Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB SEPULUH

Dia Mempertahankan Ibadat Sejati

Dia Mempertahankan Ibadat Sejati

1, 2. (a) Gambarkan keadaan hidup orang yang sebangsa dengan Elia. (b) Apakah yang dihadapi oleh Elia di Gunung Karmel?

ELIA melayangkan pandangannya ke arah orang yang berpusu-pusu naik ke Gunung Karmel. Dia tahu bahawa musim kemarau yang sudah berlanjutan selama tiga tahun setengah telah menyebabkan mereka sangat menderita.

2 Antara mereka terdapat 450 orang nabi Baal yang angkuh dan sangat membenci Nabi Elia. Raja Ahab yang membenci Elia juga datang dengan menaiki kereta kudanya. Elia masih mempertahankan ibadat sejati meskipun Permaisuri Izebel telah membunuh banyak hamba Yehuwa. Tetapi dapatkah Elia terus bertabah? Barangkali nabi-nabi Baal berfikir bahawa mereka pasti dapat mengalahkannya.​—1 Raj. 18:4, 19, 20.

3, 4. (a) Apakah perasaan Elia semasa dia berdiri di atas Gunung Karmel? (b) Apakah yang akan kita pelajari dalam bab ini?

3 Elia bakal mengalami peristiwa yang paling mendebarkan dalam hidupnya. Konflik yang berterusan antara kebaikan dengan kejahatan yang menyelubungi bangsanya akan mencapai kemuncaknya di sini. Apakah perasaannya? Dia mungkin berasa takut kerana Bible menyatakan bahawa “Elia pun orang yang mempunyai perasaan seperti kita.” (Baca Yakobus 5:17.) Pastinya Elia berasa keseorangan kerana dia dikelilingi orang yang tidak beriman, raja yang murtad, dan nabi-nabi Baal yang mahu membunuhnya.​—1 Raj. 18:22.

4 Apakah yang menyebabkan bangsa Israel mengalami krisis ini? Apakah kaitan kisah ini dengan anda? Marilah kita melihat cara Elia menunjukkan imannya, dan bagaimana kita dapat meniru teladannya.

Kemuncak Peristiwa

5, 6. (a) Apakah masalah yang dihadapi oleh orang Israel? (b) Bagaimanakah Raja Ahab membangkitkan kemurkaan Yehuwa?

5 Elia telah melihat tanah airnya dan bangsanya ditindas dan  dianiaya. Sudah lama hati orang Israel berbelah bahagi antara agama benar dengan agama palsu. Mereka menyembah Yehuwa, tetapi pada masa yang sama, mereka juga menyembah tuhan-tuhan palsu. Keadaan ini bertambah parah pada zaman Elia.

6 Raja Ahab telah membangkitkan kemurkaan Yehuwa dengan mengahwini Izebel, iaitu puteri raja Sidon. Izebel bertekad untuk membuat seluruh bangsa Israel meninggalkan Yehuwa dan menyembah Baal. Ahab dipengaruhi oleh isterinya, maka dia membina sebuah kuil dan mazbah untuk Baal. Dia juga memimpin orang Israel untuk menyembah tuhan palsu ini.​—1 Raj. 16:30-33.

7. (a) Mengapakah Yehuwa membenci penyembahan Baal? (b) Berkenaan jangka masa kemarau pada zaman Elia, mengapakah kita yakin bahawa catatan Bible tidak bercanggahan? (Lihat juga  kotak.)

7 Yehuwa membenci penyembahan Baal kerana penyembahan Baal menyesatkan orang Israel dan membuat mereka meninggalkan ibadat sejati. Penyembahan Baal juga jijik dan keji. Contohnya, ada lelaki dan wanita yang melacurkan diri di kuil. Selain itu, para penyembahnya mengadakan pesta seks liar dan mempersembahkan anak-anak sebagai korban. Maka Yehuwa mengutus Elia kepada Ahab untuk memberitahunya bahawa kemarau akan berlanjutan sehingga Elia mengumumkan bahawa kemarau itu berakhir. (1 Raj. 17:1) Beberapa tahun kemudian, Elia pergi menghadap Ahab sekali lagi dan menyuruhnya untuk mengumpulkan bangsa Israel dan nabi-nabi Baal di Gunung Karmel. *

Boleh dikatakan bahawa unsur-unsur utama penyembahan Baal masih marak dewasa ini

8. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah ini?

