Saudara saudari yang dikasihi:

Seperti yang anda ketahui, Bible mengandungi kisah hidup umat Tuhan yang setia. Mereka “mempunyai perasaan seperti kita” dan menghadapi cabaran yang sama. (Yakobus 5:17) Ada yang dibebani dengan masalah dan kekhuatiran. Yang lain pula berasa sakit hati disebabkan perbuatan ahli keluarga atau rakan seiman. Selain itu, ada juga yang diselubungi perasaan bersalah akibat kesilapan mereka sendiri.

Namun, adakah mereka meninggalkan Yehuwa? Tidak. Kebanyakan daripada mereka berasa seperti pemazmur yang berdoa, “Aku merayau seperti domba yang sesat; oleh itu datanglah untuk mencari hamba-Mu, kerana aku tidak mengabaikan hukum-Mu.” (Mazmur 119:176) Adakah itu perasaan anda?

Yehuwa tidak pernah melupakan umat-Nya yang menyimpang daripada kawanan. Sebaliknya, Dia sering kali membantu mereka menerusi rakan seiman. Fikirkan bagaimana Yehuwa membantu hamba-Nya, Ayub, yang menghadapi banyak kesusahan. Dia mengalami masalah kewangan, kehilangan orang yang dikasihi dalam kematian, dan menderita penyakit yang teruk. Orang yang sepatutnya membantu Ayub tidak memberikan kelegaan, malah melontarkan kata-kata yang melukai hatinya. Walaupun pemikirannya kadangkala tersimpang, dia tidak meninggalkan Yehuwa. (Ayub 1:22; 2:10) Bagaimanakah Yehuwa membimbing Ayub untuk mengatasi cabaran dalam hidupnya?

Salah satu cara Yehuwa membantu Ayub adalah melalui Elihu, rakan seimannya. Setelah mendengar luahan isi hati Ayub, apakah yang akan dikatakan Elihu kepadanya? Adakah dia mengkritik, menyalahkan, atau memalukan Ayub? Adakah Elihu memandang rendah pada Ayub? Tidak! Dengan dorongan kuasa Tuhan, Elihu berkata, ‘Bagi Tuhan, kamu dan aku tidak berbeza; daripada tanah liat kita dibentuk-Nya.’ Kemudian, dia meyakinkan Ayub: “Kamu tidak perlu takut kepadaku; aku tidak bermaksud mengalahkan kamu.” (Ayub 33:6, 7) Elihu tidak menambahkan beban ke atas Ayub, malah dia memberikan galakan dan nasihat yang pengasih kepadanya.

Semasa menyediakan brosur ini, kami juga meniru teladan Elihu. Mula-mula, kami mendengar dengan teliti luahan hati mereka yang telah menyimpang, dan mempertimbangkan keadaan mereka. (Amsal 18:13) Kemudian, kami berdoa dan menyelidiki Bible untuk mengetahui cara Yehuwa membantu umat-Nya pada zaman dahulu yang menghadapi masalah yang sama. Akhirnya, kami mengaitkan kisah-kisah Bible tersebut dengan pengalaman zaman moden untuk menghasilkan brosur ini. Kami menggalakkan anda untuk membaca brosur ini. Yakinlah bahawa kami sangat mengasihi anda.

Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa