Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 17

“Teruslah Bina Hidup yang Berdasarkan Kepercayaan”

“Teruslah Bina Hidup yang Berdasarkan Kepercayaan”

‘Teruslah bina hidup yang berdasarkan kepercayaan. Hendaklah kamu hidup di bawah naungan kasih Tuhan.’YUDAS 20, 21.

1, 2. Apakah projek pembinaan yang sedang anda usahakan, dan mengapakah mutu kerja anda sangat penting?

ANDA sedang mengusahakan sebuah projek pembinaan. Kerja pembinaan ini telah memakan masa yang lama tetapi masih banyak kerja yang perlu dibuat. Meskipun kerjanya mencabar, anda berasa puas hati. Anda bertekad untuk tidak berputus asa atau bersikap cuai kerana mutu kerja anda akan mempengaruhi kehidupan dan masa depan anda. Mengapa? Kerana andalah bangunan dalam projek pembinaan ini!

2 Seorang murid Yesus yang bernama Yudas telah menekankan pentingnya kerja pembinaan ini. Dia mengatakan bahawa orang Kristian perlu ‘terus membina hidup berdasarkan kepercayaan’ kerana inilah kunci untuk terus ‘hidup di bawah naungan kasih Tuhan.’ (Yudas 20, 21) Maka, bagaimanakah anda dapat menguatkan kepercayaan anda dan terus hidup di bawah naungan kasih-Nya? Mari kita lihat tiga aspek yang dapat membantu kita untuk berbuat demikian.

TERUS MEMBINA KEPERCAYAAN TERHADAP HUKUM YEHUWA YANG ADIL BENAR

3-5. (a) Syaitan mahu anda mempunyai pandangan apa tentang hukum Yehuwa? (b) Apakah sepatutnya pandangan dan perasaan kita terhadap hukum Yehuwa? Berikan contoh.

3 Mula-mula, kita perlu mengukuhkan kepercayaan  terhadap hukum Tuhan. Dalam buku ini, kita telah membincangkan hukum-hukum Yehuwa yang berkaitan dengan tingkah laku kita. Apakah pandangan anda terhadap hukum-hukum ini? Syaitan mahu menyesatkan anda; dia mahu anda memandang hukum, prinsip, dan piawaian Yehuwa sebagai sesuatu yang menindas dan yang mengongkong kebebasan anda. Helah ini cukup berkesan semasa di Taman Eden. Sejak itu, dia sering menggunakannya ke atas manusia. (Kejadian 3:1-6) Adakah dia akan berjaya untuk memperdaya anda juga? Jawapannya bergantung pada pandangan anda.

4 Sebagai contoh, katakan anda sedang bersiar-siar di sebuah taman yang indah nian. Tiba-tiba, anda nampak sebuah kawasan terlarang yang mempunyai pagar yang tinggi dan teguh. Pada mulanya, anda mungkin memandang pagar itu sebagai suatu halangan. Tetapi, seraya anda melihat menerusi celah-celah pagar itu, anda nampak seekor singa buas yang sedang mencari mangsa! Sekarang, anda tahu bahawa kawasan itu dipagari untuk melindungi anda. Dalam cara yang sama, anda sedang diperhatikan oleh pemangsa yang berbahaya. Bible menyatakan, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa.”1 Petrus 5:8, ABB.

5 Syaitan ialah pemangsa yang sangat ganas. Oleh sebab Yehuwa tidak mahu kita menjadi mangsa Syaitan, Dia telah memberi kita hukum-hukum untuk melindungi kita daripada “muslihat Iblis yang jahat.” (Efesus 6:11) Jadi, kita patut memandang hukum-hukum Tuhan sebagai bukti akan kasih-Nya terhadap kita. Jika kita berbuat demikian, hukum Tuhan akan memberi kita perlindungan dan sukacita. Yakobus telah menulis, ‘Seseorang yang mendalami hukum Tuhan yang  sempurna dan melakukannya, akan diberkati Tuhan dalam segala perkara yang dilakukannya.’Yakobus 1:25.

