Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 1

“Datanglah Kerajaan-Mu”

“Datanglah Kerajaan-Mu”

FOKUS BAB INI

Mengkaji apa yang diajarkan oleh Yesus tentang Kerajaan Tuhan

1, 2. Apakah yang difirmankan oleh Yehuwa kepada tiga orang rasul Yesus? Apakah reaksi mereka setelah mendengar suara Yehuwa?

JIKA Tuhan Yehuwa menyuruh anda untuk melakukan sesuatu, apakah reaksi anda? Tidak kira apa sahaja yang diminta oleh-Nya, sudah pasti anda akan melakukannya dengan rela!

2 Itulah pengalaman tiga orang rasul Yesus, iaitu Petrus, Yakobus, dan Yohanes. (Baca Matius 17:1-5.) Tidak lama selepas Perayaan Paska pada tahun 32 M, mereka mengikut Tuan Yesus ke “sebuah gunung yang tinggi.” Di situ, mereka telah melihat suatu penglihatan yang menunjukkan kemuliaan Yesus apabila dia menjadi Raja di syurga pada masa depan. Petrus menyangka bahawa apa yang dilihatnya betul-betul berlaku sehingga dia ingin mendirikan tiga buah khemah. Sementara Petrus masih bercakap, sekepul awan terbentuk lalu meliputi mereka. Kemudian, Petrus dan rakan-rakannya telah mendengar suara Yehuwa dengan jelas sekali. Hanya segelintir manusia yang diberi penghormatan ini. Setelah Yehuwa mengesahkan bahawa Yesus ialah Anak-Nya, Dia berfirman, “Dengarkanlah dia.” Para rasul mematuhi perintah Tuhan. Mereka mendengarkan ajaran Yesus, dan mereka menasihati orang lain agar turut berbuat demikian.​—Kis. 3:19-23; 4:18-20.

Kerajaan Tuhan merupakan topik yang paling kerap disebut oleh Yesus

3. Mengapakah Yehuwa ingin kita mendengarkan Anak-Nya? Apakah topik yang patut kita kaji?

3 “Dengarkanlah dia.” Kata-kata tersebut telah dicatatkan dalam Bible demi manfaat kita. (Rm. 15:4) Mengapa? Kerana Yesus ialah jurucakap Yehuwa. Maka, apa sahaja yang diajarkan oleh Yesus merupakan maklumat yang ingin disampaikan oleh Bapanya kepada kita. (Yoh. 1:1, 14) Kerajaan Tuhan, iaitu Kerajaan Mesias di syurga yang diketuai oleh Kristus Yesus dan 144,000 orang yang memerintah bersamanya, merupakan topik yang paling kerap disebut oleh Yesus. Oleh itu, kita patut mengkaji topik yang penting itu dengan teliti. (Why. 5:9, 10;  14:1-3; 20:6) Mula-mula, mari kita perhatikan sebabnya Yesus sering menyebut tentang Kerajaan Tuhan.

“Apa yang Melimpah dalam Hati . . .”

4. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan dekat di hatinya?

4 Kerajaan Tuhan dekat di hati Yesus. Mengapakah kita dapat berkata demikian? Kerana kata-kata dapat menyingkapkan isi hati seseorang. Dalam erti kata lain, kita akan bercakap tentang perkara yang tersemat di hati. Yesus sendiri berkata, “Apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut.” (Mat. 12:34) Yesus menggunakan setiap kesempatan untuk bercakap tentang Kerajaan Tuhan. Dari buku Matius hingga Yohanes, topik yang berkaitan dengan Kerajaan Tuhan telah disebut lebih daripada 100 kali, dan kebanyakannya disebut oleh Yesus. Kerajaan Tuhan merupakan tema kerja penyebaran Yesus. Dia berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.” (Luk. 4:43) Bahkan selepas Yesus dibangkitkan, dia terus bercakap kepada murid-muridnya tentang Kerajaan Tuhan. (Kis. 1:3) Penghargaan untuk Kerajaan Tuhan pasti melimpah di hati Yesus. Maka tidak hairanlah dia terdorong untuk bercakap tentangnya.

5-7. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Kerajaan Tuhan dekat di hati Yehuwa? Jelaskan dengan menggunakan perumpamaan. (b) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan dekat di hati kita?

5 Kerajaan Tuhan juga dekat di hati Yehuwa. Bagaimanakah kita tahu akan hal itu? Yehuwalah yang telah mengutus Anak tunggal-Nya ke dunia. Maka, semua yang dikatakan dan diajarkan oleh Yesus berasal daripada-Nya. (Yoh. 7:16; 12:49, 50) Selain itu, semua catatan dari buku Matius hingga Yohanes tentang kehidupan dan aktiviti penyebaran Yesus juga berasal daripada Yehuwa. Apakah maksudnya bagi kita?