8 Ada orang berpendapat bahawa kisah ini tidak ada kaitan dengan kita pada hari ini kerana kuil dan mazbah Baal tidak wujud lagi. Tetapi kita masih dapat meraih manfaat daripada kisah ini. (Rm. 15:4) Perkataan “Baal” bererti “pemilik” atau “tuan.” Yehuwa memberitahu umat-Nya bahawa mereka harus memilih-Nya sebagai “baal” atau “tuan” mereka. (Yes. 54:5) Hari ini, banyak orang menjadikan wang, kerjaya, rekreasi, nafsu seks, dan tuhan-tuhan lain, sebagai “tuan” mereka. (Mat. 6:24; baca Roma 6:16.) Maka boleh dikatakan bahawa unsur-unsur utama penyembahan Baal masih marak dewasa ini. Jadi jika kita meneliti kisah ini, kita akan dibantu untuk mengutamakan ibadat sejati.

 “Sampai Bilakah Hati Kamu Akan Berbelah Bahagi?”

9. (a) Mengapakah Gunung Karmel ialah tempat yang terbaik untuk mendedahkan kepalsuan penyembahan Baal? (Lihat juga nota kaki.) (b) Apakah yang dikatakan oleh Elia kepada orang Israel?

9 Dari puncak Gunung Karmel, seseorang dapat melihat hampir seluruh kawasan di sekitarnya, iaitu dari Lembah Kison ke Laut Tengah (Laut Mediterranean) dan sehingga ke Pergunungan Lebanon. * Tetapi pada hari itu, pemandangannya amat menyedihkan. Tanah yang dahulunya subur kini kering-kontang akibat kebodohan umat Tuhan sendiri. Elia menghadap semua orang yang sudah berkumpul lalu berkata, “Sampai bilakah hati kamu akan berbelah bahagi? Jika Yehuwa ialah Tuhan yang benar, ikutlah Dia. Tetapi jika Baal ialah Tuhan yang benar, ikutlah Baal.”​—1 Raj. 18:21.

10. Mengapakah Elia berkata bahawa hati orang Israel berbelah bahagi? Apakah fakta penting yang dilupakan oleh mereka?

 10 Apakah yang dimaksudkan oleh Elia apabila dia berkata, “Sampai bilakah hati kamu akan berbelah bahagi”? Orang Israel tidak sedar bahawa mereka perlu memilih antara Yehuwa dengan Baal. Mereka berfikir bahawa mereka boleh menyembah Baal dan pada masa yang sama menyembah Yehuwa. Barangkali mereka menyangka bahawa Baal akan memberkati tuaian dan kawanan mereka, manakala Yehuwa, “ketua angkatan syurga,” akan melindungi mereka semasa peperangan berlaku. (1 Sam. 17:45) Seperti mereka, orang pada hari ini melupakan satu fakta yang penting: Yehuwa mahu orang menyembah Dia sahaja. Dia tidak mahu mengongsi kemuliaan-Nya dengan tuhan-tuhan yang lain. Dia membenci perbuatan mencampuradukkan penyembahan kepada-Nya dengan penyembahan kepada tuhan-tuhan lain.​—Baca Keluaran 20:5.

11. Kata-kata Elia harus menyedarkan kita tentang apa?

11 Sesungguhnya orang Israel tidak menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Mereka seperti seseorang yang mencuba mengikuti dua jalan sekali gus. Ramai orang pada hari ini juga melakukan kesilapan yang sama. Mereka menjadikan hal-hal lain sebagai “baal” mereka sehingga mengetepikan penyembahan kepada Yehuwa. Kata-kata Elia menyedarkan kita tentang pentingnya memeriksa keutamaan hidup kita dan ibadat kita.

Ujian yang Penting

12, 13. (a) Apakah ujian yang dicadangkan oleh Elia? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru iman Elia?

12 Seterusnya Elia mencadangkan agar mereka melakukan satu ujian yang mudah. Dia menyuruh nabi-nabi Baal untuk membina sebuah mazbah dan meletakkan korban mereka di atasnya. Kemudian mereka harus berseru kepada Baal dan memintanya mengirim api untuk membakar korban itu. Elia juga akan membina sebuah mazbah dan meletakkan korban di atas mazbah itu lalu meminta Yehuwa mengirim api untuk membakar korbannya. Dia berkata bahawa “Tuhan yang menjawab dengan mengirim api ialah Tuhan yang benar.” Elia yakin bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar. Imannya begitu teguh sehingga dia menyuruh nabi-nabi Baal untuk mempersembahkan korban mereka terlebih dahulu. Oleh itu, mereka memilih seekor lembu jantan dan mempersiapkan lembu itu untuk Baal. *​—1 Raj. 18:24, 25.

