YESUS kelihatan sangat marah. Tahukah adik mengapa? Yesus marah kerana peniaga-peniaga di dalam Rumah Tuhan di Yerusalem sangat tamak. Mereka mencuba memperoleh banyak keuntungan daripada orang yang datang ke Yerusalem untuk menyembah Tuhan.

Bolehkah adik nampak anak lembu jantan, biri-biri, dan burung-burung merpati di dalam gambar? Peniaga-peniaga ini sedang menjual binatang-binatang tersebut di dalam Rumah Tuhan. Tahukah adik mengapa mereka berbuat demikian? Ini adalah kerana orang Israel memerlukan binatang-binatang dan burung-burung untuk dipersembahkan kepada Tuhan sebagai korban.

Hukum Tuhan menyatakan bahawa apabila orang Israel melakukan suatu perbuatan yang salah, mereka perlu mempersembahkan korban kepada Tuhan. Orang Israel perlu mempersembahkan korban kepada Tuhan pada masa-masa yang lain juga. Tetapi, dari manakah orang Israel boleh mendapat burung-burung dan binatang-binatang untuk dipersembahkan kepada Tuhan?

Sesetengah orang Israel memelihara burung dan binatang. Jadi, mereka dapat mempersembahkan binatang-binatang dan burung-burung yang dipelihara oleh mereka. Tetapi, banyak daripada orang Israel tidak memelihara burung atau binatang. Ada pula dalam kalangan orang Israel yang tidak dapat membawa binatang-binatang mereka untuk dipersembahkan kepada Tuhan kerana mereka tinggal sangat jauh dari Rumah Tuhan. Oleh itu, mereka terpaksa membeli binatang-binatang atau burung-burung yang diperlukan di sini. Tetapi, peniaga-peniaga di sini mengenakan bayaran yang terlalu tinggi. Mereka menipu wang orang Israel! Tambahan pula, peniaga-peniaga ini tidak patut berniaga di dalam Rumah Tuhan.

Hal inilah yang telah menjadikan Yesus marah. Jadi, dia menterbalikkan meja peniaga-peniaga. Wang syiling mereka bertaburan di merata-rata tempat. Dia juga membuat seutas cemeti daripada tali lalu menghalau semua binatang keluar dari Rumah Tuhan. Kemudian, dia memberi arahan berikut kepada penjual burung merpati: “Keluarkanlah burung-burung merpati ini dari sini! Jangan jadikan rumah Bapaku tempat berniaga.”

Beberapa orang pengikut Yesus ada bersama-samanya di dalam Rumah Tuhan di Yerusalem. Mereka sangat terkejut melihat perbuatan Yesus. Kemudian, mereka teringat akan kata-kata dalam Bible yang menyatakan tentang Anak Tuhan: “Kasihku terhadap Rumah-Mu, ya Tuhan, berkobar-kobar seperti api!”

Semasa Yesus menghadiri perayaan Paska di Yerusalem, dia melakukan banyak mukjizat. Selepas itu, Yesus meninggalkan Yudea lalu memulakan perjalanannya untuk pulang ke Galilea. Dalam perjalanannya ke Galilea, dia melalui daerah Samaria. Marilah kita lihat apa yang berlaku di sana.