Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB DUA PULUH

“Aku Percaya”

“Aku Percaya”

1. Mengapakah Marta amat sedih? Gambarkan perasaannya.

MARTA berasa amat sedih kerana Lazarus, adiknya yang tersayang, telah meninggal. Beban kesedihan yang ditanggungnya seberat batu besar yang menutupi pintu makam Lazarus. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Lazarus sudah mati. Empat hari telah berlalu sejak Lazarus dimakamkan, dan sepanjang masa itu, dia sibuk melayan orang yang datang untuk menghiburkan hatinya.

2, 3. (a) Apakah perasaan Marta setelah dia melihat Yesus? (b) Apakah yang dapat kita pelajari tentang Marta daripada kata-katanya?

2 Sekarang Yesus, sahabat Lazarus, telah datang. Yesus ialah satu-satunya orang yang dapat menyelamatkan Lazarus. Walaupun Marta sedih kerana Yesus lambat datang, dia masih berasa lega dengan kehadiran Yesus. Dia mendapat galakan daripada kebaikan hati dan rasa simpati yang ditunjukkan oleh Yesus kepadanya. Yesus menanya Marta soalan-soalan yang membina imannya dan meneguhkan kepercayaannya terhadap harapan pembangkitan. Perbualan mereka menggerakkan Marta untuk berkata, “Aku percaya bahawa Tuan ialah Kristus, Anak Tuhan. Tuan ialah dia yang dijanjikan untuk datang ke dunia.”​—Yoh. 11:27.

3 Kata-kata Marta itu menunjukkan bahawa dia mempunyai iman yang teguh. Kisah Marta dapat menguatkan iman kita dan memberi kita banyak pengajaran. Untuk meraih manfaat daripadanya, marilah kita mempelajari kisahnya.

“Khuatir dan Sibuk”

4. Gambarkan keluarga Marta. Apakah hubungan mereka dengan Yesus?

4 Beberapa bulan sebelum ini, semasa Lazarus masih hidup, Yesus Kristus pergi ke Betania. Dia tinggal bersama Lazarus, Marta, dan Maria. Mereka bertiga ialah adik-beradik yang tinggal serumah. Sesetengah cendekiawan Bible berpendapat bahawa Marta ialah anak sulung kerana dialah yang selalu mengambil inisiatif  untuk menjaga tetamu di rumah mereka, dan ada kalanya Bible menyebut nama Marta terlebih dahulu semasa merujuk kepada mereka bertiga. (Yoh. 11:5) Kita tidak pasti sama ada mereka berkahwin atau tidak, tetapi kita tahu bahawa mereka merupakan sahabat rapat Yesus. Semasa Yesus menginjil di Yudea, dia selalu menetap di rumah mereka. Mereka pasti memberikan banyak bantuan dan sokongan kepada Yesus sewaktu dia menginjil di kawasan yang mencabar itu.

5, 6. (a) Mengapakah Marta sangat sibuk? (b) Apakah yang dilakukan oleh Maria apabila Yesus datang ke rumahnya?

5 Marta sangat rajin dan suka memberikan layanan yang terbaik kepada tetamu. Oleh itu, dia sangat sibuk apabila Yesus datang ke rumahnya. Dia mahu menyediakan banyak hidangan yang istimewa untuk Yesus dan orang lain yang datang bersamanya. Biasanya, seorang tuan rumah akan mengalu-alukan tetamu dengan ciuman, menanggalkan kasutnya lalu mencuci kakinya, dan melumuri kepalanya dengan minyak wangi. (Baca Lukas 7:44-47.) Ya, masyarakat pada zaman itu amat ramah, dan mereka akan menjaga makan minum dan segala keperluan tetamu dengan sebaik-baiknya.

6 Pastinya Marta dan Maria sangat sibuk membuat persiapan untuk menyambut tetamu mereka. Maria ialah orang yang baik hati, maka sudah pasti dia telah membantu kakaknya pada mulanya. Tetapi Maria juga suka menimba pengetahuan Bible. Maka apabila Yesus sampai dan mula mengajar tentang Kerajaan Tuhan, Maria segera meninggalkan kakaknya. Tidak seperti para pemimpin agama pada zaman itu, Yesus menghormati para wanita dan ingin mengajar mereka tentang Kerajaan Tuhan. Maka Maria mengambil peluang itu untuk mendengar ajaran Yesus.

7, 8. Mengapakah Marta berasa geram? Apakah yang dikatakannya?