Kita masing-masing patut bertanya, “Adakah Kerajaan Tuhan dekat di hati saya?”

6 Bayangkan anda telah mengumpulkan banyak gambar untuk membuat album foto keluarga anda, tetapi ruangan dalam album itu terhad. Apakah yang akan anda lakukan? Anda harus memilih gambar-gambar yang ingin anda masukkan ke dalam album itu. Catatan Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes bagaikan album foto yang memberi kita gambaran yang jelas tentang Yesus. Namun, Yehuwa tidak mengilhami mereka untuk menuliskan semua perbuatan dan kata-kata Yesus di bumi. (Yoh. 20:30; 21:25) Sebaliknya, mereka dibimbing oleh daya aktif Yehuwa untuk mencatatkan perbuatan dan kata-kata Yesus yang dapat membantu kita memahami tujuan aktiviti penyebarannya dan hal-hal yang  paling penting bagi Yehuwa. (2 Tim. 3:16, 17; 2 Ptr. 1:21) Memandangkan keempat-empat buku itu penuh dengan ajaran Yesus tentang Kerajaan Tuhan, kita dapat menyimpulkan bahawa Kerajaan Tuhan dekat di hati Yehuwa. Ya, Yehuwa ingin kita mengenal Kerajaan-Nya dengan baik!

7 Kita masing-masing patut bertanya, “Adakah Kerajaan Tuhan dekat di hati saya?” Jika ya, kita pasti mahu mendengar kata-kata dan ajaran Yesus tentang pentingnya Kerajaan Tuhan, dan bagaimana serta bila Kerajaan Tuhan akan datang.

“Datanglah Kerajaan-Mu”​—Bagaimana?

8. Bagaimanakah Yesus menunjukkan pentingnya Kerajaan Tuhan?

8 Pertimbangkanlah doa yang diajarkan oleh Yesus. Dengan ringkas, Yesus telah menunjukkan hal-hal penting yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Tuhan. Doa itu mengandungi tujuh permohonan. Tiga permohonan yang pertama berkaitan dengan tujuan Yehuwa: Penyucian nama-Nya, kedatangan Kerajaan-Nya, dan pelaksanaan kehendak-Nya di bumi seperti di syurga. (Baca Matius 6:9, 10.) Ketiga-tiga permohonan itu berkait rapat. Kerajaan Mesias akan digunakan oleh Yehuwa untuk menyucikan nama-Nya dan melaksanakan kehendak-Nya.

9, 10. (a) Apakah yang akan berlaku semasa Kerajaan Tuhan datang? (b) Janji manakah yang paling bermakna bagi anda?

9 Apakah yang akan berlaku semasa Kerajaan Tuhan datang? Semasa kita berdoa, “Datanglah Kerajaan-Mu,” kita sedang memohon agar Kerajaan Tuhan mengambil tindakan. Apabila Kerajaan Tuhan datang, kerajaan itu akan berkuasa sepenuhnya ke atas bumi. Sistem dunia yang jahat ini, termasuk semua kerajaan manusia, akan disingkirkan lalu digantikan dengan dunia yang baru. (Dan. 2:44; 2 Ptr. 3:13) Kemudian, di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, seluruh bumi akan menjadi firdaus. (Luk. 23:43) Orang mati yang ada dalam ingatan Tuhan akan hidup semula dan kembali ke pangkuan orang yang tersayang. (Yoh. 5:28, 29) Manusia yang patuh akan menjadi sempurna dan menikmati kehidupan yang kekal. (Why. 21:3-5) Pada masa itu, kehendak Tuhan Yehuwa akan terlaksana dengan sepenuhnya di bumi, sebagaimana kehendak-Nya terlaksana di syurga. Sudah pasti anda menanti-nantikan masa semua janji itu menjadi kenyataan! Sebenarnya, setiap kali anda berdoa, “Datanglah Kerajaan-Mu,” anda sedang berdoa agar semua janji itu ditunaikan.

10 Jelaslah bahawa Kerajaan Tuhan belum ‘datang’ untuk mengabulkan permohonan dalam doa Yesus, kerana  kerajaan manusia masih berkuasa dan dunia baru belum tiba lagi. Namun, kita ada sebab untuk berasa gembira kerana Kerajaan Tuhan sudah diasaskan. Hal itu akan dibincangkan dalam bab yang berikut. Sekarang, mari kita kaji apa yang dikatakan oleh Yesus tentang bila Kerajaan Tuhan diasaskan, dan bila Kerajaan Tuhan akan datang.

Bilakah Kerajaan Tuhan Diasaskan?

