Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 6

Orang yang Menginjil—Para Penyebar Menawarkan Diri dengan Sukarela

Orang yang Menginjil—Para Penyebar Menawarkan Diri dengan Sukarela

FOKUS BAB INI

Raja Mesias mendapatkan sepasukan penyebar

1, 2. Apakah kerja penting yang dinubuatkan oleh Yesus, dan apakah soalan penting yang timbul?

PEMIMPIN-PEMIMPIN politik sering membuat janji-janji kosong. Pemimpin yang berniat baik pun tidak semestinya dapat menepati janji mereka. Namun, Yesus jauh berbeza. Selaku Raja Mesias, dia selalu mengotakan janjinya.

2 Setelah Yesus ditabalkan sebagai Raja pada tahun 1914, dia bertindak agar perkara yang dinubuatkannya kira-kira 1,900 tahun yang lalu menjadi kenyataan. Tidak lama sebelum kematiannya, Yesus berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi.” (Mat. 24:14) Apabila kata-kata itu menjadi kenyataan, itulah salah satu bukti yang menunjukkan bahawa Yesus sudah hadir sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Namun, persoalannya ialah: Memandangkan banyak orang pada hari-hari terakhir mementingkan diri, tidak memiliki sifat kasih, dan tidak mementingkan ibadat, bagaimanakah Raja Kristus akan mendapatkan sepasukan orang untuk menginjil sepanjang masa itu? (Mat. 24:12; 2 Tim. 3:1-5) Jawapan kepada soalan itu sangat penting, kerana hal itu melibatkan semua orang Kristian sejati.

3. Yesus yakin akan hal apa? Mengapakah dia begitu yakin akan hal itu?

3 Perhatikan nubuat Yesus sekali lagi: “Berita baik . . . akan disebarkan.” Tidakkah kata-kata itu mencerminkan keyakinannya? Ya, Yesus yakin bahawa ada orang yang akan menyokongnya dengan rela hati pada hari-hari terakhir. Mengapakah dia begitu yakin? Kerana Yesus meniru teladan Bapanya. Yehuwa juga yakin bahawa para penyembah-Nya akan menawarkan diri dengan rela hati. (Yoh. 12:45; 14:9) Mari kita mengkaji bagaimana Yehuwa menunjukkan keyakinan sebegini.

“Rakyat akan Menolong dengan Sukarela”

4. Orang Israel dijemput oleh Yehuwa untuk menyokong kerja apa, dan apakah reaksi mereka?

4 Semasa Yehuwa menyuruh Musa mendirikan khemah suci yang akan menjadi pusat ibadat bagi umat  Israel, Dia telah menjemput seluruh umat-Nya untuk menyokong kerja pembinaan itu. Musa telah memberitahu orang Israel bahawa sesiapa yang rela boleh memberikan persembahan kepada Yehuwa. Apakah reaksi mereka? Orang Israel “membawa sumbangan kepada Musa tiap-tiap pagi.” Sumbangan mereka begitu banyak sehingga Musa harus memberitahu mereka supaya jangan membawa sumbangan lagi. (Kel. 35:5; 36:3, 6) Yehuwa yakin akan sokongan orang Israel, dan mereka tidak menghampakan-Nya.

5, 6. Menurut Mazmur 110:1-3, Yehuwa dan Yesus yakin bahawa para penyembah sejati pada hari-hari terakhir akan menunjukkan sikap apa?

5 Adakah Yehuwa yakin bahawa para penyembah-Nya pada hari-hari terakhir juga akan memperlihatkan sikap rela hati? Sudah pasti! Lebih daripada 1,000 tahun sebelum Yesus dilahirkan di bumi, Yehuwa telah mengilhami Daud untuk menulis tentang apa yang akan berlaku semasa Mesias mula memerintah. (Baca Mazmur 110:1-3.) Sebagai Raja yang baru ditabalkan, Yesus akan menghadapi tentangan musuh, tetapi dia akan mendapat sokongan daripada sepasukan penyokong. Semua penyokongnya, termasuk kaum muda, akan berkhidmat dengan sukarela. Jumlah mereka begitu banyak, ibarat titisan embun pada pagi hari. *

Jumlah orang yang menyokong Kerajaan Tuhan dengan rela hati begitu banyak seperti titisan embun pagi (Lihat perenggan 5)

6 Yesus tahu bahawa nubuat di Mazmur 110 menggambarkan dirinya. (Mat. 22:42-45) Maka dia sangat yakin bahawa para penyokongnya yang setia akan menawarkan diri dengan rela hati untuk menyebarkan berita baik ke seluas bumi. Adakah nubuat itu menjadi kenyataan? Pada hari-hari terakhir, adakah Raja Mesias  berjaya mendapatkan sepasukan penyebar yang berkhidmat dengan rela hati?

