LIHATLAH Musa! Dia sedang melarikan diri dari Mesir. Bolehkah adik nampak Musa dikejar orang? Tahukah adik mengapa mereka mahu membunuh Musa? Marilah kita mencari jawapannya.

Musa dibesarkan di rumah Firaun, pemerintah Mesir. Dia menjadi seorang lelaki yang sangat bijak dan penting. Musa tahu bahawa dia bukan orang Mesir. Ibu bapa kandungnya merupakan hamba berbangsa Israel.

Pada suatu hari, apabila Musa berumur 40 tahun, dia telah keluar untuk melihat keadaan hidup orang yang sebangsa dengannya. Mereka diperlakukan dengan buruk sekali. Dia ternampak seorang lelaki Mesir memukuli seorang hamba Israel. Musa melihat di sekelilingnya. Apabila dia mendapati bahawa dia tidak diperhatikan orang, Musa memukul lelaki Mesir itu hingga mati. Kemudian, dia menyembunyikan mayatnya di dalam pasir.

Pada keesokan harinya, Musa keluar untuk melihat keadaan orang sebangsanya sekali lagi. Dia menyangka bahawa dia dapat membantu mereka supaya mereka tidak perlu menjadi hamba lagi. Dia nampak dua orang lelaki Israel bergaduh. Jadi, Musa berkata kepada lelaki yang bersalah, “Mengapakah kamu memukuli saudara kamu?”

Lelaki itu menjawab, “Siapakah yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami? Adakah kamu akan membunuh aku sepertimana kamu membunuh lelaki Mesir itu?”

Musa menjadi takut. Dia sedar bahawa apa yang telah dilakukannya terhadap lelaki Mesir itu telah diketahui ramai. Malahan, Firaun pun telah mendapat berita tentang apa yang telah dilakukannya. Oleh itu, Firaun menghantar orang untuk membunuh Musa. Itulah sebabnya Musa mesti melarikan diri dari Mesir.

Musa meninggalkan Mesir lalu melarikan diri ke suatu tempat yang jauh yang dipanggil Midian. Di sana, dia telah bertemu dengan keluarga Yitro. Dia mengahwini salah seorang daripada anak perempuan Yitro yang bernama Zipora. Musa menjadi seorang penggembala dan dia menjaga biri-biri Yitro. Dia tinggal di Midian selama 40 tahun. Sekarang, dia sudah berumur 80 tahun. Pada suatu hari, semasa Musa sedang menjaga biri-biri Yitro, satu kejadian yang sungguh menghairankan telah berlaku. Kejadian itu telah mengubah seluruh hidup Musa. Marilah kita lihat muka surat yang seterusnya untuk mengetahui apa yang telah berlaku kepadanya.