunung.” Surat khabar itu mengulas tentang Dewan Perjumpaan di bandar Martos yang dibina dengan cepat. Soalan yang ditanya dalam rencana itu ialah, “Meskipun dunia ini penuh dengan orang yang mementingkan diri sendiri, bagaimanakah mungkin para pekerja sukarela yang murah hati dari semua kawasan [di Sepanyol] dapat datang ke Martos untuk membina sebuah bangunan dengan begitu cepat, sempurna, dan teratur?” Rencana itu menjawab dengan memetik kata-kata seorang Saksi, “Kami merupakan umat yang diajar oleh Yehuwa.”

Kerja Pembinaan di Negara dengan Sumber Terhad

8. Pada tahun 1999, apakah program baru yang diluluskan oleh Badan Pimpinan, dan mengapa?

8 Pada penghujung tahun abad ke-20, orang dari negara dengan sumber yang terhad mula berduyun-duyun ke organisasi Yehuwa. Sidang tempatan membuat apa yang terdaya untuk membina tempat ibadat. Namun di  sesetengah negara, saudara saudari kita terpaksa menghadapi ejekan dan sikap prasangka orang kerana Dewan Perjumpaan mereka sangat sederhana berbanding tempat ibadat yang lain. Pada tahun 1999, Badan Pimpinan telah meluluskan sebuah program yang dapat mempercepat pembinaan Dewan Perjumpaan di negara-negara dengan sumber terhad. Dana dari negara yang mempunyai lebih banyak sumber telah dikumpulkan dan diagihkan agar “kekayaan [mereka] sekarang dapat memenuhi keperluan” saudara saudari di negara dengan sumber yang terhad. (Baca 2 Korintus 8:13-15.) Selain itu, saudara saudari dari negara-negara lain juga menawarkan diri secara sukarela untuk membantu dalam kerja pembinaan.

9. Apakah kerja yang pada mulanya kelihatan mustahil dihabiskan, tetapi apakah pencapaian kita setakat ini?

9 Pada mulanya, kerja yang terbentang di depan kita nampaknya mustahil dihabiskan. Sebuah laporan pada tahun 2001 menunjukkan bahawa lebih daripada 18,300 Dewan Perjumpaan diperlukan di 88 buah negara dengan sumber terhad. Namun, dengan adanya sokongan daya aktif Tuhan dan Raja Yesus Kristus, tidak ada apa-apa yang mustahil dilakukan. (Mat. 19:26) Dalam masa kira-kira 15 tahun, iaitu dari tahun 1999 hingga tahun 2013, umat Tuhan telah membina 26,849 Dewan Perjumpaan di bawah program ini. * Yehuwa terus memberkati kerja penyebaran, dan tiap-tiap tahun ratusan lagi dewan diperlukan. Pada tahun 2013, masih terdapat kira-kira 6,500 Dewan Perjumpaan yang perlu dibina di negara-negara dengan sumber terhad.

Membina Dewan Perjumpaan di negara dengan sumber terhad mempunyai cabaran yang unik

10-12. Bagaimanakah pembinaan Dewan Perjumpaan memuliakan nama Yehuwa?

10 Bagaimanakah pembinaan Dewan Perjumpaan di bawah program ini memuliakan nama Yehuwa? Sebuah laporan dari pejabat cawangan di Zimbabwe menyatakan, “Dalam masa satu bulan selepas sebuah Dewan Perjumpaan dibina, bilangan hadirin selalunya berganda.” Di banyak negara, selagi tempat beribadat yang sesuai belum diperoleh, nampaknya orang sedikit keberatan untuk bergaul dengan kita. Namun selepas sebuah Dewan Perjumpaan dibina, dalam masa yang singkat sahaja, dewan itu dipenuhi dengan orang, dan sebuah lagi dewan yang baru diperlukan. Walau bagaimanapun, dewan kita bukanlah sebab utama orang tertarik untuk menyembah Yehuwa. Kasih sejati yang ditunjukkan oleh para pekerja sukarela juga mempengaruhi pandangan orang terhadap organisasi Tuhan. Mari kita lihat beberapa contoh.