“Mengumumkan Berita Itu Merupakan Penghormatan dan Kewajipan Saya”

7. Selepas ditabalkan sebagai Raja, apakah langkah-langkah yang diambil oleh Yesus untuk mempersiapkan pengikutnya bagi kerja yang perlu dilakukan pada masa depan?

7 Tidak lama setelah Yesus menjadi Raja, dia mempersiapkan para pengikutnya untuk mengusahakan “ladang” yang terbentang luas. Bab 2 telah menyatakan bagaimana dia memeriksa dan memurnikan umat Tuhan dari tahun 1914 hingga awal tahun 1919. (Mal. 3:1-4) Kemudian, pada tahun 1919, dia melantik hamba yang setia untuk memimpin para pengikutnya. (Mat. 24:45) Khususnya sejak masa itu, hamba tersebut mula mengedarkan makanan rohani, seperti ceramah-ceramah konvensyen dan bahan bacaan, yang berulang kali menekankan bahawa menyertai kerja penyebaran merupakan tanggungjawab setiap orang Kristian.

8-10. Bagaimanakah konvensyen-konvensyen mendorong umat Tuhan untuk menjalankan kerja penyebaran? Berikan contoh. (Lihat juga kotak “ Konvensyen yang Mendorong Umat Tuhan untuk Menjalankan Kerja Penyebaran.”)

8 Ceramah-ceramah konvensyen. Dari 1 hingga 8 September 1919, Pelajar Bible telah menghadiri sebuah konvensyen di Cedar Point, Ohio, A.S. Mereka tidak sabar-sabar hendak mengetahui arahan daripada organisasi Yehuwa, kerana konvensyen sebesar itu belum pernah diadakan sejak Perang Dunia Pertama. Pada hari yang kedua, Saudara Rutherford telah memberitahu para hadirin secara terus terang dalam ceramahnya, “Misi seorang Kristian di bumi . . . adalah untuk menghebahkan berita tentang kerajaan Tuan kita.”

9 Tiga hari kemudian, Saudara Rutherford menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk “Ucapan kepada Rakan Sekerja,” yang menjadi acara kemuncak konvensyen itu. Ceramah itu kemudiannya diterbitkan dalam majalah The Watch Tower sebagai sebuah rencana yang bertajuk “Mengumumkan Kerajaan Tuhan.” Dia berkata, “Semasa seorang Kristian bertanya kepada dirinya, ‘Mengapakah saya ada di bumi?’ jawapan yang sepatutnya ialah, ‘Tuan kita telah melantik saya sebagai wakil untuk menyebarkan berita daripada Tuhan agar dunia dapat berbaik semula dengan-Nya. Mengumumkan berita itu merupakan penghormatan dan kewajipan saya.’”

10 Dalam ceramah yang bersejarah itu, Saudara Rutherford mengumumkan pengeluaran majalah baru yang berjudul The Golden Age (kini Awake!) yang akan membantu orang faham bahawa Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya harapan manusia. Kemudian, dia bertanya  kepada hadirin siapa antara mereka yang ingin membantu mengedarkan majalah tersebut. Sebuah laporan tentang konvensyen itu menyatakan, “Sambutan para hadirin cukup hangat. Enam ribu orang berdiri dengan serentak.” * Jelaslah, Raja Mesias mempunyai ramai penyokong yang bersedia menghebahkan Kerajaannya!

11, 12. Apakah yang dinyatakan dalam majalah The Watch Tower tahun 1920 tentang bila kerja yang dinubuatkan oleh Yesus akan dilaksanakan?

