Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 8

Alat Bantuan Menginjil—Menghasilkan Bahan Bacaan untuk Kerja Sedunia

Alat Bantuan Menginjil—Menghasilkan Bahan Bacaan untuk Kerja Sedunia

FOKUS BAB INI

Yehuwa terus menyediakan alat-alat bantuan yang kita perlukan untuk mengajar orang dari segala bangsa, suku, dan bahasa

1, 2. (a) Apakah yang membantu murid-murid Yesus menyebarkan berita baik ke seluruh Empayar Roma pada abad pertama? (b) Hari ini, apakah yang membuktikan bahawa kita disokong oleh Yehuwa? (Lihat kotak “ Menyebarkan Berita Baik dalam Lebih daripada 670 Bahasa.”)

PARA pengunjung yang datang ke Yerusalem pada Pentakosta 33 M tercengang-cengang apabila mendengar orang Galilea bercakap dalam bahasa-bahasa asing dengan fasih. Berita yang disampaikan telah menarik perhatian mereka. Murid-murid Yesus telah menerima kurnia untuk bercakap dalam pelbagai bahasa. Hal itu membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan Tuhan. (Baca Kisah 2:1-8, 12, 15-17.) Berita baik yang dikhabarkan pada hari itu telah didengari oleh orang dari pelbagai latar belakang, dan kemudiannya tersebar ke seluruh Empayar Roma.​—Kol. 1:23.

2 Hari ini, hamba-hamba Tuhan tidak dikurniai kebolehan yang ajaib untuk bercakap dalam bahasa asing. Namun, mereka telah menterjemahkan berita tentang Kerajaan Tuhan ke dalam lebih daripada 670 bahasa​—jauh lebih banyak berbanding abad yang pertama. (Kis. 2:9-11) Umat Tuhan telah menyediakan bahan bacaan dalam begitu banyak bahasa dan dalam jumlah yang sangat banyak, sehingga berita tentang Kerajaan Tuhan telah tersebar ke seluruh pelosok dunia. * Hal itu juga merupakan bukti yang kukuh bahawa Yehuwa sedang menggunakan Raja Mesias untuk memimpin kerja penyebaran kita. (Mat. 28:19, 20) Kita akan membincangkan beberapa alat bantuan yang telah digunakan dalam kerja penyebaran selama 100 tahun yang lalu. Sambil berbuat demikian, perhatikanlah bagaimana Raja Mesias telah menggunakan pelbagai cara untuk melatih kita supaya kita dapat membantu orang secara individu. Perhatikan juga bagaimana dia telah menggalakkan kita untuk mengajar orang tentang Bible.​—2 Tim. 2:2.

Sebuah kumpulan terjemahan di Timor-Leste

Raja Mesias Melengkapi Hamba-hambanya untuk Menanam Benih Kebenaran

3. Mengapakah kita menggunakan pelbagai alat bantuan semasa menjalankan kerja penyebaran?

3 Yesus menyamakan “perkhabaran tentang Kerajaan Tuhan” dengan benih, dan hati seseorang dengan tanah.  (Mat. 13:18, 19) Seorang tukang kebun akan menggunakan berbagai-bagai alat untuk menggemburkan tanah sebelum menanam benih. Begitu juga, umat Yehuwa menggunakan pelbagai alat bantuan untuk mempersiapkan hati jutaan orang agar mereka bersedia menerima benih Kerajaan Tuhan. Sesetengah alat bantuan berguna untuk seketika, manakala alat bantuan yang lain, seperti buku dan majalah, terus membawa hasil yang baik sampai hari ini. Dalam bab yang sebelumnya, kita telah membincangkan kaedah yang digunakan untuk menyampaikan berita baik kepada kumpulan orang ramai. Dalam bab ini pula, kita akan membincangkan alat-alat bantuan yang telah membantu para penyiar berjumpa dengan orang dan menginjil kepada mereka.​—Kis. 5:42; 17:2, 3.

Membina peti nyanyi dan peralatan bunyi di Toronto, Kanada

4, 5. Bagaimanakah peti nyanyi digunakan, tetapi apakah kelemahan kaedah tersebut?

