‘Lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.’1 KORINTUS 10:31.

1, 2. Apakah pilihan yang perlu kita buat mengenai hiburan?

BAYANGKAN anda ingin makan sebiji epal tetapi anda mendapati bahawa sebahagian daripada epal itu rosak. Apakah yang akan anda lakukan? Anda mempunyai tiga pilihan: (1) makan seluruh buah itu termasuk bahagian yang rosak, (2) buang seluruh buah itu termasuk bahagian yang elok, atau (3) buang bahagian yang rosak dan makan bahagian yang elok. Apakah pilihan anda?

2 Hiburan boleh diumpamakan kepada epal itu. Adakalanya anda ingin menikmati rekreasi, tetapi anda sedar bahawa kebanyakan hiburan di dunia ini “rosak” atau buruk dari segi moral. Jadi, apakah yang akan anda lakukan? Ada yang memilih untuk menerima apa yang buruk dan membaham apa sahaja yang disajikan oleh dunia hiburan. Yang lain pula mungkin akan menghindari segala bentuk hiburan untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada apa-apa yang memudaratkan. Ada pula yang menghindari hiburan yang memudaratkan tetapi sekali-sekala menikmati hiburan yang sihat. Apakah pilihan yang harus anda buat agar anda dapat terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan?

3. Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

3 Kebanyakan daripada kita akan memilih pilihan yang ketiga. Kita memang memerlukan rekreasi tetapi mahu mengehadkannya kepada apa yang bersih secara  moral. Maka, kita perlu tahu cara untuk membezakan hiburan yang sihat daripada hiburan yang tidak sihat. Mula-mula, mari kita bincangkan bagaimana hiburan yang kita pilih boleh mempengaruhi penyembahan kita kepada Yehuwa.

‘LAKUKANLAH SEMUANYA UNTUK MEMULIAKAN TUHAN’

4. Bagaimanakah pembaktian kita patut mempengaruhi hiburan yang dipilih?

4 Tidak lama dahulu, seorang saudara lanjut usia yang telah dibaptis pada tahun 1946 berkata, “Saya bertekad untuk menghadiri setiap ceramah pembaptisan dan mendengar dengan teliti, seolah-olah saya akan dibaptiskan.” Mengapa? Dia menjelaskan, “Dengan mengingati pembaktian saya, saya dibantu untuk mengekalkan kesetiaan saya kepada Yehuwa.” Tentu anda bersetuju dengan pandangannya. Dengan mengingati janji anda untuk menggunakan seluruh hidup untuk berkhidmat kepada Yehuwa, anda akan didorong untuk bertabah. (Pengkhutbah 5:3; Ibrani 10:7) Sebenarnya apabila anda merenungkan pembaktian anda, pandangan anda mengenai kerja penyebaran dan semua aspek kehidupan—termasuk hiburan—akan dipengaruhi. Hawari Paulus menekankan kebenaran ini semasa menulis kepada orang Kristian pada zamannya, ‘Apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada makan ataupun minum, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.’1 Korintus 10:31, ABB.

5. Bagaimanakah Imamat 22:18-20 membantu kita memahami kata-kata di Roma 12:1?

5 Semua yang anda lakukan dalam kehidupan mempunyai kaitan dengan penyembahan anda kepada Yehuwa. Dalam suratnya kepada orang Kristian di Roma, Paulus menggunakan kata-kata yang sangat bermakna untuk  menekankan kebenaran ini. Dia berkata, ‘Aku menggesa kamu supaya mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup, yang khas untuk Tuhan, dan yang menyenangkan hati-Nya. Demikianlah seharusnya kamu menyembah Tuhan.’ (Roma 12:1) Diri anda merangkumi minda, hati, serta kekuatan fizikal anda yang digunakan untuk berkhidmat kepada Tuhan. (Markus 12:30) Paulus menyamakan khidmat sepenuh jiwa sebegini kepada suatu “korban.” Di bawah Hukum Musa, korban yang cacat tidak diterima Tuhan. (Imamat 22:18-20) Dalam cara yang sama, korban rohani seorang Kristian yang tercemar akan ditolak oleh Tuhan. Tetapi, bagaimanakah hal ini boleh terjadi?

6, 7. Bagaimanakah seorang Kristian boleh mencemarkan tubuhnya, dan apakah akibatnya?

