LIHATLAH bayi kecil yang sedang menangis sambil memegang jari wanita ini. Bayi ini ialah Musa. Tahukah adik siapa wanita yang cantik ini? Dia merupakan anak kandung Firaun. Jadi, dia seorang puteri raja Mesir.

Ibu Musa menyembunyikan Musa sehingga dia berumur tiga bulan kerana dia tidak mahu Musa dibunuh oleh orang Mesir. Namun begitu, dia tahu Musa mungkin dijumpai pada suatu hari nanti. Jadi, dia berusaha untuk menyelamatkan nyawa anaknya. Apakah yang telah dilakukan olehnya?

Ibu Musa mengambil sebuah bakul dan dia memastikan bahawa bakul itu tidak dapat dimasuki air. Kemudian, dia meletakkan Musa ke dalam bakul itu dan menempatkan bakul itu di antara rumput-rumput tinggi yang tumbuh di sepanjang Sungai Nil. Miryam, kakak Musa disuruh oleh ibunya untuk berdiri berdekatan dengan bakul itu agar dia dapat melihat apa yang akan berlaku kepada Musa.

Tidak lama kemudian, anak perempuan Firaun pergi ke Sungai Nil untuk mandi. Tiba-tiba, dia ternampak bakul itu di antara rumput-rumput yang tinggi. Dia berkata kepada salah seorang hamba perempuannya, “Dapatkanlah bakul itu untuk aku.” Apabila dia membuka bakul itu, dia nampak seorang bayi. Alangkah comelnya bayi itu! Musa yang kecil itu sedang menangis dan puteri raja itu mengasihaninya. Dia tidak mahu bayi itu dibunuh.

Selepas itu, Miryam berjalan menuju ke arah anak perempuan Firaun. Adik boleh melihat Miryam di dalam gambar ini. Miryam menanya anak perempuan Firaun, “Adakah tuan puteri mahu hamba memanggil seorang wanita Israel untuk menyusui bayi ini?”

“Baik, pergilah,” kata tuan puteri.

Maka Miryam berlari dengan pantas untuk memberitahukan hal ini kepada ibunya. Apabila ibu Musa datang berjumpa dengan puteri itu, puteri itu berkata, “Ambillah bayi ini dan susuilah dia untukku; aku akan mengupah kamu.”

Jadi, ibu Musa menjaga anaknya sendiri. Selepas Musa sudah cukup besar, ibu Musa membawanya menghadap anak perempuan Firaun. Anak perempuan Firaun menjadikan Musa anak angkatnya. Maka, Musa membesar di rumah Firaun.