11 Bahan bacaan. Halaman majalah The Watch Tower semakin menekankan pentingnya kerja yang dinubuatkan oleh Yesus, yakni kerja menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Perhatikan contoh-contoh berikut dari awal tahun 1920-an.

12 Menurut nubuat di Matius 24:14, berita apakah yang akan dihebahkan? Dalam majalah The Watch Tower terbitan 1 Julai 1920, sebuah rencana bertajuk “Injil Kerajaan Tuhan” menjelaskan, “Berita baik ini berkaitan dengan akhir sistem lama dan penubuhan kerajaan Mesias.” Bilakah kerja itu akan dilaksanakan? Rencana itu juga menunjukkan jawapannya dengan jelas: “Berita ini mesti dikhabarkan dari mulanya [Perang Dunia Pertama] sehingga berlakunya ‘kesengsaraan besar.’” Oleh itu, rencana tersebut menyatakan, “Sekaranglah masanya . . . untuk menyebarkan berita baik ini dengan seluas-luasnya kepada ahli gereja Kristian.”

13. Bagaimanakah majalah The Watch Tower tahun 1921 mendorong orang Kristian terurap agar berkhidmat dengan rela hati?

13 Adakah umat Tuhan akan dipaksa untuk melakukan kerja yang dinubuatkan oleh Yesus? Tidak. Rencana yang bertajuk “Hendaklah Kamu Berani” dalam The Watch Tower terbitan 15 Mac 1921 mendorong orang Kristian terurap agar berkhidmat dengan rela hati. Mereka digalakkan untuk bertanya, “Bukankah kerja ini penghormatan yang terbesar dan kewajipan bagi saya?” Rencana itu menyambung, “Kami yakin bahawa apabila anda memandang [kerja ini sebagai peluang yang istimewa], anda akan berasa seperti Yeremia. Baginya, perkhabaran Tuhan ‘bagaikan api yang membara dalam hati sanubarinya,’ sehingga dia tidak berdaya menahan diri daripada menyampaikan perkhabaran Tuhan.” (Yer. 20:9) Galakan itu mencerminkan keyakinan Yehuwa dan Yesus terhadap para penyokong Kerajaan Tuhan.

14, 15. Pada tahun 1922, apakah galakan yang diberikan dalam majalah The Watch Tower kepada orang Kristian terurap?

14 Apakah cara yang harus digunakan oleh orang Kristian sejati untuk menyampaikan berita tentang Kerajaan Tuhan? Sebuah rencana yang ringkas tetapi bernas yang bertajuk “Kerja Penyebaran Amat Penting” dalam terbitan The Watch Tower, 15 Ogos 1922, menggalakkan orang Kristian terurap agar melibatkan diri  “secara aktif dalam kerja membawa bahan bacaan kepada orang lain, mengunjungi rumah mereka, dan memberikan kesaksian kepada mereka bahawa kerajaan di syurga sudah dekat.”

15 Jelaslah bahawa sejak tahun 1919, Kristus telah menggunakan hambanya yang setia dan bijaksana untuk menegaskan berulang kali bahawa kerja menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan merupakan penghormatan dan kewajipan seorang Kristian. Namun, bagaimanakah Pelajar Bible pada masa itu menyahut seruan tersebut?

“Mereka yang Setia akan Merelakan Diri”

16. Apakah reaksi sesetengah penatua semasa diberitahu bahawa semua orang harus menyertai aktiviti penyebaran?

16 Pada tahun 1920-an dan 1930-an, sesetengah orang tidak setuju bahawa semua orang Kristian terurap harus menyertai aktiviti penyebaran. Watch Tower terbitan 1 November 1927 menjelaskan apa yang berlaku: “Sesetengah ahli [sidang] hari ini yang memegang jawatan sebagai penatua . . . enggan menggalakkan saudara saudari untuk menginjil, dan mereka sendiri pun enggan menginjil. . . . Mereka memandang hina seruan untuk pergi dari rumah ke rumah bagi memberitahu orang tentang Tuhan, tentang Raja yang dilantik-Nya, dan tentang kerajaan-Nya.” Dengan terus terang, rencana tersebut menyatakan, “Sudah tiba masanya bagi umat Tuhan yang setia untuk berwaspada terhadap orang sebegini, menjauhi mereka, dan memberitahu mereka bahawa kita tidak lagi mempercayakan tanggungjawab sebagai penatua kepada mereka.” *

17, 18. Apakah reaksi kebanyakan ahli sidang terhadap arahan daripada ibu pejabat? Sejak 100 tahun yang lalu, apakah reaksi jutaan orang terhadap arahan tersebut?

