Pemujaan bendera. Saksi-Saksi Yehuwa percaya bahawa menunduk kepada bendera atau menabik bendera, biasanya apabila lagu kebangsaan sedang dimainkan, merupakan suatu bentuk penyembahan yang menunjukkan bahawa penyelamatan bergantung pada Negara atau pemerintah manusia, dan bukannya Tuhan. (Yesaya 43:11; 1 Korintus 10:14; 1 Yohanes 5:21) Contohnya, raja Babilon kuno yang bernama Nebukadnezar telah mendirikan sebuah patung besar untuk memperagakan keagungan serta semangat keagamaannya. Raja yang berkuasa ini telah memerintah rakyatnya untuk sujud menyembah patung itu apabila muzik, umpama lagu kebangsaan, dimainkan. Tetapi, tiga orang lelaki Ibrani—Sadrakh, Mesakh, dan Abednego—enggan sujud menyembah patung ini walaupun mereka akan dihukum mati.Daniel, bab 3.

Sejarawan yang bernama Carlton Hayes menulis bahawa pada zaman kita, bendera merupakan objek penyembahan. Dia menyatakan, “Lelaki menanggalkan topi apabila bendera berlalu; para penyajak menulis puisi dan kanak-kanak menyanyikan lagu pujian untuk memuja bendera.” Dia juga menyatakan bahawa nasionalisme mempunyai “santo dan wira,” serta “hari suci,” seperti Hari Kebangsaan. Dalam sebuah upacara umum di Brazil, presiden Mahkamah Tinggi Tentera mengakui, “Bendera dipuja dan disembah . . . sepertimana Tanah Air disembah.” The Encyclopedia Americana pernah menyatakan, “Bendera, seperti salib, adalah suci.”

Baru-baru ini, ensiklopedia yang sama menyatakan bahawa lagu kebangsaan “merupakan luahan perasaan patriotik dan sering kali merangkumi doa kepada Tuhan untuk bimbingan dan perlindungan bagi rakyat atau pemimpin mereka.” Maka, hamba-hamba Yehuwa bukannya bersikap tidak munasabah apabila mereka memandang upacara patriotik yang melibatkan pemujaan bendera, lagu kebangsaan, dan ikrar  negara sebagai upacara keagamaan. Sebenarnya, buku The American Character memberi komen mengenai keengganan anak Saksi-Saksi Yehuwa untuk memuja bendera atau melafazkan ikrar taat setia di sekolah di Amerika Syarikat. Buku itu menyatakan, “Akhirnya Mahkamah Agung telah mengesahkan dalam beberapa kes mahkamah bahawa upacara harian ini merupakan upacara keagamaan.”

Walaupun umat Yehuwa tidak menyertai upacara yang melanggar hukum Bible, mereka menghormati hak orang lain untuk berbuat demikian. Mereka juga menghormati bendera kebangsaan sebagai lambang negara dan mengakui kerajaan yang sah sebagai “pemerintah” yang berkhidmat sebagai ‘hamba Tuhan.’ (Roma 13:1-4) Maka, Saksi-Saksi Yehuwa menurut perintah supaya berdoa “untuk raja-raja dan semua penguasa.” Motif kita adalah “supaya kita boleh hidup dengan aman dan tenteram” dan menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati.1 Timotius 2:2.

Mengundi dalam pilihan raya. Orang Kristian sejati menghormati hak orang lain untuk mengundi. Mereka tidak menentang pilihan raya yang diadakan, tetapi mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa yang dipilih. Walaupun begitu, mereka tetap neutral dalam hal ehwal politik dunia. (Matius 22:21; 1 Petrus 3:16) Apakah yang patut dilakukan oleh orang Kristian jika mereka diwajibkan mengundi atau jika situasi timbul yang mana orang ramai mungkin bertindak ganas jika mereka tidak pergi ke tempat mengundi? Ingatlah bahawa Sadrakh, Mesakh, dan Abednego telah pergi ke dataran Dura. Maka, seorang Kristian dalam situasi yang serupa boleh memilih untuk pergi ke tempat mengundi jika hati nuraninya mengizinkan. Tetapi, dia akan memastikan bahawa keneutralannya tidak dikompromikan. Dia patut mengambil kira enam prinsip yang berikut:

  1. Pengikut Yesus bukan sebahagian daripada dunia.Yohanes 15:19.

  2. Orang Kristian mewakili Kristus dan Kerajaannya.Yohanes 18:36; 2 Korintus 5:20.

  3.   Sidang Kristian disatukan oleh kepercayaan yang sama dan kasih sejati.1 Korintus 1:10; Kolose 3:14.

  4. Mereka yang memilih seorang ahli politik turut bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya.—Perhatikan prinsip di sebalik ayat-ayat di 1 Samuel 8:5, 10-18 dan 1 Timotius 5:22.

  5. Ketika orang Israel meminta seorang pemerintah manusia, Yehuwa menganggap bahawa mereka telah menolak-Nya sebagai Raja.1 Samuel 8:7.

  6. Orang Kristian mesti mempunyai hati nurani yang murni apabila bercakap tentang Kerajaan Tuhan kepada semua orang, tidak kira apa sahaja pandangan politik mereka.Matius 24:14; 28:19, 20; Ibrani 13:18.

Khidmat awam. Di sesetengah negara, kerajaan mewajibkan mereka yang menolak khidmat tentera untuk melakukan khidmat awam buat suatu tempoh masa. Apabila kita perlu membuat keputusan mengenai hal ini, kita patut berdoa, membincangkan hal ini dengan seorang Kristian yang matang, dan kemudian membuat keputusan berdasarkan hati nurani yang dilatih.Amsal 2:1-5.

Firman Tuhan memberitahu kita supaya “taat kepada pemerintah dan penguasa, . . . dan bersedia melakukan segala perkara yang baik” serta bersikap munasabah. (Titus 3:1, 2) Berdasarkan prinsip Bible ini, tanyalah soalan-soalan berikut: “Dengan menerima khidmat awam yang ditawarkan, adakah saya akan mengkompromikan keneutralan Kristian saya, ataupun melibatkan diri dalam agama palsu?” (Mikha 4:3, 5; 2 Korintus 6:16, 17) “Adakah kerja ini akan menyukarkan atau menghalang saya daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Kristian?” (Matius 28:19, 20; Efesus 6:4; Ibrani 10:24, 25) “Sebaliknya, adakah khidmat awam sebegini membolehkan saya untuk meningkatkan aktiviti rohani saya, mungkin dengan menceburi aktiviti penyebaran sepenuh masa?”Ibrani 6:11, 12.

Jika seorang Kristian membuat keputusan berdasarkan hati nurani bahawa dia boleh menjalankan khidmat awam  dan tidak perlu masuk penjara, orang Kristian lain harus menghormati keputusannya. (Roma 14:10) Tetapi, jika dia memutuskan bahawa dia tidak boleh melakukan khidmat awam, orang lain patut menghormati keputusannya juga.1 Korintus 10:29; 2 Korintus 1:24.