4 Rakaman ceramah. Dari tahun 1930-an sehingga 1940-an, para penyiar telah membawa peti nyanyi untuk memainkan rakaman ceramah Bible semasa menginjil. Panjang setiap rakaman tidak melebihi lima minit. Ada kalanya rakaman itu mempunyai tajuk pendek seperti “Tritunggal,” “Api Penyucian,” dan “Kerajaan Tuhan.” Bagaimanakah rakaman-rakaman itu digunakan? Saudara Clayton Woodworth, Jr., yang dibaptis pada tahun 1930 di Amerika Syarikat, berkata, “Peti nyanyi saya bersaiz kecil seperti saiz beg tangan. Peti nyanyi itu diputarkan dengan kuasa spring yang diketatkan, dan mempunyai jarum serta pemegangnya yang dapat ditanggalkan. Saya perlu meletakkan pemegang jarum itu di hujung piring hitam agar rakaman itu dimainkan dengan baik. Saya akan pergi ke sebuah rumah, membuka peti nyanyi, meletakkan  pemegang jarum di tempatnya, dan menekan loceng pintu. Semasa penghuni rumah membuka pintu, saya akan berkata, ‘Saya ingin menjemput kamu mendengar satu berita yang penting.’” Apakah reaksi penghuni rumah? Saudara Woodworth berkata, “Sering kali, mereka sudi mendengar. Ada juga yang terus menutup pintu. Kadangkala, mereka fikir saya ini penjual peti nyanyi.”

Menjelang tahun 1940, lebih daripada 90 rakaman ceramah yang berbeza telah disediakan, dan lebih daripada sejuta salinan rakaman telah dihasilkan

5 Menjelang tahun 1940, lebih daripada 90 rakaman ceramah yang berbeza telah disediakan, dan lebih daripada sejuta salinan rakaman telah dihasilkan. John E. Barr, yang merintis di Britain pada masa itu dan yang kemudiannya berkhidmat sebagai anggota Badan Pimpinan, berkata, “Dari tahun 1936 hingga 1945, peti nyanyi ialah teman setiaku. Tanpanya, saya berasa seolah-olah ada yang tidak kena. Semasa suara Saudara Rutherford kedengaran di depan pintu, saya sangat digalakkan. Saya berasa seolah-olah dia juga berada di situ. Tetapi kerja penyebaran menerusi peti nyanyi tidak begitu berkesan untuk mengajar orang dan mencapai hati mereka.”

6, 7. (a) Apakah kebaikan dan kelemahan penggunaan kad mesej Bible? (b) Bagaimanakah Yehuwa telah ‘memberi kita firman yang harus kita ucapkan’?

6 Kad mesej Bible. Bermula tahun 1933, para penyiar digalakkan untuk menggunakan kad mesej Bible dalam kerja penyebaran dari rumah ke rumah. Saiz kad itu lebih kurang saiz laporan aktiviti penyebaran kita, dan mengandungi mesej Bible yang singkat serta menjelaskan bahawa penghuni rumah boleh mendapatkan bahan bacaan Bible yang lain. Penyiar akan menghulurkan kad itu kepada penghuni rumah dan menjemputnya untuk membaca kad tersebut. “Saya suka menggunakan kad mesej Bible semasa menginjil,” kata Lilian Kammerud, yang kemudiannya berkhidmat sebagai mubaligh di Puerto Rico dan Argentina. Apakah sebabnya? Saudari tersebut menjelaskan, “Bukan semua orang dapat memberikan penyampaian yang baik. Kad ini membantu saya membiasakan diri untuk bertemu dengan orang semasa memberikan kesaksian.”

Kad mesej Bible (bahasa Itali)

7 Saudara David Reusch yang dibaptis pada tahun 1918 berkata, “Memandangkan hampir semua orang berasa bahawa mereka tidak dapat mengucapkan kata-kata yang sepatutnya, kad mesej Bible banyak membantu saudara saudari.” Namun, alat bantuan ini juga ada kelemahannya. Saudara Reusch berkata, “Kadang-kadang kami berjumpa dengan orang yang menyangka bahawa kami ini bisu. Memang kami tidak mahir bercakap, tetapi Yehuwa sedang membantu kami bersedia untuk bercakap kepada orang ramai sebagai penyebar yang dilantik-Nya. Tidak lama kemudian, Tuhan telah memberi kami firman yang  harus kami ucapkan. Kami diajar untuk menggunakan Bible semasa menginjil melalui Sekolah Penyebaran Teokratik yang mula diadakan pada tahun 1940-an.”​—Baca Yeremia 1:6-9.

