Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 97

Yesus Datang sebagai Raja

Yesus Datang sebagai Raja

TIDAK lama selepas Yesus menyembuhkan dua orang pengemis yang buta, dia tiba di sebuah pekan kecil dekat dengan Yerusalem. Dia memberitahu dua orang muridnya, “Masuklah ke pekan itu, dan kamu akan menjumpai seekor anak keldai. Lepaskan anak keldai itu dan bawa anak keldai itu kepadaku.”

Selepas keldai itu dibawa kepada Yesus, Yesus menunggangi keldai itu ke Yerusalem. Yerusalem terletak tidak jauh dari pekan itu. Apabila dia menghampiri kota Yerusalem, banyak orang keluar untuk menemui Yesus. Kebanyakan orang yang keluar meletakkan jubah mereka di atas jalan. Yang lain pula mengerat dahan-dahan pokok palma lalu meletakkan dahan-dahan itu di atas jalan sambil berseru, “Semoga Tuhan memberkati raja yang datang dengan nama Yehuwa!”

Pada masa dahulu, seorang raja Israel yang baru akan menunggangi seekor anak keldai ke Yerusalem untuk menunjukkan bahawa dia ialah raja. Yesus sedang melakukan hal ini. Orang di dalam gambar sedang menunjukkan bahawa mereka mahu Yesus menjadi raja mereka. Tetapi, bukan semua orang mengalu-alukan Yesus sebagai raja. Peristiwa seterusnya menunjukkan hal ini dengan jelas.

Di Rumah Tuhan, Yesus menyembuhkan orang yang buta dan yang tempang. Apabila kanak-kanak melihat Yesus menyembuhkan orang, mereka memuji Yesus. Hal ini menjadikan para penghentar marah lalu mereka berkata kepada Yesus, “Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh kanak-kanak ini?”

“Ya, sudah tentu,” jawab Yesus. “Belum pernahkah kamu membaca ayat Bible yang mengatakan, ‘Tuhan telah mengajar kanak-kanak untuk mengucapkan pujian?’” Jadi, kanak-kanak ini terus memberikan pujian kepada raja yang dipilih oleh Tuhan.

Sudah tentu adik mahu menjadi seperti kanak-kanak ini, bukan? Sesetengah orang mungkin akan mencuba menghalang kita daripada memberitahu orang lain tentang Kerajaan Tuhan. Namun demikian, kita akan terus memberitahu orang lain tentang perkara-perkara yang menakjubkan yang akan dilakukan oleh Yesus nanti.

Yesus tidak memerintah sebagai raja semasa dia berada di bumi. Jadi, bilakah masanya dia akan menjadi raja? Murid-murid Yesus ingin mengetahui jawapannya. Marilah kita membaca cerita yang berikut untuk mendapat jawapannya.