Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 20

Kerja Membantu Mangsa Bencana Memuliakan Yehuwa

Kerja Membantu Mangsa Bencana Memuliakan Yehuwa

FOKUS BAB INI

Memperlihatkan kasih Kristian semasa bencana berlaku

1, 2. (a) Apakah kesusahan yang dihadapi oleh orang Kristian di Yudea? (b) Bagaimanakah orang Kristian di Yudea merasai kasih sejati saudara saudari mereka?

KIRA-KIRA pada tahun 46 M, seluruh Yudea dicengkam kebuluran. Harga makanan melambung tinggi, dan orang Kristian berbangsa Yahudi di situ tidak mampu membeli makanan. Mereka kelaparan, dan nampaknya keadaan akan bertambah buruk. Tetapi mereka bakal menyaksikan kuasa perlindungan Yehuwa dalam cara yang cukup istimewa. Apakah yang bakal berlaku?

2 Setelah orang Kristian yang berbilang bangsa di Antiokhia, Siria, mengetahui kesusahan yang dialami oleh rakan seiman mereka di Yerusalem dan Yudea, mereka didorong untuk menyediakan bantuan kewangan. Kemudian, mereka memilih Barnabas dan Saulus untuk menghantar bantuan itu ke Yerusalem. (Baca Kisah 11:27-30; 12:25.) Bayangkan betapa tersentuhnya saudara saudari di Yudea dengan kasih sejati yang ditunjukkan oleh rakan seiman mereka di Antiokhia!

3. (a) Bagaimanakah umat Tuhan dewasa ini mengikut teladan orang Kristian di Antiokhia? Berikan satu contoh. (Lihat juga kotak “ Usaha Besar-besaran yang Pertama.”) (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

3 Peristiwa itu merupakan catatan pertama dalam Bible yang menceritakan bagaimana orang Kristian telah menghulurkan bantuan kepada rakan seiman mereka di tempat yang lain. Dewasa ini, kita mencontohi teladan saudara saudari kita di Antiokhia. Sekiranya kita mendapat berita bahawa saudara saudari kita di tempat lain ditimpa bencana ataupun menghadapi kesusahan, kita bersedia menghulurkan bantuan. * Untuk mengetahui kaitan antara kerja membantu mangsa bencana dengan khidmat suci kita yang lain, marilah kita perhatikan tiga soalan yang berikut: Mengapakah kita memandang kerja membantu mangsa bencana sebagai sebahagian daripada khidmat suci kita? Mengapakah kita membantu mangsa bencana? Bagaimanakah kerja ini membawa manfaat kepada kita?

Mengapakah Kerja Membantu Mangsa Bencana Merupakan “Khidmat Suci”?

4. Apakah yang dikatakan oleh Paulus tentang khidmat suci orang Kristian?

4 Dalam suratnya yang kedua kepada sidang Korintus, Paulus menjelaskan bahawa khidmat orang Kristian merangkumi  dua tugas. Meskipun surat Paulus ditujukan kepada kaum terurap, prinsip dalam suratnya juga dapat diterapkan oleh “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16) Pertama, khidmat suci kita merangkumi “tugas untuk membantu orang lain berbaik semula” dengan Tuhan. Kita melaksanakan tugas itu melalui kerja menginjil dan mengajar orang. (2 Kor. 5:18-20; 1 Tim. 2:3-6) Kedua, khidmat suci kita merangkumi tugas untuk membantu rakan seiman. Secara khusus, Paulus menyebut tentang tugas “untuk membantu umat suci Tuhan.” (2 Kor. 8:4) Dalam bahasa Yunani asal, Paulus menggunakan satu perkataan Yunani, iaitu di·a·ko·niʹa, untuk merujuk kepada kedua-dua tugas itu. Apakah yang dapat kita pelajari daripada hal ini?

5. Paulus telah menggunakan perkataan Yunani yang sama untuk merujuk kepada kerja membantu mangsa bencana dan tugas-tugas lain dalam sidang. Apakah yang dapat kita pelajari daripada hal ini?