8. Bagaimanakah anda dapat dilatih oleh Kristus?

8 Buku. Sejak tahun 1914, umat Yehuwa telah menerbitkan lebih daripada 100 jenis buku tentang pelbagai topik Bible. Sesetengah buku itu disediakan khasnya untuk melatih penyiar agar menginjil dengan lebih berkesan. Anna Larsen yang telah menjadi penyiar selama kira-kira 70 tahun di Denmark berkata, “Yehuwa membantu kita menjadi penyiar yang lebih mahir menerusi Sekolah Penyebaran Teokratik dan buku-buku yang digunakan dalam sekolah itu. Saya masih ingat buku pertama yang diterbitkan ialah Theocratic Aid to Kingdom Publishers, yang dikeluarkan pada tahun 1945. Buku yang seterusnya ialah “Equipped for Every Good Work,” yang diterbitkan pada tahun 1946. Kini kita mempunyai buku Benefit From Theocratic Ministry School Education, yang diterbitkan pada tahun 2001.” Sudah pasti, Yehuwa telah ‘melayakkan kita’ untuk kerja penyebaran menerusi Sekolah Penyebaran Teokratik dan buku-buku yang digunakan dalam sekolah itu. (2 Kor. 3:5, 6) Sudahkah anda menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik? Adakah anda membawa buku untuk Sekolah Penyebaran Teokratik setiap minggu dan membukanya semasa penyelia sekolah merujuk kepada buku itu? Jika anda berbuat demikian, anda menunjukkan bahawa anda mahu dilatih oleh Kristus untuk menjadi pengajar yang lebih mahir.​—2 Kor. 9:6; 2 Tim. 2:15.

9, 10. Bagaimanakah buku-buku membantu kita menanam dan menyiram benih kebenaran?

9 Menerusi organisasi-Nya, Yehuwa juga menyediakan buku-buku yang membantu penyiar menjelaskan ajaran asas Bible. Buku The Truth That Leads to Eternal Life, yang diterbitkan pada tahun 1968, telah meraih hasil yang baik dalam masa yang singkat. Kingdom Ministry terbitan November 1968 menyatakan, “Permintaan untuk buku Truth begitu tinggi, sehingga pada bulan September, kilang Pertubuhan di Brooklyn memerlukan syif tambahan pada waktu malam.” Rencana yang sama menjelaskan, “Pernah sekali pada bulan Ogos, permintaan untuk buku Truth melebihi bekalan sebanyak 1.5 juta naskhah!” Menjelang tahun 1982, lebih daripada 100 juta naskhah buku itu telah diterbitkan dalam 116 bahasa. Dalam masa 14 tahun, iaitu dari tahun 1968 hingga 1982, buku Truth telah membantu lebih daripada sejuta orang menjadi penyiar. *

10 Pada tahun 2005, satu lagi alat bantuan untuk mengkaji Bible telah diterbitkan, iaitu buku Apakah Sebenarnya  Ajaran Bible? Setakat ini, kira-kira 200 juta naskhah buku itu telah diterbitkan dalam 256 bahasa! Apakah hasilnya? Dalam masa tujuh tahun sahaja, dari tahun 2005 hingga 2012, sekitar 1.2 juta orang telah menjadi penyiar berita baik. Dalam tempoh masa yang sama, orang yang mempelajari Bible dengan kita telah meningkat dari 6 juta kepada lebih daripada 8.7 juta. Sesungguhnya Yehuwa sedang memberkati usaha kita untuk menanam dan menyiram benih kebenaran!​—Baca 1 Korintus 3:6, 7.

11, 12. Siapakah pembaca sasaran majalah-majalah kita?

11 Majalah. Pada mulanya, majalah The Watch Tower diterbitkan khas untuk “kawanan kecil” yang “dipanggil ke syurga.” (Luk. 12:32; Ibr. 3:1) Pada 1 Oktober 1919, organisasi Yehuwa mengeluarkan satu lagi majalah untuk pembaca sasaran yang berbeza, iaitu orang ramai. Selama bertahun-tahun, lebih banyak naskhah majalah itu diedarkan berbanding The Watch Tower kerana Pelajar Bible dan orang ramai sangat menggemari majalah tersebut. Majalah itu mula-mulanya dipanggil The Golden Age. Pada tahun 1937, namanya ditukar menjadi Consolation. Kemudian pada tahun 1946, majalah itu dikenali sebagai Awake!