11. Apakah yang ditunjukkan oleh Yesus tentang masa Kerajaan Tuhan diasaskan?

11 Yesus menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan tidak akan diasaskan pada abad pertama Masihi, meskipun itulah yang disangka oleh sesetengah pengikutnya. (Kis. 1:6) Kita akan mengkaji dua perumpamaan yang diceritakan oleh Yesus dalam selang masa dua tahun.

12. Bagaimanakah perumpamaan tentang gandum dan lalang menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan tidak diasaskan pada abad pertama Masihi?

12 Perumpamaan tentang gandum dan lalang. (Baca Matius 13:24-30.) Yesus telah menceritakan dan menjelaskan perumpamaan ini kepada murid-muridnya sekitar musim bunga tahun 31 M. (Mat. 13:36-43) Berikut merupakan isi penting dan maksud perumpamaan itu: Setelah kematian para rasul, Iblis akan menanam lalang (orang Kristian palsu) di antara gandum (“anak-anak Kerajaan Tuhan,” atau orang Kristian terurap). Gandum dan lalang dibiarkan tumbuh bersama-sama buat suatu  jangka masa, sehinggalah tibanya musim menuai, iaitu “penghujung sistem dunia ini.” Selepas musim menuai bermula, lalang akan dikumpulkan. Kemudian gandum akan dikumpulkan. Maka, perumpamaan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan hanya akan diasaskan selepas gandum dan lalang berhenti bertumbuh, dan bukannya pada abad pertama Masihi. Pada tahun 1914, hal itu telah berlaku. Gandum dan lalang berhenti bertumbuh, dan musim menuai pun bermula.

13. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia tidak akan ditabalkan sebagai Raja Mesias sebaik sahaja dia kembali ke syurga?

13 Perumpamaan tentang 10 mina. (Baca Lukas 19:11-13.) Pada tahun 33 M, Yesus menceritakan perumpamaan ini dalam perjalanannya ke Yerusalem buat kali terakhir. Sesetengah pendengarnya menyangka bahawa dia akan mendirikan Kerajaannya sebaik sahaja mereka tiba di Yerusalem. Maka, untuk membetulkan tanggapan mereka dan menunjukkan bahawa masih lama lagi sebelum Kerajaan Tuhan diasaskan, Yesus menyamakan dirinya dengan “seorang bangsawan” yang “pergi ke tempat yang jauh untuk menjadi raja.” * Bagi Yesus, “tempat yang jauh” itu ialah syurga. Di situlah dia akan diberikan kuasa sebagai Raja. Namun, Yesus tahu bahawa dia tidak akan ditabalkan sebagai Raja Mesias sebaik sahaja dia kembali ke syurga. Sebaliknya, dia harus duduk di sebelah kanan Tuhan dan menunggu sehingga masa yang ditentukan tiba. Hampir 2,000 tahun kemudian, masa itu pun tiba.​—Mzm. 110:1, 2; Mat. 22:43, 44; Ibr. 10:12, 13.

Bilakah Kerajaan Tuhan akan Datang?

14. (a) Bagaimanakah Yesus menjawab soalan yang ditanya oleh empat orang rasulnya? (b) Apabila kita melihat bagaimana nubuat Yesus menjadi kenyataan, apakah yang kita ketahui tentang kehadirannya dan Kerajaannya?

14 Beberapa hari sebelum Yesus dihukum bunuh, empat orang rasulnya bertanya kepadanya, “Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” (Mat. 24:3; Mrk. 13:4) Untuk menjawab soalan mereka, Yesus telah menubuatkan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi di pentas dunia, seperti yang tercatat di Matius bab 24 dan 25. Peristiwa-peristiwa itu merupakan tanda yang khusus bagi jangka masa yang dikenali sebagai ‘kehadirannya.’ Kehadiran Yesus bermula semasa Kerajaan Tuhan diasaskan, dan berakhir semasa Kerajaan Tuhan berkuasa ke atas seluruh bumi. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa hal-hal dalam nubuat Yesus telah berlaku sejak tahun 1914. * Oleh itu, pada tahun 1914, kehadiran Yesus bermula dan Kerajaan Tuhan ditubuhkan.

15, 16. Siapakah yang dimaksudkan oleh Yesus semasa dia menyebut tentang “generasi ini”?

 15 Jadi, bilakah Kerajaan Tuhan akan datang? Yesus tidak memberitahu kita jawapannya secara tepat. (Mat. 24:36) Tetapi kata-kata Yesus meyakinkan kita bahawa masa itu sudah sangat dekat. Dia menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan akan datang selepas “generasi ini” menyaksikan tanda yang dinubuatkan itu. (Baca Matius 24:32-34.) Siapakah “generasi ini”? Mari kita kaji kata-kata Yesus dengan lebih teliti.