 13 Meskipun Yehuwa tidak melakukan mukjizat pada hari ini, kita masih boleh yakin terhadap-Nya. Contohnya, apabila orang lain tidak bersetuju dengan ajaran Bible, kita patut membiarkan mereka untuk meluahkan pendapat mereka terlebih dahulu. Seperti Elia, kita patut bergantung pada Yehuwa, dan bukannya pada diri sendiri. Kita mahu menggunakan Firman Tuhan untuk membetulkan pandangan mereka kerana Firman-Nya ditulis untuk “membetulkan segala sesuatu.”​—2 Tim. 3:16.

Elia tahu bahawa Baal memang tuhan palsu, dan dia mahu umat Tuhan sedar tentang hakikat ini

14. Bagaimanakah Elia mengejek nabi-nabi Baal? Mengapakah dia berbuat demikian?

14 Nabi-nabi Baal mendirikan mazbah mereka dan berseru kepada tuhan mereka. Mereka berseru berkali-kali, “Ya Baal, jawablah kami!” Mereka berbuat demikian sehingga berjam-jam lamanya, “tetapi tidak ada suara yang kedengaran dan tidak ada sesiapa yang menjawab seruan mereka.” Menjelang tengah hari, Elia mula mengejek mereka dengan berkata bahawa Baal mungkin sedang termenung, atau sedang membuang air, atau sedang tidur dan perlu dibangunkan. “Serulah dengan lebih kuat lagi!” kata Elia. Elia tahu bahawa Baal memang tuhan palsu, dan dia mahu umat Tuhan sedar tentang hakikat ini.​—1 Raj. 18:26, 27.

15. Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada nabi-nabi Baal?

15 Maka nabi-nabi Baal itu berseru dengan lebih bersungguh-sungguh. Mereka juga “melukai badan mereka dengan pisau belati dan tombak, seperti kebiasaan mereka, sehingga darah bercucuran dari badan mereka.” Namun “seruan mereka masih tidak dipedulikan.” (1 Raj. 18:28, 29) Ya, Baal memang tidak wujud. Baal hanyalah tipu helah yang digunakan oleh Syaitan untuk menggoda orang agar meninggalkan Yehuwa. Hakikatnya, orang yang memperhambakan diri kepada mana-mana tuhan selain Yehuwa hanya akan dikecewakan dan dimalukan.​—Baca Mazmur 25:3; 115:4-8.

Jawapan Tuhan

16. (a) Batu-batu yang digunakan oleh Elia untuk membaiki mazbah Yehuwa mungkin mengingatkan orang Israel tentang apa? (b) Bagaimanakah Elia menunjukkan bahawa dia yakin sepenuhnya terhadap Yehuwa?

16 Menjelang waktu petang, tibalah giliran Elia untuk mempersembahkan korbannya. Dia mengambil 12 buah batu untuk  membaiki mazbah Yehuwa yang nampaknya telah dirobohkan oleh para penentang ibadat sejati. (Barangkali dia menggunakan 12 buah batu untuk mengingatkan 10 suku Israel bahawa mereka masih perlu mematuhi Hukum Yehuwa.) Selepas itu, dia meletakkan korbannya di atas mazbah itu lalu menuangkan air ke atas semuanya. Dia bahkan menggali parit yang besar di sekeliling mazbah itu dan mengisinya dengan air. Dia sengaja berbuat demikian kerana dia ingin menunjukkan bahawa dia yakin sepenuhnya terhadap Yehuwa.​—1 Raj. 18:30-35.

Elia prihatin terhadap bangsa Israel dan berharap agar ‘Yehuwa akan membawa mereka kembali kepada-Nya’

17. Apakah hal-hal yang ditonjolkan oleh Elia dalam doanya? Bagaimanakah kita dapat meniru teladannya semasa kita berdoa?

17 Selepas itu, Elia berdoa kepada Yehuwa. Doa yang diucapkannya ringkas, tetapi menonjolkan tiga hal yang penting: (1) “Tuhan orang Israel” ialah Yehuwa, bukan Baal, (2) Elia hanyalah hamba yang menurut perintah Yehuwa, maka semua kemuliaan patut diberikan kepada Yehuwa, dan (3) Elia masih prihatin terhadap bangsa Israel dan berharap agar ‘Yehuwa akan membawa mereka kembali kepada-Nya.’ (1 Raj. 18:36, 37) Meskipun bangsa Israel menyebabkan banyak masalah kerana mereka tidak beriman kepada Yehuwa, Elia masih mengasihi mereka. Semasa kita berdoa, kita juga dapat meniru teladan Elia. Kita patut menunjukkan kerendahan hati, mengutamakan penyucian nama Tuhan, dan berbelas kasihan terhadap orang yang memerlukan bantuan.