6 Paulus menasihati orang Kristian di Roma, “Janganlah serahkan sebarang anggota tubuh kamu kepada kuasa dosa.” Paulus juga memberitahu mereka supaya ‘mematikan semua perbuatan yang berdosa.’ (Roma 6:12-14; 8:13) Sebelum itu, dia telah memberikan beberapa contoh ‘perbuatan [tubuh] yang berdosa.’ Mengenai manusia yang berdosa, dia berkata, “Tipu muslihat mengalir dari lidah mereka, dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka; mulut mereka penuh dengan  kutuk dan cerca.” (Roma 3:13-18, ABB) Hari ini, seorang Kristian akan menodai tubuhnya jika dia menggunakan “anggota tubuh” untuk perbuatan yang berdosa. Sebagai contoh, jika seorang Kristian sengaja melihat bahan yang najis seperti bahan lucah atau keganasan sadis (perbuatan menyeksa orang untuk memuaskan nafsu atau untuk tujuan keseronokan), dia sedang ‘menyerahkan [matanya] kepada kuasa dosa.’ Dengan demikian, seluruh tubuhnya tercemar. Penyembahannya, iaitu korbannya menjadi tidak suci dan tidak akan diterima Tuhan. (Ulangan 15:21; 1 Petrus 1:14-16; 2 Petrus 3:11) Betapa buruknya akibat yang ditanggung kerana memilih hiburan yang tidak sihat!

7 Maka jelaslah bahawa hiburan yang dipilih seorang Kristian akan meninggalkan kesan yang besar. Sudah tentu kita mahu memilih hiburan yang akan mengindahkan dan bukannya mencemarkan khidmat kita kepada Tuhan. Sekarang mari kita bincangkan cara untuk menentukan sama ada sesuatu hiburan adalah sihat atau tidak.

“MEMBENCI APA YANG JAHAT”

8, 9. (a) Apakah dua kategori hiburan yang akan dibincangkan? (b) Apakah bentuk hiburan yang dielakkan oleh orang Kristian, dan mengapa?

8 Secara am, hiburan boleh dibahagikan kepada dua kategori: (1) hiburan yang mesti dielakkan oleh orang Kristian, dan (2) hiburan yang mungkin akan diterima oleh orang Kristian. Mari kita bincangkan tentang kategori pertama, iaitu hiburan yang mesti dielakkan oleh orang Kristian.

9 Seperti yang tercatat di Bab 1, beberapa bentuk hiburan memaparkan aktiviti yang jelas dikutuk dalam Bible. Fikirkanlah sejenak tentang laman web, wayang, rancangan  TV, dan muzik yang mengandungi unsur sadis, spiritisme, pornografi, atau menggalakkan perbuatan keji yang tidak bermoral. Oleh sebab hiburan sebegini merosakkan akhlak dan mengagungkan perbuatan yang melanggar hukum serta prinsip Bible, orang Kristian sejati patut menghindarinya. (Kisah 15:28, 29; 1 Korintus 6:9, 10; Penyingkapan 21:8) Dengan menolak hiburan yang tidak sihat ini, anda membuktikan kepada Yehuwa bahawa anda benar-benar “membenci apa yang jahat.” Dengan itu, anda menunjukkan bahawa anda mempunyai kepercayaan yang tidak munafik.Roma 12:9; Mazmur 34:15; 1 Timotius 1:5.

10. Apakah alasan yang diberikan sesetengah orang mengenai hiburan, dan mengapakah cara pemikiran sebegini berbahaya?

10 Tetapi sesetengah orang berasa bahawa tidak salah menonton hiburan yang secara terang-terangan menggambarkan perbuatan yang tidak bermoral. Alasan mereka, “Saya cuma menontonnya dalam wayang dan TV, tetapi saya tidak akan melakukannya.” Cara pemikiran sebegini berbahaya kerana mereka sedang menipu diri. (Yeremia 17:9) Jika kita menikmati hiburan yang dikutuk Yehuwa, adakah kita benar-benar “membenci apa yang jahat”? Pendedahan berulang kali kepada kelakuan yang fasiq akan menyebabkan hati nurani kita menjadi tidak peka. (1 Timotius 4:1, 2) Amalan sebegini boleh mempengaruhi kelakuan kita serta pandangan kita terhadap perbuatan berdosa yang dilakukan oleh orang lain.