16 “Generasi ini.” Adakah Yesus memaksudkan orang yang tidak percaya kepadanya? Tidak. Semasa Yesus menyatakan nubuat itu, “tiada orang lain di situ” kecuali beberapa orang rasulnya yang akan diurapi dengan daya aktif Tuhan tidak lama lagi. (Mat. 24:3) Selain itu, sebelum menyebut tentang “generasi ini,” Yesus berkata, “Belajarlah daripada perumpamaan tentang pokok ara: Sebaik sahaja dahan muda yang lembut mula mengeluarkan daun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga, apabila kamu melihat semua perkara ini, ketahuilah bahawa dia sudah berada di ambang pintu.” Ya, pengikut-pengikut Yesus yang terurap, dan bukan orang yang tidak percaya kepadanya, akan menyaksikan peristiwa-peristiwa yang dinubuatkannya dan memahami erti di sebalik semua peristiwa tersebut. Merekalah yang akan faham bahawa Yesus sudah “berada di ambang pintu.”  Maka, semasa Yesus menyebut tentang “generasi ini,” dia memaksudkan para pengikutnya yang terurap.

17. Apakah maksud ungkapan “generasi” dan “semua perkara ini”?

17 “Tidak akan lenyap sehingga semua perkara ini berlaku.” Bagaimanakah kata-kata itu akan terbukti benar? Untuk mengetahui jawapannya, kita perlu memahami maksud “generasi” dan “semua perkara ini.” Perkataan “generasi” biasanya merujuk kepada orang daripada pelbagai lapisan umur yang hidup pada suatu jangka masa yang sama. Tempoh satu generasi tidak terlalu panjang dan pasti akan berakhir. (Hak. 2:10) Ungkapan “semua perkara ini” merujuk kepada semua peristiwa yang dinubuatkan, yang akan berlaku sepanjang kehadiran Yesus dari tahun 1914 sehingga tibanya “kesengsaraan besar.”​—Mat. 24:21.

18, 19. Apakah maksud kata-kata Yesus tentang “generasi ini”? Apakah yang dapat kita simpulkan?

18 Jadi, apakah maksud kata-kata Yesus tentang “generasi ini”? Generasi tersebut merangkumi dua kumpulan orang Kristian terurap: Kumpulan pertama telah menyaksikan permulaan “tanda” itu pada tahun 1914; kumpulan kedua pula hidup dan diurapi semasa kumpulan yang pertama masih hidup. Ada sesetengah orang daripada kumpulan yang kedua akan menyaksikan permulaan kesengsaraan besar. Kedua-dua kumpulan ini membentuk satu generasi, kerana mereka pernah hidup sezaman untuk suatu jangka waktu. *

19 Apakah kesimpulannya? Kita tahu bahawa tanda kehadiran Yesus sebagai Raja Kerajaan Tuhan jelas kelihatan di serata dunia. Kita juga tahu bahawa orang Kristian terurap daripada “generasi ini” yang masih hidup sudah semakin tua, dan kesengsaraan besar akan bermula sebelum mereka semua meninggal. Jelaslah, Kerajaan Tuhan akan datang dan memerintah bumi tidak lama lagi! Kita pasti berasa sangat teruja apabila kita menyaksikan terkabulnya doa yang diajarkan oleh Yesus, “Datanglah Kerajaan-Mu”!

20. Apakah topik penting yang akan dibincangkan dalam buku ini? Apakah yang akan dikupas dalam bab yang seterusnya?

20 Janganlah sekali-kali lupa akan apa yang difirmankan oleh Yehuwa tentang Anak-Nya: “Dengarkanlah dia.” Sebagai orang Kristian sejati, kita ingin mematuhi perintah tersebut. Kita juga ingin mempelajari segala yang dikatakan dan diajarkan oleh Yesus tentang Kerajaan Tuhan. Dalam buku ini, kita akan membincangkan hal-hal yang sudah dilaksanakan dan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Tuhan. Bab seterusnya akan mengupas perkembangan-perkembangan yang berlaku sebelum dan selepas kelahiran Kerajaan Tuhan di syurga.

^ per. 13 Perumpamaan Yesus mungkin mengingatkan para pendengarnya tentang Arkelaus, anak Herodes Agung. Sebelum Herodes meninggal, dia melantik Arkelaus sebagai pewarisnya yang akan memerintah Yudea dan kawasan-kawasan lain. Namun, sebelum Arkelaus dapat memerintah, dia perlu membuat perjalanan yang jauh ke Roma supaya Kaisar Agustus mengiktiraf pelantikannya.

^ per. 18 Orang Kristian terurap yang menyaksikan “permulaan kesusahan” pada tahun 1914 membentuk kumpulan yang pertama. Sesiapa sahaja yang diurapi selepas kematian anggota yang terakhir daripada kumpulan pertama itu tidak tergolong dalam “generasi ini.”​—Mat. 24:8.