5 Memandangkan Paulus menggunakan perkataan Yunani yang sama untuk merujuk kepada kerja membantu mangsa bencana dan tugas-tugas lain dalam sidang, kita dapat tahu bahawa semua kerja itu sama penting. Dia juga berkata, “Ada berbagai-bagai cara untuk berkhidmat kepada orang lain, tetapi semuanya dilakukan untuk Tuan yang sama. Ada berbagai-bagai kegiatan, . . . [tetapi] semua itu dilakukan oleh daya aktif yang sama.” (1 Kor. 12:4-6, 11) Jadi, Paulus sedang menyatakan bahawa semua kerja itu merupakan “khidmat suci.” * (Rm. 12:1, 6-8) Maka Paulus berasa bahawa dia patut meluangkan masa “untuk memberikan bantuan kepada umat suci Tuhan.”​—Rm. 15:25, 26.

6. (a) Seperti yang dijelaskan oleh Paulus, mengapakah usaha membantu mangsa bencana ialah sebahagian daripada ibadat kita? (b) Jelaskan bagaimana kerja membantu mangsa bencana dijalankan di serata dunia. (Lihat kotak “ Apabila Bencana Melanda!” pada muka surat 242.)

6 Paulus membantu orang Kristian di Korintus untuk memahami mengapa kerja membantu mangsa bencana ialah sebahagian daripada khidmat suci dan ibadat mereka. Dia menjelaskan bahawa orang Kristian menghulurkan bantuan sedemikian kerana mereka “taat kepada berita baik tentang Kristus.” (2 Kor. 9:13) Maka, orang Kristian membantu rakan seiman kerana mereka ingin menerapkan ajaran Kristus. Paulus menyatakan bahawa kebaikan hati mereka sebenarnya mencerminkan ‘kebaikan hati Tuhan yang sangat unggul.’ (2 Kor. 9:14; 1 Ptr. 4:10) Majalah The Watchtower terbitan 1 Disember 1975 menyatakan bahawa bantuan yang diberikan kepada saudara saudari juga merangkumi bantuan yang diberikan semasa mereka ditimpa bencana. Dalam hal ini, majalah tersebut juga menyatakan, “Kita tidak harus meragui bahawa Tuhan Yehuwa dan Anak-Nya Yesus Kristus menganggap khidmat ini sebagai satu kerja yang amat penting.” Ya, kerja membantu mangsa bencana merupakan salah satu bentuk khidmat suci.​—Rm. 12:1, 7; 2 Kor. 8:7; Ibr. 13:16.

 Mengapa Kita Membantu Mangsa Bencana

7, 8. Apakah sebab pertama kita membantu mangsa bencana? Jelaskan.

7 Mengapakah kita membantu mangsa bencana? Paulus menjawab soalan itu dalam suratnya yang kedua kepada sidang di Korintus. (Baca 2 Korintus 9:11-15.) Dalam ayat-ayat itu, Paulus telah menjelaskan tiga sebab kita membantu mangsa bencana. Mari kita bincangkannya satu per satu.

8 Pertama, kerja ini memuliakan Yehuwa. Dalam lima ayat yang dibaca tadi, perhatikan bahawa Paulus sering menghalakan perhatian saudara saudarinya kepada Yehuwa. Dia mengatakan bahawa kerja mereka akan menyebabkan “ucapan syukur” dan “banyak ucapan syukur” diberikan kepada Tuhan. (Ayat 11, 12) Dia juga menyebut tentang bagaimana kerja membantu mangsa bencana mendorong orang Kristian untuk “memuliakan Tuhan” dan bersyukur atas “kebaikan hati-Nya yang sangat unggul.” (Ayat 13, 14) Paulus mengakhiri kata-katanya dengan menyatakan, “Marilah kita bersyukur kepada Tuhan.”—Ayat 15; 1 Ptr. 4:11.

9. Bagaimanakah usaha kita untuk membantu mangsa bencana dapat mempengaruhi fikiran orang? Berikan satu contoh.

9 Seperti Paulus, kita menganggap kerja membantu mangsa bencana sebagai peluang untuk memuliakan Yehuwa dan menghiasi ajaran-Nya. (1 Kor. 10:31; Tit. 2:10) Apabila kita membantu mangsa bencana, hal ini sering kali dapat mengubah pandangan buruk orang terhadap Yehuwa dan Saksi-Saksi-Nya. Perhatikanlah contoh seorang wanita yang tinggal di sebuah kawasan yang dilanda ribut taufan. Dari dahulu lagi, dia telah meletakkan tanda “Saksi-Saksi Yehuwa​—Jangan Datang” di pintunya. Pada suatu hari, dari rumahnya dia nampak ada sebilangan pekerja yang sedang membaiki rumah di seberang jalan. Setelah memerhatikan para pekerja itu selama berhari-hari, akhirnya dia menghampiri mereka untuk mengetahui siapa mereka. Dia sangat kagum apabila mengetahui bahawa mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa. “Saya sudah salah sangka terhadap kamu,” katanya. Apakah yang berlaku kemudian? Wanita tersebut menurunkan tanda itu dari pintunya.

