Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 82

Mordekhai dan Ester

Mordekhai dan Ester

MARILAH kita kembali ke peristiwa yang berlaku beberapa tahun sebelum Ezra pergi ke Yerusalem. Mordekhai dan Ester merupakan orang Israel yang paling penting di negeri Persia. Ester ialah seorang permaisuri dan sepupunya, Mordekhai ialah orang yang kedua penting selepas raja yang sedang memerintah. Marilah kita lihat bagaimana hal ini telah berlaku.

Ibu bapa Ester telah meninggal semasa Ester masih kecil lagi. Jadi Mordekhai telah membesarkannya. Ahasyweros, raja Persia mempunyai sebuah istana di kota Susan dan Mordekhai merupakan salah seorang pekerjanya. Pada suatu hari, isteri Raja Ahasyweros yang bernama Wasti tidak mendengar kata-katanya. Jadi, Ahasyweros memilih seorang wanita yang lain untuk menjadi permaisurinya. Adakah adik tahu siapa yang dipilih oleh Raja Ahasyweros untuk menjadi isterinya? Ya, dia telah memilih seorang wanita jelita yang muda yang bernama Ester.

Bolehkah adik nampak lelaki yang sombong dalam gambar ini? Orang sedang tunduk kepadanya. Lelaki ini ialah Haman. Dia seorang lelaki yang sangat penting di Persia. Lelaki yang sedang duduk pula ialah Mordekhai. Haman mahu Mordekhai tunduk memberi hormat kepadanya juga. Tetapi Mordekhai enggan berbuat demikian. Dia rasa dia tidak patut menunduk kepada seorang lelaki yang jahat seperti Haman. Jadi, Haman menjadi sangat marah. Oleh itu, dia melakukan hal yang berikut.

Haman berbohong kepada raja tentang orang Israel. “Mereka orang jahat yang tidak mematuhi undang-undang tuanku,” dia berkata. “Mereka patut dihukum mati.” Ahasyweros tidak tahu bahawa isterinya, Ester ialah seorang wanita yang berbangsa Israel. Jadi, Raja Ahasyweros mendengar kata-kata Haman dan membuat satu undang-undang yang menyatakan bahawa semua orang Israel harus dibunuh pada suatu hari yang tertentu.

Apabila Mordekhai mendapat tahu tentang undang-undang ini, dia sangat susah hati. Dia menghantar pesanan berikut kepada Ester: “Kamu mesti memberitahukan hal ini kepada raja dan rayulah kepadanya untuk menyelamatkan kami.” Mengikut undang-undang Persia, tiada sesiapa pun boleh berjumpa dengan raja tanpa dijemput. Tetapi Ester pergi menghadap raja tanpa dijemput. Setibanya di sana, raja menghulurkan tongkat emasnya kepada Ester. Tindakan ini menunjukkan bahawa Ester tidak akan dihukum mati. Ester menjemput Raja Ahasyweros dan Haman ke sebuah jamuan yang besar. Semasa jamuan itu diadakan, raja menanya Ester sama ada dia mempunyai apa-apa permintaan. Ester berkata bahawa dia akan memberitahu raja permintaannya jika raja dan Haman menghadiri satu lagi jamuan yang akan diadakan pada keesokan hari.

Semasa jamuan itu, Ester memberitahu raja, “Hamba dan orang sebangsa hamba akan dibunuh.” Raja menjadi marah. Dia bertanya, “Siapakah yang berani melakukan hal ini?”

“Musuh kami ialah Haman, lelaki yang jahat ini!” kata Ester.

Sekarang raja menjadi sangat marah. Dia memberi perintah supaya Haman dihukum mati. Kemudian, Raja Ahasyweros menjadikan Mordekhai orang yang kedua penting dalam kerajaannya. Mordekhai memastikan bahawa satu undang-undang yang baru dibuat. Undang-undang ini menyatakan bahawa orang Israel boleh berjuang untuk menyelamatkan diri pada hari mereka akan dibunuh. Oleh sebab Mordekhai seorang lelaki yang begitu penting, ramai orang membantu orang Israel, dan orang Israel diselamatkan daripada musuh-musuh mereka.