Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 102

Yesus Hidup Semula

Yesus Hidup Semula

ADAKAH adik tahu siapa wanita dan kedua-dua orang lelaki di dalam gambar ini? Wanita itu ialah Maria Magdalena, sahabat Yesus. Kedua-dua orang lelaki yang berpakaian putih itu pula ialah malaikat. Maria sedang melihat ke dalam sebuah bilik kecil. Bilik kecil ini ialah tempat mayat Yesus diletakkan selepas dia mati. Tempat ini ialah sebuah makam. Tetapi mayat Yesus sudah hilang! Siapakah yang telah mengambil mayatnya? Marilah kita lihat.

Selepas Yesus mati, para penghentar berkata kepada Pilatus, “Semasa Yesus masih hidup, dia pernah berkata bahawa dia akan hidup semula selepas tiga hari. Oleh itu, berilah perintah supaya makam itu dikawal. Dengan demikian, murid-muridnya tidak dapat mencuri mayat Yesus dan mengatakan bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian!” Pilatus menyuruh para penghentar menghantar beberapa orang askar untuk mengawal makam tersebut.

Pada awal hari ketiga selepas Yesus mati, malaikat Tuhan muncul dengan tiba-tiba. Dia menggulingkan batu penutup makam daripada pintu makam tersebut. Askar-askar yang mengawal di situ menjadi begitu takut sehingga mereka tidak dapat bergerak. Selepas itu, apabila mereka melihat ke dalam makam itu, mayat Yesus sudah hilang! Beberapa orang askar kembali ke kota untuk melaporkan hal ini kepada para penghentar. Tahukah adik apa yang dilakukan oleh para penghentar yang jahat itu? Mereka memberikan wang kepada askar-askar itu dan menyuruh mereka berbohong. “Kamu harus mengatakan bahawa murid-muridnya datang pada waktu malam untuk mencuri mayatnya,” kata para penghentar kepada askar-askar itu.

Sementara itu, beberapa orang sahabat Yesus pergi menziarahi makam Yesus. Tetapi, wanita-wanita itu mendapati makam itu kosong. Alangkah terkejutnya mereka! Tiba-tiba, dua malaikat yang memakai pakaian yang putih bersinar muncul. “Mengapakah kamu mencari Yesus di sini?” tanya mereka. “Dia telah dibangkitkan. Cepat. Beritahulah murid-muridnya.” Wanita-wanita itu berlari dengan cepat sekali! Tetapi dalam perjalanan mereka, seorang lelaki datang menemui mereka. Tahukah adik siapa lelaki itu? Lelaki itu ialah Yesus! Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah beritahu murid-muridku.”

Apabila wanita-wanita itu memberitahu murid-murid Yesus bahawa Yesus telah hidup semula dan mereka telah melihat Yesus dengan mata sendiri, murid-murid Yesus mendapati sukar untuk mempercayai kata-kata mereka. Petrus dan Yohanes berlari ke makam Yesus untuk mencari Yesus. Tetapi mereka mendapati makam itu kosong! Ketika Petrus dan Yohanes meninggalkan tempat itu, Maria Magdalena tidak mengikut mereka. Pada masa itulah dia melihat ke dalam makam dan melihat dua malaikat tersebut.

Tahukah adik apa yang telah berlaku kepada mayat Yesus? Tuhan telah melenyapkan mayatnya. Yesus tidak dihidupkan semula dengan tubuh manusia yang dipunyainya sebelum dia mati. Tuhan memberi Yesus tubuh roh yang baru. Tubuh ini adalah seperti tubuh malaikat yang tinggal di syurga. Tetapi untuk menunjukkan kepada murid-muridnya bahawa dia telah hidup semula, Yesus boleh menggunakan tubuh yang dapat dilihat oleh manusia. Kita akan pelajari hal ini nanti.