10, 11. (a) Berikan contoh untuk menunjukkan bagaimana kita telah memberikan ‘bantuan secara melimpah’ kepada rakan seiman yang dilanda bencana. (b) Apakah bahan bacaan yang membantu pekerja sukarela yang terlibat dalam kerja membantu mangsa bencana? (Lihat kotak “ Sebuah Brosur untuk Menjelaskan Usaha Organisasi Kita.”)

10 Kedua, kita mahu memberikan ‘bantuan secara melimpah’ kepada rakan seiman. (2 Kor. 9:12a) Kita ingin memenuhi keperluan saudara saudari kita dan mengurangkan kesusahan mereka. Mengapa? Kerana sidang Kristian ibarat “satu tubuh,” dan “jika satu anggota menderita, semua anggota lain turut menderita bersamanya.” (1 Kor. 12:20, 26) Oleh itu, sebaik sahaja bantuan diperlukan, kasih persaudaraan dan rasa belas kasihan telah mendorong ramai saudara saudari untuk mengubah jadual masa sendiri dan pergi ke tempat yang dilanda bencana. Mereka mempersiapkan peralatan sendiri dan bertolak ke  tempat kejadian untuk membantu rakan seiman. (Yak. 2:15, 16) Contohnya, selepas Jepun dilanda tsunami pada tahun 2011, pejabat cawangan Amerika Syarikat mengirim surat kepada Jawatankuasa Pembinaan Serantau Amerika Syarikat. Mereka ingin menjemput “beberapa orang yang layak” untuk membantu membina semula dewan-dewan perjumpaan di sana. Apakah reaksi saudara saudari kita? Dalam masa beberapa minggu sahaja, hampir 600 orang telah menawarkan diri, dan mereka bersetuju untuk membiayai kos penerbangan sendiri ke Jepun. Pejabat cawangan di Amerika Syarikat menyatakan, “Sambutan saudara saudari kita sungguh mengagumkan.” Semasa seorang saudara di Jepun bertanya kepada salah seorang saudara mengapa dia datang untuk membantu mereka, dia diberitahu, “Saudara saudari kita di Jepun ialah anggota ‘tubuh kita.’ Kami merasai keperitan dan kesusahan mereka.” Oleh sebab para pekerja sukarela mengasihi rakan seiman, ada kalanya mereka telah mempertaruhkan nyawa sendiri untuk membantu saudara saudari mereka. *​—1 Yoh. 3:16.

11 Orang yang bukan Saksi juga menghargai kerja kita. Contohnya, selepas negeri Arkansas, A.S., dilanda bencana pada tahun 2013, sebuah surat khabar melaporkan, “Organisasi Saksi-Saksi Yehuwa telah mengaturkan pekerja sukarela dengan baik supaya mereka dapat memberikan bantuan dengan cekap dan mahir.” Ya, seperti yang dinyatakan oleh Paulus, kita memberikan ‘bantuan secara melimpah’ kepada saudara saudari yang menghadapi kesusahan.

12-14. (a) Mengapakah kita berusaha membantu mangsa bencana untuk bergiat semula dalam aktiviti rohani? (b) Apakah yang dikatakan oleh saudara saudari kita yang menunjukkan pentingnya untuk bergiat semula dalam aktiviti rohani?