18, 19. (a) Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa Elia? (b) Elia mengarahkan orang untuk melakukan apa? Mengapakah nabi-nabi Baal itu tidak patut diampuni?

18 Sebelum Elia berdoa, orang ramai mungkin tidak pasti sama ada Yehuwa wujud atau tidak. Tetapi selepas Elia berdoa, mereka tidak ragu-ragu lagi kerana Bible menyatakan, “Pada masa itu, api daripada Yehuwa turun lalu membakar kayu-kayu, batu-batu, tanah di sekeliling mazbah, dan korban bakar. Air yang ada di dalam parit itu habis dijilat api.” (1 Raj. 18:38) Jawapan yang diberikan oleh Yehuwa memang menakjubkan! Tetapi apakah reaksi orang ramai?

“Api daripada Yehuwa turun”

19 “Yehuwa ialah Tuhan yang benar! Yehuwalah Tuhan yang benar!” kata mereka semua. (1 Raj. 18:39) Akhirnya kebenaran tersingkap. Meskipun demikian, mereka belum memperlihatkan iman kepada Tuhan. Sekadar mengakui bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang  benar tidak mencukupi, iman mereka perlu disertai perbuatan. Oleh itu, Elia menyuruh mereka untuk mematuhi Hukum Yehuwa. Hukum itu menyatakan bahawa nabi palsu dan orang yang menyembah berhala harus dihukum mati. (Ul. 13:5-9) Nabi-nabi Baal itu ialah musuh Yehuwa, dan mereka sengaja melawan kehendak-Nya. Patutkah Tuhan mengasihani mereka? Mereka telah membakar kanak-kanak sebagai korban kepada Baal, maka mereka tidak layak mendapat belas kasihan Tuhan. (Baca Amsal 21:13; Yer. 19:5) Ya, mereka memang tidak layak diampuni! Maka Elia mengarahkan agar mereka ditangkap dan dihukum mati.​—1 Raj. 18:40.

20. Patutkah orang mengkritik tindakan Elia membunuh nabi-nabi Baal? Jelaskan.

20 Ada orang dewasa ini mengkritik apa yang berlaku di Gunung Karmel. Mereka risau jika kumpulan agama yang fanatik menggunakan kisah ini sebagai dasar untuk melakukan keganasan. Hakikatnya, dewasa ini memang ada banyak orang yang melakukan keganasan atas nama agama. Namun Elia bukanlah seorang fanatik. Dia melaksanakan penghakiman bagi pihak Yehuwa. Tambahan lagi, orang Kristian yang sejati tahu bahawa mereka tidak boleh menghunuskan pedang dan membunuh orang jahat seperti yang dilakukan oleh Elia. Sebaliknya mereka hidup menurut kata-kata yang diucapkan oleh Yesus kepada Petrus, “Sarungkanlah pedangmu. Orang yang menggunakan pedang akan dibinasakan oleh pedang.” (Mat. 26:52) Pada masa depan, Yehuwa akan menggunakan Anak-Nya untuk melaksanakan keadilan-Nya.

21. Bagaimanakah orang Kristian sejati dewasa ini dapat meniru teladan Elia?

21 Orang Kristian sejati harus menunjukkan iman dalam kehidupan harian. (Yoh. 3:16) Salah satu cara untuk berbuat demikian adalah dengan meniru teladan orang yang beriman seperti Elia. Dia mengabdikan diri kepada Yehuwa sahaja dan menggalakkan orang lain untuk meniru teladannya. Selain itu, dia mendedahkan agama palsu yang digunakan oleh Syaitan untuk menjauhkan orang daripada Yehuwa. Dia juga bergantung pada Yehuwa, dan bukannya pada kebolehan sendiri. Ya, Elia mempertahankan ibadat sejati. Semoga kita semua meniru teladannya!

^ per. 9 Gunung Karmel biasanya subur dan hijau kerana angin lembap yang bertiup ke arah lereng gunung itu membawa banyak hujan dan embun. Memandangkan Baal dipuja sebagai pembawa hujan, gunung ini ialah tempat suci bagi penyembahan Baal. Tetapi pada waktu itu, Gunung Karmel kering dan tandus. Maka gunung ini merupakan tempat terbaik untuk mendedahkan kepalsuan penyembahan Baal.

^ per. 12 Perhatikan bahawa Elia memberitahu mereka, “Jangan nyalakan api terlebih dahulu.” Sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa penyembah agama palsu kadangkala membina mazbah yang mempunyai ruangan tersembunyi di bawahnya agar api kelihatan menyala secara ajaib.