DI LUAR bahtera, orang masih menjalani kehidupan mereka seperti biasa. Mereka masih tidak percaya bahawa Banjir Besar akan berlaku. Mereka pasti telah ketawa terbahak-bahak. Tetapi, tidak lama kemudian, gelak ketawa mereka tidak akan kedengaran lagi.

Tiba-tiba, air mula jatuh dari langit. Air yang turun itu bagaikan air yang dicurahkan daripada sebuah baldi. Kata-kata Nuh terbukti benar! Tetapi, tidak ada sesiapa pun yang dapat masuk ke dalam bahtera itu sekarang kerana pintu bahtera telah ditutup rapat oleh Yehuwa. Mereka sudah terlambat.

Tidak lama kemudian, semua kawasan yang rendah telah ditutupi air. Air mengalir bagaikan sungai yang besar. Air ini menumbangkan pokok, menggolekkan batu-batu besar, dan menyebabkan bunyi yang kuat. Semua orang berasa sangat takut, jadi mereka melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi. Sudah tentu mereka berasa kesal kerana mereka tidak mendengar kata-kata Nuh semasa pintu bahtera masih terbuka. Sekarang, mereka sudah terlambat!

Semakin hari, paras air semakin meningkat. Hujan turun dari langit selama 40 hari dan 40 malam. Air hujan mula melimpahi lereng gunung dan tidak lama kemudian, puncak gunung yang tertinggi pun ditenggelami air. Apa yang dikatakan oleh Tuhan ternyata benar. Semua orang dan binatang di luar bahtera mati. Tetapi semua orang di dalam bahtera terselamat.

Nuh dan anak-anak lelakinya telah membina bahtera dengan baik sekali. Apabila air membanjiri bumi, bahtera ini mengapung di atas air. Kemudian, pada suatu hari, hujan berhenti dan matahari mula bersinar. Bolehkah adik bayangkan apa yang dapat dilihat oleh mereka? Mereka dikelilingi oleh sebuah lautan yang besar. Apa yang kelihatan hanyalah bahtera yang terapung-apung di atas permukaan air.

Sekarang, tidak ada gergasi di bumi yang dapat mencederakan orang lagi. Semua gergasi telah mati. Ibu-ibu mereka dan semua orang jahat yang lain juga telah mati. Namun, apakah yang telah berlaku kepada bapa-bapa mereka?

Bapa-bapa gergasi ini bukanlah manusia seperti kita. Mereka ialah malaikat-malaikat yang telah turun ke bumi untuk hidup sebagai manusia. Semasa Banjir berlaku, mereka berhenti menggunakan tubuh manusia. Mereka kembali ke syurga sebagai malaikat. Oleh itu, mereka tidak mati bersama-sama orang lain. Tetapi selepas mereka kembali ke syurga, malaikat-malaikat jahat ini tidak dibenarkan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Tuhan lagi. Mereka menjadi malaikat-malaikat Syaitan. Dalam Bible, mereka dipanggil roh-roh jahat.

Sekarang, Tuhan menyebabkan angin bertiup. Maka, air banjir mulai surut. Selepas lima bulan, bahtera berhenti di atas sebuah gunung. Lebih daripada dua bulan lagi berlalu sebelum mereka yang berada di dalam bahtera dapat melihat puncak gunung-gunung. Makin hari, air makin surut.

Kemudian, Nuh melepaskan seekor burung hitam. Burung itu seekor burung gagak. Burung itu terbang ke sana dan ke mari, tetapi burung itu tetap kembali ke bahtera. Burung itu tidak dapat mencari tempat yang sesuai untuk hinggap. Setiap kali burung itu terbang keluar, burung itu akan kembali untuk berehat di atas bahtera.

Nuh ingin tahu sama ada air telah kering dari bumi, jadi dia telah melepaskan seekor burung merpati dari bahtera. Tetapi burung merpati itu juga kembali ke bahtera kerana burung itu tidak dapat mencari tempat yang kering untuk hinggap. Nuh melepaskan burung itu untuk kali kedua dan kali ini, burung itu terbang kembali dengan membawa sehelai daun zaitun dalam paruhnya. Oleh itu, Nuh tahu bahawa air banjir sudah surut. Nuh melepaskan burung itu untuk kali ketiga dan kali ini, burung itu tidak kembali lagi ke bahtera kerana burung itu telah menjumpai tempat yang kering.

Sekarang, Tuhan berkata kepada Nuh, “Bawalah keluar seluruh keluargamu dan semua binatang.” Mereka telah berada di dalam bahtera selama lebih daripada setahun. Setelah sekian lama, mereka akhirnya dapat keluar dari bahtera. Alangkah gembiranya Nuh dan keluarganya kerana mereka masih hidup!