11. Bagaimanakah Galatia 6:7 terbukti benar dalam soal hiburan?

11 Pada hakikatnya, sesetengah orang Kristian telah melakukan perbuatan yang tidak bermoral kerana mereka dipengaruhi oleh hiburan yang sering ditonton. Setelah melakukan perbuatan sedemikian, barulah mereka sedar bahawa “seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.” (Galatia 6:7) Tetapi pengalaman pahit  itu dapat dielakkan. Jika anda memastikan bahawa anda menanam apa yang sihat dalam minda, anda akan menuai apa yang baik dalam kehidupan.—Lihat kotak “ Apakah Hiburan yang Patut Saya Pilih?

KEPUTUSAN PERIBADI BERDASARKAN PRINSIP BIBLE

12. Bagaimanakah Galatia 6:5 boleh diterapkan dalam soal hiburan, dan apakah yang dapat membimbing kita membuat keputusan peribadi?

12 Mari kita bincangkan kategori kedua—hiburan yang menyajikan aktiviti yang tidak dilarang mahupun dibenarkan secara langsung dalam Firman Tuhan. Semasa memilih hiburan sedemikian, setiap orang Kristian perlu membuat keputusan peribadi mengenai apa yang dianggapnya sebagai hiburan yang sihat. (Galatia 6:5) Namun begitu, kita bukannya dibiarkan tanpa bimbingan semasa berdepan dengan pilihan sebegini. Bible mengandungi prinsip atau kebenaran asas yang membolehkan kita memahami cara pemikiran Yehuwa. Dengan memberi perhatian pada prinsip Bible, kita dapat mengetahui “apa yang dikehendaki Tuhan” dalam segala perkara, termasuk hiburan yang kita pilih.Efesus 5:17.

13. Apakah yang akan mendorong kita untuk menghindari hiburan yang tidak disenangi Yehuwa?

13 Kita tahu bahawa daya tanggapan atau penilaian moral orang Kristian berkembang pada tahap yang berlainan. (Filipi 1:9) Tambahan lagi, orang Kristian sedar bahawa cita rasa setiap orang dalam soal hiburan adalah berbeza. Oleh itu, semua orang Kristian tidak akan membuat keputusan yang sama. Walaupun begitu, semakin kita membenarkan prinsip Tuhan untuk mempengaruhi hati dan minda kita, semakin kuat hasrat kita untuk menghindari apa sahaja bentuk hiburan yang tidak disenangi Yehuwa.Mazmur 119:11, 129; 1 Petrus 2:16.

14. (a) Apakah faktor yang perlu dipertimbangkan semasa memilih hiburan? (b) Bagaimanakah kita boleh mengutamakan hal-hal rohani dalam kehidupan?

 14 Terdapat satu lagi faktor penting yang perlu dipertimbangkan semasa memilih hiburan: masa anda. Kandungan hiburan yang dipilih menyingkapkan isi hati anda, tetapi masa yang dihabiskan menyingkapkan keutamaan hidup anda. Sudah tentu hal-hal rohani merupakan perkara yang terpenting bagi orang Kristian. (Matius  6:33) Jadi, apakah yang boleh anda lakukan untuk memastikan bahawa hal-hal rohani diutamakan dalam kehidupan? Hawari Paulus menyatakan, “Perhatikanlah cara hidup kamu dengan baik. Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak. Setiap kali kamu berpeluang melakukan apa yang baik, gunakanlah peluang itu.” (Efesus 5:15, 16, ABB) Ya, dengan mengehadkan masa yang diluangkan untuk hiburan, anda akan mempunyai masa untuk perkara yang lebih penting, iaitu aktiviti yang menyumbang kepada kesejahteraan rohani anda.Filipi 1:10.

15. Mengapakah kita bukan sekadar menghindari hiburan yang jelas melanggar prinsip Bible?

15 Mari kita kembali kepada perumpamaan tentang buah epal. Agar anda tidak termakan bahagian buah yang rosak, anda bukan sahaja membuang bahagian yang rosak, tetapi juga bahagian yang berdekatannya. Begitu juga semasa memilih hiburan, seorang Kristian yang bijak bukan sahaja menghindari hiburan yang jelas melanggar prinsip Bible, tetapi juga hiburan yang meragukan atau yang mempunyai unsur yang boleh menjejaskan kerohaniannya. (Amsal 4:25-27) Jika anda berpaut erat pada Firman Tuhan, anda akan dibantu untuk berbuat demikian.

