Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 18

Cara Kegiatan Kerajaan Tuhan Dibiayai

Cara Kegiatan Kerajaan Tuhan Dibiayai

FOKUS BAB INI

Sebabnya umat Yehuwa menyokong kegiatan Kerajaan Tuhan dari segi kewangan, dan cara mereka melakukannya

1, 2. (a) Bagaimanakah Saudara Russell menjawab seorang paderi yang ingin mengetahui bagaimana kerja Pelajar Bible dibiayai? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam bab ini?

PERNAH sekali, seorang paderi Gereja Reformasi berjumpa dengan Saudara Charles Taze Russell. Dia ingin tahu bagaimana kegiatan Pelajar Bible dibiayai.

“Kami tidak pernah memungut derma,” jelas Saudara Russell.

“Jadi bagaimana kamu mendapat duit?” tanya paderi itu.

“Jika saya beritahu kamu pun, kamu tidak akan percaya,” jawab Russell. “Semasa orang menghadiri perjumpaan kami, kami tidak menghulurkan bakul kepada mereka untuk mengutip derma. Namun mereka tahu bahawa ada perbelanjaan yang perlu dibiayai. Mereka berfikir, ‘Wang diperlukan untuk dewan ini . . . Bagaimanakah saya dapat memberikan sedikit sumbangan?’”

Paderi itu memandang Saudara Russell. Dia tidak mempercayai apa yang didengarnya.

“Saya memang bercakap benar,” kata Russell. “Mereka tanya saya, ‘Bagaimanakah saya dapat menyumbangkan sedikit wang untuk kerja ini?’ Apabila seseorang diberkati dan mampu menderma, dia ingin memberikan sesuatu kepada Tuan kita. Jika dia tidak mampu, buat apa kita memberinya tekanan untuk menderma?” *

2 Saudara Russell “memang bercakap benar.” Sejak zaman kuno, umat Tuhan telah memberikan sumbangan secara sukarela untuk menyokong ibadat sejati. Bab ini akan membincangkan sejarah moden kita dan  contoh-contoh Bible dalam hal memberikan sumbangan. Semasa kita memikirkan bagaimana kegiatan Kerajaan Tuhan dibiayai hari ini, tanyalah diri anda, “Bagaimanakah saya dapat menyokong Kerajaan Tuhan?”

Sesiapa yang Rela Harus Membawa Persembahan

3, 4. (a) Yehuwa yakin bahawa para penyembah-Nya akan membuat apa? (b) Bagaimanakah orang Israel menunjukkan sokongan mereka terhadap kerja membina khemah suci?

3 Yehuwa yakin pada para penyembah-Nya. Dia percaya bahawa para penyembah-Nya akan memberi dengan rela hati jika mereka berpeluang berbuat demikian. Perhatikan dua contoh yang berikut.

4 Selepas Tuhan Yehuwa membawa orang Israel keluar dari Mesir, Dia menyuruh mereka membina sebuah khemah suci untuk tujuan ibadat. Banyak perbelanjaan diperlukan untuk membina khemah itu dan perabot-perabot di dalamnya. Melalui Musa, Yehuwa memberi umat-Nya peluang untuk menyokong projek pembinaan itu. Musa berkata kepada orang Israel, “Sesiapa yang ingin memberikan persembahan harus mempersembahkan emas, perak, atau gangsa.” (Kel. 35:5) Memandangkan umat Tuhan baru sahaja dibebaskan daripada perhambaan di Mesir, bagaimanakah mereka menyahut seruan itu? (Kel. 1:14) Mereka menderma emas, perak, dan barang-barang berharga lain yang mungkin telah diambil daripada orang Mesir yang menguasai mereka dahulu. (Kel. 12:35, 36) Orang Israel memberi begitu banyak sumbangan sehingga Musa harus “memberitahu segenap umat supaya tidak membawa sumbangan lagi.”​—Kel. 36:4-7.

5. Apakah reaksi orang Israel semasa Daud memberi mereka peluang untuk menyumbang kepada kerja pembinaan Rumah Tuhan?

5 Kira-kira 475 tahun kemudian, Daud telah menggunakan ‘harta milik sendiri’ untuk membiayai pembinaan Rumah Tuhan, iaitu bangunan kekal pertama di bumi yang digunakan untuk ibadat sejati. Kemudian Daud bertanya kepada rakyatnya, ‘Siapakah lagi mahu memberikan persembahan kepada Yehuwa dengan senang hati?’ Apakah reaksi umat Israel terhadap peluang ini? Mereka telah ‘memberikan sumbangan kepada Yehuwa dengan ikhlas dan rela hati.’ (1 Taw. 29:3-9) Daud sedar bahawa sumbangan itu sebenarnya berasal daripada Yehuwa. Semasa berdoa dia berkata, “Segalanya adalah pemberian-Mu  dan apa yang kami berikan ini kepunyaan-Mu juga.”​—1 Taw. 29:14.

