Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB DUA BELAS

Dia Mendapat Kelegaan daripada Tuhannya

Dia Mendapat Kelegaan daripada Tuhannya

1, 2. Apakah peristiwa istimewa yang berlaku pada hari itu?

ELIA berlari meredah hujan lebat seraya kegelapan semakin pekat. Perjalanan ke Yizreel masih sangat jauh, dan dia sudah tua. Tetapi dia tidak berasa letih kerana dia “mendapat kekuatan daripada Yehuwa.” Ya, Tuhan telah memberinya tenaga yang luar biasa sehingga dia dapat berlari mendahului Ahab yang sedang menaiki kereta kuda diraja!​—Baca 1 Raja-Raja 18:46.

2 Kini Ahab sudah jauh ketinggalan di belakang, dan jalan yang sepi terbentang di hadapan Elia. Bayangkanlah mata Elia terkebil-kebil kerana dibasahi titisan hujan seraya dia berlari. Mindanya ligat memikirkan peristiwa yang berlaku sepanjang hari itu. Sememangnya hari itu merupakan hari kemenangan yang besar bagi Yehuwa dan bagi ibadat sejati. Di Gunung Karmel, Yehuwa telah menyuruhnya untuk mendedahkan kepalsuan penyembahan Baal dan menghukum mati ratusan nabi Baal. Kemudian dia telah berdoa meminta Yehuwa untuk mengakhiri musim kemarau yang telah melanda Israel selama tiga tahun setengah.​—1 Raj. 18:18-45.

3, 4. (a) Mengapakah semangat Elia berkobar-kobar seraya dia berlari ke Yizreel? (b) Apakah yang akan kita pelajari dalam bab ini?

3 Semangat Elia pasti berkobar-kobar seraya dia berlari sejauh 30 kilometer ke Yizreel. Inilah titik perubahan yang dinanti-nantikannya selama ini! Dia berfikir bahawa Ahab pasti akan bertaubat, meninggalkan penyembahan Baal, menghalang perbuatan jahat isterinya Izebel, dan menghentikan penganiayaan hamba-hamba Yehuwa.

“Elia . . . berlari mendahului Raja Ahab sepanjang jalan sampai ke Yizreel”

4 Apabila perkara terjadi seperti yang diharapkan, kita pasti sangat gembira. Kita mungkin menyangka bahawa hidup kita akan bertambah baik, dan bahkan berfikir bahawa masalah kita sudah berakhir. Maka tidak hairanlah Elia juga berfikir sedemikian kerana dia “mempunyai perasaan seperti kita.” (Yak. 5:17) Tetapi masalah Elia sebenarnya belum selesai, kerana dalam beberapa jam  lagi, sesuatu yang buruk akan terjadi. Hal itu akan membuat Elia berasa begitu takut dan murung sehingga dia tidak mahu hidup lagi. Apakah yang akan berlaku? Bagaimanakah Yehuwa akan menguatkan semula iman dan semangat Elia? Marilah kita lihat.

Perkembangan yang Tidak Diduga

5. Adakah Ahab menghormati Yehuwa selepas menyaksikan apa yang terjadi di Gunung Karmel? Jelaskan.

5 Setelah Ahab kembali ke istananya di Yizreel, adakah dia bertaubat? Bible menyatakan, “Ahab memberitahu Izebel segala yang telah dilakukan oleh Elia, dan bagaimana Elia telah membunuh semua nabi Baal dengan pedang.” (1 Raj. 19:1) Perhatikan bahawa Ahab langsung tidak menyebut tentang Yehuwa kerana dia tidak mempunyai pandangan rohani. Bagi Ahab, semua peristiwa yang berlaku pada hari itu “telah dilakukan oleh Elia.” Jelaslah bahawa dia tidak menghormati Yehuwa. Bagaimana pula dengan reaksi isterinya Izebel?

