Seekor bebiri tersesat. Sewaktu meragut rumput, bebiri itu terpisah daripada biri-biri lain. Bebiri itu tidak dapat mencari kawanan dan gembalanya. Hari semakin gelap. Bebiri itu terdedah kepada bahaya serangan binatang buas. Akhirnya, bebiri itu terdengar suara gembalanya yang berlari menuju ke arahnya. Gembala itu mendukung lalu menutupi bebiri itu dengan lapisan jubahnya dan membawa bebiri itu pulang.

YEHUWA berulang kali menggambarkan diri-Nya sebagai seorang gembala. Dalam Firman-Nya, Yehuwa berkata, ‘Aku sendiri akan mencari domba-domba-Ku, dan memelihara mereka.’​—Yehezkiel 34:11, 12.

“Domba yang Aku Beri Makan”

Siapakah bebiri Yehuwa? Mereka ialah orang yang mengasihi dan menyembah-Nya. Bible berkata, ‘Marilah kita bersujud dan menyembah Dia; marilah kita berlutut di hadapan Yehuwa, Pencipta kita! Dialah Tuhan kita; kitalah umat yang dipelihara-Nya, seperti kawanan domba yang digembalakan-Nya.’ (Mazmur 95:6, 7) Seperti bebiri yang mengikut gembalanya, penyembah Yehuwa berusaha mengikuti Gembala mereka. Adakah umat Tuhan sempurna? Tidak. Ada kalanya, mereka juga seperti “biri-biri yang sesat” atau “yang tercerai-cerai.” (Matius 15:24; 1 Petrus 2:25; Yehezkiel 34:12) Meskipun seseorang telah menyimpang, Yehuwa tidak mengabaikannya seolah-olah dia tiada harapan.

 Adakah anda masih menganggap Yehuwa sebagai Gembala anda? Bagaimanakah Yehuwa membuktikan diri-Nya sebagai Gembala kita dewasa ini? Perhatikan tiga cara:

Dia memberi kita makanan rohani. Yehuwa berkata, ‘Aku akan membiarkan mereka merumput dengan tenteram di padang hijau. Aku akan membolehkan mereka makan di padang rumput yang hijau.’ (Yehezkiel 34:14) Yehuwa tidak pernah berhenti menyajikan beraneka jenis makanan rohani yang menyegarkan secara tetap. Pernahkah doa anda dijawab menerusi sebuah rencana, ceramah, atau video? Tidakkah hal ini meyakinkan anda bahawa Yehuwa benar-benar mengambil berat terhadap anda?

Dia melindungi dan membantu kita. Yehuwa berjanji, ‘Aku akan membawa pulang mereka yang sesat, membalut mereka yang luka, dan mengubati mereka yang sakit.’ (Yehezkiel 34:16) Yehuwa mengubati orang yang lemah atau yang dibebani kekhuatiran dengan menguatkan mereka. Dia membalut luka yang mungkin disebabkan oleh rakan seiman supaya mereka dapat disembuhkan. Dia juga membawa mereka yang sesat dan yang mungkin bergelut dengan perasaan negatif untuk pulang ke kawanan-Nya.

Dia mengambil berat terhadap kita. Yehuwa berkata, “Aku akan mengumpulkan mereka dari tempat mereka tercerai-cerai” dan “Aku akan mencari mereka yang hilang.” (Yehezkiel 34:12, 16) Yehuwa tidak berputus asa terhadap bebiri yang sesat. Dia tahu apabila bebiri-Nya sesat. Dia akan mencari bebiri itu dan bersukacita apabila menjumpainya. (Matius 18:12-14) Lagipun, Dia memanggil umat setia-Nya sebagai “kawanan domba yang Aku beri makan.” (Yehezkiel 34:31) Anda juga tergolong dalam kawanan itu.

Yehuwa tidak berputus asa terhadap bebiri yang sesat. Dia bersukacita apabila menjumpai bebiri itu

“Pulihkanlah Kegemilangan Kami seperti Dahulu”

Mengapakah Yehuwa mencari dan menjemput anda untuk kembali kepada-Nya? Kerana Dia ingin anda bersukacita. Dia berjanji bahawa Dia ‘akan memberkati umat-Nya’ dengan berlimpah-limpah. (Yehezkiel 34:26) Janji ini bukannya janji kosong. Anda sendiri telah melihat buktinya.

Renungkanlah saat anda baru mengenali Yehuwa. Contohnya, apakah perasaan anda semasa anda mula mempelajari kebenaran tentang nama Tuhan dan tujuan-Nya bagi manusia? Adakah anda ingat perasaan menyegarkan yang anda nikmati semasa menghadiri perhimpunan dan konvensyen bersama rakan seiman? Tidakkah anda berasa gembira dan berpuas hati apabila berpeluang untuk mengongsi berita baik kepada orang yang menunjukkan minat?

Anda boleh menikmati semula sukacita itu. Hamba Tuhan pada masa lampau berdoa, ‘Ya Yehuwa, bawalah kami kembali kepada-Mu! Pulihkanlah kegemilangan kami seperti dahulu.’ (Ratapan 5:21) Yehuwa menjawab doa itu, dan mereka kembali menyembah-Nya dengan sukacita. (Nehemia 8:17) Yehuwa akan melakukan perkara yang sama untuk anda.

Namun, kembali kepada Yehuwa bukannya sesuatu yang mudah. Perhatikan beberapa cabaran yang akan timbul dan cara anda dapat mengatasinya.