7 Bayangkanlah perasaan Marta pada waktu itu. Dia perlu berlari ke sana sini untuk menyediakan banyak hidangan dan melayan para tetamu. Ada banyak kerja yang harus dilakukan, maka tidak hairanlah jika Marta mengerutkan dahinya dan mengeluh. Dia geram apabila melihat Maria duduk di tepi kaki Yesus tanpa membantunya.

8 Akhirnya, Marta tidak tahan lagi. Dia memotong percakapan Yesus dan berkata, “Tuan, tidakkah Tuan peduli bahawa Maria membiarkan aku menguruskan kerja seorang diri? Suruhlah dia membantu aku.” (Luk. 10:40) Marta meminta agar Yesus menegur Maria dan menyuruh Maria untuk membantunya.

9, 10. (a) Apakah reaksi Yesus terhadap permintaan Marta? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus bukannya tidak menghargai kerja keras yang dilakukan oleh Marta?

 9 Jawapan Yesus mengejutkan Marta. Dengan lembut, dia berkata, “Marta, Marta, kamu khuatir dan sibuk dengan banyak hal. Sebenarnya yang diperlukan tidak banyak; satu pun sudah cukup. Maria sudah memilih perkara yang terbaik, yang tidak akan diambil daripadanya.” (Luk. 10:41, 42) Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus? Adakah dia sedang berkata bahawa Marta tidak mementingkan hal-hal rohani? Adakah dia tidak menghargai kerja keras yang dilakukan oleh Marta?

Marta yang “khuatir dan sibuk” menerima nasihat Yesus dengan rendah hati

10 Tidak. Yesus tahu bahawa Marta berniat baik. Lagipun, dia tidak menganggap bahawa mengadakan jamuan yang besar adalah salah, kerana dia sendiri pernah menghadiri “jamuan yang besar” yang diadakan oleh Matius. (Luk. 5:29) Maka Yesus tidak menegur Marta kerana dia mahu menyediakan banyak makanan. Sebaliknya Yesus menegur Marta kerana dia terlalu bertumpu kepada jamuan itu sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih penting. Apakah hal itu?

Yesus menghargai kemurahan hati Marta, dan dia tahu bahawa Marta berniat baik

11, 12. Bagaimanakah Yesus memberikan teguran yang lembut kepada Marta?

11 Yesus, iaitu Anak tunggal Tuhan, sedang berada di rumahnya untuk mengajarkan hal-hal rohani. Tiada apa-apa hal yang lebih penting daripada mendengar ajaran Yesus. Tetapi pada waktu itu, Marta telah memilih untuk bertumpu kepada jamuannya sehingga dia terlepas peluang untuk mengukuhkan imannya. Meskipun Yesus berasa sedih dengan pilihan Marta, dia masih membiarkan Marta untuk membuat keputusannya sendiri. * Tetapi dia tidak bersetuju dengan permintaan Marta yang ingin agar Maria turut kehilangan peluang ini.

12 Oleh itu, Yesus menegur Marta dengan lembut. Barangkali dia menyebut namanya dua kali untuk mencuba menenangkan perasaannya. Dia meyakinkan Marta bahawa Marta tidak perlu “khuatir dan sibuk dengan banyak hal” kerana satu atau dua hidangan sudah mencukupi. Lagipun mereka sedang menikmati jamuan rohani  yang melimpah, dan Maria telah memilih “perkara yang terbaik,” iaitu peluang untuk belajar daripada Yesus!

13. Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada teguran Yesus kepada Marta?

13 Kisah ini mengandungi banyak pengajaran bagi orang Kristian dewasa ini. Kita tidak patut membiarkan apa-apa pun untuk mengalihkan perhatian kita sehingga mengabaikan “keperluan rohani” kita. (Mat. 5:3) Kita patut meniru Marta yang murah hati dan rajin, tetapi pada masa yang sama, kita tidak ingin menjadi begitu “khuatir dan sibuk” sehingga mengabaikan perkara yang terpenting. Maka semasa mengadakan jamuan, kita tidak perlu menyediakan banyak hidangan kerana tujuan utama kita  adalah untuk saling menggalakkan dan berkongsi kurniaan rohani.​—Baca Roma 1:11, 12.

Adik yang Tersayang Dibangkitkan

14. Adakah Marta menerima teguran Yesus? Jelaskan.

14 Adakah Marta menerima teguran Yesus dan menerapkannya? Ya. Nampaknya Marta tidak kecil hati terhadap teguran Yesus, kerana apabila Yesus pergi ke Betania beberapa bulan kemudian, Yohanes menulis bahawa “Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus.” (Yoh. 11:5) Kita patut meniru teladan baik Marta dalam hal ini kerana kita semua akan berbuat salah dan memerlukan teguran.