6. Mengapakah wang diperlukan untuk menjalankan kegiatan Kerajaan Tuhan hari ini? Apakah soalan-soalan yang timbul?

6 Musa dan Daud tidak memaksa umat Tuhan untuk memberi. Sebaliknya, para penyembah Yehuwa telah memberi dengan rela hati. Dewasa ini, kita sedar bahawa kegiatan yang dijalankan oleh Kerajaan Tuhan juga memerlukan wang. Banyak belanja diperlukan untuk menerbitkan dan mengedarkan Bible dan bahan bacaan Bible, untuk membina dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan dan bangunan pejabat cawangan, dan untuk menyediakan bantuan kecemasan bagi rakan-rakan seiman yang menderita akibat bencana. Jadi, bagaimanakah kita mendapat wang yang diperlukan? Adakah para pengikut Raja kita perlu didesak untuk menderma?

“Kami Tidak akan Mengemis atau Merayu”

7, 8. Mengapakah umat Yehuwa tidak mengemis atau merayu untuk mendapatkan sumbangan?

7 Saudara Russell dan rakan-rakannya enggan mendapatkan wang dengan menggunakan helah yang telah digunakan oleh banyak gereja Kristian. Dalam terbitan kedua Watch Tower, di bawah tajuk “Adakah Anda Menginginkan ‘Zion’s Watch Tower’?” Russell menyatakan, “Kami percaya bahawa ‘Zion’s Watch Tower’ disokong oleh YEHUWA. Selagi Dia menyokong kerja ini, kami tidak akan mengemis atau merayu untuk mendapatkan sokongan kewangan. Apabila Dia yang berfirman ‘segala emas dan perak di dunia ini milik-Ku’ tidak dapat menyediakan wang yang diperlukan, kami akan faham bahawa itulah masanya untuk menghentikan penerbitan majalah ini.” (Hag. 2:7-9) Lebih daripada 130 tahun kemudian, majalah The Watchtower masih diterbitkan, dan organisasi yang menerbitkan majalah itu masih wujud!

8 Umat Yehuwa tidak akan mengemis. Mereka tidak akan menghulurkan beg atau dulang semasa beribadat untuk mengumpulkan wang, dan mereka tidak akan mengirim surat kepada orang untuk meminta derma. Mereka juga tidak akan mengadakan bazar, jualan amal, atau konsert doa untuk mengumpulkan wang. Mereka masih berpegang pada apa yang dinyatakan dalam Watch Tower lama dahulu, “Kami tidak pernah berasa bahawa meminta wang daripada  orang lain untuk melakukan kerja Tuan kita, seperti yang dilakukan oleh gereja-gereja lain, ialah perbuatan yang betul . . . Kami mendapati bahawa jika kami menggunakan nama Tuan kita untuk meminta wang, wang sebegini tidak akan diterima-Nya dan tidak akan menyenangkan hati-Nya. Dia juga tidak akan memberkati orang yang menderma dan kerja yang dilakukan.” *

‘Lakukanlah Apa yang telah Diputuskan dalam Hati Masing-masing’

9, 10. Apakah satu sebab kita memberikan sumbangan dengan rela hati?

9 Sebagai rakyat Kerajaan Tuhan, kita tidak perlu didesak untuk menderma. Sebaliknya kita rela menggunakan wang dan apa-apa yang kita miliki untuk menyokong kerja Kerajaan Tuhan. Mengapakah kita rela memberi? Perhatikan tiga sebab.

10 Pertama, kita memberikan sumbangan dengan rela hati kerana kita mengasihi Yehuwa dan ingin “melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati-Nya.” (1 Yoh. 3:22) Apabila kita memberi dengan rela hati, Yehuwa berasa sangat gembira. Mari kita kaji kata-kata rasul Paulus tentang sikap orang Kristian semasa memberi. (Baca 2 Korintus 9:7.) Orang Kristian sejati tidak perlu dipaksa untuk memberi, dan mereka tidak keberatan untuk memberi. Sebaliknya, mereka memberi menurut “apa yang telah diputuskan dalam hati masing-masing.” * Maksudnya, apabila seorang Kristian mendapati bahawa ada keperluan yang perlu dipenuhi, dia akan memberikan sumbangan setelah memikirkan apa yang dapat dilakukan olehnya. Orang sedemikian berharga bagi Yehuwa, kerana “Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”

