Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 60

Abigail dan Daud

Abigail dan Daud

ADAKAH adik kenal akan wanita jelita yang sedang berjalan ke arah Daud? Namanya Abigail. Dia seorang wanita yang bijak. Dia telah menghalang Daud daripada melakukan sesuatu yang buruk. Tetapi sebelum kita belajar tentang kejadian itu, marilah kita lihat apa yang berlaku pada Daud.

Selepas Daud melarikan diri daripada Saul, dia menyembunyikan diri di dalam sebuah gua. Abang-abangnya dan semua ahli keluarganya yang lain menyertainya di sana. Kira-kira 400 orang lelaki juga menyertainya dan Daud menjadi ketua mereka. Kemudian, Daud menghadap raja Moab lalu berkata, “Tolong benarkan ibu bapa hamba tinggal dengan tuanku sehingga hamba tahu apa yang akan berlaku kepada hamba.” Selepas itu, Daud dan pengikut-pengikutnya bersembunyi di kawasan yang berbukit.

Tidak lama kemudian, Daud berjumpa dengan Abigail. Suami Abigail yang bernama Nabal ialah seorang pemilik tanah yang kaya. Dia mempunyai 3,000 ekor biri-biri dan 1,000 ekor kambing. Nabal ialah seorang lelaki yang jahat. Tetapi, isterinya ialah seorang wanita yang sangat cantik. Isterinya juga tahu melakukan apa yang betul. Malah, dia pernah menyelamatkan nyawa keluarganya. Marilah kita lihat bagaimana hal ini berlaku.

Daud dan pengikut-pengikutnya telah melayan Nabal dengan baik. Mereka membantu Nabal melindungi biri-birinya. Pada suatu hari, Daud menghantar beberapa orang pengikutnya untuk meminta bantuan daripada Nabal. Pengikut Daud menemui Nabal semasa Nabal dan pekerja-pekerjanya sedang menggunting bulu biri-biri. Pada hari itu, Nabal mengadakan sebuah kenduri, dan banyak makanan telah dihidangkan. Jadi, pengikut-pengikut Daud berkata, “Kami telah melayan tuan dengan baik. Kami tidak pernah mencuri biri-biri tuan dan kami telah menjaga biri-biri tuan. Jadi, tolonglah beri kami sedikit makanan.”

Nabal berkata, “Aku tidak akan memberikan makanan aku kepada lelaki macam kamu.” Dia memburuk-burukkan Daud dan bercakap dalam cara yang sangat kasar. Apabila pengikut Daud pulang dan memberitahu Daud kata-kata Nabal, Daud menjadi sangat marah. Dia memberitahu pengikutnya, “Ikatlah pedang kamu di pinggang masing-masing!” Lalu mereka memulakan perjalanan mereka untuk membunuh Nabal dan pekerja-pekerjanya.

Salah seorang daripada pekerja Nabal yang terdengar kata-kata Nabal memberitahu Abigail apa yang telah berlaku. Dengan serta-merta, Abigail menyediakan makanan. Dia memuatkan semua makanan itu ke atas beberapa ekor keldai lalu memulakan perjalanannya. Apabila dia bertemu dengan Daud, dia turun dari keldainya, lalu bersujud dan berkata, “Tuan, tolong jangan ambil hati akan kata-kata suami saya, Nabal. Dia memang seorang lelaki yang bebal, dan dia selalu melakukan perkara-perkara yang bodoh. Terimalah pemberian ini dan tolong maafkan kami atas apa yang telah berlaku.”

“Kamu seorang wanita yang bijak,” jawab Daud. “Kamu telah menghalang aku daripada membunuh Nabal untuk membalas kekasaran dan kekejamannya. Sekarang baliklah ke rumah kamu dengan sejahtera.” Selepas Nabal meninggal, Abigail menjadi salah seorang isteri Daud.