Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 5

Cara Mengasingkan Diri daripada Dunia

Cara Mengasingkan Diri daripada Dunia

“Kamu sekarang bukan lagi milik dunia.”YOHANES 15:19.

1. Apakah yang ditekankan oleh Yesus pada malam terakhir di bumi sebagai seorang manusia?

PADA malam terakhir di bumi sebagai seorang manusia, Yesus menunjukkan bahawa dia sangat risau mengenai masa hadapan pengikutnya. Dia juga berdoa kepada Bapanya mengenai hal ini, ‘Aku tidak meminta Engkau mengeluarkan mereka dari dunia, tetapi aku meminta Engkau menjaga mereka daripada Si Jahat. Sebagaimana aku bukan milik dunia, mereka pun bukan milik dunia.’ (Yohanes 17:15, 16, ABB) Permintaan Yesus yang tulus bagi pihak para pengikutnya memperlihatkan kasihnya yang mendalam dan menekankan betapa pentingnya kata-kata yang diucapkan sebelum itu, “Kamu sekarang bukan lagi milik dunia.” (Yohanes 15:19) Maka, Yesus dengan jelas menunjukkan bahawa adalah sangat penting bagi para pengikutnya untuk mengasingkan diri daripada dunia.

2. Apakah yang dimaksudkan Yesus apabila dia menggunakan perkataan “dunia”?

2 “Dunia” yang disebut oleh Yesus merujuk kepada umat manusia yang terasing daripada Tuhan, yang diperintah oleh Syaitan, dan yang dibelenggu kesombongan dan sikap mementingkan diri yang mencerminkan Syaitan. (Yohanes 14:30; Efesus 2:2; 1 Yohanes 5:19) Sememangnya, ‘Sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia,  menjadi musuh Tuhan.’ (Yakobus 4:4) Maka, bagaimanakah mereka yang ingin terus berada di bawah naungan kasih Tuhan tinggal dalam dunia dan pada masa yang sama mengasingkan diri daripada dunia? Mereka melakukan hal ini dengan (1) tetap setia kepada Kerajaan Tuhan dan berpendirian neutral dalam hal ehwal politik, (2) melawan kecenderungan mental dunia, (3) sederhana dalam pakaian dan dandanan, (4) memiliki mata yang tertumpu pada satu perkara sahaja, dan (5) memakai perlengkapan senjata rohani. Mari kita bincangkan lima perkara ini.

TETAP SETIA DAN NEUTRAL

3. (a) Semasa di bumi, apakah pandangan Yesus terhadap hal ehwal politik? (b) Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa pengikut Yesus yang terurap berkhidmat sebagai duta? (Lihat juga nota kaki.)

3 Semasa di bumi, Yesus tidak melibatkan diri dalam hal ehwal politik. Sebaliknya, dia menumpukan perhatian pada kerja penyebaran Kerajaan Tuhan, iaitu kerajaan di syurga yang mana dia bakal menjadi Raja. (Daniel 7:13, 14; Lukas 4:43; 17:20, 21) Oleh itu, Yesus dapat berkata kepada Gabenor Roma yang bernama Pontius Pilatus, ‘Pemerintahanku bukan dari dunia ini.’ (Yohanes 18:36) Pengikutnya yang setia mengikut teladannya dengan memberikan kesetiaan mereka kepada Kristus dan Kerajaannya. Mereka juga menyerantakan berita Kerajaan itu ke seluruh dunia. (Matius 24:14) Hawari Paulus telah menulis, ‘Kami [“sebagai duta,” NW] menggesa kamu bagi pihak Kristus, supaya kamu membolehkan Tuhan mengubah kamu daripada musuh menjadi sahabat-Nya.’ *2 Korintus 5:20.

4. Bagaimanakah semua orang Kristian sejati menunjukkan kesetiaan terhadap Kerajaan Tuhan? (Lihat kotak “ Keneutralan Orang Kristian Awal.”)