17 Kebanyakan ahli sidang menyambut arahan daripada ibu pejabat dengan tangan terbuka. Mereka berbesar hati kerana dapat menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan. The Watch Tower terbitan 15 Mac 1926 menyatakan, “Mereka yang setia akan merelakan diri . . . untuk memberitahu orang lain tentang berita ini.” Seperti yang dinubuatkan di Mazmur 110:3, umat Tuhan yang setia terbukti menyokong Raja Mesias dengan rela hati.

18 Sejak 100 tahun yang lalu, jutaan orang telah menawarkan diri dengan rela hati untuk menghebahkan berita tentang Kerajaan Tuhan. Dalam bab-bab yang berikutnya, kita akan membincangkan kaedah dan alat-alat bantuan yang digunakan untuk menjalankan kerja penyebaran, dan hasil yang diraih oleh mereka. Mula-mula, mari kita bincangkan sebabnya jutaan orang telah  menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dengan rela hati, meskipun dunia ini penuh dengan orang yang mementingkan diri. Semasa membincangkan sebabnya, tanyalah diri anda, “Mengapakah saya memberitahu orang lain tentang berita baik?”

“Sentiasa Mengutamakan Kerajaan Tuhan”

19. Mengapakah kita mematuhi nasihat Yesus untuk “sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan”?

19 Yesus menasihati para pengikutnya agar “sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan.” (Mat. 6:33) Mengapakah kita mematuhi nasihat itu? Kerana kita sedar bahawa Kerajaan itu memainkan peranan yang sangat penting dalam tujuan Tuhan. Bab yang sebelumnya telah membincangkan bagaimana daya aktif Tuhan beransur-ansur menyingkapkan kebenaran tentang Kerajaan Tuhan. Apabila kebenaran itu menyentuh hati kita, kita terdorong untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan.

Sebagaimana seseorang bersukacita kerana menemui harta terpendam, orang Kristian bersukacita kerana menemui kebenaran tentang Kerajaan Tuhan (Lihat perenggan 20)

20. Bagaimanakah perumpamaan Yesus tentang harta terpendam menggambarkan reaksi para pengikutnya terhadap nasihat untuk sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan?

20 Yesus mengetahui bagaimana para pengikutnya akan menyambut nasihat untuk sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan. Perhatikan perumpamaannya tentang harta terpendam. (Baca Matius 13:44.) Semasa bekerja, seorang peladang menemui harta terpendam secara kebetulan dan segera menyedari nilainya. Apakah reaksinya? “Dengan sukacita, dia menjual segala yang dimilikinya dan membeli ladang itu.” Apakah pengajarannya bagi kita? Apabila kita menemui kebenaran tentang Kerajaan Tuhan dan menyedari nilainya, kita rela mengorbankan apa sahaja supaya Kerajaan Tuhan menjadi keutamaan hidup kita. *

21, 22. Bagaimanakah para penyokong yang setia menunjukkan bahawa mereka sedang mengutamakan Kerajaan Tuhan? Berikan contoh.

21 Bagi para penyokong Kerajaan Tuhan yang setia, mengutamakan Kerajaan Tuhan bukan sekadar ucapan di bibir. Mereka menggunakan kehidupan, kebolehan, dan apa sahaja yang dimiliki untuk menjalankan kerja penyebaran. Ramai yang membuat banyak pengorbanan agar dapat menceburi khidmat sepenuh masa. Semua penyebar yang rela hati itu telah merasai bagaimana Yehuwa memberkati orang yang mengutamakan Kerajaan-Nya. Perhatikan contoh berikut.

