LIHATLAH apa yang sedang berlaku! Musa sedang menghulurkan tongkatnya ke arah Laut Merah. Mereka yang ada bersama-sama Musa di seberang laut ialah orang Israel. Mereka semua selamat. Firaun dan tenteranya pula mati lemas di dalam laut itu. Marilah kita lihat bagaimana hal ini terjadi.

Seperti apa yang telah adik pelajari, Firaun menyuruh orang Israel untuk meninggalkan Mesir selepas Tuhan membawa tulah yang kesepuluh ke atas mereka. Selain daripada 600,000 orang lelaki Israel, terdapat ramai wanita dan kanak-kanak yang telah meninggalkan Mesir. Sejumlah besar orang asing yang menjadi penyembah Yehuwa juga meninggalkan Mesir bersama-sama mereka. Mereka semua membawa biri-biri, kambing, dan lembu ternakan mereka.

Sebelum mereka bertolak dari Mesir, orang Israel meminta pakaian dan barang-barang yang dibuat daripada emas dan perak daripada orang Mesir. Tulah terakhir telah membuat orang Mesir takut akan orang Israel. Jadi, orang Mesir memberikan apa-apa sahaja yang diminta oleh mereka.

Selepas beberapa hari, orang Israel sampai di Laut Merah. Di sana, mereka berhenti untuk berehat. Sementara itu, Firaun dan orangnya berasa kesal kerana mereka telah membebaskan orang Israel. “Kita telah membiarkan hamba-hamba kita pergi!” kata mereka.

Sekali lagi, Firaun berubah hati. Dengan segera, Firaun menyiapkan kereta kuda dan angkatan tenteranya untuk berperang. Kemudian, dia mengejar orang Israel dengan menggunakan 600 buah kereta kuda yang istimewa dan semua kereta kuda di Mesir.

Apabila orang Israel nampak Firaun dan tenteranya mengejar mereka, mereka berasa sangat takut. Mereka tidak ada jalan keluar. Mereka terperangkap di antara Laut Merah dan angkatan tentera Mesir. Walau bagaimanapun, Yehuwa meletakkan kepulan awan di antara umat-Nya dan orang Mesir. Maka, orang Mesir tidak dapat menyerang orang Israel kerana mereka tidak dapat melihat orang Israel.

Kemudian Yehuwa menyuruh Musa untuk menghulurkan tongkatnya ke arah Laut Merah. Apabila dia berbuat demikian, Yehuwa menyebabkan angin timur untuk bertiup dengan kencang. Air laut terbelah menjadi jalan yang kering, dan air di sebelah kanan dan kiri mereka menjadi tembok air.

Selepas itu, orang Israel mula berjalan menyeberangi laut itu di atas tanah yang kering. Oleh sebab mereka berjumlah berjuta-juta orang dan mereka membawa ternakan mereka bersama, mereka mengambil masa berjam-jam untuk menyeberangi laut itu dengan selamat. Akhirnya, orang Mesir dapat melihat orang Israel sekali lagi. Orang Mesir sedar bahawa hamba-hamba mereka sedang melarikan diri. Mereka meluru ke dalam laut untuk mengejar orang Israel.

Apabila mereka berbuat demikian, Tuhan menanggalkan roda-roda daripada kereta kuda mereka. Orang Mesir menjadi sangat takut dan mereka mula menjerit, “Yehuwa sedang memihak kepada orang Israel untuk menentang kita. Marilah kita keluar dari sini!” Tetapi, mereka sudah terlambat.

Pada masa itu juga, Yehuwa menyuruh Musa untuk menghulurkan tongkatnya ke arah Laut Merah, seperti apa yang adik boleh lihat dalam gambar. Apabila dia berbuat demikian, tembok air itu jatuh lalu menutupi orang Mesir dan kereta kuda mereka. Oleh sebab seluruh tentera Mesir telah mengikut orang Israel ke dalam laut, tidak ada seorang pun daripada tentera Mesir yang terselamat!

Alangkah gembiranya umat Tuhan kerana mereka telah diselamatkan! Kaum lelaki Israel menyanyikan sebuah lagu yang melahirkan rasa terima kasih mereka kepada Yehuwa. Mereka menyanyi, “Yehuwa telah mendapat kemenangan yang menakjubkan. Dia telah melemparkan kuda dan penunggang-penunggang kuda itu ke dalam laut.” Kakak Musa, Miryam mengambil tamborinnya dan wanita-wanita yang lain juga mengambil tamborin masing-masing lalu mengikutnya. Sambil menari dengan riang, mereka menyanyikan lagu yang sama dengan lagu yang dinyanyikan oleh kaum lelaki, “Yehuwa telah mendapat kemenangan yang menakjubkan. Dia telah melemparkan kuda dan penunggang-penunggang kuda itu ke dalam laut.”