 4 Oleh sebab duta-duta mewakili negara sendiri, mereka tidak mencampuri hal ehwal politik negara lain; mereka tetap berpendirian neutral atau mengambil dasar berkecuali. Namun begitu, para duta tentu akan menyokong kerajaan yang diwakili mereka. Hal ini adalah sama bagi orang Kristian terurap yang mempunyai ‘kewarganegaraan di syurga.’ (Filipi 3:20) Oleh sebab mereka menyebarkan berita Kerajaan dengan semangat yang membara, mereka telah membantu jutaan biri-biri lain untuk ‘menjadi sahabat Tuhan.’ (Matius 25:31-40; Yohanes 10:16) Biri-biri lain ini menjadi utusan Kristus dan menyokong saudara Yesus yang terurap. Sebagai satu kawanan yang bersatu padu, kedua-dua kumpulan ini menyokong Kerajaan Mesias dan berpendirian neutral dalam hal ehwal politik dunia.Yesaya 2:2-4.

5. Apakah perbezaan antara umat Israel kuno dan orang Kristian sekarang? Disebabkan perbezaan ini, apakah yang akan dihindari oleh orang Kristian?

5 Kesetiaan kepada Kristus bukanlah satu-satunya sebab yang mendorong orang Kristian sejati untuk mengekalkan keneutralan mereka. Tidak seperti umat Israel kuno yang tinggal di sebuah negara, kita merupakan sebahagian daripada persaudaraan Kristian antarabangsa. (Matius 28:19) Maka, jika kita menyokong parti politik tempatan, perpaduan Kristian kita dan kebebasan kita untuk bercakap tentang Kerajaan Tuhan akan terjejas. (1 Korintus 1:10) Tambahan lagi, semasa perang berlaku, kita terpaksa melawan rakan sekepercayaan meskipun kita diperintahkan untuk mengasihi mereka. (Yohanes 13:34, 35; 1 Yohanes 3:10-12) Maka, atas sebab yang munasabah Yesus menyeru murid-muridnya supaya tidak melibatkan diri dalam perang. Bahkan dia menyuruh  mereka untuk mengasihi musuh mereka.Matius 5:44; 26:52; lihat kotak “ Adakah Saya Berpendirian Neutral?

6. Sebagai orang Kristian sejati yang membaktikan diri kepada Tuhan, apakah pandangan kita terhadap Kaisar?

 6 Sebagai orang Kristian sejati, kita telah membaktikan diri kepada Tuhan, dan bukannya kepada mana-mana manusia, institusi, atau negara. Ayat di 1 Korintus 6:19, 20 menyatakan, ‘Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Tuhan. Kamu sudah dibeli oleh Tuhan.’ Jadi, biarpun pengikut Yesus memberi “Kaisar” hormat,  ketaatan yang relatif, dan membayar cukai, mereka ‘memberikan apa yang dimiliki oleh Tuhan kepada Tuhan.’ (Markus 12:17; Roma 13:1-7) Hal ini merangkumi penyembahan mereka, kasih yang tidak berbelah bahagi, kepatuhan, dan kesetiaan. Jika perlu, mereka sanggup mengorbankan nyawa demi Tuhan.Lukas 4:8; 10:27; Kisah 5:29; Roma 14:8.

MELAWAN KECENDERUNGAN MENTAL DUNIA

7, 8. Apakah kecenderungan mental dunia, dan bagaimanakah kecenderungan ini “mempengaruhi” seseorang?

7 Satu lagi cara seorang Kristian dapat mengasingkan diri daripada dunia adalah dengan menolak kecenderungan mental dunia yang fasiq. Paulus menulis, ‘Kita tidak menerima roh [“kecenderungan mental,” NW] dunia ini, tetapi kita menerima Roh [daya aktif] Tuhan.’ (1 Korintus 2:12) Kepada orang di Efesus, dia berkata, “Pada masa itu, kamu berjalan mengikut . . . dunia ini, mengikut pemerintah yang menguasai udara, iaitu kecenderungan mental yang sedang mempengaruhi orang yang ingkar.”Efesus 2:2, NW.