12 Sepanjang puluhan tahun, gaya dan reka letak majalah The Watchtower dan Awake! telah berubah. Namun, tujuan majalah-majalah ini tetap sama, iaitu untuk mengumumkan Kerajaan Tuhan dan membina iman orang terhadap Bible. Kini, majalah The Watchtower terdapat dalam edisi pembelajaran dan edisi umum. Edisi pembelajaran disediakan untuk “hamba-hamba lain,” yang terdiri daripada “kawanan kecil” dan “biri-biri lain.” * (Mat. 24:45; Yoh. 10:16) Edisi umum pula disediakan bagi orang yang tidak mengenal kebenaran, tetapi menghormati Bible dan Tuhan. (Kis. 13:16) Majalah Awake! disediakan untuk mereka yang kurang mengenal Bible dan Yehuwa, Tuhan yang benar.​—Kis. 17:22, 23.

13. Apakah yang menarik perhatian anda tentang majalah-majalah kita? (Bincangkan carta “ Rekod Dunia Penerbitan.”)

13 Pada awal tahun 2014, lebih daripada 44 juta naskhah Awake! dan kira-kira 46 juta naskhah The Watchtower telah dicetakkan setiap bulan. Majalah Awake! diterjemahkan ke dalam kira-kira 100 bahasa, dan The Watchtower diterjemahkan ke dalam lebih daripada 200 bahasa. Kedua-dua majalah ini merupakan majalah yang diterjemahkan ke dalam paling banyak bahasa, dan majalah yang paling banyak diedarkan di seluas dunia! Pencapaian itu sungguh menakjubkan, tetapi kita tidak patut berasa hairan, kerana majalah-majalah itu mengandungi berita tentang Kerajaan Tuhan, dan Yesus telah mengatakan bahawa berita itu akan disebarkan ke seluruh dunia.​—Mat. 24:14.

14. Mengapakah perubahan nama perbadanan kita amat sesuai? Sesuai dengan nama baru itu, apakah yang telah dilakukan oleh hamba-hamba Tuhan?

 14 Bible. Pada tahun 1896, Saudara Russell dan rakan-rakannya mengubah nama perbadanan yang digunakan oleh mereka untuk mencetak bahan bacaan. Nama baru itu mengandungi perkataan “Bible,” dan perbadanan itu dikenali sebagai Watch Tower Bible and Tract Society. Perubahan itu amat sesuai, kerana dari mula lagi, Bible merupakan sarana utama untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Luk. 24:27) Sesuai dengan nama perbadanan itu, kita telah menggalakkan pengedaran Bible dan menggalakkan orang untuk membaca Bible. Contohnya, pada tahun 1926, kita telah menggunakan mesin cetak sendiri untuk mencetak The Emphatic Diaglott, iaitu Kitab Yunani Kristian yang diterjemahkan oleh Benjamin Wilson. Mulai tahun 1942, kita telah mencetak dan mengedarkan kira-kira 700,000 naskhah Bible King James Version. Dua tahun kemudian, kita mula mencetak Bible American Standard Version, yang menggunakan nama Yehuwa sebanyak 6,823 kali. Menjelang tahun 1950, kita sudah mengedarkan lebih daripada 250,000 naskhah Bible tersebut.

15, 16. (a) Apakah yang anda suka tentang New World Translation? (Bincangkan kotak “ Mempercepat Kerja Terjemahan Bible.”) (b) Apakah yang dapat anda lakukan supaya Firman Yehuwa menyentuh hati anda?

15 Pada tahun 1950, Bible New World Translation of the Christian Greek Scriptures telah dikeluarkan. (Terjemahan bahasa Malaysia dikeluarkan pada tahun 2014.) Seluruh Bible New World Translation of the Holy Scriptures telah dikeluarkan pada tahun 1961. Terjemahan ini memuliakan Yehuwa dengan mengembalikan nama-Nya ke tempat asal seperti yang terdapat dalam teks Ibrani asal. Nama Tuhan juga muncul sebanyak 237 kali dalam teks utama Kitab Yunani Kristian. Dalam usaha untuk memastikan agar New World Translation adalah tepat dan mudah difahami, terjemahan itu telah disemak beberapa kali, dan edisi terkini dikeluarkan pada tahun 2013. Sehingga tahun itu, lebih daripada 201 juta naskhah New World Translation (seluruh atau sebahagian) diterbitkan dalam 121 bahasa.

