DI LUAR Taman Eden, Adam dan Hawa menghadapi banyak masalah. Mereka terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan makanan. Mereka tidak dikelilingi oleh pokok-pokok buah-buahan yang cantik lagi. Sebaliknya, mereka dikelilingi oleh semak dan duri. Hal ini berlaku kerana Adam dan Hawa tidak mengikut kata-kata Tuhan dan tidak bersahabat dengan-Nya lagi.

Lebih teruk lagi, Adam dan Hawa mula menjadi tua dan akhirnya mereka mati. Adakah adik masih ingat akan perintah Tuhan kepada mereka? Mereka dilarang makan buah daripada sebatang pokok yang tertentu. Jika mereka makan buah itu, pada hari itu juga, mereka akan mula menjadi tua dan mereka akan mati. Betapa besarnya kesilapan mereka kerana melanggar perintah Tuhan!

Semua anak Adam dan Hawa dilahirkan selepas Tuhan menghalau mereka keluar dari Taman Eden. Hal ini bermaksud anak-anak mereka juga akan menjadi tua dan mati.

Kalaulah Adam dan Hawa telah mematuhi perintah Yehuwa, mereka dan anak-anak mereka akan berpeluang untuk menikmati kehidupan yang bahagia. Mereka semua boleh hidup bahagia untuk selama-lamanya di bumi. Tidak ada sesiapa pun yang akan menjadi tua, sakit, atau mati.

Tuhan mahu orang hidup bahagia untuk selama-lamanya, dan Dia telah berjanji bahawa suatu hari nanti hal ini akan menjadi kenyataan. Seluruh bumi bukan sahaja akan menjadi indah, malah semua orang akan menjadi sihat. Setiap orang di bumi akan mempunyai hubungan yang baik dengan Tuhan dan dengan orang lain.

Tetapi, Hawa bukan sahabat Tuhan lagi. Oleh itu, Hawa mengalami kesakitan dan menghadapi banyak kesukaran semasa melahirkan anak-anaknya. Tidakkah adik setuju bahawa perbuatan Hawa yang tidak mentaati Yehuwa telah membawa banyak penderitaan kepadanya?

Adam dan Hawa mempunyai ramai anak lelaki dan anak perempuan. Apabila anak lelaki mereka yang sulung dilahirkan, dia dinamakan Kain. Anak lelaki mereka yang kedua dinamakan Habel. Tahukah adik apa yang telah berlaku kepada mereka?