8 “Udara,” atau kecenderungan mental dunia ini ialah daya yang tidak kelihatan yang mendorong orang untuk mengingkari Tuhan. Kecenderungan mental ini “menguasai” dunia dengan mengumpan orang untuk menurut keinginan hati yang berdosa, serta keinginan mata. (1 Timotius 6:9, 10; 1 Yohanes 2:16) Kecenderungan mental ini juga licik, menyerang tanpa berhenti-henti, dan menyelubungi kita seperti udara. Selain itu, kecenderungan ini “mempengaruhi” seseorang untuk beransur-ansur memupuk sifat yang tidak diperkenankan Tuhan seperti sifat mementingkan diri, angkuh, tamak, dan suka memberontak, serta menginginkan kebebasan  mutlak. * Dalam kata lain, kecenderungan mental dunia menyebabkan sifat Si Iblis bertumbuh secara beransur-ansur di dalam hati manusia.Yohanes 8:44; Kisah 13:10; 1 Yohanes 3:8, 10.

9. Bagaimanakah kecenderungan mental dunia dapat menyusup ke dalam hati dan minda kita?

9 Dapatkah kecenderungan mental dunia berakar dalam hati dan minda anda? Ya, hanya jika anda tidak berhati-hati dan membenarkan hal itu berlaku. (Amsal 4:23) Kecenderungan ini menyusup secara tidak ketara dan mungkin mempengaruhi kita melalui pergaulan dengan orang yang nampaknya baik, tetapi sebenarnya tidak mengasihi Yehuwa. (Amsal 13:20; 1 Korintus 15:33) Anda juga dapat menyerap kecenderungan yang fasiq ini melalui bahan bacaan atau hiburan yang tidak sihat, laman web yang mengandungi unsur lucah atau murtad, dan sukan yang menggalakkan persaingan sengit. Sebenarnya, kecenderungan ini boleh mempengaruhi kita melalui sesiapa atau apa-apa yang menggalakkan pemikiran Syaitan atau sistem dunianya.

10. Bagaimanakah kita boleh melawan kecenderungan mental dunia?

 10 Bagaimanakah kita dapat melawan kecenderungan mental dunia yang memudaratkan dan terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan? Hanya dengan memanfaatkan sepenuhnya semua pemberian rohani daripada Yehuwa dan dengan sentiasa berdoa untuk daya aktif-Nya. Yehuwa jauh lebih berkuasa daripada Si Iblis atau dunia fasiq ini yang berada di bawah kuasa Syaitan. (Yakobus 4:7) Maka, tidakkah anda setuju bahawa kita harus sentiasa berpaut pada Yehuwa melalui doa?

SEDERHANA DALAM PAKAIAN DAN DANDANAN

11. Bagaimanakah kecenderungan mental dunia mempengaruhi cara pemakaian orang?

11 Kecenderungan mental yang mempengaruhi seseorang  dapat dilihat melalui pakaian, dandanan, dan kebersihannya. Di banyak negara, cara pemakaian ramai orang telah menjunam ke tahap yang sangat rendah sehinggakan seorang pengulas televisyen telah mengatakan dalam nada menyindir bahawa tidak lama lagi kita tidak dapat membezakan seorang gadis biasa daripada seorang pelacur. Menurut sebuah akhbar, gadis praremaja pun “banyak mendedahkan tubuh, kurang memperlihatkan kesopanan.” Pakaian selekeh merupakan satu lagi “gaya” yang mencerminkan sikap suka memberontak serta maruah dan harga diri yang rendah.

12, 13. Apakah prinsip-prinsip yang patut mempengaruhi kita dalam soal pakaian dan dandanan?