6. Apakah cara yang terbaik untuk membina kepercayaan terhadap hukum dan prinsip Yehuwa yang adil benar? Berikan contoh.

6 Cara yang terbaik untuk membina kepercayaan terhadap Yehuwa dan hukum-hukum-Nya yang bijaksana adalah dengan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, kita diperintahkan untuk menyebarkan semua ajaran Yesus kepada orang lain. (Matius 28:19, 20; Galatia 6:2) Kita sebagai orang Kristian juga mematuhi perintah untuk menghadiri perjumpaan supaya kita dapat menyembah Tuhan bersama-sama dan saling memberi galakan. (Ibrani 10:24, 25) Selain itu, kita akan selalu berdoa kepada Tuhan dengan ikhlas. (Matius 6:5-8; 1 Tesalonika 5:17) Jika kita mematuhi perintah-perintah ini, kita akan sedar bahawa semua perintah ini disediakan oleh Yehuwa kerana Dia mengasihi kita. Kita juga akan menikmati kepuasan hati dan sukacita yang mendalam. Apabila kita merenungkan manfaat yang diraih, tidakkah kepercayaan kita kepada Tuhan bertambah kukuh?

7, 8. Sesetengah orang risau bahawa mereka tidak dapat mematuhi hukum Yehuwa. Bagaimanakah Yehuwa meyakinkan mereka?

7 Barangkali ada yang risau bahawa mereka akan gagal mematuhi hukum Yehuwa. Jika anda berasa sedemikian, ingatlah akan kata-kata Yehuwa yang berikut: ‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, Aku mengajar kamu apa yang baik bagi kamu, Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh. Sekiranya kamu memperhatikan hukum-Ku, tentu kamu menerima berkat yang tidak putus-putus seperti sungai yang tidak pernah kering. Kamu akan terus-menerus berjaya seperti ombak laut yang tidak berhenti.’ (Yesaya 48: 17, 18, ABB) Adakah anda benar-benar memahami maksud di sebalik kata-kata ini?

8 Kata-kata Yehuwa di atas menunjukkan bahawa kita akan mendapat manfaat jika kita mematuhi-Nya. Pertama, kita akan menikmati berkat, atau kedamaian, yang melimpah-limpah dan berterusan seperti sungai yang tidak pernah kering. Kedua, kita akan berjaya, iaitu kita akan menikmati keadilbenaran bagaikan ombak laut. Jika anda berada di pantai dan sedang memerhatikan lautan, anda tentu nampak ombak bergulung-gulung menghempas pantai. Mungkinkah pukulan ombak ini akan berhenti? Mustahil. Begitu juga, selagi anda setia kepada Yehuwa, anda dapat melakukan perkara yang adil benar, dan Yehuwa menjamin bahawa Dia tidak akan membenarkan anda gagal! (Mazmur 55:23) Tentu janji-janji Yehuwa ini membina kepercayaan anda terhadap hukum-Nya yang adil benar.

TERUSLAH MENJADI MATANG SECARA ROHANI

9, 10. (a) Mengapakah kematangan rohani merupakan matlamat yang baik bagi seorang Kristian? (b) Mengapakah orang yang mempunyai pandangan rohani menikmati sukacita?

9 Aspek yang kedua dalam projek pembinaan kita dinyatakan dalam ayat Bible yang berikut: “Marilah kita menuju kepada kedewasaan kehidupan Kristian.” (Ibrani 6:1) Kedewasaan, atau kematangan rohani, ialah matlamat yang baik untuk seorang Kristian. Walaupun kita tidak dapat menjadi sempurna sekarang, kita boleh mencapai matlamat ini. Tambahan lagi, semakin kita menjadi matang secara rohani, semakin kita akan menikmati sukacita semasa menyembah Yehuwa. Mengapakah kita berkata demikian?