Adik-adik di Mozambique gemar memberi

11. Apakah yang menggerakkan kita untuk memberi Yehuwa persembahan terbaik menurut kemampuan kita?

11 Kedua, kita memberikan sumbangan sebagai tanda syukur kepada Yehuwa atas berkat-berkat yang dicurahkan oleh-Nya. Perhatikan bagaimana prinsip yang terkandung dalam Hukum Musa mendorong seseorang untuk memeriksa niat hatinya. (Baca Ulangan 16:16, 17.) Semasa kaum lelaki menghadiri tiga perayaan tahunan orang Israel, mereka masing-masing perlu membawa persembahan “menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan” oleh Yehuwa  kepada mereka. Maka, sebelum menghadiri perayaan, setiap lelaki perlu merenungkan berkat-berkat yang dinikmatinya. Kemudian, dia harus berfikir secara mendalam dan memutuskan persembahan terbaik yang dapat diberikannya kepada Yehuwa. Begitu juga, apabila kita memikirkan berkat-berkat yang dicurahkan oleh Yehuwa ke atas kita, kita terdorong untuk memberi-Nya persembahan yang terbaik menurut kemampuan kita. Persembahan yang kita berikan dengan sepenuh hati, termasuk sumbangan kita, menunjukkan bahawa kita menghargai berkat-berkat Yehuwa.​—2 Kor. 8:12-15.

12, 13. Bagaimanakah sumbangan sukarela kita memperlihatkan kasih kita terhadap Raja Yesus? Berapa banyakkah yang harus diberikan oleh setiap orang?

12 Ketiga, apabila kita memberikan sumbangan dengan rela hati, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Raja Yesus Kristus. Bagaimana? Perhatikan kata-kata Yesus kepada murid-muridnya pada malam sebelum dia meninggal. (Baca Yohanes 14:23.) “Sesiapa yang mengasihi aku akan mematuhi ajaranku,” kata Yesus. ‘Ajaran’ Yesus merangkumi perintahnya untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan ke serata dunia. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Kita ‘mematuhi ajaran’ Yesus apabila kita melakukan apa yang terdaya untuk menyokong kerja penyebaran, iaitu dengan menggunakan masa, tenaga, dan harta milik kita. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Raja Mesias.

13 Sebagai rakyat yang setia, kita ingin sekali menyokong Kerajaan Tuhan dengan memberikan sumbangan kewangan. Berapa banyakkah sumbangan yang harus kita beri? Itu keputusan peribadi. Setiap orang akan memberikan apa yang terbaik menurut kemampuannya. Ramai saudara saudari kita miskin dan tidak mampu memberi banyak sumbangan dari segi kebendaan. (Mat. 19:23, 24; Yak. 2:5) Namun demikian, Tuhan Yehuwa dan Anak-Nya Yesus Kristus amat menghargai apa yang diberikan oleh mereka dengan rela hati.​—Mrk. 12:41-44.

Bagaimanakah Wang Diterima?

14. Selama bertahun-tahun, apakah yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa semasa menawarkan bahan bacaan?

14 Selama bertahun-tahun, semasa Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan bahan bacaan, mereka akan menjemput penghuni rumah untuk memberikan sumbangan  bagi membiayai kos cetak bahan bacaan. Jumlahnya tidak banyak supaya orang yang miskin pun dapat menerima bahan bacaan kita. Jika penghuni rumah berminat tetapi tidak mampu memberikan sumbangan, sudah pasti para penyiar tidak keberatan untuk memberi mereka bahan bacaan. Hal ini demikian kerana para penyiar ingin orang yang berhati jujur menerima bahan bacaan kita dan mendapat manfaat daripadanya.

15, 16. (a) Apakah penyesuaian yang dibuat oleh Badan Pimpinan pada tahun 1990 dalam cara bahan bacaan kita ditawarkan? (b) Bagaimanakah sumbangan sukarela dapat diberikan? (Lihat juga kotak “ Bagaimanakah Wang yang Disumbangkan Digunakan?”)