12 Sebagai hamba Yehuwa, kita ingin mempunyai penampilan yang baik. Hal ini bermaksud pakaian kita kemas, bersih, elok dipandang, dan sesuai mengikut keadaan. Pada setiap masa, semua yang ‘mengabdikan diri kepada Tuhan’—tidak kira lelaki atau perempuan—harus ‘berbuat baik’ dan “menghias diri dengan sederhana dan mengenakan pakaian yang senonoh.” Sudah tentu matlamat utama kita bukan untuk menarik perhatian pada diri sendiri, tetapi untuk terus ‘hidup di bawah naungan kasih Tuhan.’ (1 Timotius 2:9, 10; Yudas 21) Ya, hiasan diri yang paling cantik merupakan ‘batin yang murni. Itulah kecantikan abadi yang sangat berharga di sisi Tuhan.’1 Petrus 3:3, 4.

13 Ingatlah bahawa gaya pakaian dan dandanan kita boleh mempengaruhi pandangan orang lain terhadap penyembahan sejati. Dalam konteks moral, perkataan Yunani yang diterjemahkan “sederhana” membawa erti mengagumi orang lain atau menghormati perasaan serta pendapat mereka. Maka, kita mahu mengambil kira hati nurani orang lain dan bukannya berkeras  mempertahankan “hak” kita dalam soal pakaian dan dandanan. Yang penting sekali, kita ingin mengharumkan nama Yehuwa dan umat-Nya, serta menunjukkan bahawa kita ialah hamba Tuhan yang ‘melakukan semuanya untuk memuliakan Tuhan.’1 Korintus 4:9; 10:31; 2 Korintus 6:3, 4; 7:1.

Adakah penampilan saya mengharumkan nama Yehuwa?

14. Berkenaan penampilan dan kebersihan, apakah soalan-soalan yang patut kita tanya?

14 Lebih banyak perhatian harus diberikan kepada pakaian, dandanan, dan kebersihan semasa kita menjalankan aktiviti penyebaran atau menghadiri perjumpaan Kristian. Tanyalah diri: “Adakah penampilan saya menarik terlalu banyak perhatian? Adakah saya mengabaikan kebersihan diri sehingga orang lain berasa kurang selesa? Adakah saya menganggap hak saya dalam soal pakaian dan dandanan lebih penting daripada melayakkan diri untuk berkhidmat dalam sidang?”Filipi 4:5; 1 Petrus 5:6.

15. Mengapakah Firman Tuhan tidak menyenaraikan peraturan mengenai pakaian, dandanan, dan kebersihan?

15 Bible tidak memberi orang Kristian senarai peraturan mengenai pakaian, dandanan, dan kebersihan. Yehuwa tidak ingin mengekang kebebasan kita untuk memilih atau keupayaan kita untuk berfikir. Sebaliknya Dia mahu kita menjadi orang matang yang menaakul berdasarkan prinsip Bible dan mempunyai daya tanggapan yang “sudah terlatih untuk membezakan yang baik daripada yang jahat.” (Ibrani 5:14) Yang penting sekali, Dia mahu kita didorong oleh kasih—kasih kepada Tuhan dan kepada orang lain. (Markus 12:30, 31) Di dalam ruang lingkup ini terbuka peluang yang besar untuk mempunyai pelbagai gaya pakaian dan dandanan. Di mana sahaja umat Yehuwa berhimpun, pakaian mereka yang berwarna-warni dan yang beraneka ragam membuktikan hal ini.

 MATA YANG TERTUMPU PADA SATU PERKARA

16. Bagaimanakah kecenderungan mental dunia bertentangan dengan ajaran Yesus, dan apakah soalan-soalan yang patut kita tanya?

16 Kecenderungan mental dunia mengelabui mata jutaan orang dan mendorong mereka untuk bergantung pada kekayaan dan harta benda bagi memperoleh kebahagiaan. Tetapi Yesus telah berkata, “Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali.” (Lukas 12:15) Yesus tidak menggalakkan penyangkalan diri yang keterlaluan, tetapi dia mengajar bahawa kehidupan dan kebahagiaan sejati dinikmati oleh mereka yang ‘sedar bahawa mereka memerlukan Tuhan’ dan mereka yang mempunyai mata yang “terang.” Mata yang “terang” dalam bahasa asal membawa erti mata yang tertumpu pada satu perkara, iaitu pada hal-hal rohani. (Matius 5:3; 6:22, 23) Tanyalah diri, “Adakah saya benar-benar percaya apa yang diajarkan Yesus, atau adakah saya dipengaruhi oleh ‘bapa segala dusta’? (Yohanes 8:44) Kata-kata, matlamat, keutamaan, dan cara hidup saya menyingkapkan apa?”Lukas 6:45; 21:34-36; 2 Yohanes 6.