22 Avery dan Lovenia Bristow berkhidmat sebagai peneraju (perintis) di selatan Amerika Syarikat sejak lewat tahun 1920-an. Bertahun-tahun kemudian, Lovenia berkata, “Saya dan Avery gembira berkhidmat bersama-sama sebagai perintis selama ini. Banyak kali kami tidak tahu dari mana kami akan mendapat wang untuk isi minyak atau membeli barang keperluan. Tetapi Yehuwa sentiasa  mempunyai cara untuk menjaga kami. Kami tidak berhenti merintis, dan kami sentiasa mempunyai apa yang diperlukan.” Lovenia masih ingat apa yang berlaku semasa mereka berkhidmat di Pensacola, Florida. Pernah sekali mereka kekurangan wang dan barang keperluan. Semasa mereka pulang ke rumah bergerak mereka, mereka nampak dua beg besar berisi barang keperluan yang disertai nota berikut: “Dengan kasih dari Sidang Pensacola.” Setelah menyertai khidmat sepenuh masa selama puluhan tahun, Saudari Lovenia berkata, “Yehuwa tidak pernah meninggalkan kami. Dia sama sekali tidak menghampakan kami.”

23. Apakah perasaan anda setelah menemui kebenaran tentang Kerajaan Tuhan? Apakah tekad anda?

23 Kemampuan kita untuk menyertai kerja penyebaran berbeza-beza kerana situasi kita berlainan. Namun, kita semua diberi penghormatan untuk menyebarkan berita baik dengan sepenuh hati. (Kol. 3:23) Oleh sebab kita sangat menghargai kebenaran tentang Kerajaan Tuhan, kita ingin dan rela membuat apa sahaja pengorbanan yang diperlukan agar kita dapat berkhidmat dengan sebaik-baiknya. Adakah anda bertekad untuk berbuat demikian?

24. Apakah satu pencapaian Kerajaan Tuhan yang paling hebat pada hari-hari terakhir?

24 Sepanjang abad yang lalu, Raja Mesias telah menunaikan janjinya yang tercatat di Matius 24:14. Dia berjaya berbuat demikian tanpa memaksa sesiapa pun. Para pengikutnya telah keluar dari dunia yang mementingkan diri dan menawarkan diri untuk menjalankan kerja penyebaran. Kerja menyebarkan berita baik di serata dunia merupakan sebahagian daripada tanda kehadiran Yesus sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Pelaksanaan kerja ini merupakan satu pencapaian Kerajaan Tuhan yang paling hebat pada hari-hari terakhir.

^ per. 5 Dalam Bible, titisan embun dikaitkan dengan kelimpahan.​—Kej. 27:28; Mi. 5:6.

^ per. 10 Buku kecil To Whom the Work Is Entrusted menjelaskan, “Kerja mengedarkan majalah The Golden Age merupakan kempen untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dari rumah ke rumah. . . . Setelah menyampaikan berita itu, senaskhah majalah The Golden Age akan ditinggalkan, tidak kira sama ada penghuni rumah melanggan majalah itu atau tidak.” Selepas itu, selama bertahun-tahun, saudara saudari digalakkan untuk menawarkan langganan majalah The Golden Age dan The Watch Tower. Mulai 1 Februari 1940, umat Yehuwa digalakkan untuk mengedarkan majalah-majalah dan melaporkan bilangan majalah yang diedarkan.

^ per. 16 Pada masa itu, sidang akan mengundi seseorang untuk menjadi penatua. Oleh itu sesebuah sidang boleh memilih untuk tidak mengundi saudara yang enggan menjalankan kerja penyebaran. Bab 12 akan membincangkan bagaimana cara pelantikan penatua kemudiannya diubah supaya mengikut cara teokratik.

^ per. 20 Yesus menjelaskan hal yang sama semasa menceritakan perumpamaan tentang seorang saudagar yang menjelajah ke merata tempat untuk mencari mutiara yang bermutu tinggi. Semasa saudagar itu menemuinya, dia menjual segala yang dimilikinya untuk membeli mutiara itu. (Mat. 13:45, 46) Dua perumpamaan ini juga mengajar kita bahawa kita mempelajari kebenaran tentang Kerajaan Tuhan melalui pelbagai cara. Ada yang menemuinya “secara kebetulan,” manakala yang lain menemuinya setelah mencarinya. Walau bagaimanapun, setelah menemui kebenaran, kita sudi membuat pengorbanan agar dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan.