Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 41

Ular Tembaga

Ular Tembaga

ADAKAH ular pada tiang ini kelihatan seperti seekor ular yang hidup? Sebenarnya, ular ini bukan ular yang hidup. Ular ini diperbuat daripada tembaga. Yehuwa menyuruh Musa meletakkan ular ini pada sebatang tiang agar orang Israel boleh memandang ular tembaga ini dan terus hidup. Tetapi, ular-ular di atas tanah merupakan ular-ular yang hidup. Ular-ular itu telah mematuk orang Israel dan menjadikan mereka sakit. Tahukah adik mengapa hal ini berlaku?

Hal ini berlaku kerana orang Israel telah bersungut menentang Tuhan dan Musa. Mereka berkata, “Mengapakah kamu membawa kami keluar dari Mesir untuk mati di padang belantara ini? Di sini tidak ada makanan ataupun air. Kami sudah muak dengan manna. Kami tidak mahu makan manna lagi.”

Tetapi, manna ialah makanan yang baik. Yehuwa telah melakukan mukjizat untuk memberikan manna dan air kepada orang Israel. Walaupun Yehuwa telah menjaga mereka dengan baik, mereka tidak berterima kasih kepada-Nya. Oleh itu, Yehuwa menghantar ular-ular yang berbisa untuk menghukum orang Israel. Ular-ular ini mematuk mereka, dan banyak dalam kalangan mereka mati.

Akhirnya, orang Israel datang berjumpa dengan Musa dan berkata, “Kami telah berdosa kerana kami telah bersungut-sungut terhadap Tuhan dan terhadap kamu. Sekarang berdoalah kepada Yehuwa supaya ular-ular ini dijauhkan daripada kami.”

Maka, Musa berdoa bagi pihak orang Israel. Yehuwa menyuruh Musa membuat ular tembaga ini. Dia menyuruh Musa meletakkan ular tembaga ini pada sebatang tiang. Sesiapa yang telah dipatuk ular harus memandang ular tembaga ini supaya dia boleh sembuh. Maka, Musa melakukan apa yang disuruh oleh Tuhan. Orang Israel yang dipatuk ular memandang ular tembaga ini dan mereka sembuh.

Apakah pengajaran yang dapat diambil daripada cerita ini? Situasi kita hari ini adalah seperti situasi orang Israel yang telah dipatuk ular. Lihatlah di sekeliling adik. Adik boleh melihat orang menjadi tua, jatuh sakit, dan mati. Hal ini berlaku kerana pasangan manusia yang pertama, iaitu Adam dan Hawa telah meninggalkan Yehuwa, dan kita merupakan anak-anak mereka. Namun demikian, Yehuwa telah menyediakan jalan keluar supaya kita dapat hidup untuk selama-lamanya.

Yehuwa telah menghantar Anak-Nya, Yesus Kristus ke bumi. Yesus mati apabila dia telah dipakukan pada sebatang tiang kerana ramai orang menganggapnya sebagai seorang lelaki yang jahat. Tetapi sebenarnya, Yehuwa menghantar Yesus untuk menyelamatkan kita. Jika kita menaruh harapan padanya dan mengikut jejaknya, kita akan mendapat kehidupan kekal. Kita akan mempelajari hal ini dengan lebih lanjut dalam cerita-cerita yang lain.