17. Namakan beberapa manfaat yang dinikmati oleh mereka yang memusatkan mata pada satu perkara sahaja.

17 ‘Kebijaksanaan Tuhan dibuktikan benar oleh perbuatan,’ kata Yesus. (Matius 11:19) Perhatikan beberapa manfaat yang dinikmati oleh mereka yang memiliki mata yang tertumpu pada satu perkara sahaja. Mereka mendapat kesejahteraan sejati melalui khidmat kepada Tuhan. (Matius 11:29, 30) Mereka tidak perlu terlalu khuatir lalu terhindar daripada penderitaan emosi dan mental. (1 Timotius 6:9, 10) Oleh sebab mereka puas hati dengan keperluan asas kehidupan, mereka dapat meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga dan sahabat Kristian. Mereka juga mungkin tidur dengan lebih nyenyak. (Pengkhutbah  5:11) Mereka lebih bahagia kerana memberi dalam apa jua cara yang terdaya. (Kisah 20:35) Selain itu, mereka memiliki harapan yang melimpah, ketenangan jiwa, dan kepuasan hati. (Matius 6:31, 32; Roma 15:13) Berkat-berkat ini memang tidak ternilai!

MEMAKAI “SELURUH PERLENGKAPAN SENJATA”

18. Bagaimanakah Bible menggambarkan musuh kita, pergelutan yang kita hadapi, dan cara dia menyerang?

18 Syaitan bukan sahaja tidak mahu orang Kristian menikmati kebahagiaan malah dia tidak mahu mereka mendapat kehidupan kekal. Tetapi bagi orang yang terus berada di bawah naungan kasih Tuhan, mereka mendapat perlindungan rohani. (1 Petrus 5:8) Paulus berkata, “Kita tidak berjuang melawan manusia, tetapi melawan segala kuasa jahat di angkasa, iaitu roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah zaman yang gelap ini.” (Efesus 6:12, ABB) Frasa Yunani yang diterjemahkan “berjuang melawan” bukan merujuk kepada pertempuran berjarak jauh seperti dari sebuah menara tinggi yang selamat, tetapi merupakan pergelutan berjarak dekat. Selain itu, perkataan “berkuasa” dan “memerintah” menunjukkan bahawa serangan dari alam roh sangat terancang dan teratur.

19. Gambarkan perlengkapan senjata rohani seorang Kristian.

19 Meskipun manusia mempunyai kelemahan dan keterbatasan, kita dapat meraih kemenangan. Bagaimana? Dengan memakai ‘seluruh perlengkapan senjata daripada Tuhan.’ (Efesus 6:13) Berkenaan perlengkapan senjata ini, Efesus 6:14-18 (ABB) menyatakan, ‘Kamu harus bersiap sedia! Gunakanlah ajaran benar tentang Tuhan sebagai tali pinggang dan ketulusan sebagai perisai dada. Hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan berita baik yang membawa kesejahteraan menjadi seperti kasutmu. Hendaklah kamu sentiasa gunakan kepercayaan kamu kepada Tuhan sebagai perisai di tangan. Dengannya  kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat. Terimalah penyelamatan daripada Tuhan sebagai topi besi [atau, harapan], dan firman Tuhan sebagai pedang daripada Roh [daya aktif] Tuhan. Lakukanlah semuanya sambil berdoa untuk meminta pertolongan daripada Tuhan. Berdoalah sentiasa, sebagaimana Roh [daya aktif] Tuhan memimpin kamu.’