11 Indonesia. Seorang lelaki telah memerhatikan kerja pembinaan Dewan Perjumpaan kita. Setelah dia menyedari  bahawa para pembina Dewan Perjumpaan merupakan pekerja sukarela, dia berkata, “Kamu semua sangat hebat! Saya nampak kamu semua sangat gembira dan bekerja dengan sepenuh hati walaupun kamu tidak dibayar gaji. Saya rasa tidak ada agama lain seperti agama kamu!”

12 Ukraine. Terdapat seorang wanita yang lalu dekat kawasan tapak pembinaan Dewan Perjumpaan kita tiap-tiap hari. Dia menyimpulkan bahawa para pekerja yang sedang membina dewan itu merupakan Saksi-Saksi Yehuwa, dan bangunan yang sedang dibina ialah sebuah Dewan Perjumpaan. Dia berkata, “Saya pernah mendengar tentang Saksi-Saksi Yehuwa daripada adik perempuan saya yang juga merupakan seorang Saksi. Setelah memerhatikan kerja pembinaan itu dan melihat kasih di dalam keluarga rohani ini, saya memutuskan untuk menyertai keluarga ini.” Wanita tersebut sudi mempelajari Bible dan akhirnya dibaptis pada tahun 2010.

13, 14. (a) Apakah yang telah anda pelajari daripada reaksi sepasang suami isteri terhadap kerja pembinaan Dewan Perjumpaan? (b) Jika anda tidak berpeluang untuk menyertai kerja pembinaan Dewan Perjumpaan, bagaimanakah anda dapat memuliakan nama Yehuwa?

13 Argentina. Sepasang suami isteri menghampiri seorang saudara yang sedang menyelia pembinaan sebuah Dewan Perjumpaan. Suami itu berkata kepadanya, “Kami sentiasa mengikuti perkembangan pembinaan bangunan kamu dengan teliti dan . . . kami membuat keputusan untuk belajar tentang Tuhan di tempat ini.” Kemudian dia bertanya, “Apakah yang harus kami buat supaya kami layak menghadiri perjumpaan di sini?” Pasangan itu diberitahu bahawa mereka perlu mempelajari Bible. Mereka bersetuju, tetapi dengan syarat semua ahli keluarga mereka dapat belajar bersama-sama. Sudah tentu saudara-saudara kita gembira sekali untuk membantu mereka.

 14 Anda mungkin tidak berpeluang untuk menyertai kerja pembinaan Dewan Perjumpaan sidang anda. Namun, anda masih dapat memuliakan nama Yehuwa. Sebagai contoh, anda boleh berusaha menjemput pelajar Bible, kunjungan kembali, dan orang lain untuk menghadiri perjumpaan. Anda juga mempunyai peluang untuk membersihkan dan menjaga Dewan Perjumpaan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Dengan perancangan yang baik, anda dapat memberikan sumbangan untuk membiayai kos penyelenggaraan Dewan Perjumpaan sidang anda atau untuk menyokong kerja pembinaan Dewan Perjumpaan di serata dunia. (Baca 1 Korintus 16:2.) Semua aktiviti ini sememangnya membawa pujian kepada nama Yehuwa.

Pekerja yang “Menolong dengan Sukarela”

15-17. (a) Kebanyakan kerja pembinaan dijalankan oleh siapa? (b) Apakah yang telah anda pelajari daripada komen yang diberikan oleh pasangan suami isteri yang telah mengambil bahagian dalam projek pembinaan antarabangsa?

15 Saudara saudari tempatan bekerja keras untuk membina Dewan Perjumpaan, Dewan Perhimpunan, dan bangunan-bangunan pejabat cawangan. Selalunya, saudara saudari dari negara lain yang berpengalaman juga datang untuk memberikan bantuan. Ada antara mereka yang telah mengaturkan jadual mereka agar dapat membantu dalam projek pembinaan antarabangsa selama beberapa minggu. Ada juga yang membantu selama bertahun-tahun, dan mereka telah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk menjalankan kerja ini.

