Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 62

Masalah dalam Rumah Tangga Daud

Masalah dalam Rumah Tangga Daud

SELEPAS Daud mula memerintah di Yerusalem, Yehuwa telah membantu tentera Daud memenangi banyak pertempuran. Yehuwa telah berjanji untuk memberikan negeri Kanaan kepada orang Israel. Dan sekarang, dengan bantuan Yehuwa, seluruh negeri Kanaan akhirnya menjadi milik mereka.

Daud ialah seorang pemerintah yang baik. Dia mengasihi Yehuwa. Jadi, selepas Daud menawan Yerusalem, dia membawa tabut perjanjian ke sana. Dia juga ingin membina Rumah Tuhan untuk meletakkan tabut tersebut.

Apabila Daud menjadi lebih tua, dia melakukan satu kesalahan yang besar. Daud tahu bahawa perbuatan mengambil sesuatu yang merupakan kepunyaan orang lain ialah perbuatan yang salah. Tetapi pada suatu petang, semasa dia berada di atas bumbung istananya, dia memandang ke bawah, dan ternampak seorang wanita yang sangat cantik. Nama wanita itu ialah Batsyeba, dan suaminya ialah salah seorang askar Daud yang bernama Uria.

Daud begitu menginginkan Batsyeba sehingga dia memberi perintah supaya Batsyeba dibawa ke istananya. Pada masa itu, suami Batsyeba telah keluar berperang. Daud meniduri Batsyeba dan kemudiannya Batsyeba mendapati bahawa dia hamil. Daud berasa sangat bimbang. Dia mengirim perintah kepada ketua tenteranya, Yoab lalu menyuruh Yoab untuk meletakkan Uria di barisan hadapan pertempuran supaya dia terbunuh. Apabila Uria mati, Daud mengahwini Batsyeba.

Yehuwa sangat marah kepada Daud. Jadi Dia menghantar hamba-Nya, Natan untuk memberitahu Daud akan dosanya. Adik boleh melihat Natan bercakap dengan Daud di dalam gambar ini. Daud sangat menyesali perbuatannya. Oleh itu, Yehuwa tidak menjatuhkan hukuman mati ke atasnya. Tetapi Yehuwa berkata, “Oleh sebab engkau telah melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk ini, engkau akan mempunyai banyak masalah dalam rumah tangga engkau.” Betapa banyaknya masalah yang dihadapi oleh Daud!

Mula-mula, anak lelaki Batsyeba meninggal. Kemudian, Amnon, anak sulung Daud, memaksa adiknya, Tamar untuk menidurinya apabila mereka bersendirian. Anak lelaki Daud, Absalom membunuh Amnon kerana dia sangat marah akan Amnon atas perbuatan jahatnya. Selepas itu, Absalom telah menawan hati banyak orang Israel dan menjadikan dirinya raja. Akhirnya, Daud menang dalam pertempuran dengan Absalom, dan Absalom mati dalam pertempuran itu. Ya, Daud telah menghadapi banyak masalah!

Semasa kejadian-kejadian ini sedang berlaku, Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Salomo. Apabila Daud menjadi tua dan sakit, anak lelakinya, Adonia mencuba menjadikan dirinya sebagai raja. Oleh itu, Daud menyuruh seorang penghentar yang bernama Zadok untuk menuangkan minyak ke atas kepala Salomo untuk menunjukkan bahawa Salomo akan menjadi raja. Tidak lama kemudian, Daud mati semasa dia berumur 70 tahun. Dia telah memerintah Israel selama 40 tahun. Sekarang, Salomo menjadi raja Israel.