15 Pada tahun 1990, Badan Pimpinan mula mengubah cara bahan bacaan kita ditawarkan. Mulai tahun itu, penyiar dan penghuni rumah di Amerika Syarikat yang ingin menerima bahan bacaan tidak perlu menyumbang kepada kos cetak lagi. Namun,  jika mereka sudi, mereka boleh memberikan derma sukarela. Sepucuk surat yang dikirim kepada semua sidang di Amerika Syarikat menyatakan, “Kita tidak akan memberitahu para penyiar dan orang lain yang berminat bahawa mereka harus menyumbangkan jumlah wang tertentu untuk menerima majalah dan bahan bacaan. . . . Sesiapa yang ingin menderma untuk membantu membiayai perbelanjaan kerja pendidikan kami boleh berbuat demikian, tetapi tidak kira mereka menderma atau tidak, mereka masih boleh menerima bahan bacaan kita.” Aturan itu telah menunjukkan bahawa kerja kita dilakukan secara sukarela dan merupakan aktiviti keagamaan. Ya, ‘kita tidak memperdagangkan firman Tuhan.’ (2 Kor. 2:17) Aturan derma sukarela ini kemudiannya telah dilaksanakan oleh pejabat cawangan di serata dunia.

16 Bagaimanakah seseorang boleh memberikan sumbangan? Dalam Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa, terdapat peti sumbangan. Orang yang ingin memberikan sumbangan boleh memasukkan wang dalam peti sumbangan atau mengirim derma kepada pertubuhan Saksi-Saksi Yehuwa. Setiap tahun, sebuah rencana dalam majalah pembelajaran akan menyenaraikan cara-cara untuk memberikan derma sukarela.

Bagaimanakah Wang yang Disumbangkan Digunakan?

17-19. Jelaskan bagaimana sumbangan yang diberikan digunakan untuk (a) kerja sedunia, (b) pembinaan Dewan Perjumpaan di seluruh dunia, dan (c) perbelanjaan sidang tempatan.

17 Kerja sedunia. Wang yang diterima digunakan untuk membiayai kerja penyebaran sedunia, termasuk kos menghasilkan bahan bacaan, membina dan menjaga pejabat cawangan dan bangunan Bethel, dan mengadakan sekolah-sekolah teokratik. Selain itu, wang yang diterima digunakan untuk menanggung perbelanjaan para mubaligh, penyelia lawatan, dan perintis khas. Derma yang kita berikan juga digunakan untuk membantu rakan seiman semasa berlakunya bencana. *

18 Pembinaan Dewan Perjumpaan di seluruh dunia. Wang yang diterima digunakan untuk membantu sidang yang ingin mengubahsuai atau membina Dewan Perjumpaan. Apabila sidang-sidang memberikan  sumbangan, wang yang diterima dapat digunakan untuk membantu sidang lain. *

19 Perbelanjaan sidang tempatan. Wang yang diterima digunakan untuk penggunaan dan penyelenggaraan Dewan Perjumpaan. Para penatua juga boleh mencadangkan kepada sidang agar sebahagian daripada wang yang diterima dikirim kepada pejabat cawangan sebagai sumbangan untuk kerja sedunia. Jika demikian, para penatua akan mengutarakan resolusi kepada sidang. Sekiranya sidang meluluskan resolusi itu, jumlah wang yang ditentukan akan dikirim kepada pejabat cawangan. Setiap bulan, saudara yang menjaga akaun sidang akan menyediakan laporan kewangan untuk dibacakan kepada sidang.

20. Bagaimanakah anda dapat memuliakan Yehuwa dengan apa yang anda miliki?

20 Banyak usaha telah dicurahkan untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan di serata dunia dan menjadikan orang murid Yesus. Apabila kita memikirkan semua itu, kita terdorong untuk memberi Yehuwa “persembahan daripada harta benda” kita. (Ams. 3:9, 10) Sudah tentu kita semua ingin menggunakan keupayaan fizikal, mental, dan rohani kita dengan sebaik-baiknya dalam kerja Kerajaan Tuhan. Ingatlah bahawa kita juga boleh menggunakan harta benda kita untuk menyokong Kerajaan Tuhan. Marilah kita bertekad untuk memberi Yehuwa apa yang terbaik. Apabila kita memberikan sumbangan dengan rela hati, kita sedang memuliakan Tuhan dan menyokong Kerajaan Mesias.

^ per. 1 The Watch Tower terbitan 15 Julai 1915, muka surat 218-219.

^ per. 8 Watch Tower terbitan 1 Ogos 1899, muka surat 201.

^ per. 10 Menurut seorang cendekiawan, istilah Yunani “diputuskan” membawa maksud “sesuatu yang ditentukan terlebih dahulu.” Dia menambah, “Walaupun memberi secara spontan akan membawa sukacita, perbuatan itu harus dirancang dan dilakukan secara teratur.”​—1 Kor. 16:2.

^ per. 17 Lihat Bab 20 untuk maklumat lanjut tentang kerja membantu mangsa bencana.

^ per. 18 Lihat Bab 19 untuk maklumat lanjut tentang kerja pembinaan Dewan Perjumpaan.