 10 Orang Kristian yang matang ialah orang yang menumpukan perhatian pada hal-hal rohani dan berusaha untuk mempunyai sudut pandangan Yehuwa. (Yohanes 4:23) Paulus menulis, “Orang yang hidup menurut kehendak tabiat manusia, fikiran mereka dikuasai oleh tabiat manusia.” (Roma 8:5) Mereka yang mengutamakan tabiat manusia tidak menikmati kebahagiaan yang berkekalan kerana mereka biasanya mementingkan diri sendiri, tidak berfikir panjang, dan gila akan kebendaan. Sebaliknya, mereka yang mempunyai pandangan rohani menikmati sukacita yang mendalam kerana fikiran mereka berpusat pada Yehuwa, iaitu “Tuhan yang gembira.” (1 Timotius 1:11, NW) Orang sebegini ingin sekali menyenangkan hati Yehuwa. Walaupun mereka menghadapi cubaan, mereka  terus bersukacita kerana mereka memandang cubaan sebagai peluang untuk memupuk integriti dan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta.Amsal 27:11; Yakobus 1:2, 3.

11, 12. (a) Apakah maksud perkataan “terlatih” yang digunakan oleh Paulus? (b) Apakah latihan yang perlu dijalankan oleh seorang bayi mahupun seorang gimnas?

11 Kerohanian dan kematangan diperoleh melalui latihan. Perhatikan apa yang dikatakan dalam ayat ini: “Makanan keras untuk orang dewasa, yang sudah terlatih untuk membezakan yang baik daripada yang jahat.” (Ibrani 5:14, ABB) Perkataan “terlatih” dalam bahasa Yunani biasanya dikaitkan dengan sukan gimnastik abad pertama. Maka perkataan ini boleh diterjemahkan sebagai “terlatih seperti seorang gimnas.” Jadi, apakah yang terangkum dalam latihan ini?

Seorang gimnas perlu banyak berlatih

12 Semasa kita baru lahir, tubuh badan kita tidak terlatih. Sebagai contoh, fikirlah tentang seorang bayi. Pergerakan tangan dan kaki seorang bayi tidak tentu arah. Dia tidak dapat mengawal pergerakannya dan mungkin terpukul diri sendiri. Namun, semasa dia membesar, dia beransur-ansur mempelajari cara untuk mengawal pergerakan tangan dan kakinya. Mula-mula dia dapat merangkak, kemudian berjalan, dan lama-kelamaan dia dapat berlari. * Bagaimana pula dengan seorang ahli gimnas? Gerakannya yang lincah lagi cekap tidak muncul begitu sahaja. Sebaliknya, dia perlu berlatih selama berjam-jam. Latihan fizikal sebegini  memang “ada faedahnya.” Tetapi Bible memberitahu kita bahawa “latihan rohani sangat berfaedah dalam segala hal.”1 Timotius 4:8.

13. Bagaimanakah kita dapat melatih daya tanggapan kita?

13 Dalam buku ini, kita sudah membincangkan banyak perkara yang dapat melatih daya tanggapan kita supaya kita dapat tetap setia kepada Yehuwa. Seraya anda membuat keputusan dalam kehidupan seharian, pertimbangkanlah prinsip-prinsip Bible dan berdoalah untuk meminta bimbingan Tuhan. Setiap kali anda perlu membuat keputusan, tanyalah diri, “Apakah prinsip atau hukum Bible yang mempunyai kaitan dengan hal ini? Bagaimanakah saya boleh menerapkan prinsip ini? Apakah keputusan yang akan menyenangkan hati Bapa saya di syurga?” (Amsal 3:5, 6; Yakobus 1:5) Jika anda membuat keputusan berdasarkan prinsip Tuhan, anda akan melatih daya tanggapan anda untuk membezakan yang baik daripada yang jahat. Latihan sebegini akan membantu menguatkan kerohanian anda.

14. Apakah yang diperlukan untuk bertumbuh secara rohani, namun apakah yang harus kita ingat?

14 Perkembangan rohani seorang Kristian tiada hadnya. Memandangkan pertumbuhan bergantung pada pengambilan makanan, kita harus menimbulkan selera bagi makanan rohani yang disediakan oleh Bapa kita. Seperti yang diperhatikan oleh hawari Paulus, “Makanan keras [adalah] untuk orang dewasa.” Cara yang penting untuk membina kepercayaan adalah dengan menyantap “makanan keras,” iaitu pengetahuan Bible yang dalam. Bible menyatakan bahawa kebijaksanaan ialah “perkara yang paling mustahak,” dan kebijaksanaan diperoleh apabila anda menerapkan pengetahuan Bible dengan betul. (Amsal 4:5-7;  1 Petrus 2:2) Tetapi, ingatlah bahawa kita perlu berhati-hati supaya tidak menjadi sombong atau angkuh. Kita perlu sentiasa menguji diri untuk memastikan bahawa sikap sombong atau sifat-sifat buruk yang lain tidak berakar lalu bertumbuh dalam hati kita. Paulus telah menulis, “Ujilah diri kamu sendiri sama ada kamu betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan kepada Kristus.”2 Korintus 13:5.

