Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 27

Raja yang Jahat Memerintah Mesir

Raja yang Jahat Memerintah Mesir

BEBERAPA orang lelaki dalam gambar ini sedang memaksa orang lain untuk bekerja. Lihatlah lelaki yang sedang menyebat seorang pekerja dengan seutas cambuk! Pekerja-pekerja ini ialah ahli keluarga Yakub yang dipanggil orang Israel. Orang yang sedang memaksa mereka bekerja pula ialah orang Mesir. Orang Israel telah menjadi hamba-hamba orang Mesir. Bagaimanakah hal ini berlaku?

Selama bertahun-tahun, Yakub dan keluarganya yang besar hidup damai di Mesir. Yusuf, orang yang kedua penting di Mesir, telah menjaga mereka. Tetapi selepas Yusuf meninggal, seorang Firaun yang baru telah menjadi raja Mesir. Dia tidak suka akan orang Israel.

Maka, Firaun yang jahat ini telah menjadikan orang Israel hambanya. Orang Mesir yang mengawasi mereka adalah kejam dan zalim. Mereka memaksa orang Israel untuk bekerja keras. Orang Israel dipaksa untuk membina kota-kota bagi Firaun. Walau bagaimanapun, bilangan orang Israel terus bertambah. Oleh itu, orang Mesir menjadi takut. Mereka takut orang Israel akan menjadi terlalu banyak dan terlalu kuat.

Tahukah adik apa yang telah dilakukan oleh Firaun? Firaun memberi perintah berikut kepada wanita-wanita yang membantu ibu berbangsa Israel sewaktu melahirkan anak. Dia berkata, “Kamu mesti membunuh semua bayi lelaki yang dilahirkan.” Tetapi wanita-wanita ini baik. Mereka tidak mahu membunuh bayi-bayi yang dilahirkan.

Maka, Firaun memberi perintah ini kepada semua rakyatnya, “Semua bayi lelaki berbangsa Israel mesti dibunuh. Hanya bayi-bayi perempuan boleh dibiarkan hidup.” Perbuatan Firaun sangat kejam, bukan? Marilah kita lihat bagaimana seorang bayi lelaki diselamatkan.