Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 75

Empat Pemuda di Babilon

Empat Pemuda di Babilon

RAJA Nebukadnezar membawa semua orang Israel yang terpelajar ke Babilon. Kemudian, dia memilih beberapa orang pemuda yang sangat kacak dan yang sangat bijak. Empat orang daripada pemuda-pemuda tersebut boleh dilihat dalam gambar ini. Seorang daripada mereka ialah Daniel; dan tiga orang pemuda yang lain diberikan nama Sadrakh, Mesakh, dan Abednego oleh orang Babilon.

Rancangan Nebukadnezar adalah untuk melatih pemuda-pemuda ini untuk berkhidmat di istananya. Selepas melatih mereka selama tiga tahun, dia hanya akan memilih mereka yang terbijak untuk membantunya menyelesaikan masalah-masalah. Sementara dilatih, Raja Nebukadnezar mahu pemuda-pemuda ini menjadi kuat dan sihat. Maka raja memberi perintah kepada hamba-hambanya supaya memberi mereka hidangan mewah dan wain, sama seperti hidangan yang diberikan kepada raja dan keluarganya.

Lihatlah Daniel. Tahukah adik apa yang sedang dikatakan oleh Daniel kepada ketua hamba Nebukadnezar yang bernama Aspenas? Daniel sedang memberitahunya bahawa dia tidak mahu makan hidangan mewah yang diberikan oleh raja. Tetapi Aspenas berasa bimbang. “Raja telah menentukan apa yang kamu patut makan dan minum,” dia berkata. “Jika kamu tidak kelihatan sihat seperti pemuda yang lain, Raja Nebukadnezar akan membunuh aku.”

Jadi Daniel berkata kepada pengawas yang ditugaskan oleh Aspenas untuk menjaga dia dan tiga orang kawannya, “Ujilah kami selama sepuluh hari. Berilah kami sayur sebagai makanan dan air sebagai minuman. Kemudian bandingkan kami dengan pemuda-pemuda lain yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja, dan lihatlah siapa yang kelihatan lebih sihat.”

Pengawas itu setuju untuk melakukan hal ini. Sepuluh hari kemudian, Daniel dan kawan-kawannya kelihatan lebih sihat daripada pemuda-pemuda yang lain. Jadi pengawas itu membenarkan mereka untuk terus memakan sayur-sayuran dan bukannya makanan yang diberikan oleh raja.

Pada akhir tiga tahun, semua pemuda dibawa menghadap Nebukadnezar. Selepas berbual dengan setiap seorang daripada mereka, raja mendapati bahawa Daniel dan ketiga-tiga orang kawannya merupakan pemuda-pemuda yang terbijak. Oleh itu, dia memberi perintah supaya mereka terus tinggal di istana untuk membantunya. Setiap kali raja mengemukakan soalan yang memerlukan penerangan dan pertimbangan, raja mendapati jawapan Daniel, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego adalah sepuluh kali lebih baik daripada jawapan semua penghentar atau orang berilmunya.