Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 116

Bagaimana Kita Dapat Hidup Selama-lamanya

Bagaimana Kita Dapat Hidup Selama-lamanya

BOLEHKAH adik lihat apa yang sedang dibaca oleh budak perempuan itu bersama-sama kawan-kawannya? Betul, mereka sedang membaca buku yang adik sedang baca​—Buku Cerita Bible Saya. Mereka juga sedang membaca cerita ini, “Bagaimana Kita Dapat Hidup Selama-lamanya.”

Tahukah adik, apakah yang telah dipelajari oleh mereka? Mula-mula, jika kita hendak hidup untuk selama-lamanya, kita perlu mengenali Yehuwa dan Anak-Nya, Yesus. Bible menyatakan, “Inilah cara untuk hidup selama-lamanya. Belajar tentang satu-satunya Tuhan yang benar, dan Anak yang telah diutus-Nya ke bumi, Yesus Kristus.”

Bagaimanakah kita dapat belajar tentang Tuhan Yehuwa dan Anak-Nya, Yesus? Salah satu cara adalah dengan membaca Buku Cerita Bible Saya dari mula hingga akhir. Buku ini memberitahu kita banyak perkara tentang Yehuwa dan Yesus. Buku ini juga memberitahu kita tentang apa yang telah dilakukan oleh mereka dan apa yang akan dilakukan oleh mereka pada masa hadapan. Tetapi sekadar membaca buku ini tidak mencukupi.

Bolehkah adik lihat sebuah lagi buku? Buku itu ialah Bible. Adik boleh meminta seseorang membacakan ayat-ayat rujukan Bible yang tercatat di dalam buku ini. Semua kisah-kisah di dalam buku ini diambil daripada Bible. Di dalam Bible terdapat semua maklumat yang kita perlukan untuk menyembah Yehuwa dalam cara yang betul dan untuk mendapat kehidupan kekal. Maka kita harus memupuk tabiat membaca Bible tiap-tiap hari.

Tetapi sekadar mempelajari tentang Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus tidaklah mencukupi. Kita mungkin mempunyai banyak pengetahuan tentang mereka dan ajaran mereka tetapi hal ini tidak bermakna bahawa kita tentu akan mendapat kehidupan yang kekal. Tahukah adik apa lagi yang perlu kita lakukan?

Kita perlu hidup selaras dengan apa yang telah dipelajari daripada Bible. Bolehkah adik ingat akan Yudas Iskariot? Dia telah dipilih oleh Yesus untuk menjadi salah seorang daripada 12 orang hawari Yesus. Yudas mempunyai banyak pengetahuan tentang Yehuwa dan Yesus. Tetapi apakah yang telah berlaku kepadanya? Beberapa lama selepas dia menjadi hawari Yesus, dia bersikap mementingkan diri dan dia telah mengkhianati Yesus dengan menjual Yesus kepada musuh-musuhnya dengan harga 30 keping wang perak. Maka, Yudas tidak akan menerima kehidupan kekal.

Adakah adik ingat akan Gehazi, lelaki yang kita pelajari di Cerita 69? Dia menginginkan pakaian dan wang yang bukan miliknya. Maka dia telah berbohong untuk mendapatkan benda-benda ini. Akibatnya, Yehuwa telah menghukumnya. Dan Dia akan menghukum kita juga jika kita tidak mematuhi hukum-hukum-Nya.

Namun begitu, terdapat banyak penyembah Yehuwa yang selalu berkhidmat kepada-Nya dengan setia. Kita mahu menjadi seperti mereka, bukan? Adik Samuel merupakan teladan baik yang boleh kita contohi. Seperti yang telah kita pelajari di Cerita 55, Samuel hanya berumur empat atau lima tahun semasa dia mula berkhidmat kepada Yehuwa di khemah suci-Nya. Jadi, tidak kira berapa umur adik, adik tidak terlalu muda untuk menyembah Yehuwa.

Sudah tentu kita semua ingin mencontohi Yesus Kristus. Seperti yang kita baca dalam Cerita 87, walaupun dia hanya seorang budak, dia sudah bercakap tentang Bapanya di syurga kepada orang lain di Rumah Tuhan. Marilah kita ikut teladannya. Marilah kita berusaha untuk memberitahu seberapa banyak orang yang boleh tentang Tuhan kita, Yehuwa dan Anak-Nya, Yesus Kristus. Jika kita melakukan perkara-perkara ini, kita akan hidup untuk selama-lamanya di dalam firdaus baru di bumi.