16 Apakah reaksi sesetengah orang setelah membaca New World Translation dalam bahasa sendiri? Seorang lelaki berbangsa Nepal berkata, “Terjemahan bahasa Nepal yang kami gunakan dahulu susah difahami kerana bahasa yang digunakan ialah bahasa sastera lama. Tetapi sekarang, Bible jauh lebih mudah difahami kerana bahasa yang digunakan ialah bahasa seharian.” Semasa seorang wanita di Republik Afrika Tengah membaca Bible New World Translation dalam bahasa Sango, dia mula menangis lalu berkata, “Inilah bahasa yang menyentuh hati saya.” Seperti wanita itu, jika kita membaca Bible setiap hari, Firman Yehuwa dapat menyentuh hati kita.​—Mzm. 1:2; Mat. 22:36, 37.

 Menghargai Alat Bantuan dan Latihan yang Diberikan

17. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda menghargai alat bantuan dan latihan yang telah anda terima? Apakah hasilnya jika anda berbuat demikian?

17 Adakah anda menghargai alat bantuan dan latihan yang diberikan oleh Raja Yesus? Adakah anda meluangkan masa untuk membaca bahan bacaan yang diterbitkan oleh organisasi Tuhan, dan adakah anda menggunakannya untuk membantu orang lain? Jika anda berbuat demikian, anda akan bersetuju dengan kata-kata Saudari Opal Betler, yang dibaptis pada 4 Oktober 1914. Dia berkata, “Selama bertahun-tahun, saya dan suami saya [Edward] telah menggunakan peti nyanyi dan kad mesej Bible. Kami telah memberikan kesaksian dari rumah ke rumah dengan menggunakan buku, majalah, dan buku kecil. Kami menyertai kempen dan perarakan, dan kami mengedarkan risalah. Kemudian kami dilatih untuk membuat kunjungan kembali dan mengadakan pembelajaran Bible di rumah orang yang berminat. Walaupun kehidupan kami sibuk, kami sangat gembira.” Yesus berjanji bahawa rakyatnya akan menanam dan menuai serta bersukacita bersama-sama. Jutaan saudara saudari seperti Opal telah membuktikan bahawa janji itu memang dapat dipercayai.​—Baca Yohanes 4:35, 36.

18. Apakah penghormatan yang diberikan kepada kita?

18 Ramai orang mungkin menganggap umat Tuhan sebagai “orang biasa yang tidak berpendidikan.” (Kis. 4:13) Namun, Raja Mesias telah membolehkan rakyatnya yang biasa untuk memahat kejayaan yang luar biasa! Fikirkan: Mereka telah menghasilkan bahan bacaan yang diterjemahkan ke dalam paling banyak bahasa dan yang diedarkan secara paling meluas. Lebih penting lagi, dia telah melatih dan mendorong kita untuk menggunakan bahan bacaan itu untuk menyebarkan berita baik kepada orang dari segala bangsa. Alangkah besarnya penghormatan kita kerana dapat bekerja bersama-sama Kristus untuk menanam benih kebenaran dan “menuai” murid-murid baru!

^ per. 2 Dalam sepuluh tahun yang lalu, umat Yehuwa telah menerbitkan lebih daripada 20 bilion bahan bacaan Bible. Selain itu, laman Web jw.org kini dapat dikunjungi oleh lebih daripada 2.7 bilion orang yang menggunakan Internet di serata dunia.

^ per. 9 Sesetengah bahan bacaan lain yang telah membantu saudara saudari kita mempelajari kebenaran Bible ialah The Harp of God (diterbitkan pada tahun 1921), “Let God Be True” (diterbitkan pada tahun 1946), You Can Live Forever in Paradise on Earth (diterbitkan pada tahun 1982), dan Knowledge That Leads to Everlasting Life (diterbitkan pada tahun 1995).

^ per. 12 Lihat rencana ‘Siapakah Hamba yang Setia dan Bijaksana?’ majalah Menara Pengawal, terbitan 15 Julai 2013, perenggan 13, yang membincangkan identiti “hamba-hamba lain.”