15, 16. (a) Apakah yang dilakukan oleh Marta apabila adiknya jatuh sakit? (b) Mengapakah harapan Marta dan Maria tidak kesampaian?

15 Apabila adik lelakinya jatuh sakit, Marta pasti berusaha sedaya upaya untuk menjaganya dan membantunya. Hari demi hari, Marta dan Maria sentiasa berada di sisi Lazarus. Biarpun begitu, penyakit Lazarus bertambah parah. Marta pasti berasa amat sedih apabila dia melihat adiknya yang dahulu sihat dan cergas kini terbaring lemah dan tidak bermaya.

16 Apabila Marta dan Maria melihat bahawa penyakit Lazarus tidak dapat disembuhkan lagi, mereka mengirim pesanan berikut kepada Yesus: “Tuan, sahabat kesayangan Tuan sakit.” (Yoh. 11:1, 3) Pada waktu itu, Yesus sedang menginjil di kawasan yang terletak sejauh dua hari perjalanan dari Betania. Mereka tahu bahawa Yesus mengasihi Lazarus, dan mereka yakin bahawa dia akan mencuba sedaya upaya untuk membantu Lazarus. Mereka mungkin berharap agar Yesus akan datang sebelum terlambat. Jika demikian, harapan mereka tidak kesampaian kerana Lazarus telah meninggal.

17. Mengapakah Marta bingung? Apakah reaksinya apabila dia mendengar bahawa Yesus datang?

17 Sambil berkabung, Marta dan Maria membuat persiapan untuk mengebumikan Lazarus. Mereka juga menyambut banyak tetamu yang datang untuk menghiburkan hati mereka. Marta mungkin bingung kerana mereka tidak mendapat sebarang berita daripada Yesus. Akhirnya, empat hari selepas Lazarus mati, barulah Marta mendengar bahawa Yesus datang. Tanpa memberitahu Maria, dia segera keluar untuk menemui Yesus.​—Baca Yohanes 11:18-20.

18, 19. Marta yakin pada apa? Mengapakah Marta jauh berbeza daripada para pemimpin agama?

18 Apabila Marta nampak Yesus, dia meluahkan apa yang terpendam  dalam hatinya dan hati Maria. Dia berkata, “Jika Tuan ada di sini, tentu adikku tidak akan mati.” Tetapi Marta masih memiliki harapan dan iman kerana dia menyambung, “Namun begitu, aku masih percaya bahawa Tuhan akan mengabulkan apa sahaja yang Tuan minta.” Yesus segera menguatkan imannya dan menjawab, “Adik kamu akan hidup semula.”​—Yoh. 11:21-23.

19 Marta menyangka bahawa Yesus sedang bercakap tentang pembangkitan pada masa depan. Jadi dia berkata, “Aku tahu bahawa dia akan hidup semula semasa pembangkitan pada hari terakhir.” (Yoh. 11:24) Marta betul-betul yakin pada harapan pembangkitan. Dia jauh berbeza dengan sesetengah pemimpin agama Yahudi yang menolak harapan pembangkitan meskipun hal ini jelas diajarkan dalam Firman Tuhan. (Dan. 12:13; Mrk. 12:18) Marta tahu bahawa Yesus mengajarkan harapan pembangkitan dan  bahkan pernah membangkitkan orang mati, tetapi apa yang bakal berlaku memang di luar jangkaannya.

20. Apakah erti kata-kata Yesus di Yohanes 11:25-27? Apakah jawapan Marta?

20 Yesus berkata, “Akulah pembangkitan dan kehidupan.” Hal ini bererti bahawa Yehuwa telah memberinya hak dan kuasa untuk membangkitkan orang pada skala yang besar pada masa depan. Kemudian Yesus menanya Marta, “Adakah kamu percaya akan hal ini?” Marta pun mengucapkan kata-kata yang disebutkan pada awal bab ini. Dia yakin bahawa Yesus ialah Kristus, atau Mesias, iaitu Anak Tuhan yang dijanjikan untuk datang ke dunia.​—Yoh. 5:28, 29; baca Yohanes 11:25-27.

21, 22. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan perasaannya? (b) Gambarkan pembangkitan Lazarus.