6. Apakah mesej yang disampaikan oleh Izebel kepada Elia? Apakah yang dimaksudkan oleh Izebel?

6 Izebel amat marah! Dia menghantar mesej ini kepada Elia: “Jika esok pada waktu ini aku tidak memperlakukan kamu seperti nabi-nabi yang telah kamu bunuh, biarlah dewa dewiku menghukum aku dan melipatgandakan hukuman aku!” (1 Raj. 19:2) Dia mengugut Elia dan bersumpah bahawa dia sanggup mati jika dia tidak dapat membunuh Elia untuk membalas dendam bagi nabi-nabi Baalnya. Bayangkanlah Elia yang sedang tidur di sebuah rumah penginapan di Yizreel dikejutkan oleh utusan Izebel. Apakah reaksi Elia apabila mendapat mesej yang mengerikan itu?

Dibebani Perasaan Takut dan Kecewa

7. Apakah reaksi Elia terhadap ugutan Izebel?

7 Jika Elia berharap agar penyembahan Baal akan dihapuskan, harapannya hancur berkecai. Izebel enggan mengalah. Sebelum ini, dia telah membunuh ramai hamba Tuhan yang setia, dan sekarang tiba giliran Elia. Apakah reaksi Elia setelah mendengar mesej Izebel? Bible menyatakan, “Elia menjadi takut lalu melarikan diri.” Adakah dia membayangkan bagaimana Izebel akan membunuhnya dengan kejam? Kita tidak tahu, tetapi dia pasti dicengkam perasaan takut jika dia asyik bertumpu kepada hal ini.​—1 Raj. 18:4; 19:3.

Jika kita ingin terus berani, kita tidak patut bertumpu kepada hal-hal yang menakutkan kita

8. (a) Apakah persamaan antara pengalaman Petrus dengan pengalaman Elia? (b) Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada Elia dan Petrus?

8 Elia bukanlah satu-satunya penyembah Tuhan yang dibelenggu rasa takut. Pada kemudian hari, Rasul Petrus juga menghadapi  masalah yang sama. Contohnya, apabila Petrus berjalan di atas air, dia berasa takut dan mula tenggelam kerana dia “melihat ke arah ribut.” (Baca Matius 14:30.) Kisah Elia dan Petrus mengajar kita bahawa jika kita ingin terus berani, kita tidak patut bertumpu kepada hal-hal yang menakutkan kita. Sebaliknya kita perlu bertumpu kepada Yehuwa, Sumber harapan dan kekuatan kita.

“Cukuplah, ya Yehuwa!”

9. Gambarkan perjalanan Elia dan perasaannya pada waktu itu.

9 Oleh sebab Elia sangat takut, dia melarikan diri sejauh kira-kira 150 kilometer dari Yizreel. Apabila dia sampai di sebuah kota berhampiran Beer-syeba, dia meninggalkan hambanya lalu pergi ke padang belantara seorang diri. Bayangkanlah Elia memulakan perjalanannya pada waktu matahari terbit dan berjalan “selama sehari suntuk” tanpa membawa apa-apa bekalan. Dengan takut dan kecewa, dia terus berjalan merentasi kawasan terbiar di bawah sinaran matahari yang terik. Seraya matahari terbenam, dia menjadi terlalu letih dan duduk di bawah sebatang pokok renek.​—1Raj. 19:4.

10, 11. (a) Apakah maksud kata-kata Elia dalam doanya kepada Yehuwa? (b) Gunakan ayat-ayat Bible untuk menggambarkan perasaan sedih penyembah Tuhan yang setia.

10 Dengan penuh kecewa, Elia berdoa memohon agar dia mati. Dia berkata, “Ambillah nyawaku kerana aku sama sahaja dengan nenek moyang aku.” Dia tahu bahawa nenek moyangnya sudah mati dan kembali menjadi debu, maka mereka tidak dapat membantu sesiapa pun. (Pkh. 9:10) Ya, Elia berasa bahawa dia tidak berguna. Itulah sebabnya dia berkata, “Cukuplah, ya Yehuwa!”

11 Patutkah kata-kata Elia menghairankan kita? Tidak, kerana sebilangan penyembah Tuhan yang setia, seperti Ribka, Yakub, Musa, dan Ayub, juga pernah diselubungi perasaan sedih sehingga mereka tidak ingin hidup lagi.​—Kej. 25:22; 37:35; Bil. 11:13-15; Ayb. 14:13.

