MUSA mahu memasuki Kanaan bersama-sama orang Israel. Oleh itu, dia merayu, “Yehuwa, benarkanlah aku menyeberangi Sungai Yordan untuk melihat tanah yang subur di seberang.” Tetapi Yehuwa berkata, “Sudahlah! Jangan sebut perkara ini lagi!” Tahukah adik mengapa Yehuwa berkata sedemikian?

Yehuwa berkata sedemikian disebabkan apa yang telah berlaku semasa Musa memukuli tebing batu. Musa dan Harun tidak memuliakan Yehuwa. Mereka tidak memberitahu orang Israel bahawa Yehuwalah yang telah menyebabkan air keluar dari tebing batu itu. Oleh itu, Yehuwa tidak membenarkan mereka memasuki negeri Kanaan.

Beberapa bulan selepas kematian Harun, Yehuwa memberitahu Musa, “Panggil Yosua dan suruh dia berdiri di depan penghentar Israel, iaitu Eleazar, dan di hadapan semua orang. Beritahulah mereka bahawa Yosua ialah pemimpin mereka yang baru.” Seperti apa yang adik boleh lihat dalam gambar ini, Musa melakukan apa yang disuruh oleh Yehuwa.

Kemudian, Yehuwa memberitahu Yosua, “Engkau harus yakin dan berani. Engkaulah yang akan memimpin orang Israel memasuki negeri Kanaan yang telah Aku janjikan kepada mereka. Aku akan menyertai engkau.”

Selepas itu, Yehuwa menyuruh Musa mendaki Gunung Nebo di negeri Moab. Di atas gunung itu, Musa dapat melihat tanah Kanaan yang subur yang terletak di seberang Sungai Yordan. Yehuwa berkata, “Inilah negeri yang telah Aku janjikan kepada keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku telah mengizinkan engkau melihat negeri ini tetapi Aku tidak mengizinkan engkau memasukinya.”

Musa mati di atas Gunung Nebo. Pada masa itu, dia berumur 120 tahun. Dia masih kuat dan mempunyai penglihatan yang baik. Orang Israel berasa sangat sedih. Mereka menangis kerana Musa sudah mati. Namun demikian, mereka gembira kerana Yosua menjadi pemimpin mereka yang baru.