Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 95

Cara Yesus Mengajar

Cara Yesus Mengajar

PADA suatu hari, Yesus memberitahu seorang lelaki bahawa dia patut mengasihi jirannya. Lelaki itu bertanya kepada Yesus, “Siapakah jiran saya?” Yesus tahu apa yang sedang difikirkan oleh lelaki itu. Lelaki itu berfikir bahawa hanya orang yang sama bangsa dan sama agama dengannya merupakan jirannya. Mari kita lihat apa yang dikatakan oleh Yesus kepadanya.

Kadangkala, Yesus mengajar pendengarnya dengan memberitahu mereka sebuah cerita. Yesus melakukan hal ini sekarang. Dia memberitahu lelaki itu sebuah cerita tentang seorang lelaki Yahudi dan seorang lelaki Samaria. Kita telah belajar bahawa kebanyakan orang Yahudi tidak suka akan orang Samaria. Marilah kita dengar cerita Yesus sekarang.

Pada suatu hari, seorang lelaki Yahudi berjalan melalui kawasan pergunungan untuk pergi ke Yerikho. Perompak-perompak telah menyerangnya. Mereka mengambil wangnya dan memukulnya sehingga dia hampir mati.

Tidak berapa lama kemudian, seorang guru agama Yahudi lalu di situ. Dia ternampak lelaki yang cedera itu. Apakah yang dilakukan olehnya? Dia hanya menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. Kemudian, seorang lagi lelaki yang alim telah lalu di situ. Dia seorang Lewi. Adakah dia berhenti untuk membantu lelaki yang cedera itu? Tidak. Dia juga tidak membantu lelaki itu. Di dalam gambar ini, adik boleh melihat guru agama dan lelaki Lewi itu meneruskan perjalanan mereka.

Tetapi, lihatlah! Siapakah yang sedang membantu lelaki yang cedera itu? Dia ialah seorang lelaki Samaria. Namun begitu, dia membantu orang Yahudi yang cedera itu. Dia mengubati luka-lukanya. Kemudian, dia membawa lelaki Yahudi itu ke sebuah tempat untuk berehat agar dia boleh sembuh.

Selepas Yesus mengakhiri ceritanya, dia memandang lelaki yang telah bertanya kepadanya lalu berkata, “Pada pendapat kamu, antara ketiga-tiga orang ini, siapakah jiran lelaki yang cedera itu? Guru agama orang Yahudi, lelaki Lewi, atau lelaki Samaria?”

Lelaki itu menjawab, “Lelaki Samaria itu. Dia menunjukkan belas kasihan kepada lelaki yang cedera itu.”

Yesus berkata, “Jawapan kamu betul. Jadi, kamu juga harus meniru teladan lelaki Samaria itu.”

Adakah adik suka akan cara Yesus mengajar? Ya, jika kita mendengar kata-kata Yesus seperti yang tercatat dalam Bible, kita dapat mempelajari banyak hal yang penting.