SELEPAS Petrus dan Yohanes meninggalkan makam Yesus, Maria berada di situ seorang diri. Dia bermula menangis. Seperti yang ditunjukkan dalam gambar di Cerita 102, Maria membongkokkan badan lalu melihat ke dalam makam itu. Maria nampak dua malaikat di situ. Mereka bertanya kepada Maria, “Mengapa puan menangis?”

Maria menjawab, “Mayat Tuan saya telah diambil dan saya tidak tahu tempat mayatnya diletakkan.” Selepas itu, Maria menoleh ke belakang dan ternampak seorang lelaki. Lelaki itu bertanya, “Siapakah yang sedang puan cari?”

Maria menyangka bahawa lelaki itu ialah seorang tukang kebun, dan berkemungkinan dia telah mengambil mayat Yesus. Jadi Maria berkata, “Tuan, jika tuan sudah memindahkan mayat Yesus, beritahulah saya tempat tuan meletakkan mayatnya.” Sebenarnya, lelaki itu ialah Yesus. Maria tidak mengenali Yesus kerana Yesus menggunakan tubuh yang lain. Tetapi, apabila lelaki itu memanggil namanya, Maria sedar bahawa dia ialah Yesus. Maria berlari meninggalkan tempat itu untuk memberitahu murid-murid Yesus, “Saya sudah nampak Tuan Yesus!”

Pada lewat hari itu, ketika dua orang murid Yesus sedang berjalan ke sebuah pekan yang dipanggil Emaus, seorang lelaki menyertai mereka. Kedua-dua orang murid itu berasa sangat sedih kerana Yesus telah dibunuh. Sambil berjalan, lelaki itu menerangkan banyak perkara daripada Bible yang melegakan hati mereka. Akhirnya, apabila mereka berhenti untuk makan, mereka sedar bahawa lelaki itu ialah Yesus. Kemudian, Yesus hilang daripada pandangan mereka. Kedua-dua orang murid itu cepat-cepat pulang ke Yerusalem untuk memberitahu hawari-hawari Yesus bahawa mereka telah nampak Yesus.

Sementara itu, Yesus menampakkan diri kepada Petrus juga. Apabila hawari-hawari dan murid-murid yang lain mendengar tentang apa yang telah berlaku kepada Petrus, mereka berasa amat gembira. Selepas itu, kedua-dua orang murid menceritakan kepada hawari-hawari bahawa Yesus juga telah menampakkan diri kepada mereka di tengah jalan. Ketika mereka sedang memberitahukan hal ini, satu kejadian yang menakjubkan telah berlaku. Adakah adik tahu apa yang telah berlaku?

Lihatlah gambar ini. Yesus muncul di dalam bilik ini walaupun pintu bilik ini terkunci. Bolehkah adik bayangkan betapa gembiranya murid-murid Yesus pada hari itu? Dapatkah adik mengira berapa kali Yesus telah menampakkan diri kepada pengikut-pengikutnya? Ya, lima kali.

Hawari Tomas tidak berada bersama mereka semasa Yesus muncul. Jadi murid-murid Yesus yang lain memberitahu Tomas, “Kami sudah melihat Tuan Yesus!” Tetapi Tomas berkata bahawa dia akan percaya jika dia nampak Yesus dengan matanya sendiri. Selepas lapan hari, murid-murid Yesus berkumpul di dalam sebuah bilik yang terkunci sekali lagi. Kali ini, Tomas berada bersama-sama mereka. Tiba-tiba, Yesus muncul di dalam bilik itu. Sekarang, Tomas percaya bahawa Yesus telah dibangkitkan.