LEBIH daripada sepuluh tahun telah berlalu semenjak Raja Nebukadnezar membawa semua orang Israel yang terpelajar ke Babilon. Sekarang, lihatlah apa yang sedang berlaku! Kota Yerusalem sedang dijilat api. Dan orang Israel yang tidak terbunuh pula dibawa ke Babilon sebagai tawanan.

Jika adik masih ingat, penubuat-penubuat Yehuwa telah menubuatkan bahawa hal ini akan berlaku jika orang Israel tidak mengubah sikap mereka yang buruk. Tetapi orang Israel tidak mendengarkan amaran penubuat-penubuat Tuhan. Mereka tetap menyembah tuhan-tuhan palsu dan bukan Yehuwa. Jadi, mereka memang patut dihukum. Kita tahu akan hal ini kerana penubuat Tuhan yang bernama Yehezkiel memberitahu kita tentang perkara-perkara buruk yang sedang dilakukan oleh orang Israel.

Tahukah adik siapa itu Yehezkiel? Yehezkiel merupakan salah seorang daripada pemuda-pemuda yang dibawa ke Babilon oleh Raja Nebukadnezar lebih daripada sepuluh tahun sebelum Yerusalem dimusnahkan. Daniel dan tiga orang kawannya yang bernama Sadrakh, Mesakh, dan Abednego juga dibawa ke Babilon pada masa yang sama.

Semasa Yehezkiel masih berada di Babilon, Yehuwa menunjukkan kepadanya perkara-perkara buruk yang sedang berlaku di dalam Rumah Tuhan di Yerusalem. Yehuwa telah menggunakan mukjizat untuk melakukan hal ini. Sebenarnya, Yehezkiel masih berada di Babilon tetapi Yehuwa membolehkan Yehezkiel melihat segala-gala yang sedang berlaku di dalam Rumah-Nya. Perkara-perkara yang dilihat oleh Yehezkiel amat mengejutkan!

Yehuwa memberitahu Yehezkiel, “Lihatlah perbuatan menjijikkan yang sedang dilakukan oleh mereka di dalam Rumah-Ku ini.” Yehuwa berkata lagi, “Lihatlah tembok-tembok yang penuh dengan gambar-gambar ular dan binatang-binatang yang lain. Dan lihatlah orang Israel yang sedang menyembah mereka!” Yehezkiel boleh melihat perkara-perkara ini, dan dia mencatatkan apa yang sedang berlaku.

Yehuwa menanya Yehezkiel, “Adakah engkau nampak apa yang sedang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Israel dengan diam-diam?” Ya, dia dapat melihat perkara-perkara ini juga. Terdapat 70 orang lelaki yang sedang menyembah tuhan-tuhan yang palsu. Mereka sedang berkata, “Yehuwa tidak nampak kita. Dia telah meninggalkan negeri ini.”

Kemudian Yehuwa menunjukkan kepada Yehezkiel apa yang sedang dilakukan oleh beberapa orang wanita di pintu gerbang Rumah Tuhan yang menghadap ke utara. Mereka sedang duduk sambil menyembah tuhan palsu yang bernama Tamus. Dan lihatlah kumpulan lelaki di pintu masuk Rumah Yehuwa! Terdapat lebih kurang 25 orang lelaki di sana. Yehezkiel boleh melihat mereka juga. Mereka sedang bersujud ke arah timur untuk menyembah matahari!

“Mereka langsung tidak menghormati Aku,” kata Yehuwa. “Mereka bukan sahaja melakukan perkara-perkara yang jahat, bahkan melakukan perkara-perkara ini di dalam Rumah Aku!” Oleh itu, Yehuwa berkata, “Mereka akan merasai kemurkaan-Ku. Aku tidak akan mengasihani mereka apabila mereka dimusnahkan.”

Kira-kira tiga tahun sahaja yang telah berlalu sejak Yehuwa menunjukkan Yehezkiel hal-hal ini. Orang Israel memberontak menentang Raja Nebukadnezar. Jadi Nebukadnezar menyerang mereka. Selepas setahun setengah, orang Babilon berjaya menembusi tembok Yerusalem dan membakar kota itu sehingga musnah sama sekali. Kebanyakan daripada mereka dibunuh atau dibawa sebagai tawanan ke Babilon.

Mengapakah Yehuwa mengizinkan kemusnahan yang dahsyat ini berlaku kepada orang Israel? Hal ini adalah kerana mereka tidak mendengar kata-kata Yehuwa dan tidak mematuhi hukum-hukum-Nya. Tidakkah hal ini menunjukkan betapa pentingnya bagi kita untuk selalu melakukan apa yang dikatakan oleh Tuhan?

Pada mulanya, beberapa orang dibenarkan untuk tinggal di negeri Israel. Raja Nebukadnezar menugaskan seorang lelaki Yahudi yang bernama Gedalya untuk mengawasi mereka. Tetapi selepas itu, beberapa orang Israel membunuh Gedalya. Sekarang, mereka takut orang Babilon akan kembali untuk membinasakan mereka kerana mereka telah membunuh Gedalya. Jadi mereka memaksa Yeremia melarikan diri ke Mesir bersama-sama mereka.

Maka, negeri Israel tidak berpenghuni lagi. Selama 70 tahun, tiada sesiapa pun yang tinggal di sana. Negeri itu kosong sama sekali. Walau bagaimanapun Yehuwa berjanji bahawa Dia akan membawa umat-Nya pulang ke negeri itu selepas 70 tahun. Sementara itu, apakah yang sedang berlaku kepada umat Tuhan yang telah dibawa ke negeri Babilon? Mari kita lihat.