Timo dan Lina Lappalainen (Lihat perenggan 16)

16 Terdapat cabaran-cabaran unik yang dihadapi oleh saudara saudari kita yang terlibat dalam projek pembinaan antarabangsa. Namun, mereka juga mendapat banyak berkat. Perhatikan pengalaman Timo dan Lina. Mereka telah pergi ke Amerika Selatan, Asia, dan Eropah untuk membantu dalam projek pembinaan Dewan Perjumpaan, Dewan Perhimpunan, dan bangunan pejabat cawangan. Timo berkata, “Selama 30 tahun, saya ditugaskan ke tempat yang baru lebih kurang dua tahun sekali.” Lina, yang sudah berkahwin dengan Timo selama 25 tahun berkata, “Saya dan Timo telah berkhidmat di 10 buah negara yang berbeza. Masa dan usaha diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan makanan baru, persekitaran baru, bahasa baru, kawasan penyebaran baru, dan kawan baru.” * Adakah usaha mereka berbaloi? “Cabaran-cabaran itu,” kata Lina, “mendatangkan berkat yang terbesar. Kami merasai kasih Kristian dan kebaikan yang ditunjukkan oleh saudara saudari. Kami dapat merasakan bahawa Yehuwa benar-benar mengasihi kami. Adik-beradik dan ibu rohani  kami telah meningkat 100 kali ganda, seperti yang dijanjikan oleh Yesus di Markus 10:29, 30.” Timo berkata, “Kami berasa sangat puas hati kerana dapat menggunakan kemahiran kami untuk tujuan yang paling mulia, iaitu untuk membantu menambahkan harta milik Raja kita.”

17 Darren dan Sarah, yang telah membantu dalam projek pembinaan di Afrika, Amerika Selatan, Amerika Tengah, Asia, Eropah, dan negara-negara di Pasifik Selatan, berasa bahawa mereka telah menerima lebih banyak daripada apa yang telah diberikan oleh mereka. Meskipun mereka perlu menghadapi banyak cabaran, Darren berkata, “Kami berbesar hati kerana dapat bekerja dengan saudara saudari dari seluruh pelosok dunia. Saya nampak dengan mata sendiri bagaimana kasih kita terhadap Yehuwa ibarat benang yang mengelilingi dunia dan menyatukan kita semua.” Sarah berkata, “Saya telah belajar banyak daripada saudara saudari kita yang datang dari pelbagai latar budaya! Semasa saya melihat pengorbanan yang dibuat oleh mereka untuk menyembah Yehuwa, saya terdorong untuk terus memberikan apa yang terbaik.”

18. Bagaimanakah nubuat di Mazmur 110:1-3 menjadi kenyataan?

18 Raja Daud bernubuat bahawa meskipun rakyat Kerajaan Tuhan perlu berdepan dengan pelbagai cabaran, mereka akan “menolong dengan sukarela” demi kepentingan Kerajaan Tuhan. (Baca Mazmur 110:1-3.) Nubuat itu menjadi kenyataan apabila kita semua terlibat dalam kerja yang menunjukkan sokongan kita bagi Kerajaan Tuhan. (1 Kor. 3:9) Bangunan-bangunan pejabat cawangan, ratusan Dewan Perhimpunan, dan ribuan Dewan Perjumpaan di serata dunia merupakan bukti kukuh bahawa Kerajaan Tuhan adalah nyata dan sedang memerintah. Alangkah besarnya penghormatan yang diberikan kepada kita untuk berkhidmat kepada Raja Yesus Kristus dan menyertai kerja yang memuliakan Yehuwa!

^ per. 6 Pada tahun 2013, lebih daripada 230,000 pekerja sukarela diterima untuk bekerja di bawah jagaan 132 RBC di Amerika Syarikat. Tiap-tiap tahun, jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk mengaturkan pembinaan bagi kira-kira 75 Dewan Perjumpaan baru dan membantu mengubah suai atau membaiki kira-kira 900 dewan di A.S.

^ per. 9 Angka ini tidak termasuk jumlah Dewan Perjumpaan yang dibina di negara-negara yang tidak mendapat bantuan daripada program ini.

^ per. 16 Pekhidmat antarabangsa dan pekerja sukarela antarabangsa meluangkan kebanyakan masa mereka di tapak pembinaan, tetapi mereka juga menyertai kerja penyebaran bersama sidang tempatan selepas waktu kerja atau pada hujung minggu.