20. Bagaimanakah situasi kita berbeza daripada seorang askar harfiah?

20 Memandangkan perlengkapan senjata rohani ini datangnya daripada Tuhan, kita pasti akan dilindungi jika kita memakainya pada setiap masa. Kita bukanlah seperti askar harfiah yang tidak perlu berjuang semasa keadaan aman dan damai. Pergelutan sengit orang Kristian demi nyawa mereka tidak akan berhenti sehingga Tuhan membinasakan dunia Syaitan dan semua roh jahat dibuang ke dalam jurang. (Penyingkapan 12:17; 20:1-3) Oleh itu, janganlah berputus asa jika anda perlu bergelut dengan kelemahan atau keinginan yang salah, kerana kita semua mesti “melatih diri dengan giat” supaya kita tetap setia kepada Yehuwa. (1 Korintus 9:27) Sebenarnya, kita patut bimbang jika kita tidak bergelut!

21. Apakah yang mesti kita lakukan untuk meraih kemenangan dalam perang rohani kita?

21 Selain itu, kita tidak dapat meraih kemenangan dalam pergelutan ini dengan bergantung pada kekuatan sendiri. Oleh itu Paulus mengingati kita supaya ‘berdoa sentiasa’ kepada Yehuwa untuk mendapat bimbingan daya aktif-Nya. Pada masa yang sama, kita patut mendengarkan Yehuwa dengan mengkaji Firman-Nya dan bergaul dengan “rakan seperjuangan kita” pada setiap kesempatan. Ya, kita memang tidak bersendirian! (Filemon 2; Ibrani 10:24, 25) Mereka yang setia melakukan semua ini bukan sahaja akan meraih kemenangan, tetapi  juga dapat mempertahankan kepercayaan mereka jika dicabar.

BERSEDIA MEMPERTAHANKAN KEPERCAYAAN ANDA

22, 23. (a) Mengapakah kita mesti sentiasa bersedia mempertahankan kepercayaan kita, dan apakah soalan-soalan yang patut kita tanya? (b) Apakah subjek yang akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya?

22 Yesus berkata, “Kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu.” (Yohanes 15:19) Oleh itu, orang Kristian mesti sentiasa bersedia mempertahankan kepercayaan mereka, dan melakukan hal ini dengan lemah lembut dan hormat. (1 Petrus 3:15, 16) Tanyalah diri, “Adakah saya faham mengapa Saksi-Saksi Yehuwa kadangkala mengambil pendirian yang bertentangan dengan pandangan kebanyakan orang? Semasa mengambil pendirian sedemikian dan menghadapi cabaran, adakah saya benar-benar yakin bahawa apa yang terkandung dalam Bible dan apa yang dikatakan oleh golongan hamba yang setia adalah betul? (Matius 24:45; Yohanes 17:17) Dan adakah saya bersedia, bahkan gembira untuk melakukan perkara yang betul dari pandangan Yehuwa walaupun perkara ini adalah berbeza daripada apa yang dilakukan oleh orang lain?”Mazmur 34:3; Matius 10:32, 33.

23 Namun demikian, sering kali keinginan kita untuk mengasingkan diri daripada dunia diuji melalui cara-cara lain yang tidak begitu ketara. Contohnya, seperti yang telah disebut, Si Iblis mencuba mengumpan hamba Yehuwa ke dalam kancah dunia ini melalui hiburan yang tidak sihat. Bagaimanakah kita dapat memilih hiburan yang sihat, yang akan menyebabkan kita berasa segar, dan yang tidak menodai hati nurani kita? Subjek ini akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya.

^ per. 3 Sejak Pentakosta 33 M, Kristus telah menjadi Raja ke atas pengikut-pengikutnya di bumi yang terurap. (Kolose 1:13) Pada tahun 1914, Kristus menerima “kuasa untuk memerintah dunia.” Oleh itu, orang Kristian terurap kini berkhidmat sebagai duta Kerajaan Mesias.Penyingkapan 11:15.

^ per. 8 Lihat buku “Bertukar Fikiran” (Reasoning From the Scriptures), muka surat 389-393 yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.