12 Ketiga, kita membantu saudara saudari yang menderita akibat bencana supaya mereka dapat bergiat semula dalam aktiviti rohani. Mengapakah hal ini penting? Paulus menyatakan bahawa mereka yang dibantu akan terdorong untuk mengucapkan ‘banyak syukur kepada Tuhan.’ (2 Kor. 9:12b) Apabila mangsa-mangsa bencana bergiat semula dalam aktiviti rohani, itulah cara yang terbaik bagi mereka untuk mengungkapkan rasa syukur kepada Yehuwa. (Flp. 1:10) Pada tahun 1945, majalah The Watchtower menyatakan, ‘Paulus menyokong kerja mengumpulkan sumbangan yang dapat membantu saudara saudari Kristian yang menghadapi kesusahan. Dengan demikian, mereka dapat menginjil dengan lebih bersemangat.’ Hari ini, kita berbuat demikian untuk tujuan yang sama. Apabila saudara saudari yang menderita akibat bencana dapat bergiat semula dalam kerja penyebaran, mereka bukan sahaja dapat menguatkan jiran tetangga, malah dapat menabahkan diri sendiri.​—Baca 2 Korintus 1:3, 4.

 13 Perhatikan beberapa komen daripada saudara-saudari kita yang dibantu untuk bergiat semula dalam aktiviti penyebaran dan yang digalakkan melalui aktiviti itu. Seorang saudara berkata, “Syukurlah kami sekeluarga dapat menyertai kerja penyebaran. Apabila kami mencuba melegakan hati orang lain, kami berasa seperti berehat seketika daripada rasa khuatir tentang masalah diri sendiri.” Seorang saudari berkata, “Dengan bergiat dalam aktiviti-aktiviti rohani, saya dibantu untuk melupakan kemusnahan di sekeliling saya. Saya berasa selamat.” Seorang lagi saudari berkata, “Walaupun banyak perkara berada di luar kawalan kami, aktiviti penyebaran membantu keluarga saya untuk bertumpu pada harapan masa depan kami. Setelah memberitahu orang tentang harapan dunia baru, kami semakin yakin bahawa semuanya akan menjadi baru.”

14 Rakan seiman kita di kawasan yang dilanda bencana juga perlu mula menghadiri perjumpaan dengan secepat yang mungkin. Kegiatan rohani ini sangat penting dan tidak patut diabaikan. Mari kita lihat apa yang berlaku kepada Kiyoko. Kawasannya telah dilanda tsunami semasa dia berumur lewat 50-an. Dia kehilangan segala-galanya kecuali pakaian dan kasut yang dipakainya. Dia berasa bingung dan tidak tahu bagaimana dia akan meneruskan kehidupannya. Kemudian seorang penatua memberitahunya bahawa mereka akan mengadakan perjumpaan di dalam kereta penatua itu. Kiyoko berkata, “Saya bersama penatua dan isterinya serta seorang saudari yang lain duduk di dalam kereta itu. Walaupun perjumpaan itu singkat sahaja, saya dibantu untuk melupakan peristiwa tsunami yang berlaku. Hal itu sungguh menakjubkan! Fikiran saya sangat tenang. Perjumpaan itu telah menunjukkan betapa pentingnya pergaulan Kristian.” Seorang saudari yang menghadiri perjumpaan selepas kawasannya dilanda bencana berkata, “Perjumpaan sedemikian membantu saya untuk bertahan.”​—Rm. 1:11, 12; 12:12.

Kerja Membantu Mangsa Bencana Membawa Manfaat yang Berkekalan

15, 16. (a) Apakah manfaat yang diraih oleh orang Kristian di Korintus dan di tempat lain semasa mereka membantu mangsa bencana? (b) Dewasa ini, apakah manfaat yang kita raih kerana membantu mangsa bencana?

15 Paulus juga menjelaskan kepada orang Korintus tentang manfaat yang akan diraih oleh mereka dan orang Kristian di tempat lain yang membantu mangsa bencana. Dia berkata, “Mereka [orang Kristian berbangsa Yahudi di Yerusalem yang telah dibantu] sangat mengasihi kamu dan mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh bagi pihak kamu kerana Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati-Nya yang sangat  unggul kepada kamu.” (2 Kor. 9:14) Ya, kemurahan hati sidang Korintus telah mendorong orang Kristian berbangsa Yahudi untuk berdoa bagi saudara saudari mereka yang berbilang bangsa di Korintus. Hal ini pasti telah menyebabkan ikatan kasih antara mereka bertambah kukuh.