21 Adakah Yehuwa dan Yesus menghargai iman Marta? Sudah tentu! Peristiwa yang berlaku seterusnya membuktikan hal ini. Marta berlari pulang dan memanggil Maria. Kemudian dia nampak Yesus mula menangis semasa bercakap dengan Maria dan orang lain di situ. Air mata yang bercucuran di pipi Yesus menunjukkan bahawa dia dapat merasai keperitan yang disebabkan oleh kematian. Selepas itu, Marta mendengar Yesus memberikan arahan untuk mengalihkan batu besar yang menutupi makam adiknya.​—Yoh. 11:28-39.

22 Marta membantah kerana mayat Lazarus tentu berbau busuk selepas empat hari. Tetapi Yesus mengingatkan dia, “Bukankah aku sudah mengatakan bahawa jika kamu percaya, kamu akan melihat kemuliaan Tuhan?” Pada saat itu juga, Yehuwa telah memberi Anak-Nya kuasa untuk membangkitkan Lazarus. Yesus pun berseru, “Lazarus, keluarlah!” Bayangkanlah perasaan Marta apabila Lazarus bangun di dalam makam dan mula berjalan dengan perlahan-lahan menuju ke mulut gua. Kemudian Yesus menyuruh orang untuk ‘menanggalkan kain yang membalutnya.’ Apabila Marta dan Maria melihat Lazarus, mereka berlari untuk memeluknya. (Baca Yohanes 11:40-44.) Saat-saat itu pasti terpahat dalam ingatan Marta sehingga akhir hayatnya. Ya, Marta telah menunjukkan iman, maka dia telah melihat kemuliaan Yehuwa!

Tuhan memberkati iman Marta dengan membangkitkan adiknya

23. Yehuwa dan Yesus suka melakukan apa? Apakah yang harus anda lakukan?

23 Kisah Lazarus menunjukkan bahawa pembangkitan bukanlah janji kosong. Kisahnya membuktikan bahawa pembangkitan benar-benar pernah berlaku, dan hal ini memberi kita harapan yang menghiburkan hati. (Ayb. 14:14, 15) Yehuwa dan Yesus suka  memberkati orang yang beriman, seperti Marta, Maria, dan Lazarus. Mereka juga akan memberkati anda jika anda membina iman yang teguh.

“Marta Menghidangkan Makanan”

24. Apakah yang dicatatkan dalam Bible tentang Marta buat kali terakhir?

24 Kali terakhir Marta disebutkan dalam Bible adalah pada minggu terakhir kehidupan Yesus di bumi. Pada waktu itu, Bible memberitahu kita bahawa “Marta menghidangkan makanan” kepada Yesus dan Lazarus yang sedang berada di rumah Simon, yang dahulunya menghidap penyakit kusta. (Yoh. 12:2) Yesus tahu bahawa tidak lama lagi, dia akan diseksa dan dibunuh di Yerusalem, maka dia memilih untuk pergi ke rumah Marta di Betania. Jarak dari Betania ke Yerusalem hanya kira-kira tiga kilometer.

25. Bagaimanakah saudari-saudari di dalam sidang memperlihatkan iman seperti Marta?

25 Marta memang wanita yang rajin! Kali pertama dia disebutkan dalam Bible, dia sedang bekerja. Kali terakhir dia disebutkan dalam Bible, dia juga sedang bekerja untuk menjaga keperluan orang lain! Dewasa ini, sidang Kristian juga diberkati dengan saudari-saudari seperti Marta. Mereka murah hati dan memperlihatkan iman mereka dengan bekerja keras bagi Yehuwa dan orang lain. Ya, Marta terus memperlihatkan imannya, dan hal itu telah membantunya untuk menghadapi cabaran yang bakal ditempuhinya.

26. Bagaimanakah iman Marta membantunya?

26 Dalam masa beberapa hari, Marta harus menghadapi kematian Yesus, Tuannya yang dikasihi. Selain itu, orang munafik yang membunuh Yesus juga berazam untuk membunuh Lazarus kerana pembangkitan Lazarus membuat banyak orang beriman kepada Yesus. (Baca Yohanes 12:9-11.) Kematian akhirnya memisahkan Marta daripada kedua-dua adiknya yang dikasihi. Kita tidak tahu bila dan bagaimana hal itu terjadi, tetapi yang pastinya iman Marta telah membantunya untuk bertabah sampai ke akhir. Itulah sebabnya orang Kristian dewasa ini patut meniru iman Marta.

^ per. 11 Para wanita dalam masyarakat Yahudi pada abad pertama biasanya tidak diberikan peluang untuk mendengar ajaran Bible. Wanita hanya diajar untuk menguruskan hal ehwal rumah tangga. Maka Marta mungkin berasa bahawa Maria tidak patut duduk di tepi kaki Yesus dan mendengar ajarannya.