12. Jika anda berasa murung, bagaimanakah anda dapat meniru teladan Elia?

12 Hari ini, kita hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.” Maka tidak hairanlah ramai orang, termasuk penyembah Tuhan yang setia, ada kalanya dirundung perasaan murung. (2 Tim. 3:1) Jika anda mempunyai perasaan sebegini, tirulah teladan Elia dengan mencurahkan isi hati anda kepada Yehuwa. Ingatlah bahawa  Yehuwa ialah “Tuhan yang melegakan hati kita.” (Baca 2 Korintus 1:3, 4.) Bagaimanakah Tuhan melegakan hati Elia?

Yehuwa Menguatkan Nabi-Nya

13, 14. (a) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan belas kasihan terhadap Elia? (b) Mengapakah kisah Elia melegakan hati kita?

13 Apabila Yehuwa nampak Elia berbaring di bawah sebatang pokok dan memohon agar nyawanya diambil, apakah perasaan Yehuwa? Bible menyatakan bahawa setelah Elia tertidur, Yehuwa mengutus malaikat-Nya kepada Elia. Malaikat itu menyentuh Elia dan berkata, “Bangunlah dan pergilah makan.” Elia pun bangun lalu makan roti yang baru dibakar dan minum air yang disediakan oleh malaikat itu. Adakah dia mengucapkan terima kasih kepada malaikat itu? Nampaknya tidak, kerana Bible menyatakan bahawa dia makan dan minum lalu berbaring semula. Elia mungkin terlalu tawar hati untuk bercakap. Kemudian mungkin pada waktu subuh, malaikat itu mengejutkan Elia buat kali kedua dan berkata, “Bangunlah dan pergilah makan supaya kamu dapat mengharungi perjalanan yang jauh ini.”​—1 Raj. 19:5-7.

14 Dengan bantuan Tuhan, malaikat itu tahu akan destinasi Elia, dan dia juga tahu bahawa Elia tidak dapat membuat perjalanannya itu dengan kekuatannya sendiri. Tidakkah kita berasa lega kerana Yehuwa tahu matlamat dan keterbatasan kita lebih daripada diri kita sendiri? (Baca Mazmur 103:13, 14.) Bagaimanakah makanan yang disediakan oleh malaikat itu membantu Elia?

15, 16. (a) Setelah Elia mendapat makanan daripada Yehuwa, dia dapat melakukan apa? (b) Bagaimanakah Yehuwa menguatkan hamba-Nya hari ini?

15 Bible menyatakan, “Elia pun bangun lalu makan dan minum. Makanan itu memberi dia cukup tenaga untuk berjalan selama 40 hari dan 40 malam sehingga dia sampai di Horeb, iaitu gunung Tuhan yang benar.” (1 Raj. 19:8) Seperti Musa yang hidup sekitar 600 tahun sebelumnya dan seperti Yesus yang hidup hampir seribu tahun selepasnya, Elia berpuasa selama 40 hari dan 40 malam. (Kel. 34:28; Luk. 4:1, 2) Meskipun masalah Elia tidak hilang selepas dia makan makanan yang disediakan oleh malaikat itu, makanan itu telah memberinya kekuatan yang luar biasa. Bayangkanlah nabi yang sudah tua itu berjalan merentasi padang belantara selama kira-kira sebulan setengah!

16 Hari ini, Yehuwa juga menguatkan hamba-hamba-Nya. Tetapi Dia tidak memberi kita kekuatan fizikal yang luar biasa. Sebaliknya Dia membantu kita dalam cara yang lebih penting, iaitu dengan memberi kita kekuatan rohani. (Mat. 4:4) Dia berbuat  demikian dengan memberi kita makanan rohani menerusi Firman-Nya dan bahan bacaan yang berdasarkan Bible. Namun hal ini tidak bererti bahawa semua masalah kita akan hilang selepas menyantap makanan rohani. Sebaliknya, makanan rohani dapat membantu kita mengharungi cabaran yang tidak dapat kita harungi dengan kekuatan sendiri. Makanan rohani juga memberi kita harapan “kehidupan kekal.”​—Yoh. 17:3.

17. Ke manakah Elia pergi? Mengapakah tempat itu sangat istimewa?

17 Elia berjalan kira-kira 320 kilometer hingga dia tiba di Gunung Horeb (atau Gunung Sinai) dan bermalam di dalam sebuah gua di situ. Gunung itu sangat istimewa kerana di gunung itu, Yehuwa pernah berfirman kepada Musa menerusi pokok kecil yang bernyala. Dia juga membuat perjanjian dengan bangsa Israel di gunung itu.

