PERNAHKAH adik mendengar seekor keldai bercakap? Mungkin adik berkata, “Tidak, binatang-binatang tidak boleh bercakap.” Namun Bible menceritakan tentang seekor keldai yang boleh bercakap. Marilah kita lihat bagaimana hal ini boleh berlaku.

Orang Israel sedang bersedia untuk memasuki negeri Kanaan. Pada waktu itu, Balak, raja Moab takut akan orang Israel. Jadi, dia menghantar orang untuk mendapatkan seorang lelaki pandai yang bernama Bileam. Dia menyuruh Bileam mengutuk orang Israel dan berjanji untuk memberinya banyak wang. Maka Bileam mendapatkan keldainya lalu memulakan perjalanannya untuk berjumpa dengan Balak.

Yehuwa tidak mahu Bileam mengutuk umat-Nya. Oleh itu, Dia menghantar satu malaikat yang memegang sebilah pedang yang panjang untuk berdiri di tengah jalan bagi menghalang Bileam. Bileam tidak dapat melihat malaikat itu, tetapi keldainya dapat melihat malaikat itu. Maka keldai Bileam mencuba mengelak malaikat itu. Akhirnya, keldai itu duduk di tengah jalan dan enggan bergerak. Bileam berasa sangat marah lalu memukuli keldainya dengan sebatang kayu.

Pada ketika itu juga, Yehuwa membolehkan Bileam mendengar keldainya bercakap. Keldainya bertanya, “Apakah yang telah saya lakukan kepada tuan? Mengapakah tuan memukuli saya?”

“Engkau membuat aku kelihatan seperti orang bodoh,” kata Bileam. “Jika aku mempunyai sebilah pedang, sudah pasti aku akan membunuh engkau!”

“Pernahkah saya memperlakukan tuan sebegini?” tanya keldai itu lagi.

“Tidak,” jawab Bileam.

Selepas itu, Yehuwa membolehkan Bileam melihat malaikat yang sedang berdiri di tengah jalan sambil memegang pedangnya. Malaikat itu berkata, “Mengapakah engkau memukuli keldaimu? Akulah yang menghalangi perjalananmu kerana engkau tidak seharusnya pergi mengutuk orang Israel. Jika keldaimu tidak mengelak aku, aku pasti telah membunuh engkau, tetapi aku tidak akan mencederakan keldaimu.”

Bileam berkata, “Saya telah berdosa. Saya tidak tahu bahawa tuan berdiri di hadapan untuk menghalangi saya.” Malaikat itu mengizinkan Bileam pergi, dan Bileam meneruskan perjalanannya untuk berjumpa dengan Balak. Bileam masih mencuba mengutuk orang Israel. Tetapi, Yehuwa membuat Bileam memberkati orang Israel sebanyak tiga kali.