Amerika Syarikat

Sekolah Gilead, Paterson, New York

Panama

Sejak dahulu lagi, Saksi-Saksi Yehuwa amat mementingkan pendidikan rohani. Beberapa sekolah telah disediakan khasnya untuk penginjil sepenuh masa. Hasilnya, mereka dapat melaksanakan kerja ini “dengan sebaik-baiknya.”2 Timotius 4:5.

Sekolah Latihan Perintis. Perintis biasa yang telah berkhidmat selama setahun layak menyertai sekolah ini. Sekolah ini berlangsung selama enam hari, dan biasanya diadakan di Dewan Perjumpaan yang berhampiran. Tujuannya adalah untuk membantu perintis mengeratkan hubungannya dengan Yehuwa, menjalankan semua aspek kerja menginjil dengan lebih berkesan, dan meneruskan khidmatnya dengan setia.

Sekolah Latihan Penginjil. Sekolah ini berlangsung selama dua bulan, dan disediakan untuk melatih para perintis berpengalaman yang sanggup meninggalkan kampung halaman untuk berkhidmat di kawasan yang memerlukan bantuan. Dengan menunjukkan semangat “Inilah aku. Utuslah aku!” mereka meniru Yesus Kristus, Penginjil agung yang pernah berkhidmat di bumi. (Yesaya 6:8; Yohanes 7:29) Mereka berpindah ke tempat yang jauh, menyesuaikan diri dengan taraf hidup yang lebih sederhana, budaya, iklim, dan makanan yang amat berbeza. Mereka mungkin perlu mempelajari bahasa lain. Perintis yang bujang atau telah berkahwin dan berusia antara 23 hingga 65 tahun boleh menyertai sekolah ini. Mereka dibantu untuk memupuk sifat-sifat rohani dan mengasah kemahiran agar dapat meluaskan khidmat dalam organisasi Yehuwa.

Sekolah Latihan Gilead. Dalam bahasa Ibrani, makna perkataan “Gilead” berkait dengan “Kesaksian.” Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1943. Sejak itu, lebih daripada 8,000 lulusan Gilead berjaya memberikan kesaksian ke “seluruh dunia.” (Kisah 13:47) Contohnya, Peru tidak mempunyai sidang semasa mereka tiba. Sekarang ada lebih daripada 1,000 buah sidang. Semasa perintis seberang laut mula berkhidmat di Jepun, terdapat kurang daripada 10 orang Saksi. Kini, angkanya melebihi 200,000 orang. Selama lima bulan, pelajar Gilead akan mempelajari Firman Tuhan dengan menyeluruh. Perintis khas, perintis seberang laut, mereka yang berkhidmat di pejabat cawangan, atau yang menjalankan kerja litar diundang untuk menyertai sekolah ini. Mereka dilatih untuk memantapkan dan memajukan kerja menginjil di seluas bumi.

  • Apakah tujuan Sekolah Latihan Perintis?

  • Sekolah Latihan Penginjil disediakan untuk siapa?