‘PERKARA-PERKARA YANG MURNI’

Dengan menerapkan prinsip Tuhan semasa memilih hiburan, kita dilindungi daripada bahaya rohani

16. (a) Berkenaan hal moral, bagaimanakah kita boleh menunjukkan bahawa kita mempunyai pandangan Yehuwa? (b) Bagaimanakah penerapan prinsip Bible menjadi sebahagian daripada hidup anda?

16 Semasa memilih hiburan, orang Kristian sejati mengutamakan pandangan Yehuwa. Bible menyingkapkan perasaan dan piawaian Yehuwa. Contohnya, Raja Salomo menyenaraikan beberapa perkara yang dibenci Yehuwa, seperti “mulut yang membohong, tangan yang membunuh orang yang tidak bersalah, fikiran yang merancang  hal-hal jahat, kaki yang bergegas menuju kejahatan.” (Amsal 6:16-19) Bagaimanakah pandangan Yehuwa patut mempengaruhi pandangan anda? Penulis mazmur berseru, “Bencilah akan kejahatan, hai orang yang mengasihi Tuhan.” (Mazmur 97:10, nota kaki) Hiburan yang anda pilih harus menunjukkan bahawa anda benar-benar membenci apa yang dibenci oleh Yehuwa. (Galatia 5:19-21) Ingatlah, bukan apa yang dilakukan di depan khalayak ramai tetapi apa yang dilakukan semasa bersendirian yang menunjukkan keperibadian anda yang sebenar. (Mazmur 11:4; 16:8) Maka, jika anda benar-benar ingin mencerminkan perasaan Yehuwa mengenai hal-hal moral dalam segala aspek kehidupan, anda akan sentiasa membuat pilihan yang selaras dengan prinsip Bible. Hal ini akan menjadi sebahagian daripada hidup anda.2 Korintus 3:18.

17. Sebelum memilih hiburan, apakah soalan-soalan yang patut kita tanya?

17 Semasa memilih hiburan, apa lagi yang dapat dilakukan untuk memastikan bahawa anda bertindak selaras dengan cara pemikiran Yehuwa? Renungkanlah soalan ini, “Bagaimanakah pilihan saya akan mempengaruhi saya dan hubungan saya dengan Tuhan?” Sebagai contoh, sebelum membuat keputusan untuk menonton wayang tertentu, tanyalah diri “Bagaimanakah kandungan  wayang ini akan mempengaruhi hati nurani saya?” Mari kita bincangkan prinsip yang berkaitan dengan subjek ini.

18, 19. (a) Bagaimanakah prinsip di Filipi 4:8 dapat membantu kita menentukan sama ada hiburan yang dipilih adalah sihat? (b) Apakah prinsip lain yang boleh membantu anda memilih hiburan yang baik? (Lihat nota kaki.)

18 Satu prinsip yang penting terdapat di Filipi 4:8 (ABB). Ayat ini menyatakan, “Hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat.” Di sini, Paulus bukannya berbincang tentang hiburan, tetapi tentang renungan hati yang sepatutnya berpusat pada perkara-perkara yang menyenangkan hati Tuhan. (Mazmur 19:15) Namun, kata-kata Paulus mempunyai prinsip yang boleh diterapkan dalam soal hiburan. Bagaimana?

19 Tanyalah diri, “Adakah wayang, permainan video, muzik, atau hiburan lain yang saya pilih mengisi minda saya dengan ‘perkara-perkara yang murni’?” Contohnya, selepas menonton suatu wayang, gambaran apakah yang asyik bermain di minda anda? Adakah anda memikirkan perkara yang baik, murni, dan menyegarkan? Jika ya, hal ini bermaksud hiburan yang anda pilih adalah sihat dan membina. Sebaliknya, jika anda memikirkan perkara yang tidak murni, hal ini menunjukkan bahawa hiburan yang anda pilih tidak sihat, bahkan memudaratkan. (Matius 12:33; Markus 7:20-23) Mengapa? Kerana apabila anda berfikir tentang perkara yang tidak bersih secara moral, ketenangan jiwa anda akan terganggu, hati nurani anda yang dilatih oleh Bible akan terhiris, dan hubungan anda dengan Tuhan akan terjejas. (Efesus 5:5; 1 Timotius 1:5, 19) Oleh sebab hiburan sebegitu mempunyai kesan yang memudaratkan ke atas anda,  bertekadlah untuk menghindarinya. * (Roma 12:2) Ikutlah teladan penulis mazmur yang berdoa kepada Yehuwa, “Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia.”Mazmur 119:37.

