Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 106

Dibebaskan dari Penjara

Dibebaskan dari Penjara

LIHATLAH malaikat yang sedang membuka pintu penjara. Mereka yang dibebaskan oleh malaikat itu merupakan hawari-hawari Yesus. Marilah kita lihat sebab mereka dipenjarakan.

Peristiwa ini berlaku tidak berapa lama selepas daya aktif Tuhan dicurahkan ke atas murid-murid Yesus. Pada suatu petang, Petrus dan Yohanes berjalan masuk ke dalam Rumah Tuhan di Yerusalem. Dekat dengan pintu Rumah Tuhan terdapat seorang lelaki yang lumpuh semenjak dia dilahirkan. Tiap-tiap hari, dia dibawa ke situ supaya dia dapat meminta sedekah daripada orang yang masuk ke dalam Rumah Tuhan. Apabila dia nampak Petrus dan Yohanes, dia meminta mereka memberinya sesuatu. Apakah yang akan dilakukan oleh hawari-hawari itu?

Mereka berhenti dan memandang lelaki itu dengan penuh belas kasihan. Kemudian, Petrus berkata, “Aku tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu. Dengan kuasa Yesus, bangun dan berjalan!” Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan dengan serta-merta, orang lumpuh itu bangun lalu mula berjalan. Apabila orang ramai melihat mukjizat yang menakjubkan ini, mereka berasa kagum dan gembira.

“Mukjizat ini dilakukan dengan kuasa daripada Tuhan yang membangkitkan Yesus daripada kematian,” kata Petrus. Semasa Petrus dan Yohanes sedang bercakap, beberapa orang ketua agama menghampiri mereka. Mereka marah kerana Petrus dan Yohanes sedang memberitahu orang ramai bahawa Yesus telah dibangkitkan daripada kematian. Jadi, ketua-ketua agama menangkap Petrus dan Yohanes dan memenjarakan mereka.

Pada keesokan hari, ketua-ketua agama mengadakan satu perjumpaan yang besar. Petrus, Yohanes, serta lelaki yang disembuhkan oleh mereka telah dibawa untuk menghadap ketua-ketua agama. “Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan mukjizat itu?” tanya ketua-ketua agama itu.

Petrus memberitahu mereka bahawa mukjizat ini dilakukan dengan kuasa daripada Tuhan yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian. Para penghentar tidak tahu apa yang harus dilakukan, kerana mereka tidak boleh menafikan bahawa mukjizat yang menakjubkan ini benar-benar telah berlaku. Jadi, para penghentar memberi amaran kepada hawari-hawari supaya berhenti bercakap tentang Yesus. Selepas itu, hawari-hawari dibebaskan.

Hari demi hari berlalu. Hawari-hawari tidak berhenti menyembuhkan orang yang sakit dan bercakap tentang Yesus. Berita tentang mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh mereka tersebar luas. Orang ramai dari kota-kota yang berhampiran dengan kota Yerusalem juga membawa banyak orang sakit kepada hawari-hawari untuk disembuhkan. Hal ini menyebabkan ketua-ketua agama berasa cemburu. Jadi, mereka menangkap hawari-hawari dan memenjarakan mereka. Tetapi hawari-hawari tidak dikurung di dalam penjara untuk masa yang lama.

Pada waktu malam, malaikat Tuhan membuka pintu penjara itu, seperti yang adik dapat lihat dalam gambar ini. Malaikat itu berkata, “Pergi berdiri di Rumah Tuhan dan ajarlah orang ramai.” Pada pagi hari berikutnya, ketua-ketua agama menghantar pegawai untuk membawa hawari-hawari menghadap mereka. Tetapi mereka mendapati bahawa hawari-hawari tidak ada di dalam penjara! Beberapa lama kemudian, pegawai-pegawai itu mendapati bahawa hawari-hawari itu sedang mengajar di Rumah Tuhan. Mereka membawa hawari-hawari ke dewan Majlis Agama.

“Dengan tegas kami telah melarang kamu mengajar tentang Yesus. Tetapi kamu telah menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem,” kata ketua-ketua agama. Maka, hawari-hawari pun menjawab, “Kami harus taat kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukan kepada manusia.” Jadi, mereka terus mengajarkan berita baik kepada orang ramai. Tidakkah adik setuju bahawa kita juga patut mengikut teladan baik mereka?