Yehuwa Melegakan Hati dan Menguatkan Nabi-Nya

18, 19. (a) Apakah soalan yang ditanya oleh Yehuwa menerusi malaikat-Nya? Apakah reaksi Elia? (b) Nyatakan tiga sebab mengapa Elia berasa murung.

18 Menerusi malaikat-Nya, Yehuwa menanyakan satu soalan kepada Elia, “Elia, apakah yang engkau buat di sini?” Nampaknya soalan ini diajukan dalam nada yang lembut kerana Elia terdorong untuk mencurahkan isi hatinya kepada Tuhan. Dia menjawab, “Ya Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga, aku telah menyembah-Mu dengan penuh semangat. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian-Mu. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Aku seorang sahaja yang tertinggal. Kini mereka mencari aku kerana ingin membunuh aku.” (1 Raj. 19:9, 10) Berdasarkan kata-kata Elia, kita dapat melihat tiga sebab yang membuatnya berasa murung.

19 Pertama, Elia berasa bahawa kerja yang dilakukannya selama ini sia-sia sahaja. Sudah bertahun-tahun dia menyembah Tuhan “dengan penuh semangat” dan mengutamakan ibadat suci dan nama Tuhan, tetapi keadaan rohani bangsanya semakin buruk dan ibadat palsu semakin menular. Mereka masih tidak beriman dan asyik memberontak terhadap Tuhan. Kedua, Elia berasa keseorangan. Dia berkata, “Aku seorang sahaja yang tertinggal.” Nampaknya dia menyangka bahawa hanya dia seorang yang masih menyembah Yehuwa dalam kalangan seluruh bangsa Israel. Ketiga, Elia berasa takut. Banyak nabi telah dibunuh, dan dia yakin bahawa dia juga akan dibunuh tidak lama lagi. Ya, Elia telah mencurahkan perasaannya itu kepada Tuhan. Dia tidak membenarkan perasaan malu atau sombong menghalangnya daripada berbuat demikian.  Dalam cara yang sama, semasa berdoa, kita patut mencurahkan isi hati kita kepada Yehuwa.​—Mzm. 62:8.

20, 21. (a) Gambarkan apa yang disaksikan oleh Elia di mulut gua di Gunung Horeb. (b) Apakah yang dipelajari oleh Elia tentang kuasa Yehuwa?

20 Bagaimanakah Yehuwa membantu Elia menangani perasaan takutnya? Malaikat itu menyuruh Elia berdiri di mulut gua. Tiba-tiba, angin ribut yang kuat bertiup. Gemuruhnya pasti memekakkan telinga! Angin itu begitu kuat sehingga dapat membelah gunung dan memecahkan bukit batu. Bayangkanlah Elia mencuba menutup matanya dan memegang jubahnya seraya angin kencang itu bertiup di sekelilingnya. Kemudian bumi mula bergoncang sehingga dia tidak dapat berdiri tegak. Sebelum dia sempat menenangkan diri, api yang marak datang dan dia terpaksa mundur ke dalam gua agar tidak dijilat api.​—1 Raj. 19:11, 12.

Yehuwa menggunakan kuasa-Nya untuk menguatkan dan melegakan hati Elia

21 Yehuwa tidak berada di dalam angin, gempa bumi, dan api itu. Ya, Elia tahu bahawa Yehuwa bukanlah dewa alam. Dia bukan seperti Baal yang dianggap sebagai pembawa hujan. Sesungguhnya Yehuwa ialah Sumber semua kuasa alam. Dia lebih besar daripada semua ciptaan-Nya, dan bahkan langit pun tidak cukup luas bagi-Nya! (1 Raj. 8:27) Bagaimanakah pengetahuan ini membantu Elia? Ingatlah bahawa dia berasa takut. Tetapi dengan adanya Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa di sisinya, dia tidak perlu takut akan Ahab dan Izebel!​—Baca Mazmur 118:6.

22. (a) Bagaimanakah “suara yang tenang dan lembut” meyakinkan Elia bahawa dia masih amat berharga? (b) Siapakah sumber “suara yang tenang dan lembut” itu? (Lihat nota kaki.)