FIKIRKAN KEPENTINGAN ORANG LAIN

20, 21. Bagaimanakah 1 Korintus 10:23, 24 boleh membantu kita semasa memilih hiburan?

20 Paulus menyatakan satu prinsip Bible penting yang patut dipertimbangkan semasa membuat keputusan tentang hal peribadi. Dia berkata, ‘Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu tetapi tidak semua perkara yang kita lakukan membina. Janganlah seorang pun lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi lakukanlah sesuatu untuk kepentingan orang lain.’ (1 Korintus 10:23, 24, ABB) Bagaimanakah prinsip ini boleh diterapkan semasa memilih hiburan yang sihat? Tanyalah diri, “Bagaimanakah hiburan yang saya pilih mempengaruhi orang lain?”

21 Hati nurani anda mungkin mengizinkan anda menikmati hiburan tertentu yang anda anggap “dibenarkan,” atau tidak salah. Tetapi, jika anda perhatikan bahawa saudara saudari lain yang mempunyai hati nurani yang lebih sensitif tidak mengizinkan mereka menikmati hiburan tersebut, anda mungkin membuat keputusan untuk menghindari hiburan itu. Mengapa? Seperti yang dikatakan Paulus, anda tidak mahu “berdosa terhadap saudara-saudara Kristian” atau bahkan “berdosa terhadap Kristus.” Hal ini bermaksud bahawa anda tidak mahu menyebabkan saudara saudari anda berasa susah untuk mengekalkan kesetiaan mereka kepada Tuhan. Dengarkanlah nasihat berikut, “Jagalah tingkah laku kamu  agar kamu tidak menyebabkan orang lain berdosa [“tersandung,” NW].” (1 Korintus 8:12; 10:32) Orang Kristian sejati hari ini mengikut nasihat Paulus dengan menghindari hiburan yang mungkin “dibenarkan” tetapi tidak “membina.”Roma 14:1; 15:1.

22. Mengapakah tidak salah jika orang Kristian mempunyai pandangan yang berbeza-beza dalam hal peribadi?

22 Sebaliknya, seorang Kristian yang mempunyai hati nurani yang lebih sensitif tidak patut memaksa semua orang dalam sidang Kristian untuk mempunyai pandangan yang sama dengannya mengenai hiburan. Jika dia berbuat demikian, dia akan menjadi seperti seorang pemandu di lebuh raya yang memaksa pemandu lain untuk mengikut kelajuan yang ditetapkannya. Tuntutan sebegitu tidak munasabah. Kasih persaudaraan akan mendorong orang yang mempunyai hati nurani yang lebih sensitif untuk menghormati pandangan saudara saudari lain mengenai hiburan yang tidak melanggar prinsip Bible. Dengan demikian, dia menunjukkan bahawa dia “bertolak ansur.”Filipi 4:5; Pengkhutbah 7:16.

23. Bagaimanakah anda dapat memastikan bahawa anda memilih hiburan yang sihat dan membina?

23 Sebagai kesimpulan, bagaimanakah anda dapat memastikan bahawa anda memilih hiburan yang sihat dan membina? Janganlah dihiburkan oleh apa-apa yang jelas memaparkan perbuatan yang tidak bermoral, yang najis, dan yang jelas dikutuk dalam Firman Tuhan. Ikut prinsip Bible yang sesuai untuk membantu anda memilih hiburan yang tidak disebut secara spesifik di dalam Bible. Elakkan hiburan yang menghiris hati nurani anda, dan janganlah berkeras dalam pilihan peribadi jika hal ini akan menyinggung orang lain, terutamanya rakan sekepercayaan anda. Semoga tekad anda untuk berbuat demikian memuliakan Tuhan dan membantu anda sekeluarga untuk terus hidup di bawah naungan kasih-Nya.

^ per. 19 Prinsip lain yang boleh diterapkan dalam soal hiburan terdapat di Amsal 3:31; 13:20; Efesus 5:3, 4; dan Kolose 3:5, 8, 20.