Yehuwa menghendaki orang yang telah berkahwin untuk berlaku setia kepada teman hidup masing-masing. Semasa menyatukan lelaki dan wanita pertama, Yehuwa telah berkata, ‘Seorang lelaki [mesti] bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu.’ Yesus Kristus juga telah berkata, ‘Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan, tidak boleh dipisahkan oleh manusia.’ (Kejadian 2:24; Matius 19:3-6) Dari sudut pandangan Yehuwa dan Yesus, ikatan perkahwinan antara dua insan hanya akan terlerai jika salah seorang daripada mereka mati. (1 Korintus 7:39) Oleh sebab Yehuwa memandang suci aturan perkahwinan, perceraian yang tidak berlandaskan Bible sangat dibenci oleh-Nya.Maleakhi 2:15, 16.

Menurut Bible, bilakah seseorang diizinkan untuk bercerai? Hanya jika temannya berzina atau melakukan perbuatan cabul. Ya, oleh sebab Yehuwa begitu membenci perbuatan cabul, Dia mengizinkan seseorang untuk bercerai atas dasar ini. * (Kejadian 39:9; 2 Samuel 11:26, 27; Mazmur 51:6) Yehuwa memberi individu yang tidak bersalah hak untuk memilih sama ada dia mahu menceraikan temannya yang telah berlaku curang. (Matius 19:9) Maka, jika dia memilih untuk menceraikan pasangannya, dia tidak melakukan perkara yang salah di mata Yehuwa. Tetapi kita tidak patut  menggalakkan sesiapa pun untuk menceraikan pasangannya. Malahan, dalam sesetengah keadaan, individu yang tidak bersalah mungkin memilih untuk memaafkan teman hidupnya terutamanya jika dia benar-benar insaf. Jadi, keputusannya terletak di tangan individu yang tidak bersalah dan dia bertanggungjawab atas keputusan yang diambil.Galatia 6:5.

Di bawah keadaan tertentu yang sangat teruk, segelintir saudara saudari membuat keputusan untuk berpisah atau bercerai walaupun teman hidup mereka tidak melakukan perbuatan cabul. Dalam keadaan sebegini, Bible mengarahkan individu sedemikian supaya “tidak bersuami [atau beristeri],” atau dia harus “kembali kepada suaminya [atau isterinya].” (1 Korintus 7:11) Maka, individu ini tidak bebas untuk berkahwin dengan orang lain. (Matius 5:32) Berikut merupakan tiga situasi yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai dasar untuk berpisah dengan teman hidup.

Enggan menyara keluarga. Sebuah keluarga mungkin hidup melarat kerana suami enggan menjaga keperluan asas mereka walaupun dia mampu berbuat demikian. Bible menyatakan, ‘Jika seseorang tidak memelihara anggota keluarganya sendiri, dia menyangkal Kristus. Dia lebih jahat daripada orang yang tidak berkepercayaan.’ (1 Timotius 5:8) Jika suami enggan mengubah sikap, isteri boleh memilih untuk mendapatkan perpisahan yang sah dari segi undang-undang demi kesejahteraan diri dan anak-anak. Jika si tertuduh ialah seorang Kristian, para penatua harus mengendalikan hal ini dengan teliti. Mengapa? Kerana seseorang yang enggan menyara keluarganya boleh disingkirkan dari sidang.

Penderaan fizikal yang teruk. Situasi mungkin timbul yang mana seseorang bertindak dengan sangat ganas sehingga kesihatan dan nyawa temannya terancam. Jika pendera ialah seorang Kristian, tuduhan yang dibuat harus diselidiki oleh para penatua. Seseorang yang bersifat ganas dan memperlihatkan kemarahan yang tidak terkawal boleh disingkirkan dari sidang.Galatia 5:19-21.

 Tidak dapat menyembah Yehuwa. Kadangkala seseorang mungkin menerima tentangan daripada temannya sehingga dia tidak dapat menyembah Yehuwa, atau dia dipaksa untuk melanggar hukum Tuhan. Dalam keadaan sebegini, dia ‘harus taat kepada Tuhan dan bukan kepada manusia.’ (Kisah 5:29) Maka, dia perlu memutuskan sama ada dia mahu mendapatkan perpisahan yang sah atau tidak.

Jika berlakunya situasi seperti yang dibincangkan di atas, tiada sesiapa yang patut memaksa pandangannya ke atas orang lain. Walaupun para penatua atau sahabat Kristian boleh membantu dan menawarkan nasihat yang berpandukan Bible, mereka tidak mungkin mengetahui segala-gala yang berlaku antara pasangan suami isteri itu. Hanya Yehuwa yang mengetahui situasi yang sebenar. Sudah tentu, suami atau isteri tidak patut membesar-besarkan masalah keluarga agar dapat berpisah dengan teman mereka. Jika mereka berbuat demikian, mereka tidak menghormati aturan perkahwinan mahupun Yehuwa. Yehuwa tahu jika seseorang mencuba memperdayakan orang lain dengan tipu helah yang licik. Sememangnya, Bible menyatakan bahawa ‘segala sesuatu di alam semesta terbuka dan terdedah di sisi Tuhan. Kita semua harus memberikan pertanggungjawaban tentang hidup kita kepada Tuhan.’ (Ibrani 4:13) Tetapi jika situasi yang sangat teruk berterusan dan tiada jalan penyelesaian yang lain, seseorang mungkin memilih untuk berpisah dengan temannya. Orang lain tidak patut mengkritiknya kerana ‘kita semua akan menghadap Tuhan untuk diadili.’Roma 14:10-12.

^ per. 2 Untuk maklumat lanjut mengenai perbuatan cabul, sila lihat Bab 9, perenggan 7.