22 Selepas api itu lenyap, suasana menjadi tenang semula. Kemudian Elia mendengar “suatu suara yang tenang dan lembut” yang menggalakkannya untuk meluahkan isi hati kepada Tuhan. * Mungkin Elia berasa lega setelah berbuat demikian. Kemudian Elia berasa lebih lega lagi kerana Yehuwa meyakinkannya bahawa dia amat berharga. Tuhan memberitahu Elia tentang apa yang akan dilakukan-Nya terhadap para penyembah Baal. Maka usaha Elia selama  ini tidak sia-sia, kerana kehendak Tuhan sedang terlaksana dan tiada sesiapa pun yang dapat menghalangnya. Selain itu, Elia masih memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kehendak Tuhan kerana Yehuwa menyuruhnya untuk meneruskan kerja sebagai nabi dan memberinya arahan yang selanjutnya.​—1 Raj. 19:12-17.

23. Bagaimanakah Yehuwa membantu Elia mengatasi perasaan sunyinya?

23 Bagaimanakah Yehuwa membantu Elia mengatasi perasaan sunyinya? Pertama, Yehuwa menyuruh Elia untuk melantik Elisa sebagai penggantinya. Elia pasti bersyukur kerana lelaki yang lebih muda ini akan menemaninya dan menjadi pembantunya. Kedua, Yehuwa memberitahu Elia, “Masih ada 7,000 orang di Israel yang belum pernah sujud menyembah Baal dan belum pernah menciumnya.” (1 Raj. 19:18) Ya, Elia tidak keseorangan. Dia pasti digalakkan setelah mendapat tahu bahawa masih ada ribuan orang yang enggan menyembah Baal. Mereka memerlukan Elia untuk meneruskan kerjanya sebagai seorang nabi dan menjadi teladan yang baik dalam menunjukkan kesetiaan kepada Yehuwa. Hati Elia pasti tersentuh setelah mendengar firman Yehuwa yang disampaikan oleh “suara yang tenang dan lembut” itu.

Bible seperti “suara yang tenang dan lembut” yang membimbing kita

24, 25. (a) Bagaimanakah kita dapat mendengar “suara” Yehuwa pada hari ini? (b) Mengapakah kita pasti bahawa peristiwa yang berlaku di Gunung Horeb melegakan hati Elia?

24 Seperti Elia, kita mungkin kagum dengan kuasa Tuhan yang disingkapkan melalui ciptaan-Nya. (Rm. 1:20) Sampai sekarang, Yehuwa masih suka menggunakan kuasa-Nya yang tidak terbatas untuk membantu hamba-hamba-Nya yang setia. (2 Taw. 16:9) Dewasa ini, cara utama Dia berfirman kepada kita adalah melalui Bible. (Baca Yesaya 30:21.) Maka boleh dikatakan bahawa Bible seperti “suara yang tenang dan lembut” yang membimbing kita. Melalui Bible, kita dapat merasai kasih Yehuwa dan mendapat galakan, disiplin, dan bimbingan-Nya.

25 Adakah peristiwa yang berlaku di Gunung Horeb melegakan hati Elia? Ya! Tidak lama kemudian, nabi yang setia ini menjalankan tugasnya semula dengan berani, dan dia meneruskan perjuangannya untuk menentang ibadat palsu. Semoga kita terus meniru iman Elia dan mendengar firman Tuhan yang dapat “melegakan hati kita.”​—Rm. 15:4.

^ per. 22 Ayat 1 Raja-Raja 19:9 menyatakan bahawa Yehuwa berfirman kepada Elia menerusi malaikat-Nya. Di ayat 15 pula, “suara yang tenang dan lembut” itu hanya disebut sebagai “Yehuwa.” Maka suara itu mungkin berasal daripada malaikat yang sama. Hal ini mengingatkan kita tentang malaikat yang digunakan oleh Yehuwa untuk memimpin orang Israel di padang belantara. Berkenaan malaikat itu, Yehuwa pernah berfirman, “Dia datang atas nama-Ku.” (Kel. 23:21) Kita tidak tahu dengan pasti identiti malaikat itu. Tetapi sebelum Yesus turun ke bumi, dia dikenali sebagai “Firman,” iaitu Jurucakap Yehuwa.​—Yoh. 1:1.