16 Seperti yang dikatakan oleh Paulus, kita juga memperoleh manfaat apabila kita membantu mangsa bencana. Mengenai hal ini, majalah The Watchtower terbitan 1 Disember 1945 menyatakan, “Apabila umat Tuhan membantu rakan seiman di tempat lain yang menghadapi kesusahan, bayangkanlah betapa kukuhnya perpaduan yang akan terjalin dalam kalangan mereka!” Hal itu tepat menggambarkan perasaan saudara saudari kita dewasa ini yang terlibat dalam kerja membantu mangsa bencana. “Saya berasa semakin rapat dengan saudara saudari kerana melakukan kerja ini,” kata seorang penatua yang terlibat dalam kerja membantu mangsa banjir. Seorang saudari sangat bersyukur kerana menerima bantuan. Dia berkata, “Persaudaraan yang kita miliki sekarang ini paling sesuai menggambarkan keadaan di bumi Firdaus.”​—Baca Amsal 17:17.

17. (a) Apakah kaitan kata-kata di Yesaya 41:13 dengan kerja membantu mangsa bencana? (b) Berikan beberapa contoh untuk menunjukkan bagaimana kerja membantu mangsa bencana memuliakan Yehuwa dan menguatkan ikatan perpaduan kita. (Lihat juga kotak “ Pekerja Sukarela Membawa Kelegaan.”)

17 Apabila para pekerja sukarela tiba di tempat yang dilanda bencana, saudara saudari yang tinggal di situ dapat melihat bagaimana Tuhan menunaikan janji-Nya yang berikut: ‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, “Jangan takut, Aku akan menolong kamu.”’ (Yes. 41:13) Seorang saudari yang terselamat  berkata, “Saya hilang harapan setelah melihat kemusnahan yang berlaku, tetapi Yehuwa menghulurkan tangan-Nya. Bantuan yang diberikan oleh saudara saudari tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.” Selepas bencana alam membinasakan sebuah kawasan, dua orang penatua di situ menulis bagi pihak sidang mereka, “Gempa bumi membuat kami menderita, tetapi kami telah merasakan bagaimana Yehuwa menghulurkan bantuan melalui saudara saudari. Kami pernah membaca tentang kerja membantu mangsa bencana, tetapi kali ini, kami dapat melihatnya dengan mata sendiri.”

Apakah Peranan Anda?

18. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda ingin menyertai kerja membantu mangsa bencana? (Lihat juga kotak “ Haluan Hidupnya Berubah.”)

18 Inginkah anda menikmati sukacita yang diraih daripada kerja membantu mangsa bencana? Jika ya, ingatlah bahawa ahli-ahli kumpulan pembinaan Dewan Perjumpaan biasanya akan dipilih untuk menyertai kerja membantu mangsa bencana. Jadi beritahulah penatua bahawa anda ingin menyertai kumpulan pembinaan Dewan Perjumpaan. Seorang penatua yang berpengalaman dalam kerja membantu mangsa bencana memberikan peringatan berikut: “Jangan pergi ke tempat kejadian selagi anda belum menerima jemputan rasmi daripada Jawatankuasa Bantuan Bencana.” Jika kita bekerjasama, kerja membantu mangsa bencana dapat dilakukan dengan teratur.

19. Bagaimanakah saudara saudari kita yang membantu mangsa bencana menunjukkan bahawa mereka ialah pengikut Kristus yang sejati?

19 Salah satu cara kita mematuhi arahan Kristus untuk “saling mengasihi” adalah dengan menyertai kerja membantu mangsa bencana. Dengan berbuat demikian, kita membuktikan bahawa kita ialah pengikut Kristus yang sejati. (Yoh. 13:34, 35) Alangkah gembiranya kita kerana begitu ramai saudara saudari rela membantu para penyokong Kerajaan Tuhan yang ditimpa kesusahan! Usaha dan pengorbanan mereka sesungguhnya memuliakan Yehuwa!

^ per. 3 Bab ini membincangkan usaha untuk membantu saudara saudari kita yang ditimpa bencana. Namun, kerja kita sering kali juga membawa manfaat kepada orang yang bukan Saksi.​—Gal. 6:10.

^ per. 5 Paulus menggunakan perkataan di·aʹko·nos dalam bentuk jamak untuk merujuk kepada “pembantu sidang.”​—1 Tim. 3:12.

^ per. 10 Lihat rencana “Membantu Keluarga Rohani Kita di Bosnia,” dalam majalah The Watchtower terbitan 1 November 1994, muka surat 23-27.