ANDA sedang bersiap untuk menyertai aktiviti penyebaran pada awal pagi. Anda tidak bekerja pada hari itu. Anda berasa sedikit letih dan tidak pasti sama ada mahu keluar atau tidak. Alangkah baiknya kalau anda dapat berehat sahaja pada pagi itu! Tetapi anda berdoa dan bertekad untuk keluar menginjil. Pagi itu, anda bekerja bersama seorang saudari tua yang setia. Ketabahan dan kebaikannya menyentuh hati anda. Semasa menyampaikan berita baik dari rumah ke rumah, anda menyedari bahawa saudara saudari anda di seluas dunia juga menyampaikan mesej yang sama, menggunakan bahan bacaan yang sama, dan mendapat manfaat daripada latihan yang sama. Selepas bergiat dalam kerja penyebaran, anda berasa puas dan segar!

Hari ini, kerja menginjil ialah tumpuan utama Kerajaan Tuhan. Yesus menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir, kerja ini akan dijalankan di seluruh dunia. (Mat. 24:14) Bagaimanakah nubuat Yesus menjadi kenyataan? Bahagian ini akan membincangkan bagaimana Raja Mesias mendapatkan sekumpulan penyebar untuk menginjil, dan membincangkan pelbagai kaedah dan alat-alat bantu yang telah digunakan dalam kerja penyebaran. Semua ini telah membantu jutaan orang untuk melihat bahawa Kerajaan Tuhan benar-benar wujud.