“Saya dan suami bercerai selepas berkahwin selama 25 tahun. Anak-anak saya pula meninggalkan kebenaran. Saya menghidap beberapa penyakit serius dan mula menjadi murung. Hidup saya bagaikan sudah hancur dan saya tidak sanggup melakukan apa-apa lagi. Saya berhenti menghadiri perjumpaan dan menjadi tidak aktif.”​—June.

MANUSIA tidak kebal terhadap kekhuatiran, bahkan hamba Tuhan pun menghadapinya. Seorang pemazmur menulis, “Aku bimbang dan khuatir.” (Mazmur 94:19) Yesus juga berkata bahawa pada hari-hari terakhir, “kekhuatiran hidup” boleh menyebabkan penyembahan kepada Yehuwa lebih mencabar. (Lukas 21:34) Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda dibanjiri kekhuatiran akibat masalah kewangan, masalah keluarga, atau masalah kesihatan? Bagaimanakah Yehuwa dapat membantu anda untuk menghadapinya?

‘Kuasa Luar Biasa daripada Tuhan’

Kita memerlukan bantuan untuk menangani kekhuatiran hidup. Rasul Paulus menulis, ‘Kami diasak dari semua arah, kami kebingungan, kami dihempas ke tanah.’ Namun, dia juga berkata bahawa “kami tidak terhimpit sehingga tidak dapat bergerak,” ‘kami bukanlah tidak ada jalan keluar,’ dan “kami tidak dibinasakan.” Apakah yang dapat membantu kita untuk bertahan? “Kuasa luar biasa” daripada Tuhan kita, Yehuwa.​—2 Korintus 4:7-9.

Renungkanlah bagaimana anda pernah menerima “kuasa luar biasa” daripada Tuhan. Adakah anda ingat akan ceramah yang telah meningkatkan penghargaan anda terhadap kasih Yehuwa? Tidakkah iman anda terhadap janji-janji Yehuwa dikuatkan semasa memberitahu orang lain tentang harapan bumi Firdaus? Dengan menghadiri perjumpaan Kristian dan mengongsi berita baik, kita mendapat kekuatan untuk menangani kekhuatiran hidup dan memperoleh ketenangan fikiran agar dapat menyembah Yehuwa dengan sukacita.

‘Rasakanlah Sendiri Betapa Baiknya Yehuwa’

Anda mungkin menghadapi banyak tekanan sekali gus. Contohnya, Yehuwa ingin kita mengutamakan Kerajaan-Nya dan melakukan aktiviti rohani secara tetap. (Matius 6:33; Lukas 13:24) Namun, bagaimana jika tentangan, masalah kesihatan, atau masalah keluarga melemahkan anda secara fizikal? Bagaimana pula jika kerja sekular memakan banyak masa dan tenaga sehingga anda tidak dapat menyertai aktiviti sidang? Anda mungkin berasa dibebani kerana terlalu sibuk sehingga tidak cukup masa dan tenaga. Anda juga mungkin berfikir sama ada Yehuwa mengharapkan terlalu banyak daripada anda.

Yehuwa memahami keadaan kita. Dia tidak pernah mengharapkan sesuatu yang melebihi kemampuan kita. Dia tahu bahawa kita memerlukan masa untuk mengatasi tekanan fizikal dan emosi.​—Mazmur 103:13, 14.

Sebagai contoh, perhatikan cara Yehuwa membantu nabi Elia. Semasa Elia berasa lemah dan takut, dia melarikan diri ke padang belantara. Adakah Yehuwa memarahi Elia dan menyuruh dia kembali melakukan tugasannya? Tidak. Yehuwa mengutus malaikat-Nya sebanyak dua kali untuk membangunkan Elia dan memberikan makanan  kepadanya. Namun, 40 hari kemudian, Elia masih berasa khuatir dan takut. Apakah bantuan lain yang Yehuwa berikan? Pertama, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia dapat melindungi Elia. Kedua, Yehuwa melegakan hati Elia dengan “suara yang lembut.” Akhirnya, Yehuwa menunjukkan kepada Elia bahawa ribuan orang masih menyembah-Nya dengan setia. Tidak lama kemudian, Elia kembali melakukan tugasnya sebagai seorang nabi dengan bersemangat. (1 Raja-Raja 19:1-19) Apakah pengajarannya? Semasa Elia dilanda kekhuatiran, Yehuwa membantunya dengan penuh sabar dan belas kasihan. Yehuwa tidak pernah berubah. Dia akan membantu kita dalam cara yang sama.

Anda harus bersikap realistik mengenai apa yang dapat anda berikan kepada Yehuwa. Janganlah bandingkan diri anda sekarang dengan apa yang pernah anda lakukan. Contohnya, seorang pelari yang sudah lama berhenti berlatih tidak dapat segera melakukan rutinnya yang dahulu. Sebaliknya, dia perlu menetapkan matlamat jangka pendek untuk membina semula kekuatan dan ketahanannya. Orang Kristian bagaikan pelari yang bertumpu kepada matlamat mereka. (1 Korintus 9:24-27) Bolehkah anda menetapkan satu matlamat rohani yang dapat anda capai sekarang? Contohnya, anda boleh berusaha untuk menghadiri perjumpaan Kristian. Mohonlah bantuan Yehuwa agar anda dapat mencapai matlamat itu. Seraya anda membina semula kekuatan rohani, anda akan ‘merasakan sendiri betapa baiknya Yehuwa.’ (Mazmur 34:9) Ingatlah, Yehuwa amat menghargai semua yang anda lakukan untuk menunjukkan kasih anda terhadap-Nya.​—Lukas 21:1-4.

Yehuwa tidak pernah mengharapkan sesuatu yang melebihi kemampuan kita

“Bantuan yang Saya Nanti-nantikan”

Bagaimanakah Yehuwa membantu June untuk kembali kepada-Nya? June berkata, “Saya selalu berdoa untuk memohon bantuan Yehuwa. Kemudian, menantu saya memberitahu tentang perhimpunan yang akan diadakan berdekatan kawasan saya. Saya memutuskan untuk menghadiri perhimpunan itu. Saya sangat gembira kerana dapat bersama dengan umat Yehuwa sekali lagi! Perhimpunan itu memberikan bantuan yang saya nanti-nantikan. Kini, saya sedang menyembah Yehuwa dengan sukacita. Hidup saya amat bermakna. Saya sedar bahawa saya tidak patut mengasingkan diri atau bergantung pada diri sendiri. Saya bersyukur kerana masih sempat kembali kepada Yehuwa.”