15. Mengapakah kasih sangat penting untuk pertumbuhan rohani?

15 Walaupun sebuah rumah sudah siap dibina, kerja penyelenggaraan masih perlu dilakukan. Seraya masa berlalu, mungkin kerja pengubahsuaian juga perlu dijalankan. Maka, apakah yang diperlukan agar kita dapat mencapai kematangan Kristian dan memelihara kerohanian? Kasih. Ya, kasih kita terhadap Yehuwa dan saudara saudari harus semakin mendalam. Jika kita tidak mempunyai kasih, semua pengetahuan dan perbuatan kita “hanya seperti bunyi bising yang tidak bermakna.” (1 Korintus 13:1-3) Dengan adanya kasih, kita boleh mencapai kematangan Kristian dan bertumbuh secara rohani.

TUMPUKAN MINDA PADA HARAPAN YANG DIBERIKAN OLEH YEHUWA

16. Pemikiran apakah yang digalakkan oleh Syaitan, dan perlindungan apakah yang diberikan oleh Yehuwa?

16 Marilah kita bincangkan aspek ketiga dalam projek  pembinaan anda. Untuk menjadi pengikut Kristus yang sejati, kita harus menjaga pemikiran kita. Mengapa? Syaitan, pemerintah dunia ini, mahir menyusupkan pemikiran negatif dan sikap curiga di dalam minda kita. Dia juga mahu kita berasa kecewa dan cepat putus asa. (Efesus 2:2) Pemikiran sedemikian adalah berbahaya dan boleh diumpamakan kepada anai-anai yang membawa binasa kepada sebuah rumah. Mujurlah, Yehuwa memberi kita sesuatu yang dapat melindungi kita, yakni harapan.

17. Bagaimanakah Firman Tuhan menunjukkan bahawa harapan sangat penting bagi kita?

17 Firman Tuhan menyenaraikan perlengkapan senjata rohani yang kita perlukan seraya kita melawan Si Iblis dan dunia ini. Salah satu perlengkapan yang sangat penting ialah topi besi, yang melambangkan harapan yang diberikan Yehuwa. (1 Tesalonika 5:8) Pada zaman Bible, seorang askar sedar bahawa dia tidak dapat bertahan lama di medan pertempuran tanpa topi besinya. Sebuah topi besi biasanya mempunyai lapik lembut di bahagian dalam yang diperbuat daripada kain yang tebal atau kulit. Topi ini membantu seorang askar untuk melindungi kepalanya daripada tercedera jika dihentam. Seperti topi besi yang melindungi kepala, harapan melindungi minda, atau fikiran kita.

18, 19. Mengapakah Yesus tabah menghadapi dugaan, dan bagaimanakah kita dapat meniru teladannya?

18 Yesus menyediakan teladan yang baik dalam menumpukan mindanya pada harapan yang diberikan oleh Yehuwa. Pada malam terakhir di bumi, Yesus telah menghadapi banyak cubaan. Masihkah anda ingat apa yang telah berlaku kepadanya? Seorang kawan karib telah mengkhianatinya. Seorang lagi berpura-pura  tidak mengenalinya. Kawannya yang lain pula meninggalkannya. Orang yang sebangsa dengan Yesus telah menentangnya dan menuntut agar dia diseksa dan dibunuh oleh askar-askar Roma. Cubaan-cubaan yang dialami Yesus jauh lebih teruk daripada cubaan yang kita hadapi, tetapi apakah yang telah membantunya untuk bertahan? Ibrani 12:2 menyatakan, ‘Kerana kegembiraan yang menantikannya, Yesus tidak peduli bahawa mati pada [tiang seksaan] adalah suatu hal yang memalukan. Sekarang dia duduk di sebelah kanan takhta Tuhan.’ Ya, Yesus tidak pernah melupakan ‘kegembiraan yang menantikannya.’

19 Apakah kegembiraan yang menantikan Yesus? Dia tahu bahawa jika dia tabah menghadapi dugaan, dia dapat membantu menyucikan nama Yehuwa dan memberikan bukti yang paling kukuh bahawa Syaitan ialah pendusta. Selain itu, dia tahu bahawa Yehuwa akan memberkatinya dengan melimpah jika dia setia—dia sedar bahawa saat gemilang akan tiba yang mana dia akan bersatu semula dengan Bapanya! Sewaktu Yesus mengharungi saat-saat yang paling getir dalam kehidupan, dia telah menumpukan fikirannya pada semua harapan ini. Kita juga perlu berbuat demikian. Apakah kegembiraan yang menantikan kita? Yehuwa memberi kita peluang istimewa untuk membantu menyucikan nama-Nya dan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta. Maka, berpihaklah kepada Yehuwa dan teruslah hidup di bawah naungan kasih-Nya, tidak kira apa jua godaan dan cubaan yang anda hadapi.

20. Apakah yang dapat membantu anda untuk mengelakkan fikiran negatif?

20 Yehuwa benar-benar mahu memberkati penyembah-Nya  yang setia. (Yesaya 30:18; Maleakhi 3:10) Dia ingin memuaskan keinginan hati kita. (Mazmur 37:4) Jadi tumpukan fikiran anda pada harapan yang dinanti-nantikan. Janganlah terpengaruh oleh sikap mental dunia Syaitan yang negatif, yang tercemar, dan yang berputar belit. Jika sikap mental ini mula menyusup ke dalam hati dan minda anda, berdoalah dengan tulus kepada Yehuwa untuk memohon ‘kesejahteraan daripada-Nya.’ Kesejahteraan atau kedamaian ini akan melindungi hati dan minda anda.Filipi 4:6, 7.

21, 22. (a) Apakah harapan yang dinantikan oleh kumpulan besar? (b) Antara semua harapan yang dijanjikan oleh Yehwua, harapan manakah yang menyentuh hati anda, dan apakah tekad anda?

21 Sedarkah anda betapa menakjubkannya harapan-harapan yang menantikan anda? Jika anda adalah sebahagian daripada kumpulan besar yang selamat mengharungi kesengsaraan besar, bayangkan harapan masa depan yang akan anda nikmati! (Penyingkapan 7:9, 14) Dalam dunia ini yang penuh dengan kesengsaraan, tiada seorang pun yang terlepas daripada tekanan  dan pengaruh fasiq Syaitan. Tetapi pada masa depan, Syaitan dan roh-roh jahat akan tiada lagi! Tanpa pengaruh buruk ini, anda akan menikmati kelegaan hati dan kesejahteraan yang tidak terbayangkan. Di bawah pimpinan Yesus dan 144,000 orang yang memerintah bersamanya, kita akan mengubah seluruh bumi menjadi sebuah firdaus. Bayangkanlah perasaan kita semasa semua penyakit dilenyapkan, semasa orang yang dikasihi dibangkitkan, dan semasa kita menikmati kehidupan seperti yang dikehendaki oleh Tuhan! Bukan itu sahaja, dengan berlalunya masa, kita akan menjadi sempurna lalu mewarisi berkat yang lebih istimewa—kita akan menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.Roma 8:21.

22 Ya, Yehuwa mahu anda menikmati kebebasan sejati. Tetapi kebebasan ini hanya boleh diperoleh jika anda patuh kepada-Nya. Jadi, berusahalah setiap hari untuk mematuhi Yehuwa. Teruslah bina kepercayaan agar anda dapat hidup di bawah naungan kasih Tuhan buat selama-lamanya!

^ per. 12 Ahli sains menyatakan bahawa kita semua mempunyai deria khas yang memberi kita kesedaran tentang postur, pergerakan, dan perubahan keseimbangan tubuh badan yang dibawa oleh gerakan dan aktiviti otot. Contohnya, deria ini membolehkan kita bertepuk tangan sambil menutup mata. Seorang pesakit dewasa yang kehilangan deria ini tidak dapat berdiri, berjalan, ataupun duduk.